Thursday, February 27, 2020

Disiasat oleh BPR (SPRM) kerana salah sangka.

Saya dengan Muthu di Mesyuarat Agung Persatuan Pesara kami.

Ahad lepas (23 Februari 2020) saya menghadiri Mesyuarat Agung ke 11 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Daerah Seremban (selepas ini saya sebut Persatuan sahaja). Walau pun saya telah menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan untuk lapan kali sebelum ini, kali ini ia adalah unik  bagi saya.

Ini kerana buat pertama kali saya hadir sebagai seorang Ahli Jawatankuasa Persatuan setelah menang di pemilihan pada tahun lepas (2019). Lebih unik ialah saya menjadi Setiausaha Persatuan yang sama di peringkat Negeri Sembilan sejak tujuh tahun yang lalu. 

Sebagai Setiausaha di peringkat negeri, saya wajib hadir di Mesyuarat Agung setiap Cawangan Daerah. Kami mempunyai tujuh cawangan semuanya di Negeri Sembilan. Bila hadir di Mesyuarat Agung Cawangan Seremban selama ini, saya hadir bukan sahaja sebagai ahli biasa, tetapi sebagai Setiausaha di peringkat negeri. Di tahun ini pula ditambah satu peranan, iaitu sebagai seorang Ahli Jawatankuasa. Ini bermakna saya memegang dua tugas, iaitu di peringkat Daerah dan Negeri.

Memang ramai kawan-kawan saya yang sama bekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dulu  menjadi ahli Persatuan dan saya berjumpa dengan mereka setiap kali Mesyuarat Agung. Tetapi kali ini saya hendak bercerita mengenai seorang kawan saya yang bernama Muthu.

Muthu bertugas sebagai Kerani atau sekarang dipanggil Pembantu Tadbir. Salah satu tugasnya ialah menghantar caruman untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP untuk buruh MPS yang kami panggil IMG (untuk Industrial and Manual Group).

Seperti biasa setiap pekerja yang mencarum untuk KWSP menerima penyata kalau tak salah enam bulan sekali (maafkan saya kalau salah). Tetapi di satu ketika ramai dari pekerja IMG kami mendapati caruman mereka tidak seperti yang dipotong dari gaji mereka tiap-tiap bulan. Sehingga ada caruman mereka didapati sifar atau zero.  

Sudah tentu mereka mengamuk dan mengadu di pejabat. Sehingga ada dari mereka mengadu ke Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau sekarang dipanggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Aduan mereka ialah Muthu telah kebas duit mereka. Ini adalah mustahil, kerana cek-cek dari MPS ditujukan (dan ditulis) kepada KWSP. Tetapi siapalah yang hendak menghalang kumpulan IMG ini yang sudah tentu kurang pengetahuan untuk mengadu kepada BPR.

Maka datanglah pegawai-pegawai BPR ke pejabat kami untuk menyiasat. Dari awal lagi saya tahu mereka tidak ada kes, kerana mustahil duit caruman KWSP sesiapa pun boleh dikebas begitu sahaja. Tetapi kerana diminta siasat, pegawai-pegawai BPR pun siasatlah.

Jadi di mana silapnya sehingga ada caruman didapati sifar sehingga enam bulan? Ini kerana nombor Kad Pengenalan lama Malaysia mempunyai tujuh digit dan nombor akaun KWSP pun mempunyai tujuh digit. Muthu keliru dengan nombor-nombor ini sehingga diamasukkan nombor Kad Pengenalan di ruang nombor akaun dan sebaliknya. Sudah tentu caruman tidak masuk.

Ini menyebabkan seorang kawan saya menggelar Muthu sebagai 'Muthu yang tidak bermutu'. Sampai hati dia. Akibatnya Muthu dipindahkan ke jabatan lain yang tidak mengakibatkannya keliru dengan nombor-nombor.

Satu lagi cerita Muthu melibatkan bolasepak. Muthu ialah pengurus kepada pasukan bolasepak jabatan kami. Dia juga menjadi Bendahari kepada Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS). Di masa itu juga saya pula menjadi Penolong Setiausaha Kelab Sukan kami dan menjadi Ahli Majlis PBNS itu. (Pengalaman itu juga saya gunakan untuk menjadi Setiausaha Persatuan Pesara saya sekarang).  

Di satu tahun pasukan MPS layak memasuki pertandingan Piala FAM. Peraturan FAM membenarkan kami mendaftar pemain-pemain luar untuk menguatkan pasukan kami. Muthu sebagai pengurus menunjukkan  saya senarai penuh pemain MPS termasuk beberapa pemain luar dan saya tolong hantar ke FAM melalui PBNS.

Semasa perlawanan pusingan pertama saya sibuk menjaga pintu masuk Padang Stesen (sekarang sudah menjadi kompleks Seremban Prima) dan hanya dapat melihat permainan setelah ia dimulakan dalam 20 minit. Saya perasan ada seorang pemain itu yang bukan dalam senarai yang saya tolong hantar ke FAM itu.

Saya terus bertanya kepada Muthu, kenapa ini berlaku? Muthu menjawab jangan bimbang, tak ada orang akan tahu. Muthu menambah, pemain yang tidak berdaftar itu menggunakan nama pemain yang berdaftar. Saya jawab "Are you mad?" "Kau tak tahu ke kebanyakan orang yang datang ke sini hendak kita kalah" (dalam Bahasa Inggeris). 

Ini kerana pasukan MPS dibenci oleh ramai orang kerana kami banyak 'mencuri' pemain-pemain dari kelab lain dengan memberi mereka kerja. Di masa itu MPS baharu sahaja menubuhkan unit letak kereta dan kebanyakan pemain yang kami 'curi' itu di ambil bekerja sebagai Atendan Letak Kereta. Saya terus berkata kepada Muthu jangan terperanjat jika ada orang mengadu nanti.

Sangkaan saya itu benar bila kami menang dan  ditambah lagi pemain yang tidak berdaftar itu menjaringkan satu gol. Di masa itu pula belum ada nama pemain ditulis di belakang jersi. Tetapi para penulis akhbar menulis nama penjaring gol seperti tertulis di senarai pemain yang diberi kepada mereka. Sudah tentu nama pemain yang tidak bermain ditulis.

Esoknya bila berita permainan itu disiarkan di akbar-akhbar, ramailah pengadu datang ke pejabat akhbar-akhbar tersebut di Seremban. Dipendekkan cerita FAM pun emnyiasat dan mengambil tindakan. Kemenangan kami dibatalkan dan pasukan kami tidak dibenarkan bermain untuk Piala FAM untuk beberapa tahun (sama seperti pengharaman pasukan Liverpool beberapa tahun lalu dan Manchester City untuk dua tahun akan datang).  

Kami di MPS menerima hukuman itu, tetapi pegawai-pegawai di Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan menganggap itu tidak adil kerana kata mereka yang bersalah bukan pemain-pemain tetapi pegawai bolasepak MPS. Ekoran itu pengharaman untuk kami ditarik balik dan hukuman pula dikenakan terhadap Muthu. Mujur juga Muthu mengaku bertanggungjawab sepenuhnya dan tidak menyalahkan orang lain.

Muthu tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan di bidang bolasepak untuk beberapa tahun. Oleh kerana Muthu juga menjadi Bendahari PBNS, ia digugurkan dari jawatan itu. Muthu terus bersara dari bolasepak dan saya kemudian mengambil alih mengurus pasukan bolesepak MPS untuk beberapa tahun walau pun saya tidak pernah bermain bola di peringkat mana-mana.

Walau ada membuat silap, Muthu sebenarnya seorang yang baik hati. Dia tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. Dia sekarang berumur 76 tahun tetapi masih sihat.

No comments: