Perkampungan Melayu di tebing sungai Kinta
Pada tahun 1876 dilaporkan terdapat beberapa rumah atap di sepanjang tebing timur sungai Kinta (di antara jambatan Hugh Low Street dan jambatan Brewster Road).

Menurut buku tulisan McNair (1878) berdasarkan peta J.W.W. Birch, terdapat dua penempatan bersebelahan di pinggir sungai di Ulu Kinta iaitu Epu dan Palau yang membawa maksud kampung Ipoh dan kampung Paloh.

Jambatan Hugh Low, jambatan ini dibuka pada tahun 1890. Jambatan ini kemudiannya digantikan dengan jambatan besi pada tahun 1900
Pada tahun 1879 Epoh telah dijadikan pusat utama kampung di dalam daerah dan sebuah balai polis telah dibina.

Sebuah jalan raya menghubungkan bandar Ipoh dan Kuala Kangsar dibina pada tahun 1882.

Dato' Panglima Kinta Mohamed Yusof telah menyusun atur bandar Ipoh pada tahun 1886.

Pada tahun 1888 terdapat 227 buah rumah di sekitar Ipoh (50 bangunan yang diperbuat daripada batu bata dan tanah manakala 175 buah bangunan yang beratap genting atau besi).

Sebuah mahkamah juga telah dibina. Beberapa batang jalan telah diwujudkan iaitu Club Road, Station Road, Belfield Street dan Hill Street.

Belfield Street atau kini dikenali dengan nama Jalan Sultan Yussuf
Sebuah hospital yang dikenali dengan nama Yeng Wah Hospital telah dibina pada tahun 1889 di Club Road (Jalan Kelab) di antara Stesyen Keretapi dan Balai Polis Pusat (kini dikenali sebagai IPD Central) setelah dipindahkan dari Batu Gajah.

Leech Street atau kini dikenali sebagai Jalan Bandar Timah
Pada tahun 1891, Ipoh telah menjadi petempatan terbesar di Kinta dengan penduduk seramai 4,000 orang dan 340 buah rumah. Sebuah panggung yang diperbuat daripada kayu berkapasiti 1,000 tempat duduk telah dibuka oleh Yau Tet Shin di Leech Street (kini dikenali sebagai Jalan Bandar Timah). Panggung ini digunakan oleh penggiat seni Cina untuk mempersembahkan opera Cina dan juga pertunjukan kebudayaan Cina.

Jalan Gopeng atau kini dikenali sebagai Jalan Raja Nazrin Shah dibina untuk kegunaan pedati dan kereta lembu
Pada tahun yang sama juga sebuah jalan sepanjang 11 batu atau 18 kilometer telah dibuka di antara Batu Gajah dan Ipoh. Jalan ini digunakan oleh pedati dan kereta lembu. Sebuah pasar juga telah dibina berhampiran Sungai Kinta di penghujung Market Street.

Pemandangan Pasar Besar Ipoh sekitar tahun 1920-an


Pada 1 Jun 1892 telah berlaku satu kebakaran besar di Ipoh yang telah memusnahkan sebanyak 123 buah rumah.

Jalan Lahat berhampiran Medan Kidd, Ipoh
Frank Swettenham, Residen Jeneral Pertama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah menubuhkan Sanitary Board (Lembaga Kebersihan) pada bulan Mac 1893. Sanitary Board ini merangkumi pekan Lahat dan Tekka (Menglembu) dan ia bertanggungjawab ke atas kebersihan dan kesihatan penduduk bandar Ipoh. Sebuah pekan yang lebih moden juga dalam pembinaan dengan jumlah penduduk seramai 5,000 orang.

Stesen Keretapi Ipoh
Pada bulan Februari 1894, Sultan Perak telah merasmikan landasan kereta api di antara Ipoh dan Batu Gajah dan pada bulan April ia disambung hingga ke Kota Bahru, Perak. Sebuah Rumah Rehat telah diganti baru di Stesen Keretapi Ipoh (berhampiran Tugu Peringatan Perang sedia ada).

Pada bulan Januari 1895, Anglo Chinese Boys School (atau dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ACS) merupakan sebuah sekolah aliran Inggeris pertama di Ipoh dan telah dibuka oleh American Methodist Episcopal Mission.

Hugh Low Street yang dibina oleh Dato' Panglima Kinta Mohamed Yusof
Pada bulan Mei 1895 pula laluan landasan keretapi dari Ipoh ke Teluk Anson (kini dikenali sebagai Teluk Intan) telah dibuka. Sebuah kelab yang dikenali sebagai Ipoh Club dibina di persimpangan Club Road dan Hugh Low Street.

Kinta Sanitary Board pula ditubuhkan pada tahun 1897.

Masjid yang dibina oleh Dato' Panglima Kinta Mohamed Yusof, kini dikenali sebagai Masjid Panglima Kinta
Pada tahun 1898 sebuah masjid pertama telah dibina oleh Dato' Panglima Kinta Mohamed Yusof. Masyarakat Cina pula mengutip wang sebanyak RM43,000 dan menjadikan sebuah kawasan lapang di bandar Ipoh sebagai Padang Ipoh.

Bangunan Standard Chartered Bank di Station Road, Ipoh
Bank Standard Chartered telah dibuka di Station Road pada tahun 1902.

Pada tahun 1903 pula Dato' Panglima Kinta telah membina sebuah rumah di persimpangan Lahat Road dan Silibin Road (kini dikenali sebagai Grand Majestic Hotel).

Padang lumba kuda atau Ipoh Race Course telah dibuka pada tahun 1904.

Pengedar kereta Mercedes Benz iaitu Cycle and Carriage telah membuka cawangan di Ipoh pada tahun 1906 dan selepas itu bandar ini dikenali dengan bilangan kereta mewah terbanyak di luar dari negara Jerman.

Pada tahun yang sama juga sebuah bar yang dikenali dengan nama F.M.S. Bar telah dibuka di Brewster Road. Bar ini merupakan restoran yang pertama di Ipoh dan juga Malaya.

Sir John Anderson iaitu Gabenor Negeri-Negeri Selat telah membuka sebuah jambatan yang menyeberangi sungai Kinta di Brewster Road pada tahun 1907.

Pada tahun yang sama juga Sekolah Convent telah dibuka dengan pembiayaan kerajaan sebanyak RM7,500. Bangunan Straits Trading Company dan bangunan Chung Thye Pin pula dibina di Station Road.

Pada tahun 1908 sebuah masjid India Muslim telah dibina oleh Shaik Adam di Clayton Road. Yau Tet Shin pula membina 216 buah rumah di Pekan Baru, Ipoh.

Sekolah Menengah Anderson yang berada di lokasi asal iaitu Jalan Douglas
Pada bulan Disember 1909 sebuah kawasan lapang dikenali sebagai People's Park yang berharga RM70,000 telah dibuka oleh Sir John Anderson. Sir John Anderson juga telah merasmikan Birch Memorial di tempat yang sama. Sekolah Menengah Anderson pula telah dibuka di Douglas Road, bagaimanapun ia kemudian dipindahkan ke Anderson Road pada tahun 1931.

Sekolah Menengah Anderson di lokasi baharu iaitu Jalan Anderson atau kini dikenali dengan nama Jalan Hospital
Pada tahun 1910 perkhidmatan bas yang pertama telah dirintis oleh encik Yeop Abdul Rani Idris yang beroperasi dari persimpangan Hugh Low Street dan Laxamana Road ke Gopeng. Bagaimanapun, perkhidmatan bas ini dihentikan pada tahun 1912.

Pusat pendaftaran kenderaan bermotor pertama di Malaya telah ditubuhkan pada tahun 1911. Pada tahun yang sama juga Balai Polis Pusat dan lokap siap dibina di Club Road, juga pembukaan Federal Lunatic Asylum di Tanjong Rambutan (kini dikenali sebagai Hospital Bahagia Tanjong Rambutan).

sumber: Majlis Bandaraya Ipoh
Hit: 0 Laman Asal