Aktiviti DakwahAktiviti Kebajikan

60 Mualaf Raikan Aidilfitri Bersama MB Negeri Sembilan

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Segala bentuk sumbangan dan sedekah bukan terhenti selepas kita berlumba-lumba melakukan pada Ramadan lalu malah amalan kebajikan itu perlu diteruskan bagi membantu golongan memerlukan khususnya saudara baharu,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.


Aminuddin berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Sambutan Aidilfitri Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Peringkat Zon Selatan anjuran PERKIM Kebangsaan dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bertempat di Dewan Putera Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER), Seremban, Negeri Sembilan pada 26 Jun 2019 lalu.

Majlis tersebut dihadiri seramai 400 terdiri daripada pegawai Kerajaan Negeri Sembilan, cawangan-cawangan PERKIM Negeri Sembilan dan saudara baharu berketurunan Cina, India, Bidayuh, Kadazan, Iban dan Orang Asli.

Turut hadir ialah, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Razali Ab. Malik; Naib Yang DiPertua PERKIM, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor; Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Ismail Ahmad, Bakri Sawir; Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Lenggeng, Suhaimi Kassim;  Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan, Mohd. Khidir Majid; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah L. Isa; Naib Pengerusi merangkap Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, Datuk Ali Ab. Majid; Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Dr. Zainal Mohamed; Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Johor; Mohd. Saiful Bahari Abdullah; Pengetua SASER, Datuk Sabuddin Sani.

Menurut Aminuddin, majlis tersebut merupakan julung kali diadakan oleh PERKIM bertujuan meraikan bulan yang barakah dan bulan kemenangan dalam suasana kebersamaan melangkaui sempadan negeri rakan-rakan PERKIM yang berjiran.

Majlis tersebut turut meraikan 60 orang golongan asnaf dari ketiga-tiga buah negeri yang terdiri daripada kalangan fakir, saudara baru dan anak-anak saudara baru, anak-anak yatim dan ibu tunggal sekaligus dapat merapatkan hubungan silaturahim antara saudara Islam.

Jelas Aminuddin, PERKIM ditubuhkan sejak tahun 1960 dan diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj. Jelas bahawa kewujudan PERKIM dengan cogankatanya “Islam Itu Persaudaraan”, menjuruskan segala tindakan dan aktivitinya ke arah kefahaman Islam sebagai cara hidup yang mementingkan nilai-nilai dan keharmonian.

“Kita berharap PERKIM dapat memainkan peranan yang besar dan berharap agar masyakarat Islam dapat membantu golongan saudara baharu di Negeri Sembilan,” kata beliau.

Ujarnya lagi, kita juga berharap dengan sokongan kita masyarakat yang sejak lahir Islam membantu saudara baharu dalam bimbingan agama dan kebajikan bagi semangat dan doronngan kepada mereka erti sebenar intipati persaudaraan Islam.

Aminuddin turut memetik firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl, ayat 125 bermaksud: “Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang dapat petunjuk.”

“Jika diperhalusi, hal ini amat bertepatan dengan tema pemerintahan Kerajaan Negeri Sembilan ketika ini iaitu Bersih, Muafakat, Sejahtera, yang mana muafakat tidak akan dapat dicapai tanpa kita meletakkan rasa persaudaraan sesama kita.

Alhamdulillah kita bersyukur, pada tahun 2019 peruntukan hal ehwal agama Islam telah kita tingkatkan pada sekali ganda di Negeri Sembilan ini kepada 17 juta daripada 8 juta sebelumnya. Kita harap bahawa dengan peruntukan sebesar ini kita mampu membangunkan Islam di Negeri Sembilan ini dengan lebih teratur dan lebih baik.

Tambah Aminuddin, kita mengharapkan masjid terus menjadi pusat aktiviti dakwah dan masyarakat diberi ruang untuk memilih pendemokrasian jawatankuasa masjid berjalan dengan lancar tanpa ada masalah dan kita mengharap bahawa masjid dapat diperkasakan.

Jelasnya, kita juga tidak lupa untuk menambahkan elaun kepada bilal, siak dan pembantu am wanita yang menjadi tunjang masyarakat yang kita naikkan sehingga ke 100 peratus.

“Kita harap dengan usaha ini akan memartabatkan lagi umat Islam di Negeri Sembilan ini. Tidak lupa juga kepada golongan kumpulan isi rumah B40 yang menghadapi musibah kematian dan kita juga telah memberikan peruntukan sebanyak RM650 kepada golongan ini.

Semoga kita semua dapat terus berusaha memberikan khidmat terbaik untuk umat. Ingatlah setiap orang dari kita adalah kepercayaan Allah yang memikul amanah. Bersamalah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan negeri ini agar terus menjadi kerajaan yang bersih, muafakat dan sejahtera.

“Jesteru saya berharap agar semua pihak menjalankan kerja dakwah dengan penuh keikhlasan dengan niat bekerja hanya kerana Allah SWT.

“InsyaAllah, ganjaran yang besar itu akan menanti kepada kita pada waktu yang Allah telah tetapkan. Semoga segala usaha dan kerja kita diredhai dan diterima oleh Allah sebagai bukti pengabdian kita kepadaNya.


Sementara itu, Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim turut berterima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana memberi sokongan yang sepenuhnya kepada PERKIM dan komitmen beliau dalam menyertai majlis Aidilfitri PERKIM buat kedua kalinya.

Dr. Muhammad Rais yang juga Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sembilan berhasrat untuk menambahkan jumlah dari 2,000 kepada 4,000 keahlian pada tahun hadapan yang kini bahagian tersebut mempunyai 10 cawangan.

Katanya, kita akan mensasarkan masyarakat daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Serting, Gemencheh, Gemas untuk bersama-sama menyertai cawangan PERKIM Bahagian Negeri Sembilan.

Beliau turut berterima kasih kepada Dr. Yusof Noor kerana memberi buah fikiran untuk mengadakan majlis Aidilfitri dalam menggabungkan tiga buah negeri.

Tambah Dr. Muhammad Rais lagi, ia secara tidak langsung terus memekarkan semangat persaudaraaan antara kita khususnya persaudaraan atas nama Islam tanpa melihat warna kulit, asal dan keturunan serta ia merupakan nilai kemanusiaan yang dibawa dan ada di dalam agama kita Islam.

Katanya sambil memetik firman Allah dalam surah Hujurat, ayat 13 bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa di antara kamu.”

“Kemuliaan disisi Allah itu tiada langsung diukur pada jalur keturunan mahu pun bangsa, bahkan Allah memberi penilaiannya hanya semata-mata dari aspek ketakwaan seseorang hamba itu,” ujar Dr. Muhammad Rais.

Di Aidilfitri inilah kesempatan terbaik sekali untuk kita saling melupakan semua perselisihan dan persengketaan seterusnya mengukuhkan kerjasama di antara individu dan organisasi.

Ujarnya, ambillah peluang ini untuk kita saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian wang Aidilfitri kepada 60 golongan saudara baharu dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor masing-masing disampaikan oleh Aminuddin, Dr. Yusof Noor, Dr. Muhammad Rais dan Dr. Shahidan Kassim.

Majlis berakhir dengan aneka juadah makanan jamuan Aidilfitri seperti lemang, ketupat, rendang, sate, mi goreng, nasi minyak, ayam masak merah, bubur durian sambil diiringi persembahan cak lempong dan lagu raya.

 


Sesi pendaftaran penerima bantuan sumbangan Aidilfitri PERKIM.

 


Tetamu kehormat menyambut ketibaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

 


Tetamu kehormat PERKIM bersama Menteri Besar Negeri Sembilan menyanyikan lagu Negaraku dan lagu PERKIM.

 


Tetamu di kalangan ahli PERKIM menadah tangan ketika bacaan doa dibacakan.

 


Bendahari Kehormat PERKIM merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim menyampaikan ucapan aluan.

 


Aminuddin menyampaikan amanat dalam ucapan perasmian bersempena Majlis Sambutan Aidilfitri PERKIM di Dewan SASER, Seremban.

 


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa agar meneruskan amal jariah walaupun Ramadan telah berakhir.

 


Tetamu dan saudara baharu PERKIM mengambil juadah makanan yang disediakan.

 


Ahli PERKIM menikmati juadah makanan Aidilfitri.

 


Majlis makan sempena Aidilfitri turut diserikan lagi dengan persembahan Cak Lempong.

 


Aminuddin (berbaju ungu) menyampaikan wang Aidilfitri kepada saudara baharu.

 


Golongan saudara baharu menerima sumbangan Aidilfitri daripada Aminuddin, Menteri Besar Negeri Sembilan (tengah).

 

 


Aminuddin (kiri) menyampaikan wang raya kepada mualaf berbangsa India.

 


Dr. Yusof Noor (tiga dari kanan) menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Aminuddin (berbaju ungu).

 


Aminuddin (berbaju ungu) menerima hamper Aidilfitri daripada Dr. Muhammad Rais selaku Pengerusi PERKIM Negeri Sembilan.

 


Dr. Shahidan Kassim menyampaikan sampul raya kepada golongan mualaf.

 


Dr. Yusof Noor (dua dari kiri) turut tidak ketinggalan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan di Aidilfitri.

 


Pengetua SASER, Sabuddin Sani (dua dari kanan) menerima plak cenderahati PERKIM daripada Dr. Shahidan Kassim.

 


Tanda penghargaan, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim (kanan) menyampaikan hamper raya kepada Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor (dua dari kiri).

 


Setiausaha Agung Kehormat, Dr. Yusof Noor bersalaman dan bergambar kenang-kenangan bersama ahli PERKIM Negeri Sembilan.

Related Articles

Back to top button