| SEJARAH SEKOLAH |


Sek Keb Tengku Ampuan Mariam telah ditubuhkan atau didirikan dalam tahun 1937 di atas sebidang tanah seluas 3.55 ekar dan berukuran 60 x 24 kaki. Bangunan kayu yang mengandungi dua bilik darjah adalah kurniaan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu. Jumlah pelajar pada masa itu ialah seramai 30 orang yang kesemuanya adalah murid perempuan dan belajar dalam darjah dua sahaja. Tenaga pengajarnya pun seorang guru perempuan. Pada Tahun 1950, sebuah bangunan kayu dua tingkat berukuran 140 x 22.5 kaki telah dibina oleh Kementerian Pendidikan bagi menampung jumlah murid yang semakin bertambah seramai 639 orang. Pada 20 Jun 1964, murid-murid dibahagidua iaitu 515 orang di bawah kelolaan Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam Satu manakala 287 orang di bawah pengawasan Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam Dua. Pada 1 Januari 1972, Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam Satu dan Dua dicantumkan semula dengan nama Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam sahaja. Murid-murid lelaki juga diterima masuk dengan murid perempuan . Kedudukan sekolah ini terletak di tengah-tengah pusat bandar Kuala Terengganu . Sekolah ini terletak bersebelahan dengan Bangunan Wisma Darul Iman yang menempatkan jabatan – jabatan kerajaan di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Terengganu dengan diketuai oleh Pejabat Menteri Besar. Ramai di antara murid-murid yang tinggal berhampiran atau sekitar kawasan sekolah datang dari keluarga yang berpendapatan rendah. Kebanyakan mereka bekerja sendiri (peniaga ), boroh, nelayan, pengayuh beca dan lain-lain. Separuh lagi murid-murid yang belajar di sini terdiri daripada anak-anak pegawai kerajaan yang bekerja di pejabat-pejabat yang terdapat di sekitar kawasan sekolah. Ramai juga murid-murid di sini merupakan anak-anak polis kerana Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam juga terletak berhampiran dengan berek Polis FRU yang terletak di tengah-tengah pusat bandar.