Monday, August 25, 2008

Kenduri Arwah

Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Melayu untuk mengadakan kenduri arwah di bulan Syaaban iaitu bulan Islam sebelum Ramadan atau bulan puasa. Kenduri ini kadang-kadang disebut juga sebagai kenduri menyambut puasa di mana ayat Yasin dan Tahlil akan dibaca. Saya sendiri belum pernah membuat kenduri arwah ini. Walau bagaimana pun keluarga isteri saya Salmah tidak pernah tinggal untuk mengadakannya setiap tahun. Setelah ibu dan ayahnya meninggal dunia adik beradiknya menguruskan kenduri ini yang tetap diadakan di rumah kampung mereka di Merlimau, Melaka.

Tetapi pada tahun ini atas sebab-sebab yang saya tidak tahu kenduri adik beradik ini tidak diadakan. Jadi saya pun berbincang dengan Salmah untuk mengadakan kenduri di rumah kami sendiri.

Perkara paling utama dalam kenduri kendara ialah jemputan. Sebagai pilihan utama kami menjemput jemaah surau, kedua ialah jiran tetangga dan ketiga adik beradik dan saudara dekat yang tinggal di Seremban sahaja. Kami memutuskan tidak menjemput adik beradik yang lain kerana memikirkan jumlah mereka agak ramai dan sudah tentu ini akan menambah kos.

Perkara kedua ialah tarikh dan masa. Kami cadangkan selepas waktu Isyak kerana jika diadakan di waktu siang di hujung minggu ia mungkin bertembung dengan kenduri-kenduri yang lain termasuk kenduri kahwin. Pilihan kami ialah hari Jumaat 22 Ogos 2008 kerana esoknya ialah hari rehat (Sabtu). Sudah tentu anak-anak kami akan turut bersama dan kerja-kerja mengemas pun boleh dilakukan di hari rehat ini.

Saya pun berbincang dengan Pengerusi Jawakankuasa Taman saya untuk memastikan kenduri saya tidak bertembung dengan mana-mana kenduri lain. Saya juga berjumpa dengan Imam surau saya untuk mendapatkan khidmatnya. Beliau sendiri menulis di papan kenyataan di surau supaya jemaah lain tahu.

Perkara ketiga ialah makanan. Oleh kerana kami tidak menjemput adik beradik yang lain Salmah berkata dia boleh memasak sendiri dan kami tidak memerlukan khidmat katerer makanan seperti dulu-dulu. Di samping itu beliau meminta jasa baik jiran-jiran dan anak menantu untuk menolongnya.

Kenduri kami berjalan dengan baik. Jemaah surau, jiran tetangga dan adik beradik dan saudara dekat di Seremban datang. Cuma Ir. Jalal dan isterinya Rabiah yang tidak pernah tak datang di kenduri-kenduri saya selama ini tidak dapat datang kali ini. Dia ke rumah jirannya yang juga mengadakan kenduri yang serupa.

Kenapa saya menulis ini dalam blog saya ialah banyak saya perhatikan dalam kenduri kendara perkara paling utama iaitu jemputan tidak dititik beratkan. Ada tuan rumah yang menjemput Iman dan jemaah surau dari kawasan lain sedangkan di tempat dia tinggal terdapat surau. Ada juga tuan rumah tidak menjemput jiran tetangga berdekatan sedangkan saudara dan kawan-kawan yang tinggal jauh dijemput.

No comments: