Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, October 17, 2011

Dadah merosakkan fitrah manusia


Umat Islam yang berjaya dan beruntung ialah umat Islam dan keluarga yang hidup dalam suasana fitrah kemanusiaan yang selari dengan prinsip ajaran Islam. Manakala manusia yang rugi ialah apabila fitrah kemanusiaannya menjadi rosak dan mengubah tingkahlakunya menjadi keji dan merosakkan akidah mereka.

Persoalannya, apakah kita semua membuat penilaian sejauh mana kehidupan kita benar-benar selari dengan prinsip ajaran Islam?

Banyak faktor yang membawa kemusnahan dan penyelewengan fitrah manusia antaranya penglibatan manusia dengan perkara yang diharamkan Allah SWT.

Berdasarkan dalil al-Quran, Hadis dan penemuan pakar-pakar perubatan jelas menyatakan perkara yang diharamkan oleh Islam telah merosakkan adab, tatasusila keluarga, masyarakat dan ketamadunan manusia. Apa yang nyata, perkara yang haram merosakkan kesempurnaan fitrah manusia.

Hari ini, berbagai perlakuan yang dahsyat timbul akibat daripada penyalahgunaan dadah. Apa yang mendukacitakan ialah seseorang penagih itu sanggup mati, mencuri, merompak, meragut, mencedera bahkan membunuh orang lain.

Dadah bukan sahaja merosak akal fikiran dan pertimbangan manusia tetapi juga menjatuhkan maruah diri sendiri, keluarga dan agama. Semua ini adalah tanda-tanda manusia kehilangan fitrah taraf kemanusiaan mereka.

Ingatlah, Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 91 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?"

Kedudukan belia di zaman Rasulullah SAW seperti Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid, Abdullah bin Abu Bakar, Asma' binti Abu Bakar dan ramai lagi amat wajar dicontohi. Mereka begitu bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik untuk Islam.

Usamah bin Zaid misalnya, dilantik oleh Nabi SAW sebagai ketua perang pasukan Islam menyerang wilayah Syam yang ditakluk Rom ketika itu. Walaupun baru berusia 18 tahun, beliau memiliki semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan Islam di usia mudanya.

Ibu bapa hendaklah mengambil berat tentang pergerakan anak-anak dan bertindak tegas dalam menyusun kehidupan mereka lebih-lebih lagi remaja. Menurut sumber Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2008 didapati seramai 8,569 orang penagih baru yang dikesan terdiri daripada golongan belia dan remaja yang berumur antara 13 hingga 39 tahun.

Sebagai ibu bapa yang menjadi tunjang kekuatan keluarga, hendaklah membimbing kehidupan keluarga dupaya berada dalam landasan fitrah yang menepati kehidupan umat yang bertamadun. Selain itu, semua pihak juga diseru agar mempergiatkan usaha membanteras kepupusan generasi muda yang berkualiti di negara ini. Sekiranya jiwa umat ini dimakmurkan dengan elemen ketamadunan, nescaya rakyat sihat negara berkat.

Marilah sama-sama kita membebaskan keluarga, sekolah, tempat kerja dan sebagainya dari pengaruh narkotik agar hidup lebih harmoni dan sejahtera.

Kegagalan dalam menangani isu dadah ini akan memberi kesan buruk seperti berikut:
  1. Peningkatan kes jenayah berat
  2. Kemusnahan tamadun umat Islam terutama pemimpin masa depan
  3. Menjejaskan ekonomi negara dalam menyelesaikan masalah ketagihan masyarakatnya
  4. Pengabaian tanggungjawab kepada agama, keluarga, masyarakat dan negara
  5. Merosakkan kesempurnaan fitrah manusia

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 7 yang bermaksud:

"Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua, Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: