Aktiviti Dakwah

Pertemuan Usrah Ogos Bersama Kakitangan PERKIM

Oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

 

“Bersyukur kepada Allah SWT kerana kita dapat mengadakan pertemuan buat kali ketiga setelah terhenti seketika akibat wabak pandemik COVID-19,” kata Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Tan Sri berkata ketika menyampaikan ucapan bulanannya di Pertemuan Usrah Bulan Ogos Bersama Kakitangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE) bertempat di ruang legar Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 10 Ogos 2020.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset, YBhg Dato’ Ahmad Mustafa; Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Unit Pentadbiran dan Program PERKIM, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik.

Sebelum itu, barisan kepimpinan PERKIM bersama kakitangannya menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.

Bacaan doa pula dibaca oleh Pegawai Dakwah IDIP-KL, Muhammad Hizam Abdul Rahim.

Menurut Tan Sri lagi, walaupun perjumpaan tersebut baru diperkenalkan dengan jumlah kakitangan dalam 40 orang ia merupakan satu angka yang cukup baik untuk bekerjasama secara satu pasukan.

“Kita tidak perlu bergantung kepada rakaman lagu untuk menyanyikan lagu Kebangsaan, tetapi saya cadangkan kita tubuhkan pasukan koir dalam enam orang lelaki dan perempuan untuk lagu kebangsaan serta lagu rasmi PERKIM,” jelas Tan Sri.

Ujar beliau, pasukan koir yang dicadangkan perlu adakan saringan dan latihan serta mereka boleh lakukan secara sukarela yang dipimpin oleh Tuan Haji Mamat dan pasukan tersebut dikenali sebagai Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan.

Kata Tan Sri Yusof Noor, perjumpaan bulanan pagi sebegini adalah baik untuk menjadi penggerak kepada kerja-kerja kakitangan pada setiap bulan dan perjumpaan ini boleh dicadangkan untuk dilaksanakan pada peringkat PERKIM Bahagian-bahagian.

Ucapnya lagi, perjumpaan pagi setiap hari Isnin seperti ini telah dimulakan di Jabatan Perdana Menteri semasa beliau bertugas di Jabatan Perdana Menteri dahulu.

“Perjumpaan ini kekal sehingga hari ini, diketuai oleh Perdana Menteri untuk menyampaikan mesej-mesej yang penting. Perjuangan ini amat penting, yang diuar-uarkan oleh banyak pihak serta dikenali sebagai ‘morning prayer’.

Ujar Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat lagi, kita juga perlu adakan bengkel khas dalam tempoh satu hari satu malam bagi kakitangan Ibu Pejabat PERKIM untuk membina semangat perpaduan dan Tuan Haji Mamat yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini boleh mengendalikan bengkel tersebut.

Tujuan bengkel itu bertujuan supaya tiada jurang di antara kakitangan dan boleh bekerjasama antara satu sama lain walaupun belum pernah diadakan sebelum ini adalah elok sekiranya dimulakan pada tahun ini serta diadakan tujuh bulan sekali.

Ujar Tan Sri Yusof Noor, usia PERKIM pada tahun ini telah mencapai 60 tahun atau di gelar Jubli Intan. Organisasi PERKIM telah ditubuhkan oleh AlMarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Tan Sri turut mengajak kakitangan meluangkan masa untuk menghayati dan mengingati sejarah serta asal usul Bangunan PERKIM dengan melihat plak perasmian Bangunan PERKIM di tangga pintu utama blok Podium PERKIM.

Bangunan PERKIM telah dirasmikan oleh AlMarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan kerjasama Kerajaan Libya.

Kita perlu bersyukur kepada Allah SWT serta berterima kasih kepada pengasas PERKIM kerana kita berada di sini adalah dengan kewujudan PERKIM.

 Walaupun sepatutnya kita menyambut 60 tahun PERKIM iaitu Jubli Intan pada tahun ini, namun ia ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19 dan PERKIM akan menunggu keputusan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan tarikh sambutan yang akan diadakan.

“Saya berbangga dan bersyukur sekali lagi kehadrat Allah SWT kerana di Bangunan PERKIM ini jugalah kita dapat mengadakan solat Jumaat buat julung-julung kalinya,” kata Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

Pada asalnya, kita telah menghadkan 136 jemaah yang berada di dalam Surau PERKIM mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan kerajaan, tetapi masih ada jemaah yang bersolat di luar surau yang menunjukkan ramai yang berminat untuk menunaikan sembahyang Jumaat di sini.

Oleh itu, kita perlu adakan persiapan bagi menampung jumlah jemaah yang ingin menunaikan Solat Jumaat pada ruangan di luar ini dengan menyediakan kemudahan karpet bagi meraikan jemaah tersebut.

Solat Jumaat yang berjaya dianjurkan di Surau PERKIM ini merupakan satu keberkatan dan rahmat untuk kita kerana kita telah berjaya memanfaatkan Bangunan PERKIM untuk kebaikan umum.

Kebenaran menunaikan solat Jumaat itu diberikan secara bersyarat dan kita hendaklah sama-sama berdoa agar kebenaran ini dapat diteruskan walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir.

Di akhir majlis, Tan Sri Yusof Noor turut merakamkan ucapan tahniah di atas usaha yang bersungguh-sungguh kepada Pasukan Kebajikan PERKIM yang telah mengagihkan sumbangan Program Bantuan Makanan PERKIM dan wang tunai kepada lebih 1,000 asnaf dan mualaf di sekitar Lembah Klang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Ramadan lalu.

Bantuan ini diberikan dari peruntukan Majlis Iftar di Bulan Ramadan dengan perkenan Yang Dipertua PERKIM, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pasukan Kebajikan PERKIM itu terdiri daripada kakitangan PERKIM sendiri serta sukarelawan tambahan.

SUA PERKIM turut menyampaikan sijil penghargaan Program Khas Bantuan Ramadan 2020 kepada Muhammad Farhan Tee Abdullah, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan, Mohd Jogi Maruli Panjaitan, Amran Anbarasu Abdullah, Muhammad Jais Mariappan Abdullah, Nazly Ismail, Hamidah Ismail, Azura Abdul Rahman, Jamilatun Noor Hashim @ Hamid, Umi Musfirah Abdul Ghani, Razak Yusof dan Yusof Suboh.

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=j–VYAC3BUg” width=”560″ height=”315″]

Related Articles

Back to top button