Sunday, March 31, 2013

Makanan terdedah dan busuk...

Setiap hari selepas pulang daripada kuliah aku dan rakanku akan bergegas ke tempat untuk menunggu bas. Kami akan segera untuk pulang ke kolej untuk membeli makanan kerana kebiasaannya makanan di kafe akan cepat habis. Aku dengan segera akan mendapatkan bas untuk pulang.

          Bas bergerak menuju ke kolej kediaman pelajar seperti yang dijadualkan. Tiba di foyer, aku sedaya upaya mempercepatkan langkahku supaya cepat sampai di kafe. Perutku 'berkeroncong' menunjukkan bahawa ianya perlu diisi dengan segera. Aku merupakan insan yang tidak sanggup menahan  lapar kecuali apabila berpuasa aku sentiasa memotivasikan diriku untuk bersabar.

          Tiba di kafe, aku lihat makanan telah habis dijual. Aku dan rakan berasa sangat hampa kerana tidak ada makanan yang tinggal. Kulihat kiri dan kananku untuk memastikan jika ada lagi makanan yang masih boleh aku makan. Ketika aku memandang sekeliling aku terlihat ada sebuah gerai makanan yang baru dibuka. Aku dan rakan-rakan tersenyum dengan harapan ada makanan yang enak di gerai itu.

          Harapan aku hampa, apabila kulihat banyak lalat menggerumuni makanan di situ. Aku tiba-tiba hilang selera. Aku lihat banyak makanan yang terdedah dan tidak ditutup rapat. Tiba-tiba mata aku terpandangkan bekas makanan yang diisi dengan buah-buahan. Aku mebelek-belek buah tersebut, tiba-tiba aku lihat buah-buahan itu telah busuk dan lembik. Aku meletakkannya semula. aku tidak jadi untuk membeli makanan di situ.

Pengajaran

Kedai makanan haruslah menjaga kebersihan makanan dan tempat berniaga. Makanan yang terdedah dan busuk akan mengakibatkan pelanggan boleh terjadinya keracunan makanan. Makananan haruslah ditutup semula selepas diambil. Jika tidak lalat dan serangga lain akan mengotorinya.

         

Malunya...

Malukah anda jika ada orang memarahi anda dihadapan orang ramai? Pasti malu bukan. Kisah ini bermula apabila suatu pagi aku menghadiri kuliah seperti biasa. Aku seperti selalunya akan duduk dihadapan. Pensyarah sudah masuk ketika aku sampai kerana pensyarah ini seorang yang menepati masa. Tiba-tiba   seorang pelajar perepuan bergegas masuk ke dewan kuliah. Pensyarah itu tiba-tiba menyuruh pelajar itu untuk berhenti.

          Muka pelajar itu menampakkan dirinya sangat takut dan pucat apabila ditegur begitu. Dia berhenti dan memandang muka pensyarah itu untuk menegtahui sebab dia perlu mengikut arahan pensyarah itu. Pensyarah itu mendekatinya lalu berhadapan dengannya. Pensyarah itu, merampas buku ditangan pelajar itu dan melemparkannya ke lantai. pelajar itu semakin panik dan takut.

          Pensyarah itu menyuruhnya keluar dari dewan kuliah dengan segera dan tidak membenarkannya untuk menghadiri kelas. Sebelum keluar, pensyarah itu memarahinya lagi dan memberitahu kepadanya iaitu jika pelajar itu masih melakukan masalah tersebut berkemungkinan dia akan dibuang daripada kursus tersebut.

Pengajaran

Sebagai pelajar kesalahan lewat ke kuliah adalah perkara yang biasa terjadi dalam kalangan pelajar universiti.  Tetapi, kita tidak boleh menjadikannya satu tabiat kerana akan menyebabkan kita boleh dikenakan tindakan. Walaubagaimanapun, sikap pensyarah seperti yang di atas tidak boleh dilakukan. masih ada banyak cara untuk menghukum pelajar. Memarahinya di hadapan kelas akan menyebabkan pelajar berdendam dan mungkin menyebabkan berlakunya krisis pada masa hadapan.

Wednesday, March 27, 2013

Sawan...

Hari ini cuaca tidak menentu. Pagi tadi hujan turun tanpa henti menyebabkan aku amat berat untuk ke kuliah. Namun aku gagahkan juga kerana hari ini kelasku sangat padat. Cuaca hujan menyebabkan aku terpaksa membawa payung. Nasib aku baik kerana rakanku telah membelikan payung semalam. Selama ini aku tidak mempunyai payung. 

          Kelasku berakhir pada pukul satu petang. Seperti biasa akulah orang pertama yang akan keluar kelas dahulu. Aku rasakan kepala aku sangat berat. Aku mempercepatkan langkahku untuk mendapatkan bas. Aku segera masuk ke dalam bas dan duduk. Aku melepaskan lelahku kerana penat berlari untuk mendapatkan bas. Aku sangat risau jika aku tertinggal bas. Bukan apa, kalau aku tertinggal bas aku terpaksa menunggu selama setengah jam untuk naik bas yang seterusnya.

          Aku memejamkan mataku seketika. Tiba-tiba aku mendengar bunyi bising suara pelajar di dalam bas itu. Aku tersedar dan mula mencari-cari apakah yang dicakapkan oleh mereka. Mereka berkumpul untuk melihat kejadian itu. Aku lihat sekujur tubuh seorang lelaki india terbaring sambil badannya menggelepar. Aku mula panik dan ingin tahu apa yang berlaku sebenarnya. Nasib baik ada beberapa orang lelaki membantunya untuk membawanya turun dari bas. Pemandu bas juga turut membantu.  Rupa-rupanya lelaki itu, memang mempunyai penyakit sawan. 

Pengajaran

 Jika berlaku perkara seperti itu, kita perlu memberi bantuan kepada orang yang memerlukan. Sikap pelajar yang perihatin sangat dipuji. Jika berlaku kes seperti itu, kita tidak boleh menggerumuni orang itu kerana kita akan memburukkan keadaan orang itu. Pesakit seperti itu perlu diberikan ruang supaya dia boleh kembali normal seperti biasa.        

Tuesday, March 26, 2013

Pelik tapi Benar...

Semalam ialah hari yang amat memenatkan bagiku. Aku pulang ke kolej setelah cuti selama dua hari di kampung. Bahagia sangat apabila dapat bertemu ahli keluarga tercinta. Semalam jugalah hari lahirku yang ke-22 tahun. Aku amat berterima kasih dengan ucapan dan doa daripada rakan-rakan.

          Malamnya, aku diajak oleh rakan serumahku untuk menonton teater di Dewan Besar, di  kampus baru, UPSI. Aku berasa sangat teruja kerana adanya pelakon seperti Jalaludin Hassas, Julia Ziegler, Kamal Adli, Radhi Khalid dan lain-lain mementaskan teater tersebut. Aku bersiap awal kerana takut tidak dapat tempat di dalam dewan itu nanti. Teater itu diadakan bersempena "Pray for Sabah". Aku mengambil tempat di kawasan yang agak strategik bersama rakanku. teater itu bertemakan "Asmara Songsang". Mendengarkan tajuk teater itu sungguh membuatkan aku tertanya-tanya apakah unsur-unsur yang akan ditonjolkan. Teater tersebut berlangsung selama satu jam setengah. Selesai teater aku dan rakanku berasa sangat lapar. Kami keluar mencari tempat untuk makan.

          Akhirnya rakanku mencadangkan untuk makan di sebuah kedai makanan panas. Suasana di kawasan tersebut agak bising kerana ada tempat untuk berkaraoke. Kami mencari tempat untuk memesan makanan. Sementara menunggu makanan sampai, aku melihat-lihat persekitaran kedai tersebut. Tiba-tiba aku terpandangkan perempuan bertudung yang berhadapan dengan meja kami. Aku lihat mulut perempuan itu berasap-asap. Aku pelik dan bertanyakan rakanku apakah yang dilakukah perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan tersebut menghisap "shisha". Aku berasa sangat terkejut. Aku tidak menyangka di kedai makan di sekitar universiti mempunyai perkhidmatan seperti ini.

Pengajaran

Tidak sepatutnya perempuan tersebut melakukan hal seperti itu dikhalayak ramai. Tambahan pula dengan imejnya yang bertudung menunjukkan sesuatu perbuatan yang tidak elok. Kedai makanan seperti itu seharusnya menyediakan perkhidmatan lebih sesuai.

Ramah Sangat...

Jumaat lepas aku seperti biasa akan ke kuliah seorang diri. kawan-kawanku pagi-pagi sudah ke kuliah pada jam 8 pagi. Kelas aku hanya pukul 11 pagi. Oleh itu pada hari Jumaat jadualku tidak padat dan tidak perlu bangun pagi.

           Pagi itu, seperti selalu aku akan bersiap-siap dan terus menuju ke foyer KAB untuk menaiki bas ke kuliah di kampus lama. Tiba di foyer aku lihat ada sebuah bas untuk ke kampus lama. Aku cepat-cepat menaiki bas melalui pintu belakang. Aku terus masuk dan mencari-cari tempat duduk. Tiba-tiba aku ternampak sebuah kerusi kosong dan ada pelajar lain di sebelahnya. Aku terus mendapatkan kerusi kosong itu.

          Aku mendekati perempuan itu. aku menyapanya untuk duduk. Sejenak dia berpaling rupa-rupanya pelajar itu bukan pelajar Melayu tetapi pelajar asing. Aku terkejut kerana dia memakai tudung. Aku berasa agak tidak selesa untuk berada di sebelahnya. Apabila aku fikirkan semula aku tidak ada pilihan. Aku mencari-cari tempat duduk kosong yang lain, tetapi hanya itu kerusi kosong yang tinggal. Aku tersenyum lalu duduk disebelahnya.

          Aku hanya diam seribu bahasa kerana bagiku diam itu lebih baik daripada harus berbicara dengannya. Tiba-tiba dia memandangku dan menunjukkan kulit pada dahinya menggelupas teruk. Aku terkejut kerana aku tidak pandai untuk membalas perbicaraannya. Aku hanya tersenyum dan mendengarnya bercerita. Aku kusyuk mendengar ceritanya sehingga bas sampai di destinasi.

Pengajaran

Perbuatan aku yang mendiamkan diri tidak seharusnya dilakukan. Kita perlu bertegur sapa supaya dapat menjalinkan sillaturrahim dengan orang baru. Walaupun orang itu warga asing kita tida boleh memberi tanggapan bahawa mereka itu sombong. Sikap ramah dan memakai pakaian sopan seperti pelajar Melayu amat dipuji.

Friday, March 22, 2013

Perlukah ber'gaduh'???

Pada suatu hari, aku pergi ke pusat beli belah bersama rakanku. Sudah lama kami tidak berjalan-jalan 'cuci mata' kononnya. Setelah penat berjalan di sana, aku dan rakanku mencari-cari tempat duduk di sekitar kawasan itu. Agak susah untuk mencari tempat duduk yang kosong di tempat awam begitu. Tambahan pula, kami keluar pada hari minggu. Akhirnya setelah penat mencari, kami lihat ada sebuah kerusi panjang yang kosong di satu sudut.

          Aku dan rakanku duduk sementara melepaskan kelelahan kami berjalan dalam waktu yang agak lama. Keluasan pusat beli belah itu menyebabkan kami berjalan agak jauh. Sedang asyik berehat aku memandang orang yang lalu di hadapan, kiri dan kananku. Tiba-tiba mata aku terpandang pada wanita yang bertubuh besar yang lalu di hadapanku. Aku berasa sangat kasihan padanya. Agak sukar untuk dia meneruskan perjalannya.

          Aku cuba lihat pada diriku. Aku mula berkira-kira sekiranya aku berada di tempat wanita itu. Fikiranku tiba-tiba terganggu kerana baru-baru ini rakanku selalu berkata bahawa badanku sudah semakin 'montel'. Aku mula mengeluh. Keluhanku didengari oleh rakanku. Dia bertanyakan keadaanku. Aku mula bercerita masalah yang kuhadapi kepadanya. Lantas rakanku memulakan bicaranya tentang satu produk kesihatan. Aku semakin teruja dengan cadangannya. Aku bersetuju untuk menggunakan produk itu. Tiba-tiba dia memandangku dan berbicara kepadaku seperti ini:

Rakan: Nak 'gaduh' ke? Aku boleh telefon kawan aku.
Aku: Eh, kenapa nak gaduh plak?(muka pelik)

Aku dengan wajah terpinga-pinga memandangnya. Sekali lagi kawanku bertanya soalan itu.Aku berasa sangat marah. Tiba-tiba aku bangun dan berkata padanya.

Aku: Perlu ke kita nak bergaduh pasal nie? (dengan muka yang marah)

Rakanku cepat menarik tanganku untuk duduk. Dia memandang wajahku dan menerangkan kembali kepadaku bahawa perkataan 'gaduh' itu membawa maksud ' nak cepat' atau 'segera'. Rupa-rupanya itu adalah dialek Kelantan. Aku meminta maaf kepadanya kerana salah sangka.

Pengajaran

Kita perlu meminta penjelasan terlebih dahulu jika kita tidak memahami sesuatu perkara. Jika kita tidak meminta penjelasan akan berlaku salah faham antara kita dan mungkin akan berlarutan. Kita juga perlu belajar memahami penyampaian orang lain dan tidak boleh cepat marah jika sesuatu berlaku secara tiba-tiba. Kita juga perlu menggunakan bahasa yang mudah difahami bagi mengelakkan berlaku slah faham antara kita.






Ayah maafkan anakmu...


Hari ini aku telah terdengar perbualan seseorang. Sudah tentu daripada salah seorang pelajar di universiti ini. Cukuplah sekadar hanya mengetahui identiti ini. Aku sedang menunggu ketibaan bas untuk pergi ke kampus. Seperti biasa aku akan menunggu di foyer. Terdapat seorang pelajar di sebelahku. Aku lihat dia sedang berbual di telefon dan kemudian tersenyum-senyum. Aku sudah dapat mengagak dengan siapa dia berbicara.

          Teknologi canggih merupakan wadah untuk kita berhubungan dengan orang yang dikehendaki. Tetapi sayangnya, kemudahan itu tidak digunakan sebaiknya oleh kita. Remaja kini, gemar berhubungan dengan rakan-rakan dan "boyfriend" atau "girlfriend" mereka berbanding keluarga mereka terutama ibu dan ayah. Kebanyakkannya golongan ini lebih mengutamakan kawan-kawan terdekat. Kononnya kawan dapat memahami mereka berbanding ibu bapa.

          Mereka akan menghubungi rakan-rakan lebih kerap berbanding ibu bapa mereka sehingga ada sesetengah remaja hanya akan menelefon ibu atau bapa jika mereka memerlukan kewangan atau berkaitan dengan perbelanjaan mereka. Hal ini dapat dilihat dalam dunia remaja terutama pelajar universiti. Jujurku akui aku juga kadang-kadang jarang menghubungi ayahku. Bagiku yang tidak mempunyai ibu, aku akan berasa sangat janggal untuk berbual lama dengan ayahku.

Pengajaran

Kecanggihan teknologi seharusnya digunakan sebaik-baiknya untuk berhubung dengan orang tersayang. Hubungilah ibu bapa lebih kerap supaya mereka lebih terasa dihargai. Ibu bapalah yang perlu diutamakan berbanding rakan. Rakan boleh dicari, tetapi ibu dan ayah tiada pengganti. Cukuplah sekadar bertanya khabar, itu sudah memadai. Oleh itu, sama-samalah kita perbaiki diri.  =)

Thursday, March 21, 2013

Salah siapa sebenarnya?

Setiap hari selasa jadual kuliahku tidaklah padat. namun, yang menyebabkan aku berasa malas untuk ke kelas kerana jadual pada hari selasa ini kelasku pada pukul lapan hingga pukul sepuluh pagi. Seterusnya kelas keduaku pula pada pukul lima hingga tujuh petang. Oleh sebab itu, aku berasa amat berat nak memulakan pagiku untuk ke kuliah.

          Seperti biasa aku bersiap ke kuliah pada pukul tujuh kerana perkhidmatan bas universiti akan bergerak ke kampus tepat pukul tujuh pagi. Aku bergegas untuk mendapatkan tempat duduk di dalam bas. Nasib aku tidak baik pada hari itu, kerana tempat duduk telah pun penuh. aku terpaksa berdiri dalam keadaan yang tidak selesa. Apakan daya aku terpaksa begitu untuk sampai ke kuliah tepat pukul lapan pagi.

          Setelah pelajar memenuhi ruangan di dalam bas, akhirnya bas bergerak ke destinasi. Bas bergerak dengan laju ke kampus. Sampai di satu pusingan, tiba-bas yang dipandu berhenti mengejut. Aku dan beberapa pelajar yang berdiri terdorong ke depan. Aku berasa sangat terkejut. Aku cuba berdiri semula dan ku lihat pemandu bas itu membuka tingkap dan memarahi seorang pelajar perempuan. Rupa-rupanya pelajar itu menyEberang jalan tanpa menghiraukan bas yang bergerak laju di belakangnya. Pelajar itu berlalu dengan muka yang marah. mungkin dia malu dan berasa marah kerana dimarahi di depan orang ramai.

Pengajaran
Kita perlu berhati-hati di jalan raya kerana kita tidak tahu apa akan berlaku jika kita cuai. Kita perlu berhati-hati buka sahaja untuk keselamatan kita tetapi untuk keselamatan orang lain juga. Mungkin kerana kecuaian kita akan menyebabkan sesuatu yang buruk akan berlaku pada diri kita dan juga orang lain pada masa itu. Selain itu, kita perlu meminta maaf jika kita berbuat salah kepada orang, bukannya memarahi orang itu.

P.O.Y.O???

Zaman remaja merupakan zaman yang tidak pernah ada sesiapa yang akan melupakannya. Terlalu banyak kenangan yang pasti akan menjadi ingatan sehingga kita dewasa. Aku juga pernah mengalami zaman remaja. Tidak lama aku meninggalkan zaman itu, kerana aku hanya berumur 22 tahun sahaja sekarang ini. Pelbagai ragam, pelbagai bahasa, pelbagai gaya dan pelbagai cerita yang akan menjadi "trend" pada zaman ini.

          Bahasa memainkan peranan penting dalam kalangan remaja. Pada zaman inilah bahasa baharu yang dicipta. Adakah anda pernah mendengar perkataan 'poyo'? Perkataan ini sering digunakan oleh remaja bagi seseorang yang beranggapan dirinya amat bagus dan hebat, sedangkan dirinya tidak seperti yang ditunjukkan. Aku juga tidak terkecuali menggunakan perkataan ini pada zaman remajaku.

          Pada hari ini, sekali lagi aku mendengar perkataan 'poyo' ini daripada pelajar kelas yang sama denganku. Aku seperti mengimbas kembali zaman remajaku. Aku tidak pernah mengetahui maksud sebenar 'poyo' itu, Sehinggalah rakan kelasku memberikan maksud sebenar perkataan itu. 'Poyo' itu sebenarnya merupakan akronim bagi perkataan Inggeris iaitu 'p.o.y.o' yang bermaksud 'proud of your own'. Rupa-rupanya perkataan itu berasal daripada perkataan Inggeris. Aku amat berterima kasih kepada rakan kelasku kerana telah membongkar teka-teki berkenaan maksud perkataan 'p.o.yo' itu tadi.

Pengajaran
Sebagai seorang anak remaja kita perlu menggunakan bahasa yang betul. Bahasa melambangkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia. Jika kita terus menggunakan bahasa rojak, kita akan merosakkan bahasa jati diri kita. Oleh itu, kita perlu menanamkan rasa cinta dan setia kepada bahasa kita. Hal ini juga telah dibincangkan pada kelas sosiolinguistik sebentar tadi.


       

Telur Lalat...


Sudah hampir dua tahun aku menghabiskan masa belajar di universiti ini dan sudah hampir dua tahun juga, aku menginap di kolej Za'ba ini. Terasa inilah rumah keduaku selain kampung halamanku. Pelbagai peristiwa pahit manis yang dapat aku dan rakan-rakanku cipta bersama. Kami akan bersama-sama termasuklah membeli makanan. walaupun banyak kedai-kedai di luar kolej bagi kami kafe di kolej sudah cukup membuat kami terliur dengan aroma masakannya. Tambahan pula rumah yang kami diami bersebelahan dengan kafe.

          Setiap hari, kami seperti biasa akan turun membeli makanan di kafe. Hendak dijadikan cerita, pada hari itu aku teringin sangat makan ayam goreng berempah. Tiba-tiba gerai tempat aku membeli ayam berempah itu tutup. Aku berasa sangat hampa. Rakanku menyarankan supaya aku membeli ayam tersebut di gerai sebelah. Aku dengan berat hati cuba melihat-lihat sama ada ayam berempah itu ada di gerai tersebut.

          Pada mulanya aku seperti tidak berselera untuk membelinya, kerana pada waktu itu aku lihat banyak lalat berterbangan di atas makanan yang terdedah itu. Aku tiba-tiba hilang selera pada ketika itu. Akhirnya dengan pujukan rakan-rakanku, aku membeli juga ayam tersebut kerana mereka tahu aku amat menggemari ayam berempah seperti itu.

         Setelah membeli aku dan rakan-rakan masing-masing pulang ke rumah. Aku dan rakan-rakan berkumpul dan makan bersama. Kami berbual-bual semasa makan. Sedang asyik memhabiskan ayam kegemaranku. Tiba-tiba rakanku menegur aku dan menunjukkan sesuatu pada ayam yang kumakan. Aku pun membelek-belek ayam yang kumakan. Tiba-tiba aku lihat ketulan-ketulan putih pada ayam itu. Tekakku  mula loya. Rupa-rupanya, ketulan putih itu ialah telur lalat. Aku hilang selera selepas itu. 

Pengajaran

Sebelum memilih sesuatu kita perlu memerhati barang atau benda yang kita mahu supaya kita tidak membeli barangan yang rosak atau kotor. Tambahan pula, dalam memilih makanan kita lebih perlu berhati-hati. Orang yang berniaga juga perlu menjaga kebersihan tempat supaya pelanggan yang datang lebih selesa untuk memilih makanan. Gerai makanan yang kotor akan menyebabkan pelanggan yang membeli makanan tersebut berkemungkinan akan terkena keracunan makanan.

       

Saturday, March 16, 2013

Monyet di dalam Rumah???

Monyet??? Pasti ada yang tertanya-tanya mengapa monyet menjadi isu aku kali ini. Harus diingatkan haiwan ini bukan lagi menjadi satu keanehan apabila haiwan ini tidak lagi berkeliaran di kawasan hutan tetapi berkeliaran di kawasan kediaman manusia. Menjadi tanda tanya bagaimana haiwan ini boleh sampai di kawasan yang telah didiami oleh manusia. Perkara ini amat membimbangkan manusia yang tinggal di kawasan berkenaan.

          Perkara ini berlaku pada minggu lepas, apabila gempar monyet memasuki rumah pelajar di sekitar kolej kediaman UPSI. Aku mengetahuinya apabila ada pelajar yang memuatnaik gambar monyet memasuki rumah pelajar. Hal ini tidak lagi menjadi isu yang baru kerana pada semester lepas juga ada berlaku kejadian ini.

          Perkara ini amat menjadi tanda tanya bagaimanakah monyet itu memasuki rumah? Melalui pintukah? Melalui tingkapkah? Tetapi bagaiman seekor monyet boleh membuka tingkap atau pintu jika dikunci dari dalam? Setelah diselidik, rupa-rupanya pelajar berkenaan tidak menutup tingkap biliknya sewaktu keluar daripada rumah. Barang-barang makanan habis diselongkar dan bilik bersepah apabila mereka pulang ke rumah.

Pengajaran

Haiwan yang bergelar monyet ini tidak boleh dipersalahkan sekiranya kita sendiri yang cuai dan lalai untuk menjaga keselamatan sendiri. Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya kita mengambil berat tentang keselamatan dan sentiasa berwaspada sebelum perkara seperti ini berlaku. Mungkin monyet masih tidak menjadi masalah bagi mereka tetapi bagaimanakah sekiranya manusia atau lebih dikenali pencuri atau perompak yang memasuki rumah anda? Bagaimanakah reaksi anda pada masa itu? Oleh itu, utamakan keselamatan diri dan orang yang terdekat dengan anda. Walaupun bukan untuk orang lain, sayangilah diri anda.

Friday, March 15, 2013

Laparnya...

Sabtu yang lepas aku tinggal beberapa hari di rumah kakakku. Tiba hari ahad seperti biasa dia akan menghantarku pulang ke UPSI. Pada hari itu ayah dan suaminya turut menghantarku pulang ke UPSI.
Kebetulan kami belum makan malam pada malam itu. Ayah meminta pendapatku untuk memilih restoran yang berdekatan. Aku pun mencadangkan restoran yang selalu dikunjungi aku dan rakan-rakan. 

          Setelah beberapa minit menunggu, pelayan datang untuk bertanyakan menu yang akan kami pesan. Selepas selesai memesan makanan kami rancak berbual. Aku menceritakan tentang keunikan masakan di restoran. Ayah dan kakak semakin teruja dengan masakan yang kami pesan. 

          Setelah setengah jam menunggu aku semakin tidak sabar. Ayah dan kakakku semakin gelisah kerana mereka berasa amat lapar. Aku pula rasa serba salah kerana aku mereka terpaksa menunggu lebih lama. Aku mengambil keputusan untuk berjumpa dengan pelayan tadi. Rupa-rupanya pelayan itu telah menghilangkan kertas yang dipesan oleh kami sebentar tadi. Kami berasa amat kecewa. Akhirnya kami pulang tanpa makan malam.

Pengajaran

Sebagai seorang pekerja perlu sentiasa mengutamakan pelanggan. Pekerja yang baik harus cekap melakukan kerja yang digalas. Sikap cuai perlu dielakkan kerana sikap tersebut akan menyebabkan pelanggan akan berasa tidak selesa. Apabila perkara itu terjadi akan mengurangkan pelanggan untuk datang ke restoran atau menggunakan perkhidmatan.

Thursday, March 14, 2013

Wajarkah begitu?

Hidup dalam satu tempat dengan orang yang tidak dikenali asal usul dan berlainan agama memang tidak selesa. Hal ini menjadi kebiasaan pelajar-pelajar universiti, kolej mahupun politeknik. Pada mereka yang tinggal di asrama sudah pasti akan ditempatkan rakan sebilik. Sudah pastinya mereka belum berkenalan antara satu sama lain. Proses mengenal akan lebih mudah jika antara mereka mudah memulakan berbicara.
hendak dijadikan cerita, aku juga merasakan perkara dan situasi yang sama. Aku ditempatkan dengan rakan yang berlainan negeri dan nasibku baik kerana dia juga seagama denganku.

          Hari pertama aku tertanya-tanya siapa lagi yang tinggal serumah denganku. Aku terlihat banyak kotak-kotak bersusun di atas meja makan di ruang tamu. Aku mendekati kotak itu dan sejurus itu aku terlihat terdapat nama di kotak itu. Rupa-rupanya rakan serumahku yang duduk di bilik pertama berlainan agama denganku. Pada mulanya aku berfikir selesakah tinggal serumah dengan rakan berbangsa lain. Cepat-cepat aku tolak pemikiran negatifku ke tepi. Rupa-rupanya terdapat seorang lagi rakan yang berbangsa berlainan denganku. mereka berdua tinggal di bilik yang sama dan juga merupakan senior kami.

          Hari-hari seterusnya aku melihat pelbagai perkara yang mula menyebabkan aku dan rakan sebilikku kurang selesa dengan perbuatan mereka. Mereka mula menunjukkan perlakuan yang boleh dikatakan menyakitkan hati kami. Barang-barang kami digunakan sewenang-wenangnya tanpa pengetahuan kami. Sehinggakan  pada suatu hari mereka menggunakan baldi pakaian kami untuk membuat air mengemop lantai rumah.

          Perbuatan yang paling membuatkan kami berasa sangat marah apabila mereka membawa rakan-rakan mereka serta membuat bising. Ada ketikanya ketika minggu peperiksaan juga mereka masih memperlakukan perbuatan tersebut.

Pengajaran

Seharusnya sebagai rakan serumah sikap hormat-menghormati dan bertegur sapa perlu diamalkan. Sikap mementingkan diri perlu dielakkan. Walaupun tinggal dengan rakan yang berlainan bangsa sikap perihatin dan amik berat perlu diamalkan. Jangan sesekali menggunakan barang orang lain tanpa memberitahu mereka dulu. Sikap ini akan menyebabkan berlakunya salah faham dan seterusnya pergaduhan akan berlaku.

Wednesday, March 13, 2013

Kuar@Keluar

Sistem pesanan ringkas atau SMS merupakan salah satu cara masa kini untuk berhubung dengan lebih cepat antara satu sama lain. Kebaikan menggunakan SMS ini antaranya ialah dapat menjimatkan perbelanjaan. Bayaran SMS juga lebih berpatutan berbanding penggunaan telefon bimbit atau kediaman. Pengguna dapat mengurangkan caj perkhidmatan dan dapat menjimatkan perbelanjaan harian. Malangnya terdapat sesetengah pengguna tidak menggunakan kemudahan ini dengan sebaik-baiknya.

Sebagai contoh: Seorang anak telah menghantar SMS kepada bapanya.

Contoh:

Fiza: Slm. ayh Fiza tak blk. Fiza "kuar" ngn kwan. Fiza tdo kat umah die. Ayh jgn riso.

Maksud: Salam. ayah, Fiza tak balik. Fiza "keluar" dengan kawan. Fiza tidur di rumahnya. Ayah jangan risau.

   Ayahnya segera membuka kamus semata-mata untuk memahami maksud yang hendak disampaikan oleh anaknya. satu persatu perkataan cuba untuk diterjemah dan difahami. Tiba di perkataan "kuar" ayahnya sangat terkejut kerana perkataan tersebut membawa maksud yang tidak elok iaitu "anak luar nikah". ayahnya dengan pantas menelefon anaknya untuk pulang dengan segera. setelah anaknya tiba di rumah, ayahnya segera mendapatkan anaknya untuk meminta kepastian tentang SMS yang dihantar oleh anaknya sebentar tadi. rupa-rupanya perkataan yang dihantar untuk membawa maksud "keluar". 

Pengajaran

Perbezaan umur antara remaja dan orang dewasa menyebabkan berlakunya jurang perbezaan antara mereka. Oleh itu, setiap golongan masyarakat perlu bijak menggunakan bahasa SMS   yang sesuai untuk disampaikan kepada penerima. Bahasa yang digunakan perlulah betul supaya tidak merosakkan makna perkataan sehingga menyebabkan berlakunya salah faham antara penyampai maklumat dengan penerima.


Tuesday, March 12, 2013

Dialekku... Dialekmu...


Sudah pasti anda semua pernah merasakan pengalaman berada dalam situasi sebuah perkahwinan. Pada suatu malam, aku dan rakanku telah berbual-bual tentang perkembangan diri antara satu sama lain. Tanpa diduga topik perkahwinan muncul dalam perbualan kami. Aku tertanya-tanya bagaimanakah cara atau adat perkahwinan di negeri rakanku. Kebetulan tempat kelahiran kami tidak sama kerana rakanku berasal dari Kelantan. Aku mula teruja kerana rakanku sudi untuk berkongsi ceritanya kepadaku.
            Rakanku menceritakan suasana adat istiadat perkahwinan di negeri mereka. Sudah pasti terdapat perbezaan dan persamaan adat perkahwinan di negeri kami.  Perkataan pertama yang aku belajar daripada rakanku ialah “bekwoh”. Menurut rakanku “bekwoh” ialah kerja besar ataupun orang kampung bergotong-royong untuk majlis perkahwinan. Di negeri aku juga orang-orang kampung akan datang bergotong–royong untuk majlis perkahwinan tetapi di negeri kami dikenali sebagai “rewang@gejobos”. Seterusnya ialah perkataan “sisa” yang bermaksud buah tangan untuk tetamu yang hadir. Di negeri kami juga ada menyediakan tetamu buah tangan yang dikenali sebagai “berkat”.
            Aku juga belajar adat yang baru dari rakanku iaitu “adat mengenal”. Menurut rakanku adat ini ialah pihak pengantin lelaki akan berkenalan dengan pengantin perempuan dengan memberikan sedikit duit mengikut kemampuan pihak lelaki. Menurut rakanku lagi adat ini hanya dilakukan oleh sesetengah keluarga. Adat ini tidak dilakukan di negeriku. Ini adalah salah satu perbezaan adat negeriku dengan negeri rakanku.


Pengajaran
Walaupun dalam kalangan rakan kita terdapat pelbagai kaum, agama dan budaya, tetapi tidak salah andainya kita belajar tentang diri mereka. Dengan adanya perkongsian cerita dapat menambahkan lagi pengetahuan kita tentang raka-rakan dan belajar sesuatu yang baru.

Thursday, March 7, 2013

Baiknya Awak...

Pada hari ini aku pergi ke kuliah seperti biasa. Aku berasa pening kepala kerana cuaca yang terlalu panas. Sudah empat hari cuaca seperti ini. Sedang aku berjalan menuju ke tempat menunggu bas, aku ternampak di seberang jalan ada seorang perempuan jatuh terduduk. Dia memegang kakinya yang sakit dan cuba untuk bangun. Mungkin kakinya amat sakit sehingga dia tidak mampu untuk bangun dengan sendiri.      Tiba-tiba ada seorang perempuan menghulurkan tangan membantunya untuk bangun. Agaknya perempuan yang membantunya seorang pelajar kerana dia memakai kad matrik. Aku melihat dari jauh dengan kepayahan perempuan yang jatuh itu berjalan dan dibantu oleh pelajar tadi. Pelajar itu mengiringi perempuan itu ke keretanya. Aku lihat perempuan yang jatuh tadi menghulurkan sesuatu kepada pelajar tadi tetapi ditolak oleh pelajar itu. Aku beranggapan mungkin perempuan itu memberikannya sedikit wang kerana telah membantunya.

Pengajaran
Dalam kehidupan kita tidak selalunya kita akan bernasib baik. Kadang kala kita mungkin ditimpa musibah dan setiap satunya tidak sama antara satu sama lain. Jika kita menghadapi masalah kita pasti berharap akan ada orang yang akan membantu kita untuk menyelesaikannya. Oleh itu, kita juga boleh memberikan bantuan kepada orang lain yang menghadapi masalah. Kita juga perlu membantu seseorang itu dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Sikap sebegini akan menjadikan kita sentiasa menghargai kesenangan dan kegembiraan serta bersedia menghadapi dugaan yang mendatang.

Tuesday, March 5, 2013

Terima Kasih


Hari ini aku dan rakan-rakanku pergi ke tempat perkelahan di sekitar Tanjung Malim. Semua ini tidak dirancang kerana pada awalnya aku dan rakan-rakan aku hanya keluar membeli barangan keperluan. Oleh sebab masih banyak masa yang tinggal untuk menghantar kereta sewa ke kolej semula, aku memberi cadangan kepada rakanku untuk singgah sebentar ke tempat perkelahan. Setelah sampai di sana tiba-tiba perutku memulas dan kebetulan pada masa itu rakan aku juga merasakan kesakitan yang sama. Hal ini berlaku mungkin berpunca daripada makanan yang kami makan pada tengahari tadi. Kami mencari-cari tandas di sekitar itu tetapi malangnya tandas tersebut sedang dibaik pulih. Kami berasa sangat hampa. Kemudian kami keluar dari kawasan perkelahan tersebut sehingga berjumpa dengan seorang perempuan yang agak berusia. Kami segera bertanyakan sekiranya ada  terdapat tandas yang terdekat di sekitar itu. Perempuan itu segera mengajak kami pulang ke rumahnya kerana dia memberitahu di sekitar kawasan tersebut tidak mempunyai tandas. Kami berasa amat malu kerana terpaksa menumpang tandas di rumah perempuan itu. Selepas selesai kami mengucapkan terima kasih kepada perempuan itu.

Pengajaran
Sikap perempuan itu sangat dipuji. Walaupun tidak mengenali kami dengan baik tetapi dia sudi menumpangkan kami untuk menggunakan tandas di rumahnya. Amat sukar untuk menemukan masyarakat yang perihatin pada zaman moden ini. Sikap suka menolong orang dalam kesusahan amat digalakkan dalam masyarakat masa kini. Jika adanya masyarakat yang saling membantu akan menjalinkan ikatan yang kukuh.

Monday, March 4, 2013

Budi Bahasa


Hari ini aku telah pergi ke sebuah kedai untuk membeli barang-barang keperluanku.  Sedang asyik aku memilih barang, aku tidak menemukan barang yang kumahu. Aku melihat disekelilingku untuk mencari pekerja yang bertugas pada waktu itu. Di satu sudut aku ternampak seorang pekerja wanita sedang asyik menyusun barang-barang di rak. Aku mendekatinya lalu memegang bahunya untuk bertanyakan tempat barang yang aku cari. Dengan pantasnya wanita itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Aku bertanya sekali lagi untuk kepastian. Tiba-tiba dia berlalu pergi meninggalkan aku terpinga-pinga tanpa jawapan yang pasti. Aku berasa sangat marah kepadanya lalu aku terus meninggalkan kedai tersebut tanpa membeli satu barangan pun.  

Pengajaran:
Perbuatan pekerja wanita itu amat tidak berbudi bahasa. Seharusnya sebagai pekerja yang baik wanita itu perlu melayani pelanggan dengan baik. Jika seorang pekerja tidak melayani pelanggan dengan baik akan menyebabkan pelanggan tidak berasa selesa untuk datang membeli barangan di kedai tersebut. Sekiranya tidak tahu akan keberadaan sesuatu barang perlulah menjelaskannya kepada pelanggan dengan cara yang baik supaya tidak menyinggung perasaan pelanggan. 

Hujan... Oh... Hujan Buatan...


Pasti semua tahu apabila mendengar istilah “hujan buatan”.  Isu “hujan buatan” ini telah sebati dengan pelajar yang tinggal di asrama atau kolej.  Hal ini berlaku apabila ada segelintir pelajar yang tidak mengendahkan masalah pelajar lain.  Dijadikan cerita, setiap pagi rakan saya akan menjemur pakaiannya di ampaian dengan beranggapan baju yang disidai akan kering apabila pulang dari menghadiri kuliah.  Pada sebelah petang dia pulang dan terus mengangkat kain yang di sidai pagi tersebut. Alangkah terkejutnya dia apabila baju yang disidai pagi itu masih basah seperti baru disidai. Dia berasa pelik dan melihat ke atas dan ternyata terdapat titisan air daripada baju yang disidai oleh pelajar yang berada di tingkat atas rumahnya.  Pada mulanya dia malas untuk memikirkan tentang masalah itu. Tetapi semakin hari semakin kerap berlaku kejadian itu dan menyebabkan rakan saya terpaksa bertemu dengan pelajar berkenaan di rumahnya.  Alhamdulillah selepas dinasihatkan pelajar itu tidak mengulanginya.

Pengajaran:
           Sebaiknya apabila kita hidup berjiran perlu memikirkan tentang orang lain juga.  Sikap mementingkan diri sendiri tidak elok diamalkan kerana akan menyebabkan orang lain tidak selesa dengan kita.  Sebagai seorang yang terpelajar seharusnya kita sudah boleh berfikir sekiranya kita hendak melakukan sesuatu perlu melihat kepada baik buruknya perkara yang kita bakal lakukan.  Sebagai contohnya isu yang saya nyatakan di atas. Seharusnya pakaian yang baru dibasuh dengan menggunakan tangan perlu dituskan terlebih dahulu.  Sekiranya menggunakan mesin basuh elektronik perkara ini tidak akan menjadi masalah.

Sunday, March 3, 2013

Si Gadis Sombong

Suatu hari ketika sedang menunggu di foyer KAB, tiba-tiba ada seorang perempuan sedang gelisah menunggu ketibaan bas.  Mungkin dia sudah lewat untuk menghadiri kuliahnya. Setelah 15 minit menunggu, bas masih tidak tiba.  Agaknya sudah lama menunggu, dia bertanyakan masa kepada seorang perempuan berbaju merah disebelahnya.  Kebetulan pula dia tidak mempunyai jam tangan.  Dengan muka yang marah, perempuan berbaju merah itu membalas dengan jelingan tajam dan memalingkan wajahnya ke arah lain.  Perempuan itu berasa amat malu kerana pertanyaannya dibalas dengan jelingan yang tajam. 

Pengajaran:
Seharusnya pertanyaan daripada seseorang itu, perlu dibalas dengan baik.  Walaupun pada masa itu kita berada dalam masalah, kita perlu membalas persoalan yang diajukan dengan baik.  Cukuplah sekadar menjawab persoalan yang diajukan.  Tidak baik sekiranya kita hanya mengendahkan persoalan yang ditanya kerana perbuatan kita akan menyinggung perasaan orang itu.