Sunday, September 23, 2012

Kekasihku~ 0 kritikan

Sunday, September 23, 2012 |
Bismillahirrahmanirrahim..
"Milik siapakah gadis ini?
Milik siapakah hati ini?
Milik siapakah cinta ini?
Milik siapakah rindu ini?"



Sesungguhnya, Allah SWT yang Maha Pencipta, Pemegang hati, 
Pencinta sejati, dan Perindu yang abadi.
Aku tak layak menjadi kekasih-Mu, Allah
Namun ku sentiasa berharap dalam jaga dan lenaku Kau dekat denganku.
 Kerna,
Diri ini milik-Mu, hati ini milik-Mu, cinta dan rindu ini juga milik-Mu,
Jangan biarkan cinta lain melalaikanku daripada bersujud pada-Mu,
Peliharalah hatiku selalu dalam genggaman cinta-Mu, Tuhanku.

Peganganku hanya satu,
Engkau Tuhanku yang Agung sedang aku hanya hamba-Mu yang kerdil.
Engkau berhak ke atas hidup dan matiku,
Tuntunilah diriku dalam menggapai redha-Mu.



read more

Sunday, January 8, 2012

:. Cinta Rabiah Al- Adawiyah .: 0 kritikan

Sunday, January 8, 2012 |
Bismillahirrahmanirrahim..

“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”

“Kekasihku, tidak menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, Dalam hati tiada yang lain melainkan Dia, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan diriku tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!

“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”

“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah alpa dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”

P/S: Mencari Cerminan Diri Di Sebalik Keindahan Cinta Rabiah Al- Adawiyah terhadap Pencipta Cinta yang Maha Agung, Allah SWT.

read more

Thursday, October 20, 2011

:. Spiderman Beraksi .: 0 kritikan

Thursday, October 20, 2011 |

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ini, saya bersama dua sahabat ( kak Ainun dan Iera) pergi ke Depok untuk mencari kostan ( bilik sewa) kerana mulai Isnin minggu depan kami akan posting di bahagian Pediatric selama 10 minggu di RSU Bhakti Yudha, Depok. Awalnya ingat nak ulang- alik ( Jakarta- Depok) sebab senior sebelum ni kata boleh balik awal kalau tak 'oncall', Tapi bila ceq pikiaq balik, buang masa dan tenaga jah tukaq2 angkut dan kereta api =.="





Dipendekkan cerita, semasa menunggu kereta api kami sampai ada sebuah kereta api melintas dan berhenti di landasan seberang sana. Dalam hati, "kelas ekonomi la tu". Bukan dalam gerabak jah sarat dengan penumpang, sampai ke atas bumbung ada 'sit tambahan'. Kalau kelas ekonomi dikenakan bayaran rp2000 ( 80 sen) atas bumbung tu pula tidak dikenakan bayaran melainkan 'nyawa'.

Aduyaiii, bukanlah nak menghina golongan yang tidak mampu ni tapi tak padan pun harga tiket rp 2000 kalau nak dibandingkan dengan nyawa. Kalau jadi apa- apa, kan susah. Kalau cedera parah dah kena masuk hospital. Sudahlah tak mampu, mana nak cari duit untuk berubat? Bagaimana nasib isteri dan anak- anak di rumah kalau tempat mereka bergantung sakit, cacat, mahupun meninggal dunia gara- gara digilis kereta api?

Teringat lagi, masa tu nak dekat raya. Petang tu ada seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50'an dibawa oleh 2 orang polis ke IGD @ ER di RS Bhakti Yudha kerana cedera parah akibat digilis kereta api. Dia tidak sedarkan diri ( GCS: 6). Hasil daripada CT Scan ada intracranial bleeding yang luas. Dokter yang oncall dan kakak- kakak perawat kata takda harapan lagi dah. Yela, bapak ni seharusnya segera dimasukkan ke ICU kerana memerlukan monitor dan alat bantu pernafasan tapi sebab keluarga tak mampu, terpaksalah dirawat di ER sahaja dengan pengawasan ketat daripada doktor dan perawat. Tapi takdir Allah Mengatasi segala- galanya. He died after 5 days. Ibu, isteri dan anak- anak yang setia bergilir- gilir menjaganya hanya mampu menangisi pemergiannya.

Di sini memang begitu. " No money no drug". Orang susah makin sakit la kalau sakit sebab tak mampu nak beli ubat apatah lagi ke klinik mahupun hospital. Oleh kerana itu, kalau boleh menghindari penyakit, jangan cari penyakit. Jangan korbankan nyawa hanya kerana rp 2000. Allah juga tidak suka hamba-Nya melakukan hal- hal yang boleh mengancam nyawa selagi ada alternatif lain untuk berusaha.

Tolonglah, sebelum nak buat apa- apa tu, fikirkan orang- orang yang kita sayang. Hari- hari mereka berdoa agar kita sentiasa Dilindungi Allah SWT. Kesusahan bukan alasan untuk kita putus harapan dan pergantungan terhadap Allah SWT. Berusaha dan berdoalah sebelum meletakkan segala urusan termasuk hidup dan mati dalam 'tangan' ALlah SWT. Pandai- pandailah bawa diri. Jaga hati dan diri.

Sekian, selamat beramal ;)

Allahu'alam.

read more

Friday, March 4, 2011

:. [Puisi] Wahai Pemelihara Hati .: 0 kritikan

Friday, March 4, 2011 |
Wahai Pemelihara hati
Lindungilah hatiku daripada penyakit duniawi
Yang bisa merosakkan agama dan akhlak diri
Sehingga tersungkur di hadapan yang Hakiki

Wahai Pemelihara hati
Tabahkan hatiku dalam menerima ketentuanMu
Agar ku menyakini itu yang terbaik untukku
Yang telah Kau janjikan buat para HambaMu

Wahai Pemelihara hati
Tiupkanlah kalimat kebesaranMu dalam jiwaKu
Agar ku lebih yakin menjalani hari-hari ku
Yang pastinya tidak sunyi dengan ranjau dan liku

Wahai Pemelihara hati
Bekalkan ikhlas sebagai pendamping diri
Tanpa mengharapkan diri ini dihargai
Tika tangan dihulur menyerah bakti

Wahai Pemelihara hati
Bukakanlah hijab ke makam kasihMu
Agar dapat ku menikmati kemanisan cintaMu
Yang menjadi dambaan para sufi agamaMu

Wahai Pemelihara hati
Andai esok hari aku jatuh cinta
Labuhkan cintaku pada hambaMu yang bertaqwa
Yang mengajarku lebih mencintai Yang Maha Esa

Wahai Pemelihara Hati
Jauhilah aku daripada cinta palsu
Yang bisa membinasakan kasihku padaMu
Sehingga ku terlena dibuai khayalan nafsu

Wahai pemelihara hati
Bekalkan diri ini dengan kasih sayang
Agar dapat ku pautkan secebis kedamaian
Buat hambaMu yang dalam kesengsaraan

Wahai Pemelihara hati
Andai hari ini yang terakhir buatku
Lapangkanlah jiwaku dalam meninggalkan segala amanatku
Yang kuserahkan kepadaMu sebagai pemelihara warisku

Wahai Pemelihara hati
Aku tak layak mencium bau syurgaMu
Namun aku tidak terdaya menghadapi api nerakaMu
Ampunilah dosa-dosa ku dan terimalah taubatku
Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun buat hambaMu.

Allahu'alam

read more

Thursday, August 19, 2010

Puasa Anggota? 0 kritikan

Thursday, August 19, 2010 |


Assalamualaikum Warahmatullahi Wa Barakatuh.

Apa khabar kalian? Mudah-mudahan sihat wal afiat, iman dan tubuh badan. Amin.

Salam Ramadhan Kareem. Alhamdulillah, lapan hari dah kita menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadhan ni. Mudah- mudahan Ramadhan kali ini menjadi platform yang lebih baik untuk kita meningkatkan momentum kecemerlangan diri menjadi hamba sebenar- benar hamba di dunia dan akhirat, InsyaAllah.

Sedikit perkongsian daripada saya sempena bulan Ramadhan ini. Mudah-mudahan bermanfaat, InsyaAllah.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu petang ketika hampir masuk waktu untuk berbuka puasa.

Mata: Assalamualaikum.

Hati: Wa'alaikumussalam. Eh, mata jemputlah masuk.

Mata: Takpela. Aku singgah sekejap je ni. Hati, tahu tak sepanjang hari ni aku banyak sangat melihat pemandangan yang cantik- cantik. Semasa sangkut dalam kesesakan lalu-lintas tadi aku lemparkan pandangan ke sekeliling. Langit membiru, pepohonan yang menghijau dan burung- burung berterbangan yang sungguh mendamaikan. Subhanallah, besarnya tanda Keagungan Allah SWT. Tengah aku memuji- muji kebesaran Pencipta, tiba- tiba lalu seorang awek ni. Dah la cun, seksi pula tu. Orang kata rezeki jangan ditolak. Kau nak tengok tak? Nah, kau ambillah. Aku kena balik dulu ni sebab tak lama lagi dah nak masuk waktu berbuka. Assalamualaikum.

Hati: Terima kasih mata. Wa'alaikumussalam.

Selang beberapa minit

Mulut: Assalamualaikum. Hati, oooh hati. Yuuuuu~

Hati: Wa'alaikumussalam. Oo mulut, ingatkan sapa tadi. Jemputlah masuk.

Mulut: Eh takpe- takpe. Saya sekejap je ni. Tu kat rumah tak sempat hidang apa- apa pun lagi untuk berbuka nanti. Sepanjang hari ni saya ada buat tadarus al- Quran, dzikir dan teguran baik buat anak- anak saya. Oh lupa, gosip panas pasal jiran atas kita si Mata tu pun ada. Saya dapat hasil mesyuarat bersama pemegang- pemegang saham Kelab Mengumpat Antarabangsa. Nah, semua ada dalam ni. Awak ambillah. Saya nak balik dulu ni. Assalamualaikum.

Hati: Err, terima kasih. Wa'alaikumussalam.

Sejurus kemudian. Tok!Tok! Terdengar ketukan pada daun pintu.

Telinga: Assalamualaikum, jiran bawah.

Hati: Wa'alaikumussalam. Oo telinga. Mai la masuk.

Telinga: Eh, takpa la. Dapuq ceq duk berasap tu. Terbakaq satgi, naya ceq. Ni, ceq ada bawakan hang rakaman ceramah agama yang ceq dengaq kat radio siang tadi. Rakaman lagu yang lentok- liuk pun ada. Hai, tangkap leleh ceq habaq kat hang! Kalau hang dengaq mesti hang duk ingat kat marka hang tu. Takpa, hang dengaq la dulu na. Ceq balik dulu, Assalamualaikum.

Hati: Terima kasih telinga. Wa'alaikumussalam.

Lima minit kemudian.

Tangan: Assalamualaikum.

Hati: Wa'alaikumussalam. Eh tange, masuk lah. Demo maghi dari mano ni?

Tangan: Trimo kaseh, hati. Ha, ini yang ambo nok royak maghi ke demo ni. Demo tahu ko dok, sepanje haghi ni, ambo g umoh anok- anok yatim, umoh ore- ore tuo, umoh ore- ore susoh. Syok Ooo!

Hati: Demo wat gapo g sano?

Tangan: Alhamdulillah. Taun ni rezeki ambo muroh sikit. Jadi, ambo ingat nok bagi- bagi la sore- sore sikit. Gini la kito weh saling membantu. Apo oghe tuo- tuo kato? Berbahagi kasih saye. Sebelum kelik tadi, ambo singgah meta kat masjid depe tuh bayar zakat fitroh skaliea ambo masuk dermo dale tabung masjid. Tapi ambo gere sungguh ke sekor anok kucing dale masjid tu. Ado ko patut dio kecing atas bare- bare ambo? Ambo gere, ambo terus puko kucing tu. Mapuh g la dio. Mujur la cik abe ambo ado. Dio usap- usap tange ambo ni, pujuk- pujuk ambo baru la ambo raso tene sikit. Adei, ambo lambat doh ni. Ambo nok bagi bare- bare ni untuk ore dekat- dekat sini pulok. Ambo kelik dulu deh. Ha, ni ambo bui sumo kat demo. Demo ambik lah. Assalamualaikum.

Hati: Trimo kasih. Jale molek- molek lah. Wa'alaikumussalam.

Tidak lama kemudian.

Kaki: Assalamuaikum, sahabat.

Hati: Wa'alaikumussalam. Oo kaki. Jemputlah masuk.

Kaki: La baksa. Ana singgah sekejap saja ni. Alhamdulillah, sepanjang bulan Ramadhan ni, ana bersyukur sangat kerana punya kudrat untuk menunaikan ibadah. Sebelum bulan Ramadhan, ana sentiasa solat fardhu secara berjemaah di masjid dan dalam bulan Ramadhan ni belum pernah sekalipun ana terlepas daripada solat sunat terawih di masjid. Lepas solat terawih, ana p minum bersama sahabat- sahabat ana di gerai simpang jalan tu. Lepas tu kami p rumah sahabat yang paling dekat dan berkumpul untuk bermain dota. Fuh, lagi ramai lagi meriah! Hati, apa kata malam ni anta ikut ana? Anta ni, terperuk je dalam rumah bukan ada apa. Mari la ikut ana. Ajak teman rumah anta yang ulat buku tu sekali. Ke anta tak suka bersahabat dengan ana?

Hati: La ballah. Erm, tengok la dulu, kaki.

Kaki: Lah, apa yang tengok- tengok pula? Hati, sekali sekala kita perlu berhibur juga, bergaul mencari teman. Bukannya duduk terperuk macam katak bawah tempurung ja. Erm takpela. Ana kena balik dulu. Nak masuk waktu berbuka ni. Nanti ana nak solat jemaah di masjid pula. Assalamualaikum.

Hati: Wa'alaikumussalam.

Hati duduk membatukan diri di meja makan sambil memerhatikan pemberian daripada jiran-jirannya sebentar tadi. Hati mula dirundum rasa gelisah. Dia tak pasti perlukah dia menerima kesemua pemberian tersebut. Dia melihat ke arah jam di dinding dan kemudian memandang pula ke arah pintu. Lagaknya seperti menunggu seseorang. Tak lama kemudian terdengar suara seseorang memberi salam.

Akal: Wah banyaknya juadah berbuka hari ni. Sempat pula kau siapkan semua ni.

Hati: Bukan aku yang buat tapi tu semua jiran-jiran kita yang bagi. Mula-mula mata datang bawa gambar- gambar cantik ni, kemudian mulut, telinga, tangan dan kaki pula baru je balik tadi.

Akal: Ooo begitu. Habis tu kenapa muka kau ni macam ayam berak kapur je aku tengok? Kalau ye pun lapar, sabar la sikit. Tak sampai 20 minit je lagi nak berbuka puasa. Bukankah puasa itu mampu memupuk kesabaran dalam diri di samping melahirkan rasa syukur kepada Allah swt atas segala nikmat kurniaan-Nya selama kita menghuni dunia serba pinjaman ini? Kita baru diuji rasa lapar tak sampai sehari dah mengeluh. Di luar sana masih ramai yang hidup kelaparan, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang sepanjang hayat mereka.

Hati: Ni bukan sebab lapar la akal. InsyaALlah, aku masih mampu mengawal nafsu yang kadang- kadang menggoda diri di sebalik kenikmatan dan kelazatan juadah yang beraneka di bulan puasa ni. Aku cuma bingung memikirkan semua pemberian ni. Aku tak tahu patut ke aku terima semua ni? Ha! Kau kan `filter' yang berteknologi tinggi. Cuba kau tengok- tengokkan, apa saja yang aku boleh terima dan tak.

Akal: Pandailah kau nak bodek. Habis kau tu apa pula? Mitsubishi berkuasa kuda?

Hati: Aku ni `asistant' kau je. Dalam bab- bab macamni kadang- kadang aku tak boleh menilai dengan baik. Aku bimbang kalau terlalu diturutkan kehendak diri. Jika aku bertindak dengan emosi, kau pula bertindak dengan rasional. Jadi, aku perlukan seorang yang pakar macam kau untuk bantu aku dalam masalah seperti ini. Tolonglah, Akal.

Akal: Pandailah kau nak bodek aku. Meh sini aku tengok.

Akal meneliti satu persatu pemberian yang ditunjukkan oleh Hati. Kadang- kadang dia tersenyum lebar dan ada ketika keningnya berkerut seribu tanpa mengeluarkan sepatah kata. Hati hanya memerhatikan gelagat teman serumahnya itu dengan rasa ingin tahu.

Akal: Ermm. Ada yang boleh kau terima dan ada juga yang harus kau tolak. Haish budak- budak ni, bulan- bulan puasa pun nak buat perangai. Seharusnya dalam bulan mulia ni, nasfu dikekang sehabis-habisnya. Puasa itu bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga dan perkara- perkara yang membatalkannya tetapi lebih daripada itu. Bulan- bulan puasa inilah digunakan sebaik mungkin untuk memuhasabah diri dan menyesali segala dosa- dosa lampau dengan memohon keampunan kepada Allah SWT.

Hati: Tapi kan Akal, macammana kau tahu?

Akal: Kau juga yang cakap aku `filter' berteknologi tinggi kan? Takda la aku bergurau ja. Kembali kepada fitrah kita, wahai hati. Segala sesuatu yang bertentangan tak perlu kita terima. Segala benda, perkara dan perbuatan di dunia ini akan sentiasa mendatangi kita sama ada baik atau buruk. Namun, sesuai dengan kelebihan yang ada pada diri, kita harus membuat pertimbangan dengan bijak agar tidak memilih pemberian yang salah. Kita ada dua sumber yang akan membantu kita dalam membezakan antara yang haq dan yang batil dan Rasulullah SAW menjanjikan bahawa kita tidak akan selamanya sesat sekiranya kita berpegang kepada dua bekalan berharga ini iaitu Al-Quran dan As- Sunnah.

Hati: Kau takpa la Akal, sebagai kau memang bijak. Aku ni apa tiada apa. Kaulah sumber rujukan aku bila dalam keadaan terdesak begini.

Akal: Kau silap Hati. Kau juga sebenarnya mampu membuat pertimbangan. Jangan lupa, kau punya pandangan mata hati yang mampu menembusi hijab sehingga kau mampu merasakan sesuatu yang benar- benar baik dan buruk. Cuma, kau perlu sentiasa memelihara diri kau agar tidak dicemari kabus dosa sehingga mata hati kau menjadi kelam ditutupi hina. Setelah itu, tiada lagi kedengaran bisikan kebaikan yang mampu menuntun diri kau membuat pilihan yang tepat.

"Bahwa dalam diri setiap manusia terdapat segumpal daging, apabila ia baik maka baik pula seluruh tubuhnya, dan apabila ia itu rusak maka rusak pula seluruh tubuhnya. Gumpalan daging itu adalah hati." [HR Imam Al-Bukhari]

Hati: Apa yang harus aku buat?

Akal: Jangan sombong! Mahu amalkan yang menyenangkan diri sahaja tapi yang sebaliknya diabaikan. Hiduplah selayaknya sebagai seorang hamba dan bukan sebagai seorang tuan. Merendah diri di hadapan Allah SWT dan patuh atas setiap perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Ingat, kepatuhan kita hanya kepada Pencipta kita, iaitu Allah Yang Satu. Jangan kita tunduk kepada hawa nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan. Jangan jadikan kekurangan pada diri kita sebagai alasan untuk membiarkan diri kita terus selesa dalam zon kejahilan sedangkan ruang untuk memperbaiki diri dan membina kejayaan sentiasa terbuka luas untuk kita. Ingatlah, kehidupan kita ini merupakan sebuah amanah besar daripada Allah SWT buat kita hamba-Nya. Segalanya akan dihitung dan ditimbal di sana tanpa ada yang terkecuali. Itu pasti! Gagal dan berjayanya kita menjadi hamba yang sebenar-benar hamba di sisi Pencipta terletak pada diri kita sendiri. Usah bertangguh untuk melakukan perubahan kerana ajal dan maut itu bukan percaturan kita. Jika dipanggil sebelum sempat kita bertindak, maka kita menjadi golongan yang rugi.

Hati: Harap- harap aku boleh jadi `filter' berteknologi tinggi terbaik dari ladang macam kau. Kau doakan aku ya. Eh dah masuk waktu untuk berbuka puasa. Akal, cepat baca doa.

Akal: Aku lagi? Yela. Oh, jangan lupa berpesan- pesan juga kepada jiran-jiran kita yang lain tu ya? Terutama sekali jiran- jiran terdekat kita yang tersayang tu. InsyaALlah, dengan izin-Nya siapa tahu kita boleh masuk syurga berjemaah tanpa ada yang tersangkut di hari pengadilan nanti. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, jadikan permulaan awal untuk menggilap iman sehingga cahayanya sentiasa terang setiap masa walaupun bukan hanya dalam bulan Ramadhan.

Hati: InsyaALlah. "Sampaikanlah olehmu walaupun sepotong ayat". Jom makan! Selamat berbuka puasa dalam keberkatan Allah SWT! Amin.

Allahu'alam.


read more

Friday, June 11, 2010

[Puisi] Tangisan 10 Jun 0 kritikan

Friday, June 11, 2010 |

Pagi ini tidak seperti hari-hari biasa,
Mata yang celik ingin kupejamkan kembali,
Kalau saja aku bisa,
Ingin kulewati hari tak indah ini.

Namun apalah kudratku?
Aku hanya hamba yang hina,
Walau pahit bagai hempedu,
Aku harus akui jika ini suratan-Nya.

Pagi yang cerah tak mampu menerangi hatiku yang suram,
Telatah anak itu tak mampu menghiburkan jiwaku yang kosong
Kicauau burung itu juga tak mampu meriuhkan hatiku yang sunyi,
Sungguh pagi ini begitu asing bagi diriku!

Sedang mereka khusyuk mendengarkan pengajian,
Aku pula sibuk sendirian melayan perasaan,
Membiarkan fikiranku terbang diawang- awangan,
Mencari punca segala kegelisahan.

Selamanya takkan ku lupa hari bersejarah itu,
Peristiwa yang telah membawa dirimu pergi buat selamanya,
Tangisan dan rintihan ini takkan mampu mengembalikan dirimu,
Kerna segalanya sudah tertulis di luh mahfuz sana.

Walaupun berat hati ini ingin melepaskanmu,
Namun ku harus redha dengan Ketentuan-Nya,
Ku yakin kau pasti sedang berbahagia di sana,
Tersenyum melihat dunia dari jendela syurga.

Walau wajahmu yang sentiasa tenang tak lagi kelihatan,
Walau senyumanmu yang membahagiakan tak lagi terukir indah,
Walau keramahanmu tak lagi menceriakan suasana,
Namun, semangat dan nasihatmu sentiasa menjadi tarbiyah.

Tenanglah dikau bersama Kekasihmu di sana,
Akan ku teruskan perjuangan dan cita- citamu di sini,
Menuai bakti di ladang dunia,
Mengharapkan hasil di gerbang akhirat yang hakiki.

Aku nekad untuk terus berhadapan hakikat ini,
Engkau yang telah pergi takkan kembali lagi,
Entah esok, lusa atau mungkin sebentar lagi,
Sampai utusan, seruan ALlah menjemput diri.

Pada-Mu Ya ALlah ku mohon kekuatan diri,
Redhakan hatiku atas Ketentuan ini,
Jadikan perpisahan kami sebuah perpisahan yang sementara,
Pertemukanlah kami semula di akhirat sana.

Ku hadiahkan puasa sunatku hari ini untukmu,
Ku sedekahkan Al- Fatihah ini untukmu,
Akan ku hadiahkan juga bacaan yaasin dan tahlil buatmu,
Kerna inilah permintaan terakhir yang kau tinggalkan buatku.

Doa dan kalam suci Tuhan setia menjadi hadiah buatmu,
Juga sebagai tanda ingatan tulusku padamu,
Takkan pernah jemu aku untuk mengingatimu,
Kerna kau insan cukup istimewa dihatiku.


Al-Fatihah…



read more

Saturday, February 6, 2010

:. The Zikr : Wahai Para Mujahid 0 kritikan

Saturday, February 6, 2010 |
Wahai para mujahid maralah ke hadapan
Kerahkanlah tenagamu dan jua fikiran
Korbankanlah harta sekalipun jiwa raga
Teguhkan keyakinan teruskanlah perjuangan

Wahai para mujahid janganlah terpengaruh
Ujian nikmat hidup duniawi
Biarpun ianya begitu indah
Namun hanya sementara

Memang berjuang itu terkorban
Kerana kita berjuang untuk berkorban
Itulah asam garam perjuangan
Syarat mendapat cinta Allah

Wahai para pejuang kebenaran
Suburkanlah semangat juangmu

Setiap masa sepanjang hayatmu
Dengan irama hiburan ini

Tempuhilah penderitaan
Di dalam perjuangan
Kerana itu adalah penghapus dosamu
Berjuang kerana Ilahi
Walaupun sedikit tetap kan dinilai
Sebagai amalanmu yang soleh

Semangat!

read more
 

Hadis Nabi

Doaku untuk-Mu

Bismillah..

Ya ALlah

Jika aku jatuh cinta
Cintakanlah aku pada seseorang
Yang melabuhkan cintanya pada-Mu
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintai-Mu

Ya Muhaimin
Jika aku jatuh hati
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang
Yang hatinya tertaut pada-Mu
Agat tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu

Ya Rabbana
Jika aku jatuh hati
Jagalah hatiku padanya
Agar tidak berpaling daripada hati-Mu

Ya Rabbul Izzati
Jika aku rindu
Rindukanlah aku pada seseorang
Yang merindui syahid di jalan-Mu

Ya ALlah
Jika aku menikmati cinta kekasih-Mu
Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan
Indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu

Ya ALlah
Jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh
Dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu

Ya ALlah
Jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu
Jangan biarkan aku melampaui batas
Sehingga melupakan aku pada cinta hakiki
Dan rindu abadi hanya kepada-Mu

Aminn..Ya Rabbal 'Alaminn..

Kalam Allah

Copyright © Lakaran Pena Kehidupan | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog