Ahad, 3 April 2016

Pengenalan Forex

FOREX (Foreign Exchange)

Forex atau  FX adalah singkatan kepada Foreign Exchange (Tukaran Matawang).

Bagi anda yang pernah ke luar negara, sudah tentu anda pernah menukar wang di mana-mana penggurup wang (money changer). Contohnya, jika anda ingin ke Amerika Syarikat. Anda perlu menukar wang anda kepada US Dollar sebagai persediaan untuk perbelanjaan anda di sana nanti.

Anda mungkin ingin membawa wang saku sebanyak RM 1,000. Anda boleh menukar wang anda kepada matawang US dollar di mana-mana money changer berdekatan tempat tinggal anda, atau menukarnya melalui money changer di KLIA sebelum berlepas, atau pun menukarnya melalui money changer di John F Kennedy Airport di New York setibanya anda di sana.
Walaupun anda boleh menukar Ringgit Malaysia di mana-mana money changer, anda pasti akan dapati, kadar yang di kenakan adalah berbeza-beza di antara satu money changer dengan money changer yang lain.

Anda mungkin mendapat kadar MYR1=USD0.28 daripada money changer berdekatan rumah anda, MYR1=USD0.25 di KLIA dan mungkin MYR1=USD0.20 jika anda menukarnya di JF Kennedy Airport. Jika anda pernah melakukan aktiviti sedemikian, bermakna anda sudah pun melibatkan diri dalam Forex. Iaitu pertukaran atau perdagangan matawang atau juga dikenali sebagai FX.
Setiap hari berjuta-juta orang memperdagangkan matawang di seluruh dunia. Ada yang memperdagangkan di money changer dan ada juga yang melakukannya melalui bank-bank dan ada juga yang melakukannya melalui broker-broker FOREX.
Sama juga seperti pengalaman anda sebelum ini, lain money changer, lain kadarnya, begitu juga dengan broker FOREX, masing-masing menetapkan kadar yang berbeza mengikut kehendak masing-masing.

FOREX merupakan satu pasaran kewangan yang terbesar di dunia di mana nilai dagangan secara purata mencecah sehingga USD 2.5 trillion dalam satu hari. Jumlah ini adalah sebanyak 100 kali ganda nilai dagangan saham di Nasdaq dalam satu hari.

Perdagangan FOREX berjalan tanpa henti selama 24 jam setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad.
Dagangan FOREX setiap hari bermula jam 8 pagi Isnin di Sydney (5 pagi Isnin waktu Malaysia) dan kemudiannya bergerak mengelilingi dunia dengan diikuti oleh pasaran TOKYO (9 pagi waktu Malaysia), London (4 petang waktu Malaysia) dan New York (8 malam waktu Malaysia). Sebaik sahaja pasaran di New York ditutup (jam 5 pagi waktu Malaysia), dagangan seterusnya akan bersambung dengan pasaran di Sydney semula dan akan berterusan sehingga 5 petang Jumaat di New York (5 pagi Sabtu waktu Malaysia). Selepas itu, kita bolehlah berehat daripada trading pada hari Sabtu dan Ahad. Dagangan akan bersambung semula pada pagi Isnin berikutnya.

FOREX juga merupakan suatu perdagangan yang unik. Pasaran FOREX tidak berpusat. Tiada bursa yang khusus untuk FOREX seperti bursa saham dan tiada kadar harga yang seragam dalam perdagangan FOREX. Setiap broker menawarkan harga yang berbeza kepada pelanggan masing-masing.

Terdapat dua jenis dagangan FOREX iatu SPOT FOREX dan FUTURE FOREX. Dalam SPOT FOREX pedagang membeli atau menjual matawang pada masa yang sama. Manakala FUTURE FOREX adalah berkonsepkan satu perjanjian untuk membeli dan menjual sesuatu matawang pada masa akan datang yang telah dipersetujui bersama samaada dalam tempoh satu bulan, dua bulan ataupun tiga bulan akan datang. Saya tidak akan membincangkan perdagangan FUTURE FOREX dalam web ini. Saya hanya akan membincangkan tentang SPOT FOREX.

Sejarah FOREX bermula selepas berakhirnya sistem kadar tukaran tetap dan bila bermula kadar tukaran fleksibel sekitar tahun 70an. Pada ketika itu dagangan FOREX hanya dilakukan di antara institusi kewangan seperti bank-bank pusat, syarikat multinasional dan pedagang-pedagang besar sahaja. Hanya mereka yang mempunyai latar belakang kewangan yang kukuh dibenarkan untuk melakukan dagangan ini.

Matawang utama yang diperdagangkan ialah US dollar, EURO, Japanese Yen, Swiss frank dan British pound sterling.
Mulai tahun 1997, seiring dengan perkembangan internet, FOREX mula didagangkan melalui internet. Jumlah dagangan juga mula dipecahkan kepada unit-unit yang lebih kecil. Broker-broker FOREX mula memperdagangkan matawang ini kepada pedagang-pedagang kecil seperti saya dan anda.

Pada masa sekarang, walaupun telah wujud beratus-ratus broker FOREX diseluruh dunia, bank-bank besar bertaraf antarabangsa masih merupakan pedagang matawang yang utama dalam perdagangan FOREX ini. Deutsche Bank adalah merupakan salah satu pedagang utama selain daripada UBS, City Group, HSBC, Barclays, J.P. Morgan Chase, Coldman Sachs, ABN Amro, Morgan Stanley dan Merril Lynch. Kesemua bank ini dikatakan menguasai lebih daripada 70% dagangan FOREX dalam satu-satu masa.

Terdapat dua jenis broker FOREX pada masa ini iaitu ECN (Electronic Communication Network) dan Market Maker. ECN biasanya menguruskan dagangan dalam kuantiti yang lebih besar, pelangan mereka biasanya terdiri di kalangan bank-bank dan juga institusi kewangan lain. Broker ECN tidak banyak. Mereka hanya menjadi orang tengah di antara bank atau institusi institusi kewangan lain. Adakalanya sesuatu matawang itu dijual dan dan dibeli oleh pedagang ECN pada harga yang sama. Jadi, bagaimana mereka mendapat keuntungan? Mereka mengenakan komisyen ke atas setiap transaksi atau dagangan yang dilakukan. Itulah keuntungan mereka.

Berbeza dengan broker Market Maker, mereka berurusan dengan dagangan yang lebih kecil dan pelanggan utama mereka ialah individu seperti anda dan saya. Broker jenis ini tidak mengenakan komisyen. Sebab itu biasanya anda akan temui dalam iklan mereka Zero Comission atau Comission Free. Jadi bagaimana mereka untung? Keuntungan mereka ialah daripada spread. Spread yang dikenakan adalah berbeza mengikut pair dan juga berbeza di antara satu broker dengan broker yang lain.
Apakah pair? Dagangan FOREX dilakukan dalam bentuk pasangan atau pun pair, seperti EURO/JPY, USD/CHF dan USD/GBP. Matawang pertama dikenali sebagai base currency manakala matawang kedua dikenali sebagai quote currency atau counter currency atau terms currency.

Bagaimana pulak dengan spread? Apabila kita memperdagangkan matawang, kita akan diberikan dua sebutharga iaitu bid dan ask. Sama juga ketika kita berurusan dengan penggurup wang.
Sebagai contoh, pair EUR/USD 1.2385/1.2390: 1.2385 dikenali sebagai bid price manakala 1.2390 pula ialah ask price.

Bid ialah harga yang ditawarkan jika anda ingin menjual base currency manakala ask pula ialah harga yang ditawarkan jika anda ingin membeli base currency.
Jika anda perhatikan, anda terpaksa membeli dengan harga yang lebih tinggi dari harga jualan. Perbezaan harga jual dan beli inilah yang merupakan keuntungan kepada pihak broker ataupun dikenali sebagai spread.