Aktiviti DakwahAktiviti Kebajikan

Usrah Ziarah Dakwah Saudara Muslim PERKIM Terengganu

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (al-Maidah: 2)

Usrah merupakan medium dakwah dalam menyampaikan risalah Islam dan ilmu secara berkumpulan dengan membincangkan sesuatu perkara atau masalah bagi membentuk sahsiah yang unggul melalui tarbiah, tabligh, ziarah, sumbangan dan bantuan.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim bertempat di Sanctuary Resort Cherating pada 17 hingga 19 April 2014 lalu.

Program yang mendapat kerjasama Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Perkim Cawangan Kemaman serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

MOHD SUBRI JAAFARsPenyelaras Program, Mohd. Subri Jaafar berkata, dalam usaha untuk memperkasakan aktiviti dakwah dan kebajikan khususnya di kalangan mualaf seluruh Malaysia, Perkim mengambil inisiatif untuk mengadakan program berbentuk ziarah dan usrah kepada Saudara Muslim.

Sejajar dengan moto program, ‘ukhwah itu indah andai dijalin atas dasar mahabbah ilAllah’ itu membina ukhwah Islamiah selain merapatkan silaturahim dan ukhwah Islamiah di kalangan Saudara Muslim dalam sesi ziarah berbekalkan iman, ilmu serta bantuan yang mendorong peningkatan amal di dunia dan akhirat.

Mohd. Subri yang juga Pegawai Eksekutif Perkim Bahagian Negeri Terengganu  berkata, program itu merupakan langkah kedua yang akan diperluaskan ke daerah atau cawangan untuk dijadikan sebagai acara tahunan di mana ianya pernah dilaksanakan sebelum ini di Kuala Terengganu pada Mac 2012 lalu.

“Program ziarah ini merupakan hasrat utama Perkim yang harus diperkembangkan dan diperluaskan ke seluruh Malaysia antara Perkim bahagian dan cawangan serta mendapat kerjasama dengan jabatan atau majlis agama Islam negeri-negeri dalam membantu kebajikan Saudara Muslim,” ujarnya.

“Kemaman, Terengganu merupakan program usrah dan ziarah kali ke sembilan sejak tahun 2011 hingga penghujung 2013 di mana sebelum ini Perkim telah melaksanakannya di Kluang; Johor, Sungai Petani; Kedah, Kuala Terengganu; Terengganu, Ipoh; Perak, Kota Bharu; Kelantan, Negeri Sembilan dan sekali lagi di Kluang, Johor sebagai kesinambungan supaya program diteruskan,” terangnya.

Selain itu, program itu menyediakan ruang dan peluang kepada Saudara Muslim bagi membincangkan dan memahami kaedah usrah serta teknik-teknik berkesan melalui bengkel, diskusi dan ceramah.

Jelas Mohd. Subri, ia dapat membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai menghayatinya di dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan pendakwahan sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Secara tidak langsung, ia dapat mengikhlaskan diir mereka kepada Allah demi untuk mencari keredaan-Nya, mengharapkan pahala dan merasa gerun dengan seksaan-Nya bukan kerana segan dengan kumpulan usrah tetapi kerana ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT.

“Perkim menziarahi 20 Saudara Muslim kategori baru memeluk Islam, daif, miskin, ibu tunggal, warga emas di sekitar daerah Kemaman dengan menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan wang tunai,” kata Mohd. Subri.

Di samping menghulurkan sumbangan, Perkim turut memberi khidmat nasihat dalam mengenalpasti kekangan dan segala permasalahan yang dihadapi oleh Saudara Muslim yang masih baru atau lama memeluk agama Islam.

Ia juga salah satu usaha mengukuhkan lagi tali persaudaraan dan mahabbah kepada mereka sekali gus merapatkan hubungan persaudaraan sesama Islam seperti mana yang terkandung di dalam surah al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara.”

Ziarah pertama adalah ke rumah Saudara Muslim berasal dari Indonesia. Siti Aisyah Abdullah, 40, di Felda Neram 1, Kemaman memeluk Islam pada tahun 2004 ketika bekerja di Johor Bahru. Beliau yang merupakan suri rumah sepenuh masa terpaksa menyara seorang anaknya yang kini berumur 7 tahun dengan menjual kuih-muih secara tidak tetap dan atas permintaan atau tempahan pelanggan. Sewa rumah setinggan berjumlah RM370 bil api RM70 dan bil air RM50 sebulan terpaksa ditanggung oleh suaminya Mohd. Akil Md Awang, 43, yang bekerja sebagai pencuci di sebuah kilang.

Siti Aisyah atau nama sebelum Islamnya, Ester Lina Siahaan yang pernah menjadi guru Protestant Kristian sewaktu sebelum Islam dahulu berharap supaya beliau dapat mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam dengan bantuan guru-guru agama kerana beliau dahagakan ilmu agama Islam.

Sebelum memeluk Islam, beliau sering keluar masuk hospital disebabkan hanya memakan daging khinzir menyebabkan seluruh tubuh badan beliau mengalami alergik atau gatal-gatal.

Rombongan ziarah menyampaikan sumbangan kepada Siti Aisyah dalam bentuk makanan asasi seperti beras, bihun, gula, minyak, keropok, kek pisang dan wang tunai sebanyak RM100.

Ziarah diteruskan ke perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, Hulu Jabor Kemaman iaitu di kediaman Ilu Roham Angin, 54, yang telah kematian suaminya pada 9 April 2014 lalu disebabkan sakit tua.

Balu kepada Tilam Ayu, 67,  yang berketurunan suku kaum Semoq Beri itu memperolehi pendapatan bulanan dengan hasil getah dan kelapa sawit sebanyak RM700 sebulan. Ilu yang mempunyai 12 orang anak dan 20 orang cucu itu masih merasa sedih di atas pemergian suaminya.

Di atas keprihatinan dan simpati, rombongan ziarah menyampaikan sumbangan makanan asasi dan wang tunai kepada Ilu.

Rombongan seterusnya berkunjung ke rumah Junaidah Abdullah, 31, di Bandar Cheneh Baru, Kemaman. Beliau yang pernah mendapat bantuan MAIDAM itu terpaksa bekerja menabur baja di Ladang Rakyat Terengganu dengan gaji RM500 sebulan untuk menampung kehidupan keluarganya memandangkan suaminya hanya mampu mengambil upah membantu membuat kerja-kerja ringan sahaja kerana kecederaan pada tangan dan badannya selepas terjatuh dari bumbung rumah ketika menjadi kontraktor rumah.

Junaidah atau nama sebelum Islamnya Coryda Anak Leja berketurunan Iban itu telah memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Bintulu pada 5 Februari 2003 disebabkan sering berkunjung dan belajar di rumah makciknya yang telah Islam.

Beliau yang berasal dari Kapit, Sarawak itu mempunyai tiga orang dan masih menetap bersama ibu mertuanya kerana tidak mampu untuk menyewa atau membeli rumah.

Junaidah menerima sumbangan makanan asasi dan wang tunai daripada rombongan ziarah.

Aktiviti ziarah diketuai oleh Setiausaha Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Prof. Madya Dr. Ramle Abdullah dan Timbalan Penyelaras Program, Hj Amran Abdullah.

Rombongan ziarah meneruskan penjelajahnya ke rumah warga emas, Mohd. Ariff Abdullah, 77, di Kampung Air Putih, Kemaman. Beliau mencari rezeki dengan menjual ayam hidup dari tiga hingga empat ekor dengan keuntungan RM5 sehari selepas pemergian isterinya pada tahun 1995.

Ariff telah memeluk Islam sejak berumur tiga tahun dan dibawa oleh keluarga angkatnya dibesarkan di Singapura sehingga beliau mendapat kerakyatan di sana.

Pada Disember 2013, segala harta benda yang Ariff miliki di dalam rumah kedainya musnah apabila banjir besar yang melanda di seluruh daerah Kemaman. Beliau turut mendapat bantuan sara diri sebanyak RM250 sebulan daripada Maidam.

Ariff menerima sumbangan makanan asasi dan wang tunai daripada rombongan Perkim.

Sejauh 30km dari Kampung Air Putih ke Pasir Minal, Kemaman rombongan ziarah menziarahi Saudara Muslim berbangsa India, Mohammad Pathmanaban Abdullah, 31.

Beliau yang bekerja sebagai buruh binaan secara tidak tetap itu menyara isteri dan empat orang anaknya. Pendapatannya kadang kala tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian. Rombongan ziarah menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan makanan asasi.

Ziarah diteruskan ke rumah Saudara Muslim berbangsa Cina bernama Suhana Soh Abdullah, 56, di Jalan Kampung Tengah, Cukai, Kemaman.

Ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak itu memeluk Islam pada tahun 1986 ketika berumur 26 tahun kerana perkahwinan bersama arwah suaminya.

Kini, Suhana mengambil upah mengemas dan mencuci rumah pelanggan dengan pendapatan sebanyak RM900 sebulan dan beliau sering menghadirkan kelas agama dua kali seminggu.

Eng Si Moy atau nama Islamnya Munah Eng Abdullah, 65, merupakan Saudara Muslim berketurunan Cina diziarahi oleh rombongan Perkim di Kampung Bukit Mentok, Kemaman.

Munah telah menerima hidayah memeluk Islam pada tahun 1978, sewaktu beliau berumur 29 tahun setelah sedar dari pengsan selama empat hari empat malam selepas menghadiri pertemuan di gereja.

Sewaktu beliau pengsan, beliau diajar mengucap oleh seorang yang tidak dikenalinya dan apabila beliau sedar beliau terus mengucap dua kalimah syahadah dengan sempurna tanpa bantuan sesiapa pun.

Setelah beberapa tahun mendalami agama Islam, Munah baharu sedar bahawa guru mengajarnya selama ini adalah orang yang mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah ketika beliau pengsan.

Munah yang mahir dan menguasai sembilan dialek Bahasa Cina seperti Bahasa Mandarin, Kantonis, Hokkien, dan lain-lain termasuk Bahasa Melayu sering menghadiri kelas pengajian agama Islam yang dianjurkan oleh Perkim dan Maidam.

Beliau tinggal bersama suami yang mengalami sakit jantung dan seorang anaknya, namun anaknya meninggal dunia ketika usianya 18 tahun akibat demam panas.

Setelah banjir melanda Kemaman pada Disember 2013 lalu, segala harta benda telah musnah dan terpaksa mengeluarkan simpanan untuk membaiki van yang rosak akibat banjir.

Atas keprihatinan, rombongan Perkim menyampaikan sumbangan barangan makanan asasi dan wang tunai kepada Munah.

Selesai aktiviti ziarah, Perkim mengadakan bengkel kepada 67 Saudara Muslim yang terdiri daripada keturunan Cina, India, Orang Asli, Indonesia, Siam, Filipina, Kemboja, dan Ireland.

Peserta dipecahkan kepada enam kumpulan selepas menjalani ujian minda dan tahap kefahaman Islam yang diketuai oleh pemudah cara.

Motivasi Iman bertajuk ‘Nikmat Terpilih Sebagai Muslim’ disampaikan oleh Ustaz Osmarizal Omar daripada Al-Iman Consultant & Training Center kepada peserta.

Peserta diberi panduan, tunjuk ajar dan bimbingan melalui Bengkel Usrah 1 dalam modul Hidayah dan Tuntutan Hidup Muslim.

Manakala modul Ibadah Yang Diterima Allah merupakan slot dalam Bengkel Usrah 2 dan slot Bengkel Usrah 3 peserta diberi kefahaman modul Fardu Ain.

Selain itu, peserta juga dipimpin solat berjemaah, qiamullail dan kuliah selepas solat dipimpin oleh Ustaz Mohd. Noor Lee Abdullah.

FORUM PERDANA
Oleh: SHARIZATUL AFZAN MOHD SANUSI & MUHDIYATUNN NADAA SADINI

Program diserikan lagi dengan forum perdana Saudara Muslim bertajuk, ‘Pendekatan Dakwah Rasulullah SAW’ dipengerusikan oleh Pegawai Dakwah dan Inovasi Perkim Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Ahli panel ialah Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Prof. Madya Dr. Ramle Abdullah dan Pegawai Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Ustaz Abdul Rahman Siva Abdullah.

Muhammad Farhan selaku pengerusi menyoal kepada ahli panel mengenai pendekatan dakwah yang dilakukan di zaman Rasulullah SAW, kaedah uslub dakwah yang menyebabkan ramai memeluk Islam di kalangan sahabat baginda, cabaran atau rintangan dihadapi oleh pendakwah di Malaysia dan cara meningkatkan iman serta kualiti Saudara Muslim untuk menjadi contoh kepada bukan Islam.

Beliau juga berkata, usrah yang diadakan itu sesuai dan berkaitan dengan apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW daripada dakwah secara sembunyi-sembunyi, baginda menjalankan usrah dalam bentuk kumpulan kecil-kecilan dari rumah ke rumah bagi mengelakkan masyarakat jahiliah mengetahui perkembangan Islam. Cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh Rasulullah SAW terlalu hebat dan lebih dahsyat berbanding umat Islam pada hari ini.

Muhammad Farhan turut menyarankan supaya peserta mendapatkan buku kisah mengenai Nabi Muhammad SAW dan sahabat seperti 133 Wira Terbilang, Khalifah Yang 4, Khulafah Ar-Rasyidin dan sebagainya supaya menambah pengetahuan dalam kisah dakwah yang diterapkan kepada sahabat-sahabatnya.

Beliau turut menasihati peserta supaya bersabar walaupun menghadapi ujian dan rintangan kerana Rasulullah SAW lebih banyak berkorban demi umatnya. Baginda pernah ditawarkan oleh Musyrikin Mekah kuasa, pangkat, harta dan wanita, tetapi baginda menolaknya kerana mempertahankan penyebaran dakwah Islamiah. Begitu cekal dan tabahnya baginda menjaga umatnya hingga baginda pernah tidur hanya dengan berlapikkan pelepah tamar.

Dr. Ramle dalam ceramahnya berkata, berdakwah itu seseorang mestilah keluar dengan menyampaikan sesuatu kepada orang lain atau masyarakat melalui proses komunikasi secara individu atau pun berkumpulan sama ada dalam bentuk perbualan biasa atau pun bentuk-bentuk lain seperti lisan, gambar, telefon, video atau rakaman mengikut kreativiti, kebijaksanaan atau kebolehan seseorang itu boleh menyampaikan sesuatu maklumat dengan pelbagai medium atau peralatan seperti risalah yang diterbitkan oleh Perkim yang perlu disebarkan dan menyampaikan maklumat itu kepada sasaran atau komuniti-komuniti.

Jelasnya, penerbitan boleh menjadi satu alat untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai iaitu maklumat tentang Islam, kebesaran agama Islam, ketauhidan Allah SWT serta tentang kerasulannya dan berbagai-bagai lagi.

“Metod yang digunakan oleh Rasulullah SAW antaranya ialah usrah dan ziarah iaitu dengan berhimpun dan kemudian menziarahi mereka dengan membawa syiar Islam,” jelas Dr. Ramle yang merupakan seorang pensyarah Fakulti Sains Sosial Gunaan di Universiti Tuanku Mizan Zainal Abidin (UniSZA).

Ziarah itu merupakan satu perkara yang amat berkesan walaupun apa yang dihulurkan itu tak seberapa, tetapi mereka akan mengingati kita sambil mengucapkan terima kasih dengan berbekalkan nasihat, tunjuk ajar, sentuhan, bantuan mahupun bantuan.

Orang kelainan upaya (OKU) juga boleh berdakwah dengan bahasa isyarat mereka asalkan ada hasrat untuk menyampaikan seruan dan amanah.

Antara ciri untuk menjadi pendakwah terbaik ialah mereka mestilah berilmu kerana ayat yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di dalam surah al-‘Alaq, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud “Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Kata Dr Ramle, di Malaysia, kita masih lagi kekurangan pakar-pakar terutama dalam bidang agama yang boleh memberi satu pandangan ataupun yang boleh memberi satu hidangan, pemikiran yang memberi, yang membolehkan menyatukan semua masyarakat ataupun meyakinkan semua orang.

“Saya sempat mengikuti bicara yang disampaikan oleh Yang Dipertua Perkim, Tun Dr Mahathir berapa bulan lepas di Kuala Lumpur di Dewan Felda di mana beliau membayangkan kepada kita betapa sedikitnya umat Islam yang mempunyai kepakaran-kepakaran dalam pelbagai bidang sains teknologi, kimia, biologi dan fizik bahkan tidak juga di dalam astronomi,” terang beliau.

Terdapat di antara mereka yang berilmu tetapi tidak dapat menyampaikan konteks dengan tepat dan berkesan kerana apabila berada di atas pentas mereka kelu, takut, menggigil, dan ada yang menangis ketika menyampaikan atau membentangkan sesuatu.

Kalau kita semua boleh faham konsep dakwah dengan baik untuk menyampaikan ilmu, kita mempunyai tanggungjawab untuk melakukan dakwah dan kita faham bagaimana untuk kita melakukannya dengan cara memahami kelemahan diri seperti bermuhasabah diri.

Abdul Rahman dalam ceramahnya berkata sambil memetik surah al-Hijr, ayat 88 yang bermaksud “Dan sebaliknya hendaklah Engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekali pun mereka dari golongan fakir miskin),” di mana ayat tersebut menekan para pendakwah supaya merendah diri dan menunjukkan akhlak terpuji seperti Rasulullah SAW sebelum menyampaikan seruan dakwah kepada orang.

Jelasnya lagi, beliau mengajak peserta mencontohi keimanan, ketakwaan, pengorbanan, keikhlasan serta kesabaran sahabat Nabi Muhammad SAW yang dijanjikan oleh Allah syurgra-Nya iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan, Ali Abi Talib, Talhah Ubaidillah, Zubir al-Awwam, Saad Abi Waqas, Sa’id Zaid, Abdul Rahman ‘Auf dan Abu Ubaidah Jarrah.

Abdul Rahman menegaskan kepada peserta untuk menjadi pendakwah yang hebat mereka mestilah memperbanyakkan zikrullah, melakukan solat sunat, memperbaiki bacaan al-Quran, mempelajari ilmu agama dengan berguru dan melakukan kebajikan.

Beliau juga memesan supaya peserta tidak melakukan perkara mazmumah seperti mengumpat, memfitnah, menipu diri dan sombong kerana ingatlah asal manusia dijadikan dari setitis air yang hina dan ianya ditemukan ditempat yang jijik tetapi Allah SWT memandang hamba-Nya dengan penuh kasih sayang.

“Saya tidak dapat gaji selama lima bulan sewaktu mula-mula mendapat jawatan di MAIS dan dipilih untuk menjadi tetamu Allah di Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima tajaan Raja Saudi walaupun pada ketika itu saya memeriksa baki di tabung haji masih sepuluh ringgit,” ucap Abdul Rahman tanda syukur.

Jelasnya lagi, ketika berada di tanah suci, beliau terpilih dan diberi peluang untuk bersolat dan berdoa di tempat Rasulullah SAW menunaikan solat dan berdoa iaitu di Raudah.

Katanya, sebarang hajat atau permintaan, kita hendaklah berusaha terlebih dahulu dan kemudian disusuli dengan doa serta tawakal.

Turut diadakan pertandingan penghayatan Islam bagi mencungkil bakat peserta di dalam pertandingan kuiz Islam, azan dan tilawah al-Quran.

Abdul Manan Khoo Abdullah selaku ketua peserta berkata, beliau yang mewakili semua peserta  mendapat banyak ilmu yang bermanfaat untuk menjadi bekalan hidup dan beliau berharap program tersebut diadakan lagi di tahun akan datang.

Dr. Ramle juga dalam ucapan aluannya berkata, program yang diadakan ini menunjukkan satu tarikan yang sihat, kerjasama yang begitu erat dan mengikatkan ukhwah di antara Perkim Kebangsaan bersama Perkim Negeri Terengganu serta Perkim Cawangan Kemaman, di harap hubungan yang terjalin berterusan.

Datuk Zainal Abidin Ab KadirsMajlis perasmian penutup diserikan lagi oleh Pengarah Unit Dakwah dan Inovasi Perkim, Datuk Hj. Zainal Abidin Ab. Kadir.

Zainal dalam ucapannya berkata, Allah SWT mahu umat Islam berhimpun, bermesra dengan mengikat silaturahim dalam bentuk perpaduan untuk menjadikan satu saf yang dapat dilihat di seluruh surau atau masjid setiap tiba lima waktu.

Beliau turut memetik Surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud, “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

Jelas Zainal lagi, Allah juga menyebut umat Nabi Muhammad merupakan umat yang terbaik, seperti firman-Nya : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,” Surah ali-Imran, ayat 110.

“Dalam dakwah terdapat harakah yang membawa maksud pergerakan iaitu sentiasa berubah dan bergerak menuju ke hadapan,” katanya.

“Bukan sekadar menciptakan kita sebagai umat yang terbaik tetapi Allah memberi satu tanggungjawab kepada kita dengan mengutuskan Nabi Muhammad sebaga Rasul yang terakhir dan memberikan kepada kita Al-Quran sebagai buku panduan serta kita sebagai umat yang terakhir memainkan peranan untuk membuktikan kepada Allah SWT menjadi umat yang terbaik,” terang Zainal.

Allah hanya menurunkan agama Islam yang wajib kita bertanggungjawab untuk mempertahankan daripada mereka merosakkan pemikiran dan pegangan terhadap agama kita.

Mereka merancang untuk memecahbelahkan umat Islam dengan berbagai-bagai cara seperti pemikiran pluralisme, sekularisme, liberalisme, kapitalisme, materialisme, humanisme dan unsur negatif mempengaruhi umat Islam.

Pada misi dakwah pada masa akan datang, kita akan menekankan pergerakan untuk mempertahankan benteng ketahanan Islam dalam menghadapi cabaran-cabaran dan ancaman musuh-musuh Islam. Perkara seperti ini harus dilakukan dengan kadar yang segera kerana ianya akan menyebabkan terjadinya keruntuhan akhlak, akidah sekali gus merosakkan pemikian anak cucu kita kelak.

Zainal turut menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik pertandingan azan, kuiz Islam dan tilawah al-Quran serta sijil penghargaan.

Perkim turut memberikan Muhammad Raqeem Abdullah sebagai peserta terbaik program.

Turut hadir, Pengerusi Perkim Cawangan Kemaman, Hj Ghazali Junuh.

1

Antara Saudara Muslim yang hadir di program tersebut.

2

Saudara Muslim mendengar taklimat yang disampaikan.

3

Muhammad Raqeem (kiri) disoal ketika ujian minda dijalankan.

4

Aisyah (kiri) selaku pemudah cara menguji minda peserta dalam sesi tahap kefahaman Islam.

5

Ustaz Osmarizal Omar menyampaikan slot motivasi iman bertajuk ‘Nikmat Terpilih Sebagai Muslim’.

6

Peserta khusyuk mendengar penyampaian dari Ustaz Osmarizal.

7

Peserta menghayati sambil mencatat ilmu yang disampaikan oleh penceramah.

8

Noor Lee mengetuai solat dan bacaan zikir serta kuliah selepas solat.

9

Rombongan Perkim menziarahi Siti Aisyah di Felda Neram 1, Kemaman.

10

Mohammad Shiham Ab. Moti (berbaju merah) menyampaikan sumbangan kepada Siti Aisyah.

11

 Ilu Roham (tengah) diziarahi oleh rombongan Perkim kerana beliau baharu sahaja kematian suaminya.

12

Dr. Ramle (tengah) menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan wang tunai kepada Ilu Roham, balu kepada Tilam Ayu di Kampung Sungai Pergam.

13

Rombongan Perkim menziarahi Junaidah di Bandar Cheneh Baru, Kemaman.

14

Dr Ramle (kiri) menyerahkan sumbangan dan barangan makanan kepada Junaidah.

15

Rombongan Perkim meziarahi Ariff di rumah kedai usangnya di Kampung Air Putih, Kemaman.

16

Dr Ramle dan rombongan ziarah menyampaikan sumbangan barangan makanan dan wang tunai kepada Ariff.

17

Rombongan Perkim menziarahi Saudara Muslim berbangsa India, Mohammad Pathmanaban Abdullah.

18

Suhana Soh (dua dari kanan) merupakan ibu tunggal yang diziarah dan diberi sumbangan oleh rombongan Perkim.

19

Munah (tengah) menceritakan kisah beliau memeluk Islam kepada rombongan ziarah ketika ditemubual.

20

Dr Ramle (kanan) selaku ketua rombongan ziarah menyampaikan sumbangan kepada Munah (dua dari kanan).

21


Bengkel usrah bertajuk ‘Hidayah dan Tuntutan Hidup Muslim’ dilaksanakan kepada peserta diketuai oleh pemudah cara.

22

Ustaz Noor Lee Abdullah (berbaju hijau) membentangkan kepada peserta dalam bengkel usrah 1 bertajuk ‘Hidayah dan Tuntutan Hidup Muslim’.

23

‘Ibadah Yang Diterima Allah’ merupakan slot bengkel usrah 2 yang diadakan kepada peserta.

24

Pemudah cara bertugas menyampaikan ilmu kepada peserta dalam slot bengkel usrah.

25

Peserta diberi penerangan dalam slot bengkel usrah 3 bertajuk ‘Memahami Fardu Ain’ kepada peserta.

26

Nor Izudin (berbaju kuning) selaku pemudah cara memberi kefahaman mengenai fardu ain sewaktu slot bengkel usrah 3.

27

Saudara Muslim diberi tunjuk ajar dan kefahaman mengenai fardu ain dalam slot bengkel usrah 3.

28

Dr Ramle (tengah) selaku ahli panel forum perdana Saudara Muslim menyampaikan ceramahnya kepada peserta sambil ditemani oleh rakan panelnya Abdul Rahman (kanan) dan pengerusi forum, Farhan (kiri).

29

Peserta program mendengar forum sambil mencatat perkongsian ilmu yang disampaikan.

30

Tekun…peserta mendengar forum yang disampaikan oleh ahli panel.

31

Peserta menjawab soalan yang diajukan dalam pertandingan kuiz Islam.

32

Peserta yang menyertai pertandingan azan.

33

Pertandingan tilawah al-Quran yang disertai oleh peserta.

34

Farhan (kiri) selaku pengacara majlis di program perasmian penutup.

35

Dari kiri (Dr. Ramle, Datuk Zainal Abidin dan Ghazali Junuh) di majlis perasmian penutup.

36

Abdul Manan Khoo Abdullah selaku ketua peserta menyampaikan ucapan.

37

Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Dr. Ramle menyampaikan ucapan aluan kepada peserta.

38

Datuk Zainal menyampaikan ucapan dan merasmikan penutupan program usrah dan ziarah.

39

Antara tetamu kehormat yang hadir di majlis tersebut.

40

Datuk Zainal turut melontarkan pandangan dan nasihat kepada peserta supaya menjadi Muslim yang terbaik.

41

Dr Ramle menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan kuiz Islam.

42

Johan pertandingan azan menerima hadiah daripada Dr. Ramle (kiri).

43

Abdul Manan Khoo menerima hadiah sebagai johan pemenang pertandingan tilawah al-Quran.

44

Datuk Zainal (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr Ramle (kanan).

45

Peserta Saudara Muslim bergambar kenang-kenangan di akhir program.

 

46

Peserta lelaki turut tidak ketinggalan bergambar bersama tetamu kehormat di akhir program.

 

Related Articles

Back to top button