Friday, February 28, 2014

Dah pencen lebih 10 tahun, tetapi LHDN kata dia masih bekerja.


Semalam saya menerima aduan dari seorang perempuan yang mengadu bayaran BR1M bapanya telah dikurangkan dari RM 500 kepada RM 400 bila sepatutnya ia dinaikkan kepada RM 650. Sebelum itu saya ingin menjelaskan bahawa saya sekarang bekerja dengan sebuah NGO yang ahli-ahlinya pesara kerajaan semata-mata.

Pengadu itu minta pertolongan saya untuk mengemaskini status pencen bapanya, seorang pesara guru yang sudah bersara lebih sepuluh tahun. Mula-mula saya ingat dia ingin mengemaskini alamat atau akaun bank bapanya kerana kerana saya pernah melayan permintaan begitu. 

Tetapi tidak, kerana katanya apabila dia bertanya kenapa BR1M bapanya dikurangkan dari RM 500 kepada RM 400, jawapan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia atau LHDN ialah dalam rekod mereka bapanya masih bekerja sebagai guru dengan gaji RM 3,100 sebulan. Sedangkan bapanya sudah bersara lebih sepuluh tahun dan menerima pencen kurang dari RM 2,000 sebulan. 

Saya bertanya kepada pengadu itu bolehkah dia melayar internet. Dia jawab boleh. Saya suruh dia melayar portal JPA Pencen dan dari itu dia boleh mencetak penyata pencen bapanya. Kemudian dia boleh tujukkan cetakan penyata pencen itu kepada LHDN.

Apa yang menghairankan saya ialah walaupun mungkin benar tiada rekod di LHDN yang mengatakan bapa pengadu sudah bersara mereka boleh mengagak bergitu hanya dengan melihat nombor kad pengenalan pesara itu. 

Ini mengingatkan kepada perkara yang betul-betul terjadi kepada saya empat tahun yang lalu semasa Banci Perumahan dan Penduduk 2010. Semasa memohon jawatan Penyelia Banci saya dengan jelas menyatakan tidak bekerja dengan kerajaan. Walau pun saya telah bersara empat tahun sebelum itu semasa umur 56 tahun, saya telah diambil bekerja semula secara kontrak selama empat tahun. Banci itu dijalankan beberapa bulan selepas saya betul-betul bersara.

Alangkah tereperanjat saya di bulan pertama apabila mendapati saya hanya dibayar elaun seperti pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas-tugas Banci, sedangkan yang tidak bekerja dengan kerajaan dibayar gaji penuh yang sudah tentu melebehi elaun. Setelah membuat aduan barulah pendapatan saya diselaraskan.

Di satu mesyuarat saya telah meluahkan aduan saya dengan mengatakan saya hairan bagaimana Jabatan Perangkaan Negara iaitu jabatan yang menjalankan Banci itu tersalah anggap akan status saya. Sebagai Jabataan Perangkaan mereka bermain dengan nombor setiap hari dan dengan melihat nombor kad pengenalan saya mereka sudah tahu akan umur saya, Saya bertanya 'Mana ada orang yang berumur 60 tahun (umur saya di masa itu) masih bekerja dengan kerajaan?'

Begitulah yang terjadi kepada guru pencen tersebut. Dalam keadaan negara kita sedang meningkat maju dan kita boleh tahu umur seorang itu dengan melihat nombor kad pengenalan (disebut MyKad secara glamour) masih ada manusia yang tidak tahu menggunakannya.

No comments: