Monday, December 9, 2019

Sunyi itu emas.

Jiran-jiran dan anak-anak sama taman dan taman-taman berdekatan membantah.

Bagus mempuyai kawan-kawan di media sosial seperti Facebook. Kita pergi ke tempat dia, kita cari dia. Dan bila dia datang ke tempat kita, dia cari kita pula. Hujung minggu lepas saya ke Kuantan, Pahang menziarah seorang kawan yang sakit. Dari Terminal Sentral Kuantan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan dan balik saya menumpang skuter seorang lagi kawan. Sila baca pos saya sebelum ini.

Di hujung minggu baru-baru ini seorang lagi kawan dari Pahang tetapi berhampiran dengan sempadan Negeri Sembilan datang ke Seremban. Saya membawanya ke satu restoran mamak dan bersembang. Menurutnya dia sering datang ke Seremban melalui Jelebu. Tetapi tambahnya lagi dia takut memandu melalui Jelebu pada sebelah malam kerana suasananya sunyi.

Saya terus jawab baguslah sunyi. Saya lebih seronok memandu dengan melepaskan lampu 'high beam' di suasana sunyi di waktu malam kerana kenderaan pun kurang.

Bercakap mengenai sunyi itulah keadaannya di depan rumah saya di waktu malam. Kerana di depan rumah saya ialah satu kawasan yang direzabkan sebagai KL yang bermaksud KAWASAN LAPANG. Ia hanya tidak sunyi untuk lebih kurang satu jam lebih di waktu petang bila budak-budak di taman saya disertai oleh kawan-kawan sekolah mereka dari taman-taman berhampiran bermain bola di atasnya.

Tapi tak apalah, yang terdengar ialah suara budak-budak, walau pun saya ada terdengar bahasa mencarut. Saya juga kadang-kadang menyertai mereka dengan melepaskan layang-layang saya. Saya terfikir 'Orang KL mencari KL untuk main layang-layang' atau 'Orang Kuala Lumpur mencari Kawasan Lapang untuk main layang-layang' sedangkan saya hanya berjalan beberapa meter untuk berbuat yang sama di KL saya.

Beberapa hari yang lepas saya dikejutkan bila mendapat notis dari Majlis Perbandaran Seremban atau MPS bahawa mereka akan mendirikan satu Dewan Komuniti di Kawasan Lapang ini. Bagi saya ini adalah satu pengkhianatan atau 'betrayal' dari MPS kepada kami yang tinggal di keliling  KL ini. Saya berani berkata begitu kerana MPS sendiri yang mensyaratkan pemaju perumahan dimana saya tinggal sekarang menyediakan Kawasan Lapang. Sekarang mereka sendiri hendak melanggar syarat yang mereka buat.

Saya dan jiran-jiran sedang membuat usaha-usaha supaya Kawasan Lapang ini dikekalkan. Apa langkah-langkahnya tidak boleh saya ceritakan di sini.

Oh, dari mula saya menaip pos ini sehingga ke ayat ini tidak ada pun sebuah kereta pun yang lalu di depan rumah saya ini. Eloklah tu kerana bagi saya sunyi itu emas.

Sekian.    

No comments: