Thursday, October 24, 2019

Saya berbohong kerananya.


Berpuluh tahun dulu saya diminta oleh boss saya untuk membantunya dalam satu operasi meroboh. Permulaan ceritanya ialah satu parti politik telah memohon untuk mengadakan satu pesta jualan. Oleh kerana Yang Di Pertua (YDP) saya menganggap ini perkara sensitif kerana melibatkan politik, dia telah merujuk permohonan itu kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan di masa itu. 

Y.A.B Menteri Besar telah menolak permohonan itu. Saya dan beberapa pegawai Majlis Perbandaran Seremban (MPS) telah pergi sendiri ke tapak di masa pesta hendak diadakan dan menyampaikan keputusan itu kepada penganjur. Oleh kerana pesta belum dimulakan, kami minta mereka supaya jangan meneruskan apa-apa kegiatan termasuk mendirikan apa-apa struktur. Pihak penganjur telah berjanji akan akur kepada arahan kami.

Beberapa hari kemudian kami dikejutkan dengan berita bahawa pihak penganjur telah mula mendirikan beberapa struktur di tapak berkenaan. YDP saya telah mengarahkan supaya boss saya sendiri yang bertaraf  Pengarah untuk mengetuai operasi meroboh struktur-struktur tersebut. Saya merasa lega kerana buat pertama kali tidak akan berada di barisan hadapan. Ini kerana sudah menjadi polisi saya untuk berada di barisan hadapan bila mengetuai apa-apa operasi.    

Seperti biasa dalam kerja-kerja operasi, kami telah meminta bantuan pihak Polis. Mengetahui pihak penganjur telah melanggar arahan dari ketua eksekutif negeri, pasukan Polis yang dihantar diketuai oleh seorang berpangkat ASP.

Sampai sahaja ke tapak pesta, boss saya terus mengarahkan pekerja-pekerja MPS merobohkan mana struktur yang telah di bina dan membawa balik peralatan yang lain. Di sinilah di mana ketua pasukan Polis yang berpangkat ASP itu meminta supaya boss saya membatalkan niatnya. Saya masih ingat lagi ASP itu memberi amaran dia bimbang akan terjadi satu pergaduhan. Tambahnya lagi struktur yang belum didirikan seperti besi rangka khemah akan dijadikan senjata menyerang kami.

Tetap boss saya berdegil dan terus mengarahkan pekerja-pekerja MPS memindahkan mana-mana struktur yang belum didirikan ke dalam kenderaan-kenderaan MPS. Di saat itu berlakulah sedikit kekecohan di mana beberapa orang telah menyerang boss saya dengan menumbuknya.

Syukurlah kami tidak melawan dan pihak Polis telah mengawal keadaan dan memberhentikan serangan seterusnya. Syukur juga boss saya cuma ditumbuk dan jangkaan ASP tadi bahawa besi-besi struktur khemah akan dijadikan senjata tidak berlaku.

Tetapi apa yang mengejutkan saya ialah saya kenal sangat dengan seorang yang sama-sama menumbuk boss saya itu. Saya tahu di mana dia tinggal dan apa pekerjaannya. Pendek kata jika pihak Polis ingin saya menunjukkan di mana dia tinggal, saya boleh membawa mereka.

Tindakan seterusnya ialah kami meninggal tapak tersebut. Boss saya telah pergi ke hospital, tetapi didapati tidak cedera apa-apa. Kemudian kami telah pergi ke Balai Polis untuk membuat aduan.

Di sinilah saya telah membuat satu tindakan yang melanggar etika kerja saya. Sebelum keadian itu saya pernah membuat beberapa aduan Polis kerana diugut semasa manjalankan tugas. Malah saya pernah membuat aduan bahawa seorang Yang Berhormat atau YB telah mencekik saya semasa satu kempen Pilihanraya Umum (PRU). Sila klik di sini.

Dalam semua aduan tersebut, saya memberitahu pihak Polis nama-nama mereka yang mengugut dan mencekik saya. Tetapi dalam kes di mana boss saya sendiri ditumbuk dan saya kenal seorang dari penumbuk tersebut, saya tidak menyebut nama sesiapa.

Tanpa pengetahuan saya, rupa-rupanya Polis telah menahan sekurang-kurangnya seorang dari mereka yang disyaki terlibat menumbuk boss saya. Beberapa hari kemudian mereka telah memanggil saya untuk membuat pengesahan dalam satu kawad cam. Hati saya berdebar jika orang yang saya kenal itu ada dalam barisan untuk dicam itu. Adakah saya masih kekal berbohong?

Syukurlah bila saya melihat barisan untuk dicam itu, orang yang saya maksudkan itu tidak ada diantaranya. Malah saya tidak kenal seorang pun dalam barisan tersebut. Lega sekali lagi. Saya difahamkan pihak Polis tidak meneruskan kes itu, salah satu sebabnya kerana saya gagal mengenalpasti orang tertuduh.

Saya membangkitkan perkara ini kerana semalam (23 Oktober 2019) orang yang saya nampak dengan jelas menumbuk boss saya berpuluh tahun dulu itu meninggal dunia di usia lanjut. Malah faktor usia juga antara sebab mengapa saya tidak menyebut namanya kepada Polis sebelum ini. Sebab yang lain ialah jika boss saya mendengar nasihat pegawai Polis yang berpangkat ASP itu, semua itu tidak akan terjadi.

Al Fatihah untuk yang berkenaan itu.

No comments: