Monday, December 12, 2011

Bersediakah berkongsi suami? :: Indahnya sebuah taman, ada bunga pelbagai warna.. Begitulah taman rumahtangga, dihiasi redup kasih para isteri yang pelbagai kelebihan dan potensi, moga membantu suami menjadi lebih berjaya..di dunia dan akhirat sana :: Sesungguhnya poligami adalah rahmat ALLAH ke atas seluruh ummah, lelaki dan perempuan - memberi peluang bersuami kepada yang bujang, ibu tunggal, yang muda dan yang tua. Dan semestinya segala yang ALLAH syariatkan itu terbaik lagi sempurna buat hamba-hambaNYA yang bermukim di muka bumi ini. Hanya saja, bagaimana kita para hamba melunaskan mengikut acuan yang digariskanNYA. ************* "As salammu’alaikum, Kak sebenarnya tak kisah pun kalau suami nak beristeri lebih dari satu. Yang penting cukup agama dan keperluan isteri-isteri tu nanti. Yang masih menghantui fikiran kak ni, "Nape suami-suami ni nak isteri yang muda(single), bukannya mereka yang berstatus ibu tunggal?" ************* Begitulah bunyinya komen kakak seorang pengunjung rumah maya Nurul Adni Adnan ini. Terima kasih kakak, membaca dan memberi respon :) Saya pun dulu terfikir seperti kakak, bahawa kalau benar ‘niat’ poligaminya, kahwinlah dengan ibu tunggal yang lebih memerlukan suami, apatah lagi punya anak-anak yang perlukan kehadiran seorang ayah.. (Namun tentang niat, sesungguhnya rahsia hati manusia dengan ALLAH, bukan kita yang menilainya…) Komen kakak membawa saya merenung perjalanan diri sendiri. Kakak, sewaktu saya di kampus dulu, dalam kelas saya hanya ada lima orang lelaki. Itu pada tahun pertama. Pada tahun terakhir, hanya tinggal dua orang lelaki dalam kelas saya..Sedangkan pelajar wanita lebih dua puluh orang. Dan sememangnya di fakulti saya ada ratusan pelajar perempuan, hanya beberapa kerat pelajar dan pensyarah lelaki. 1 lelaki= 4 wanita Kakak, sewaktu saya praktikal mengajar, di sekolah ada lebih seratus guru perempuan, sedangkan guru lelaki hanya ada dalam 30 puluh orang, yang majoritinya sudah berkahwin. 1 lelaki = 3 wanita Selain terlibat mengendalikan program-program di kolej, saya juga menyertai program-program kemasyarakatan NGO luar. Hampir semua ahli jawatankuasa adalah wanita melainkan 3 4 orang adalah lelaki. Kakak, di mana peluang saya untuk bertemu lelaki jika lingkungan saya semuanya perempuan dan sedikitnya lelaki? Kalau bukan saya pun, di mana peluang ribuan wanita di kampus ini, yang berpendidikan dan berakhlak baik untuk bertemu jodoh? Poligami tidak menyelesaikan semua, namun ia mampu menjadi sarana utama yang boleh mengurangkan jumlah yang masih belum berkeluarga. Jadi.. bolehkah kita menerima bahawa bila seorang lelaki memilih seorang gadis, bukan ibu tunggal, menjadi isterinya – lelaki itu juga membantu gadis itu memperoleh kehidupan berumahtangga – punya suami dan anak-anak ? Itu senario tiga tahun dulu, betapa ramainya teman-teman yang bujang yang mencari peluang untuk mendapat teman hidup. Hari ini, menghampiri Ramadhan tahun 2011 ini, adakah hati saya tenang melihat masih ramai teman-teman yang bujang, yang sudah berkerja, yang mengimpikan keluarga namun tidak bertemu jodoh? Saya terbaca dalam akhbar beberapa minggu lalu, bahawa bilangan lelaki yang tidak berkahwin di Pahang jauh lebih ramai berbanding wanita bujangnya.. Namun di negeri yang paling besar di semenanjung itu, adakah kita memasukkan juga statistik ribuan para bujang lelaki itu yang menghuni pusat serenti, yang menagih dadah, yang merempit dan menganggur tanpa arah…? Bukan sekadar di Pahang, bukan kalian pemuda Pahang sahaja yang sebahagiannya tidak baik.. baik lelaki mahupun perempuan, di semua negeri, sekarang ini terlalu banyak cabaran gejala sosial.. sukar ditemui lelaki yang siap dan berusaha membangun rumahtangga. Pada yang biasa dengan unit mencari jodoh atau baitul muslim, lihat betapa banyak borang data maklumat para gadis muslimah yang ingin bernikah, jumlahnya terlalu banyak berbanding lelaki muslim yang ingin bernikah. Bolehkah para gadis yang berusaha menjadi baik ini bernikah dengan para suami yang sudah mampu berumahtangga, walau kalian tahu suami kalian tidak sempurna penuh kelemahan? Pada sebahagian teman telah saya kongsikan rasa hati, bahawa saya suka kalau kita yang sudah beristeri ini membantu suami kita berpoligami, dalam masa yang sama, kita membantu wanita yang fitrahnya yang juga ingin kan keluarga.. Poligami, projek jangka panjang yang perlu dorongan, dokongan dan suambangan banyak pihak. Tidak boleh dipermudah-mudahkan, tidak boleh diketepikan. Ya, kalau hanya kita yang sanggup berkorban perasaan, hanya empat orang wanita boleh dijemput sama menikmati kehidupan berumahtangga. Namun jika ada ratusan isteri yang ada kefahaman dan kesedaran yang tinggi untuk menghidupkan alam poligami, insyaALLAH ribuan wanita akan punya suami sebagai pendamping. Dan insyaALLAH mereka dapat merasai fitrah menjadi ibu seperti mana kita para ibu merasai indahnya kehadiran anak-anak. Ya, bukanlah semudah itu untuk merealisasikan, poligami yang teguh itu datangnya dari perancangan dan pembinaan iman dan akhlak yang tidak mengenal jemu. Bagi yang tidak punya suami, bujang atau ibu tunggal, sama-sama lah kita berusaha menjadi insan yang baik. Mudah-mudahan seandainya dipilih menjadi isteri kedua, ketiga dan keempat – kita sama-sama membantu suami dan isteri sedia ada memantapkan rumahtangga. Kebahagian hidup berumahtangga bukan pada cantik atau muda, tapi pada keperibadian menyeluruh seorang insan samaada lelaki atau wanita. Jadilah kita suami isteri yang berilmu, jadilah kita suami isteri yang berakhlak baik, yang berusaha selalu mencari keredhaan tuhan – inilah yang menjamin kebahagiaan buat yang berpoligami, yang tidak, yang bujang, ibu tunggal atau andartu. Kebahagiaan itu sesungguhnya dalam ketaatan dan keimanan pada NYA. Hal ini terlalu berat pada sebahagian kita, tidak mengapa... Kita perlahan-lahan berusaha memahami dan membuka hati seandainya diuji oleh suami yang menyampaikan hasrat untuk berpoligami. Panjang lagi yang perlu dikupas, moga perkongsian ini punya manfaat dan kebaikan~ Anda mungkin juga meminati:

No comments:

Post a Comment