Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 20, 2009

Sarawak dalam sorotan kemerdekaan negara

PADA 16 September 1963 Sarawak dan Sabah menyertai Malaysia. Pada tarikh keramat itu jugalah terbentuk secara rasmi nama Malaysia, tetapi sejarah penjajahan British terhadap Sarawak bermula dengan kedatangan James Brooke yang mengasaskan Dinasti Brooke dari 1841 sehingga ia diserahkan kepada kerajaan British pada 1946.

Dinasti Brooke terkenal dengan gelaran ‘Raja Putih’. Ketika Jepun menakluki Tanah Melayu, Sarawak turut dikuasainya dari 1941-1945. Selepas Perang Dunia Kedua ia ditadbir secara langsung sebagai ‘crown colony’ oleh British sehingga Sarawak menyertai Malaysia pada 16 September 1963.

Dengan kemasukannya ke dalam Malaysia ia menjadi sebuah negara merdeka dalam Persekutuan Malaysia. Ketika British memerintah, ia menjalankan dasar bersifat tertutup. Kesannya ialah sehingga menjelang 1960, Sarawak terus berada dalam kemunduran.

Fakta sejarah menunjukkan kesedaran politik Sarawak agak lewat. Kegiatan politik berparti mula lahir pada akhir 1950-an. Namun, Fajar Sarawak yang diterbitkan pada 1930 berjaya membangkitkan kesedaran sosiopolitik di kalangan orang Melayu Sarawak.

Peranan dimainkan Fajar Sarawak ini akhirnya mendorong lahirnya beberapa persatuan seperti Persatuan Melayu Miri (1936), Persatuan Melayu Sarawak (1939) dan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (1939).

Sarawak mempunyai sejarah pergolakan politik tersendiri. Pergolakan politiknya boleh disorot ketika ia ingin diserahkan kepada kerajaan British, ketika cadangan untuk membawanya ke dalam Gagasan Malaysia sehinggalah selepas mencapai kemerdekaan (September 1963), khususnya pergolakan politik 1960-an hingga 1970.

Semua pergolakan politik yang dilaluinya itu mematangkan politik Sarawak di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Fakta sejarah menunjukkan kesedaran politik Sarawak agak lewat, tetapi penentangan terhadap British sudah wujud lebih awal lagi.

Tentangan ini (1840-an-1860-an) dipimpin oleh pejuang awal Sarawak seperti Libau (Rentap), Syarif Masahor dan Linggir. Ketika Sarawak diserahkan kepada British (1946) ia ditentang Datu Patinggi Abang Abdillah dan beberapa tokoh lain. Beberapa persatuan seperti Persatuan Melayu Sarawak (PMS) dan Persatuan Dayak Sarawak turut menentang.

Sarawak akhirnya diisytiharkan sebagai ‘crown colony’ (Jajahan British) pada 1 Julai 1946. Peristiwa ini disambut dengan tunjuk perasaan daripada pelbagai kumpulan seperti Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Parti Dayak Sarawak, Barisan Pemuda Sarawak (BPS) dan Barisan Pemuda Malaya (BPM).

Gerakan protes terhadap penyerahan (1946-1949) ini berjaya dilemahkan British secara ugutan. Kebanyakan pemimpin penentang ini adalah di kalangan kakitangan kerajaan, maka pihak British mengeluarkan surat pekeliling yang mengandungi amaran akan mengambil tindakan terhadap kakitangan terbabit dalam antipenyerahan.

Wujud golongan muda Sarawak yang menubuhkan Rukun 13 iaitu satu pertubuhan rahsia bertujuan membunuh mana-mana pegawai British di Sarawak. Seorang tokoh penting pertubuhan ini ialah Rosli Dhoby yang berjaya membunuh Sir Duncan Stewart ketika ia melawat Sibu pada 13 Disember 1949.

Pertubuhan parti politik Sarawak pula muncul ekoran keputusan British untuk mengadakan pilihan raya Majlis Daerah dalam tempoh beberapa tahun dari 1956. Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) ditubuhkan pada Jun 1959, adalah parti politik pertama Sarawak dengan majoriti ahlinya berketurunan Cina.

Kemudian lahir Parti Negara Sarawak (Panas) yang ditubuhkan orang Melayu Sarawak pada April 1960. Pengerusi pertamanya ialah Datu Abang Mustapha. Pada awal penubuhannya, parti ini berhasrat menaikkan taraf hidup pribumi (ekonomi dan pendidikan), tetapi apabila British ingin meninggalkan Sarawak, ia mula memperjuangkan kemerdekaan Sarawak melalui Gagasan Malaysia.

Masyarakat Iban juga tidak ketinggalan menubuhkan parti politiknya yang pertama iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) oleh Stephen Kalong Ningkang pada Mac 1961. Parti ini berusaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Sarawak.

Pada Disember 1961, lahir pula Barisan Rakyat Jati Sarawak (Berjasa) dengan pengerusi pertamanya, Datu Bujang Tuanku Othman. Parti Melayu ini berbeza terasnya daripada parti Panas. Ia dipimpin oleh golongan ulama dan imam.

Parti Berjasa dan Panas, akhirnya bergabung membentuk parti baru dikenali sebagai Parti Bumiputera pada 1967.

Parti politik semakin banyak muncul di Sarawak apabila British memutuskan mahu mengadakan pilihan raya pada 1963. Orang Cina yang tidak serasi dengan SUPP bertindak menubuhkan Sarawak Chinese Association (SCA) pada 1962.

Pada Ogos 1962, lahir pula parti masyarakat Iban yang dikenali sebagai Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka) dengan tokoh utamanya, Temenggong Jugah dan Franchis Umpau.

Menjelang pilihan raya 1963, konsep gabungan parti Perikatan di Semenanjung menjadi model beberapa parti politik Sarawak yang bergabung atau bekerjasama sesama mereka. Misalnya Parti Perikatan Sarawak (mulanya Barisan Bersatu Sarawak) yang terdiri daripada Berjasa, Panas, SNAP, SCA dan Pesaka diwujudkan pada Oktober 1962, tetapi Panas keluar daripada gabungan pada April 1963 dengan alasan tidak menerima layanan sama rata.

Pada 9 Julai 1963, Perjanjian Malaysia ditandatangani di Malborough House, London yang melahirkan Akta Malaysia II diluluskan Parlimen British. Ia diikuti kelulusan Perjanjian Malaysia oleh Parlimen Tanah Melayu, Dewan Perundangan Singapura, Majlis Undangan Sabah dan Sarawak. Pada 16 September 1963 Malaysia dibentuk secara rasmi merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta Singapura.

Ketika kempen pilihan raya Majlis Daerah 1963 kebanyakan parti politik memberi fokus kepada penubuhan Malaysia. Parti Perikatan Sarawak dan Panas menyokong selepas mendapat penjelasan mengenai gagasan Malaysia.

Pada pilihan raya ini golongan penentang mendapat sokongan agak besar dan ia dibuktikan dengan kemenangan tipis Parti Perikatan. Daripada 429 kerusi, Parti Perikatan Sarawak mendapat 138 kerusi, SUPP 116 kerusi, bebas 116 kerusi dan Panas 59 kerusi.

Jelas SUPP walaupun bersendirian, tetapi dengan isu penubuhan Malaysia yang dimainkannya ia berupaya mendapat sokongan besar. Perikatan diberi mandat membentuk Kabinet negeri dan Ketua Menteri Sarawak pertama dilantik daripada parti SNAP iaitu Datuk Stephen Kalong Ningkan, timbalannya pula James Wong Kim Ming (SNAP) dan empat lagi menteri Kabinet dilantik masing-masing seorang dari SNAP dan SCA dan serta dua orang dari Berjasa.

Walaupun krisis Kabinet dipulihkan, ia tetap meninggalkan kesan. Ningkan tetap dicurigai Berjasa dan Panas. Ia menimbulkan perasaan anti-Ningkan (anti-SNAP) sehingga membawa kepada krisis Kabinet kedua pada Mei 1966. Ningkan disingkirkan selepas 23 undi tidak percaya diperoleh daripada anggota majlis Dewan Undangan Negeri. Jumlah ini bukan majoriti, tetapi Perdana Menteri dengan kuasa yang ada mengarahkan Yang Dipertuan Negeri menyingkirkan Ningkan.

Ketua Menteri Sarawak yang baru, Penghulu Tawi Sli (Pesaka) dilantik pada Jun 1966.

Pada November 1966 Panas dan Berjasa bersatu membentuk Parti Bumiputera dengan Presiden pertamanya, Abang Ikhwan Zainie, timbalannya Tuanku Bujang dan Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri 1981 hingga kini) pula dilantik Setiausaha Agung. Parti ini berhasrat menyatukan semua kaum Bumiputera di Sarawak, justeru ia dibuka kepada semua kaum pribumi Sarawak.

Pada pilihan raya 1970, menyaksikan 48 daripada kerusi Majlis Negeri yang dipertandingkan Perikatan Sarawak (termasuk Pesaka) menang 24 kerusi, SUPP 12 kerusi dan SNAP 12 kerusi juga. Keadaan ini menyebabkan Parti Perikatan terpaksa membentuk kerajaan campuran dengan SUPP.

Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakob (kini Tun dan bekas Ketua Menteri) yang mewakili parti Bumiputera dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru. Selepas pembentukan kerajaan campuran ini, politik Sarawak kembali stabil.


Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Penulis adalah Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan


Berita Harian
4 September 2007

No comments: