Aktiviti Dakwah

PERKIM Anjur Seminar PASAK

Oleh : UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

12 OGOS – KUALA LUMPUR. Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad telah merasmikan pembukaan Seminar Kebangsaan Pemerkasaan Aset, Sumber dan Kewangan PERKIM (PASAK) bertempat di Hotel Putra, Jalan Tun Razak malam tadi.


Dato’ Nakhaie menyampaikan ucapan perasmian bertajuk Menjana Kekuatan Ekonomi Untuk Perjuangan Ke Jalan Allah kepada 90 peserta yang terdiri daripada Pengerusi PERKIM Negeri, Setiausaha Kehormat PERKIM Negeri, Bendahari PERKIM Negeri, Pegawai Dakwah dan Kerja PERKIM Negeri.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Ahli Majlis Kebangsaan, YBhg Dato’ Dr Haji Abu Bakar Shaari; YBhg Dr Ann Wan Seng, YBhg Prof Madya Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf dan YB Ustaz Dato’ Haji Hassan Mohamood.

Seminar tersebut diadakan selama dua hari bermula pada 12 hingga 13 Ogos 2020.

Dato’ Nakhaie yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pentadbiran PERKIM berkata beliau telah menerima amanah tersebut dengan kesedaran dan perlu membuat sesuatu untuk memenuhi tuntutan.

Katanya, beliau memerlukan sokongan padu dari semua warga PERKIM dan mereka yang beriltizam dengan dakwah keseluruhannya.

“Bolehkah tok lebai ni menggergasikan Ekonomi PERKIM?” kata beliau dengan penuh keyakinan bahawa di bawah kepimpinannya dengan dokongan bersama warga PERKIM akan mampu menjadikan PERKIM hebat.

Sebenarnya harta benda merupakan elemen memperkasa perjuangan dan elemen kekuatan perjuangan adalah sunnah yang ditetapkan Allah SWT dalam kehidupan manusia dan perjuangan hidup.

Allah SWT berpesan supaya manusia menggunakan harta benda untuk berjihad kejalanNya, di samping keupayaan potensi dirinya sendiri, yakni, akalnya, kemahirannya dan ilmu pengetahuannya seperti mana dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan berjihadlah ke jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu.”

Segala yang di langit dan di bumi, merupakan bahan-bahan yang mampu diolah menjadi harta benda bagi menjana kekayaan. Semuanya dicipta untuk dimanfaat manusia sebagai khalifah di bumi, “Dan dipermudahkan untuk kamu apa yang di langit dan di bumi.”

Kekayaan yang dikumpul, bukan untuk tujuan-tujuan yang menyimpang dari jalan-Nya tetapi kumpullah harta benda bagi menjana kekayaan kamu dengan benar, produktif dan berhemat.

Jangan mengumpul harta dengan cara-cara salah,dengan mencuri, menipu, rasuah, merompak dan sebagainya. “Jangan kamu makan hartabenda antara kamu secara batil”.

Justeru, harta benda yang dimiliki bagi menjana kekayaan, jangan diserahkan kepada  yang tidak amanah dan tidak layak mengurusnya, agar tidak disia-siakan.  “Jangan kamu berikan harta benda kamu kepada orang-orang bodoh, untuk mengurusnya, padahal Allah SWT menjadikannya supaya kamu berdiri tegak.”

Harta benda bukan untuk dikumpul dan dihitung-hitung untuk membina empayar kekayaan diri dan bermegah-megah. “Celakalah bagi setiap humazah/Lumazah. Iaitu orang yang mengumpul harta benda hanya untuk dibilang-bilang”

Jangan pula kerja mengumpul harta sehingga lalai mengingati Allah SWT. Kamu dilalaikan kerana sibuk mengumpul harta yang banyak, sehingga sampai saat kamu dikebumikan di kuburan.”

Islam menyuruh kita memperkasakan ekonomi dan memelihara kesetabilannya untuk membina kekuatan perjuangan menegakkan agama Allah SWT dengan mengumpul kekayaan bukan untuk diri sendiri yang pada akhirnya, hanya dibilang-bilang  untuk kebangaan sebagai Qarun moden. Harta benda dikumpul dan disimpan tanpa dibelanjakan untuk manfaat perjuangan. “Dan mereka yang mengumpul emas dan perak dan mereka tidak membelanjakannya ke jalan Allah, beri tahu mereka bahawa untuk mereka azab yang pedih.”

Emas dan perak adalah faktor ekonomi yang tidak boleh dibiarkan berada keadaan beku. Ia perlu dicairkan bagi menjana pertumbuhan ekonomi. Ia perlu diinfak untuk perjuangan menegak agama sebagai cara hidup.

Adalah salah bagi seseorang Muslim, jika berpegang kepada konsep mencari kekayaan untuk diri sendiri, dan bersifat tamak bagi memenuhi kehendak nafsu ingin memilik.

Harta dibilang-bilang kuantiti dan kualitinya, semata-mata untuk tersenarai sebagai bilionaire. Sedangkan ia membiarkan perjuangan menegak agama Allah SWT berada dalam kemiskinan, lemah dan bergantung kepada ehsan orang. Di mana letak kewajipan bersyukur atas kurniaan Allah.

Tidak berdosakah kita jika kita sebagai pemimpin dan ahli PERKIM yang berjuang kejalan Allah SWT mengabaikan pesan-pesan Allah SWT tidak menggunakan akal fikiran dan usaha, untuk menjana kekayaan PERKIM, sehingga perjuangannya tergendala, bergerak bagaikan burung yang patah sayapnya, mengharap pemberian orang setiap masa, dan menanti bantuan yang tak kunjung tiba.

Mengapa tidak manfaatkan ajaran Islam supaya berusaha menggunakan nikmat yang disediakan bagi mengumpul kekayaan sebagai kekuatan mendukung dakwah yang diperintah agama. Mengapa mengabaikan pesan-pesan Allah SWT mengenai penyediaan kekuatan ekonomi untuk perjuangan kejalan-Nya. Apalagi PERKIM sendiri mempunyai asetnya dan keupayaan ahli-ahlinya di bidang koperat sebagai modal aktif untuk menjana kekuatan ekonomi PERKIM. Kita sebenarnya berdosa, jika kita tidak berusaha ke arah itu, kerana kita mengabaikan pesanan-pesanan Allah SWT.

Sejak mula diberi amanah untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kewangan dan Pentadbiran, saya terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi membina ekonomi PERKIM. Bagaimana boleh kita bergerak di lapangan dakwah berskala besar tanpa kekuatan ekonomi?

Mengadakan mesyuarat dan berseminar pada hari ini adalah ikhtiar permulaan untuk membuka minda demi mencari kata sepakat dan wehdatulfikr di dalam urusan ini. Ia adalah langkah pertama dari ribuan langkah di hadapan menuju pembangunan ekonomi PERKIM. Yang paling membimbangkan, jika urusan menjana kekuatan ekonomi PERKIM ini diabaikan. Akibatnya, PERKIM akan bersua dengan maksud pepatah “hidup segan, mati tak mahu”.

Marilah kita jadikan langkah pertama ini, benar-benar produktif dan menyinarkan cahaya yang menyuluh laluan menuju kejayaan. Marilah kita sama-sama berusaha menemukan jalan yang membolehkan kita membina ekonomi PERKIM yang sustainable sebagai kekuatan mendukung warga PERKIM berdakwah ke jalan Allah SWT.

Kita harap tidak ada cubaan menyekat angin perubahan yang mula bertiup. Marilah sama-sama kita memacu perubahan untuk menyelamatkan PERKIM daripada bersua maksud pepatah, seperti katak di bawah tempurung. Bahkan kita harus menggerak angin perubahan supaya PERKIM tidak terpinggir dan menjadi kera sumbang dalam pergerakan dakwah.

Sebelum itu, Pengarah Pentadbiran dan Program PERKIM, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik menyampaikan taklimat berkenaan pengumuman pentadbiran.

Sesi ceramah Pengurusan Aset pula disampaikan oleh  YBhg Prof Dr Roshayani Arshad selaku Profesor di Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan YBhg Dr Ruhaini Muda selaku Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UiTM.

Turut diadakan sesi forum bertajuk Perkongsian Pengalaman Strategi Pengumpulan Dana dipengerusikan oleh YBhg Dr Ruhaini Muda.

Ahli lima panel yang membentangkan forum  ialah YBhg Dato’ Dr Abdul Razak Kechik selaku Presiden Yayasan Al-Khalifah, Encik Zafrul Noordin selaku Pengasas Andalusia Ventures Foundation, YBhg Prof Dr Nurliza Haslin Muslim selaku Profesor di Pusat Pengajian Bahasa dan Pengajian Siswazah Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) merangkap Penasihat Kelab PERKIM Universiti KLMUC,  Encik Razi Pahlavi Abdul Aziz selaku Naib Presiden Mercy Malaysia dan YBhg Prof Dr Roshayani Arshad.

90 peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dalam sesi Perbincangan dan Rumusan Pembentukan Pelan Tindakan Pemerkasaan Aset, Sumber dan Kewangan PERKIM.

Encik Azlan Shah yang merupakan Peguam Tetuan Tengku Azlina Azlan Shah dan Azman turut membentangkan tajuk Hal-hal Berkaitan Perlembagaan PERKIM.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


YBhg Tan Sri dalam ucapan perasmiannya turut menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberi keizinan untuk mengadakan PASAK kerana ianya tertangguh beberapa bulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan wabak COVID-19.

Jelas Tan Sri Yusof Noor, walaupun usia PERKIM kini telah mencapai 60 tahun, penubuhan Unit Pembangunan dan Aset sebenarnya baru sahaja diwujudkan dengan melantik bekas Ketua Pengarah Tanah dan Galian, YBhg Datuk Yidris Abdullah sebagai pengerusi dan kini unit tersebut dipengerusikan oleh YBhg Dato’ Ahmad Mustafa.

Tan Sri turut menyatakan kegembiraan beliau dan ilhamnya untuk mengadakan PASAK membolehkan untuk memperkasakan PERKIM menerusi kegiatan ekonomi.

“Alhamdulillah menerusi pembentangan dari panelis yang terdiri daripada pakar dan profesional, ia secara tidak langsung menambahkan ilmu saya untuk saya kongsikan pada yang lain,” kata beliau.

Katanya, sebagai Setiausaha Agung Kehormat, tugasnya ialah melaksanakan apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM dan apa sahaja yang diperintahkan menjadi tanggungjawab untuk dilaksanakan.

Ujar Tan Sri Yusof Noor, sewaktu beliau diperintahkan masuk ke PERKIM terdapat satu bahagian dinamakan Unit Tajdid Pemikiran Islam di mana ia merupakan satu unit khas yang diwujudkan atas sebab-sebab tertentu.

Menurut pandangan peribadi beliau, bersempena seminar PASAK, berkemungkinan PERKIM akan mewujudkan satu bahagian untuk merancang, merangka strategi dan  memperteguhkan ekonomi PERKIM ini.

Tan Sri Yusof Noor yang juga mantan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut berkata, pada era 70 hingga 80an MAIWP tidak mempunyai banyak aset sehinggalah beliau mencadangkan untuk menubuhkan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan kemudian ia mendapat persetujuan Perdana Menteri keempat, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dilancarkan.

Melihat masa depan MAIWP yang perlu mencari aset, maka mesyuarat MAIWP telah membuat keputusan serta merta untuk membeli aset ini daripada Persatuan Sejarah kerana MAIWP hendak memiliki Hospital Islam (kini dikenali sebagai Pusat Rawatan Islam – PUSRAWI) sendiri dan Hotel Putra yang kita adakan seminar ini.

Kita perlu berasa bertuah dan bangga kerana kita ada Majlis Agama Islam yang mempunyai hospital dan hotel yang berkonsepkan patuh syariah serta ia memberi peluang kepada orang ramai yang berkunjung ke Kuala Lumpur untuk menginap di hotel atau mendapatkan rawatan di hospital Islam ini.

Jelas Tan Sri lagi, Hotel Putra yang kita adakan seminar ini mempunyai sejarah yang sama dengan perbincangan kita pada hari ini iaitu PERKIM perlu mencari aset, menguruskan aset dan teruskan urus niaga yang boleh dipercayai.

Ujar beliau, kita membincangkan satu perkara yang sangat penting iaitu menyambung usaha yang dilakukan oleh Pengasas PERKIM, AlMarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kalau bukan kerana ada permulaan oleh AlMarhum Tunku, berkemungkinan kita tidak  dapat mengenali antara sesama kita pada hari ini.

Sewaktu AlMarhum Tunku menjadi Perdana Menteri dahulu, beliau tidak menggunakan kedudukannya untuk membangunkan PERKIM dan meminta jabatan kerajaan memberi bantuan kepada PERKIM walaupun beliau tidak mempunyai wang ketika itu.

Oleh kerana hubungan baik AlMarhum Tunku dengan Ketua Tabung Amanah Dakwah Libya-Malaysia, Dr Ahmed Sharif maka AlMarhum berunding untuk membangunkan sebuah Bangunan PERKIM ini.

Tan Sri bersetuju dengan idea salah seorang ahli panel yang mencadangkan kaedah kolaborasi. Berikutan dengan itu, beliau mendapati AlMarhum Tunku sudah memulakan tradisi kolaborasi ini dengan badan yang boleh membantu.

Tetapi pihak Libya, tidak memberikan wang secara percuma, hanya Bangunan PERKIM itu sahaja yang mereka bangunkan di atas tanah PERKIM dan PERKIM perlu membayar kepada Libya sehingga tiga tahun lepas barulah Bangunan PERKIM menjadi milik PERKIM sepenuhnya.

Ujar Tan Sri, sekiranya Dato’ Nakhaie memperakui kepada Majlis Kebangsaan bahawa PASAK ini diwujudkan sebagai satu bahagian khusus dan boleh kita memikirkan untuk kepentingan PERKIM pada masa hadapan supaya dia menjadi betul-betul satu lambang kejayaan perjuangan dakwah di negara kita ini menerusi PASAK.

Tambah Tan Sri Yusof Noor, Allah SWT tidak mensia-siakan usaha kita ini dan terpulang kepada kita memikirkan bagaimana cara kita memperkukuhkan aset.

PERKIM bahagian dan cawangan apabila mempunyai aset, mereka hendaklah menubuhkan satu jawatankuasa pemegang amanah dan mereka perlu mencadangkan untuk mendapat pengesahan dari Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM.

Selagi Majlis Kebangsaan tidak mengesahkan, maka pemegang amanah itu dianggap belum selari dengan kehendak Perlembagaan PERKIM.

Sekiranya PERKIM negeri atas hubungan baik pimpinan negeri dengan Ketua Pimpinan PERKIM di negeri yang berkenaan dan mereka dikehendaki mendaftar sebagai harta PERKIM negeri, tetapi ia tidak bercanggah dengan perlembagaan kerana negeri nanti mencadangkan nama-nama untuk menjadi Pemegang Amanah kepada Majlis Kebangsaan untuk kelulusan sahaja.

Sekiranya kita kumpulkan semua aset yang dimiliki oleh PERKIM tanpa mengira sama ada bahagian, cawangan atau pusat, kita boleh bayangkan berapa banyak kekuatan kita ada pada hari ini.

Tetapi sekiranya PERKIM bahagian dan cawangan mengharapkan pusat sahaja menjadi penjana ekonomi, saya fikir pusat hari ini bernasib baik kerana bangunan itu baru kita dapat selesaikan.

“Jikalau tiada bangunan itu, PERKIM Kebangsaan pun tiada juga asset yang bernilai tinggi cuma hanya sebidang tanah di Pulau Pinang dan sebidang tanah yang dilupuskan di Kuala Kubu Baru,” jelas Tan Sri Yusof Noor.

Sewaktu Datuk Yidris masih lagi menjawat Pengarah Pembangunan dan Aset PERKIM, beliau telah mengambil inisiatif dan berusaha untuk mendapatkan tanah tambahan di sebelah bangunan Balai Islam yang pada masa ini menjadi IDIP-KL.

Kata Tan Sri lagi, bila kita minta tanah itu untuk PERKIM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan bahawa mereka tidak boleh menjual tanah itu kerana atas beberapa faktor dan bukan tradisi DBKL menjual tanah, akhirnya DBKL beri juga kepada PERKIM, atas kes permintaan.

Alhamdulillah syukur dapatlah tambah dana untuk PERKIM Kebangsaan yang saya fikir nilainya sekarang ini baik untuk kita dalam jangka panjang. Kalau kita dapat perkukuhkan pengurusan aset ini secara meluas meliputi seluruh bahagian di Malaysia, dalam negara kita ini saya fikir kita akan cukup kuat.

Ulas Tan Sri lagi, kalau dibentuk konsortium pun, dan kumpulan itu mengetahui bahawa aset PERKIM ini bukan hanya di Kuala Lumpur tetapi ada juga di Sabah Sarawak, saya fikir akan ada ramai konsortium akan membangunkan tanah-tanah kita.

Tan Sri Yusof Noor turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pentadbiran PERKIM. Jikalau PASAK ini boleh kita jadikan satu bahagian yang khusus, saya fikir lebih mudah untuk kita merancangkan apa yang kita bincangkan.

Alhamdulillah, mudah-mudahan segala apa yang kita lakukan ini semoga mendapat restu daripada Allah SWT dan mudah-mudahan harta kita akan bertambah.

Semoga bertambah aset, dapat menguruskan aset, menjaga aset dan menjalankan urusan perniagaan yang betul.

Tan Sri Yusof Noor menutup tirai Seminar PASAK dengan mengucapkan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim dan berharap PERKIM akan mendirikan PASAK dengan betul-betul berpasak.

Di akhir majlis, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan sijil penyertaan Seminar PASAK kepada peserta.

Related Articles

Back to top button