Sila Klik Nuffnang

Friday 17 August 2012

Perkara Sunat Ketika Menyambut Aidilfitri

Hari Raya AidilFitri bakal disambut beberapa hari lagi. Pelbagai persiapan telah dibuat sama ada dari segi keperluan asasi atau juga kehendak nafsu dan emosi. Seluruh pelusuk Negara berpusu-pusu menyiapkan diri dan keluarga untuk menyambut lebaran yang mulia ini.

Namun, adakah kita telah mempersiapkan juga diri dengan amalan-amalan sunnah yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW dalam menyambut Aidilfitri ini..? Atau adakah Aidilfitri yang bakal disambut semata-mata berlandaskan syariat Islam..?

Di kesempatan ini, marilah kita semak terlebih dahulu, apakah yang dimaksudkan dengan sunat pada Aidilfitri nanti.

1. Mandi sebelum keluar Solat Sunat Hari Raya

Imam Malik meriwayatkan: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama'
telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.


2. Makan terlebih dahulu sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri

Tidak seperti Aidiladha yang mana sunat makan selepas solat, Aidilfitri pula sebaliknya. Hendaklah diambil sedikit makanan bagi membezakan bahawa puasa di bulan Ramadhan telah pun selesai.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].

3. Bertakbir pada hari raya

Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”

4. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya

Sunat juga untuk memberi ucapan salam dan tahniah kepada sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik.

Ucapan terbaik yang perlu diucapkan kepada sesama muslim adalah seperti berikut:


5. Berpakaian baru/cantik di hari raya

Daripada Jabir katanya: “Nabi SAW mempunyai sehelai jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].

Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].

Keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi. Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik.

6. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik melalui jalan yang lain.
 

Daripada Jabir bin Abdillah ra katanya: Maksudnya: “Adalah Nabi SAW, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” [Al-Bukhari: 986]

Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini;
i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Hal ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya daripada perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SWT.
iv. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

7. Menunaikan Solat Hari Raya.

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/ fardhu kifayah dan fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama semasa.

8. Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya.

Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi SAW. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah).

Daripada Ummu Atiyyah katanya: “Kami disuruh oleh Nabi SAW untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”

Pelbagai lagi perkara-perkara sunat di Aidilfitri yang telah diseru kepada kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Apa yang dinyatakan di atas adalah sebahagian daripadanya. Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh semua yang akan menyambut lebaran.

Salam Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment