Wednesday, December 15, 2010

Kekalkan Kebebasan Mahasiswa/i Untuk Bersuara Dan Mengadakan Pengucapan Umum Di Universiti

Pada 22 Januari 2010, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, mengingatkan pentadbiran universiti supaya tidak menghalang kebebasan mahasiswa/i untuk bersuara dan mengadakan pengucapan awam dengan hanya menetapkan pelbagai syarat. Beliau juga pernah berkata bahawa 'jangan terlalu banyak sangat syarat kepada mahasiswa untuk menggunakan sudut pidato, contohnya isi borang tertentu dan sebagainya' kerana menurutnya sudut pidato bukannya pertandingan. Kementerian Pengajian Tinggi tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada mahasiswa untuk menggunakan sudut pidato dan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti hanya berfungsi untuk memantaunya.

Mantan Pemangku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), iaitu Pengarah Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) sekarang, Prof.Madya.Dr.Shariff A.K Omang pula pernah berkata bahawa “mahasiswa layak bersuara dan mengutarakan pendapat dan masalah mereka dan pihak UMS seharusnya membantu dan menyelesaikan permasalahan.

MAHASISWA BANGKITLAH DARI TIDURMU!

Selamat sejahtera... Apakah pandangan mahasiswa/i apabila lesen elektrik bertukar menjadi yuran elektrik? Soalan saya, kaji selidik mana yang menunjukkan mahasiswa menggunakan sebanyak ataupun maksimumnya 5 barangan elektrik? Betulkah ini mengurangkan birokrasi sedangkan hanya 30 peratus mahasiswa/i yang membayarnya, tidakkah ini melawan kehendak mahasiswa? Non-residen dikehendaki menuntut duit yang dibayar melalui yuran universiti dalam masa yang ditentukan, inikah yang dikatakan mengurangkan birokrasi? Betulkah ini mengurangkan utiliti elektrik seperti yang dikatakan? Kami berasa kelebihan yang dinyatakan adalah memihak kepada pentadbiran universiti.

Ada pula seorang wakil MPP kita menyatakan RM 35 itu murah dan semua mahasiswa/i tak kira miskin ataupun kaya perlu membayarnya tanpa alasan. Tidakkah MPP harus mengelakkan penambahan beban kepada mahasiswa/i tetapi sebaliknya berada di pihak lain mengurangkan duit poket kami. Saya ingin menyatakan bahawa perkara ini hampir dilaksanakan oleh Christopher dengan harga RM 40 dahulu, kemudiannya ditarik balik atas alasan apa? Ada juga surat yang bertarikh pada tahun 2008 dan diluluskan pada tahun 2010 untuk memohon agar lesen elektrik bertukar menjadi yuran elektrik? Betulkah ini budi baik pentadbiran universiti untuk mengurangkan harga, tetapi cuba lihat pelajar yang menggunakan 2 barangan elektrik seperti saya, rasionalkah kita membayarnya dengan harga tersebut? Saya berharap agar keputusan ini dibatalkan/ditangguhkan untuk perbincangan lebih lanjut. Universiti tidak harus dikendalikan seperti korporat dan sebahagian daripada kos perlu ditanggung kerana melibatkan kebajikan mahasiswa/i. Mahasiswa/i yang berprihatin juga bertanya adakah pelaksanaan ini berlaku kerana universiti mengalami defisit? Sekiranya defisit berlaku kerana lesen elektrik, universiti telah mengalami defisit bertahun-tahun lama dan mengapakah tindakan sebegini baru diambil?

Apakah janji yang diberikan kepada mahasiswa/i sekiranya bekalan eletrik terganggu apabila penggunaan yang banyak? Kami bukan membantah kerana yuran elektrik telah dibuktikkan berjaya di UKM, tetapi suara mahasiswa perlu diambil kira. Perkara ini sepatutnya diperincikan dahulu, bukan hanya menggantungkan banner sebaik sahaja tamatnya peperiksaan akhir dan memotong terus daripada yuran universiti pada semester berikut. Sekiranya kami rela untuk membayarnya, bagaimana peruntukan kerajaan yang dijimatkan melalui tindakan tersebut digunakan untuk pembangunan dan kegunaan lain, kami sebagai rakyat dan mahasiswa berhak mengetahuinya dan memerlukan penjelasan lebih lanjut. Sekian, terima kasih...

DARI MAHASISWA, UNTUK MAHASISWA

Sunday, December 12, 2010

Menara Warisan : Apa kelebihan pada RAKYAT..?

Datuk Seri Najib Razak sememang seorang Perdana Menteri yang prihatin. Prihatin dengan peninggalan dahulu. Terlalu sangat prihatin. Sehingga mengatakan kerajaan akan membina Menara Warisan 100 tingkat yang bernilai RM 5 Billion. Menara yang kononnya akan menjadi kembar kepada KLCC. Menara yang dikatakan akan menjadi tarikan pelancong. Rancangan untuk projek mega itu, yang akan dibina dan dibiayai oleh syarikat kaitan kerajaan - Permodalan Nasional Bhd (PNB) - terdiri daripada tiga fasa dan dijadual siap pada 2020.

Amat menarik. Menara warisan sebagai lambang negara maju. Apa kaitanya negara maju dengan menara warisan? Keadaan kini menampakkan pembaziran kerajaan kepada perkara yang sia- sia. Jika projek sebegini diluluskan, maka akan banyak duit rakyat akan di perah. Semakin kuruslah perut-perut rakyat. Semakin kembung pula poket orang- orang mereka. Kerajaan pusat bukan lah kerajaan yang membela rakyat. Kita terfikir, kenapa Najib beriya mahu membina menara warisan sedangkan banyak perkara yang di perlukan kepada perkara lain.

Tapi pernahkah Najib memikirkan nasib keluarga - keluarga miskin yang berada di negeri - negeri yang bernaung di bawah bendera Malaysia ini. Pernahkah Najib melawat negeri - negeri yang masih punyai kemiskinan tegar di negara ini. Najib tidak pernah merasai kesusahan orang kampung terpaksa menoreh getah dan membuat bermacam - macam kerja untuk menyara anak bini mereka.

5 Billion jika digunakan secara telus dan jujur, sudah pasti ramai keluarga - keluarga yang susah dapat manfaat tersebut. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung yang masih punyai jalan merah. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung tidak punyai signal syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Celcom dan lain - lain. Jangan nafikan. Ini adalah fakta yang boleh kita perolehi jika kita rajin merantau di negeri - negeri yang berada dalam Malaysia ini. Saya orang Semenanjung boleh melihat kemiskinan tegar tersebut. Bagaimana pula dengan mereka yang berada di Sabah dan Sarawak.

Apa salahnya 5 Billion itu disalurkan kepada makanan ruji. Kebanyakkan rakyat Malaysia bekerja sebagai pekerja sektor swasta. Masih ramai diantara mereka jika adanya kenaikan harga gaji, sudah pasti teramat sedikit. Sedangkan harga barang semakin naik menggila. Harga makanan semakin naik. Poket kami semakin kering. Jika benar Belanjawan ini untuk rakyat, salurkan 5 Billion itu kepada makanan ruji. Ini bukan mental subsidi, tapi sebuah kerajaan yang baik adalah sebuah kerajaan yang memikirkan masalah rakyat.

Subsidi jika kena pada tempatnya mampu melahirkan rakyat yang sihat dan tidak kebuluran. Bagi mereka yang sudah kaya - raya pasti akan menganggap subsidi makanan mentaliti yang kuno. Tapi cuba teropong ke bawah, lihatlah orang kampung yang masih ada lagi yang makan makanan yang tidak sihat. Kerana apa? Kerana makanan yang sihat tidak mampu mereka beli kerananya semua sudah mahal.

5 Billion jika disalurkan kepada kos perubatan sudah pasti ianya menyenangkan hati rakyat. Hanya ini mampu membuatkan mereka merasa selesa. Hanya ini mampu membuatkan mereka yakin bahawa kerajaan ini sememangnya mahu melihat rakyatnya sihat. Perbanyakan klinik kesihatan desa. Hanya ini cara mereka mendapat rawatan yang kualiti. Tingkat servis atau perkhidmatan di klinik - klinik desa agar mereka yang sedang sakit demam atau sebagainya tidak menunggu lama. Ini sepatutnya dilakukan oleh kerajaan.

5 Billion jika disalurkan kepada bangunan 100 tingkat hanyalah pembaziran nyata. Jika dibuat pada ketika ekonomi kita sedang gagah dan kuat tidak mengapa. Dalam waktu sekarang, disaat masih ramai lagi yang menagih bantuan kepada 5 Billion itu tidak disalurkan kepada mereka. Kita orang bandar jangan angkuh. Sila lihat apa yang terjadi kepada saudara - mara kita yang berada di kampung. Baik yang Melayu, Cina, India, Iban dan lain - lain.

5 Billion jika disalurkan kepada 100 orang keluarga yang susah. Sudah pasti nilainya lebih bermakna daripada bangunan 100 tingkat. Bangunan yang boleh dibina kemudian hari. Yang penting adalah rakyat. Rakyat yang menjadi aset penting kepada negara. Tanpa rakyat hilanglah Malaysia. Tanpa rakyat siapalah Rosmah?

5 Billion jika disalurkan kepada pendidikan. Mahasiswa dan para pelajar merupakan pemimpin masa depan negara. Golongan sebegini sebenarnya waris negara. Membina waris negara. Bukan membina menara warisan. Sepatutnya peruntukan untuk membina menara tersebut di salurkan kepada kalangan mahasiswa.

Diberi biasiswa kepada mahasiswa atau golongan yang kurang kemampuan. Mengurangkan yuran pembelanjaan mahasiswa di kampus- kampus. Membina penempatan yang secukupnya kepada mahasiswa. Membina infrastuktur di universiti supaya pembelajaran menjadi lebih lancar.

Rakyat ternyata susah dengan pembinaan menara warisan yang belum pasti lagi fungsinya. Projek ini hanyalah alasan untuk meluluskan proses mengeluarkan duit negara kemudian di masukkan ke poket masing- masing.

Jika kerajaan prihatin, hapuskan segala bayaran di sekolah- sekolah. Beri bantuan kepada semua sekolah sama ada sekolah kerajaan atau sekolah agama rakyat(SAR). Malu jika sebuah kerajaan negeri mampu memberi pelbagai bantuan. Kerajaan pusat sepatutnya mampu buat lebih daripada itu.

Buat rakyat Malaysia yang punya otak dan akal. Berfikirlah dengan baik. Kita sebagai rakyat Malaysia semakin terdesak. Kita semakin kurang duitnya dalam poket kita. Apa yang perlu kita buat. Ubah sebelum parah!! Kita ubah kerajaan. Semoga Islam terus gemilang dan tetap tinggi menjulang.


Oleh:
MOHD YUSOF HADHARI
Ketua Penerangan
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Bantahan Kenaikan Harga Petrol, Diesel, LPG dan Gula

Pada 4 Disember 2010, masyarakat dikejutkan dengan kenaikan harga barangan iaitu petro, diesel dan juga gula. Namun, bagi menggaburi mata masyarakat, media menggunakan istilah "Pengurangan subsidi bagi petrol, diesel dan juga gula." Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 adalah RM1.90 seliter, RON97 RM2.30 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg.

Alasan pengurangan subsidi itu adalah kerajaan ingin menguruskan kedudukan fiskalnya dengan meningkatkan jumlah kutipan hasil dan dalam masa yang sama, mengurangkan perbelanjaan. Malah, kerajaan melihat pengurangan subsidi tersebut dapat mengurangkan lagi kes penyeludupan barangan tersebut ke negara-negara jiran. Namun, alasan ini dilihat tidak relevan bersesuaian dengan tindakan kerajaan itu sendiri, sebagai contoh pembinaan Menara 100 tingkat, yang akan menelan belanja RM5 billion, kos permulaan penubuhan PEMANDU yang menelan belanja RM66 juta, dan bakal membeli aset baru iaitu pesawat pejuang.

Kenaikan harga barangan tersebut telah memberi kesan buruk kepada kehidupan masyarakat umum kerana dilihat telah membebankan mereka dan menaikkan belanjawan seharian bagi seisi keluarga. Malah, pengurangan subsidi itu juga telah memberi tempias kepada mahasiswa, seperti kenaikkan harga rumah sewa dan perbelanjaan yang lain.

Oleh itu, MAHASISWA akan bersama RAKYAT bagi menyuarakan HAK mereka ini. Pungutan suara ini diperlukan untuk bersama-sama menyuarakan BANTAHAN atas kenaikan harga barangan tersebut.

Suarakan HAK dan BANTAHAN anda di sini

Wednesday, July 7, 2010

'M'sia bukan masyarakat judi'

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa kerajaan pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus.

Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut:

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa 'tindakan pemerintah terikat dengan maslahah'. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri.

Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi'i r.h: “Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).

Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?

Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu.

Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima.

Al-Quran menyebut: (maksud) “Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia.

Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima.

Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada 'dilesenkan' atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan.

Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain.

Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi.

Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa 'judi adalah budaya kami', atau 'kebanggaan hidup kami'.

Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi.

Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama.

Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang.

Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah 'tauke' sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen.

Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat 'hisap candu berlesen' untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen?

Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah cadangan ini!

Monday, July 5, 2010

Mansuhkan AUKU

Pada 4 Jun 2010, Saudari Soh Sook Hwa yang memohon ulasan judisi ke atas kes AUKU (Akta Universiti dan kolej Universiti 1971) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan telah ditolak oleh Makahmah Tinggi. Oleh itu, saudari Soh harus membayar kos pentadbiran mahkamah sebanyak RM3000 dalam tempoh masa 30 hari atas perjuangan saudari Soh untuk menuntut hak dan kebebasan semua mahasiswa. Saudari Soh dikenakan tindakan tatatertib universiti dengan hukuman denda sebanyak RM200 dan diberikan amaran keras atas sebab saudari dituduh berkempen untuk calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua di kawasan Parlimen Batu, Kuala Lumpur. Namun demikian, sembilan pensyarah universiti telah membayar RM200 sebagai sokongan ke atas saudari Soh pada masa itu. Tindakan saudari Soh merupakan kes pertama mahasiswa yang mencabar kesahihan AUKU ,terutamanya dalam kandungan AUKU yang melarang ahli akademik dan mahasiswa terbabit dalam politik tanpa kebenaran pihak universiti terlebih dahulu.

Soh juga membuat permohonan untuk semakan terhadap keputusan kementerian yang menolak rayuannya berhubung tindakan yang dikenakan oleh lembaga disiplin USM. Soh memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 15 AUKU – yang melarang mahasiswa meyertai persatuan atau parti politik – dan beberapa peruntukan lain dalam peraturan dan tatatertib USM sebagai akta yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Kes makahmah ditangguhkan atas masalah teknikal kehakiman sepanjang 5 tahun. Akhirnya, pada 4 Jun 2010 Makahmah Tinggi atas hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh telah menolak permohonan saudari Soh Sook Hwa untuk membuat semakan kehakiman terhadap AUKU atas dua sebab, iaitu prosiding USM terhadap saudari Soh adalah tidak bercanggahan dan Akta ke-15 dalam AUKU telah digubalkan oleh kementerian.

Empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM; Sdr Hilman Idham (Presiden), Sdr Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Sdri Azlin Shafina Adzha (Setiausaha Agung) dan Sdr Woon King Chai (Exco) telah ditahan oleh pihak polis pada 22 April 2010, di Pekan Rasa dan Ampang Pecah semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Perlimen Hulu Selangor. Dengan ini, kami bersama front-front dan juga pergerakan mahasiswa yang lain melihat tindakan yang dikenakan ke atas pelajar UKM ini merupakan suatu tekanan yang bukan sahaja ke atas mereka tetapi juga kepada seluruh pergerakan mahasiswa Malaysia. Kami yakin bahawa tindakan ini adalah untuk menyekat dan menakutkan seluruh pergerakan mahasiswa bahawa tindakan keras akan diambil terhadap mereka sekiranya mereka terus lantang menyuarakan hak dan pandangan masing-masing. Tindakan ini juga dilihat untuk mematikan fungsi mahasiswa sebagai pendesak dalam masyarakat.

Kami juga kesal dan hampa dengan peraturan universiti yang menyekat hak dan kebebasan akademik pelajar dalam mengorientasikan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik kuliah. Ini jelas ditunjukkan oleh HEP UKM yang mendakwa pelajar ini sedangkan pelajar yang dituduh adalah Mahasiswa Jurusan Sains Politik. Kami merasa kecewa kerana mahasiswa yang mengambil jurusan Sains Politik sendiri tidak dibenarkan dan hadir untuk menyaksikan pilihan raya untuk pengaaplikasian dan memperkukuhkan pemahaman di dalam kos yang mereka ambil dan ini jelas bertentangandengan hak dan kebebasan akademik mahasiswa itu sendiri. Kami dan front-front mahasiswa yang lain dengan lantang mendesak agar pihak Hal Ehwal Pelajar UKM menarik balik segala pertuduhan yang dikenakan ke atas pelajar yang berkenaan kerana telah menyimpang daripada norma-norma kebebasan akademik dan hak dan kebebasan untuk bergerak selaku warganegara di Malaysia ini.

Mahasiswa/i Bersama Rakyat Membantah GST, Cukai Yang Memiskinkan Rakyat

Tahun 2010; Dunia dan negara masih belum keluar dari kemelut Krisis Ekonomi yang melanda kita tahun lepas. Ramai mahasiswa/i dan pekerja yang masih belum mendapat kerja, ditambah pula dengan masalah rumah di lelong, harga barangan naik dan melalui keadaan dimana, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dalam keadaan ini, Kerajaan Malaysia hendak mengimplementasi Cukai GST iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Dalam keadaan 80% rakyat Malaysia tidak bayar cukai sebab pendapatan mereka kurang dari RM 3000, kerajaan Malaysia hendak memaksa semua rakyat tidak kira tua, muda, kurang upaya, pelajar, miskin, kaya, semua orang untuk membayar cukai.

Alasannya, defisit kerajaan perlu dikurangkan dan pendapatan negara harus ditingkatkan. Namun, persoalannya adakah rakyat punca defisit kerajaan? Pastinya tidak. Punca defisit kewangan kerajaan ialah korupsi, penyalahgunaan kuasa, projek yang tidak bermaanfaat, bail out, politik wang dan pembaziran. Semua ini bukan dilakukan oleh rakyat biasa, tetapi pemimpin kerajaan dan kroni-kroni mereka. Maka kenapa pula rakyat perlu menanggung akibatnya? Bukankah kerajaan adalah untuk rakyat dan bukannya sebalik?

Mengikut laporan Model Ekonomi Baru, Malaysia adalah sebuah negara yang berpendapatan rendah dimana 80% rakyat mendapat pendapatan RM 3000 dan 40% daripada mereka mendapat pendapatan RM 1500 sahaja sebulan. Dalam laporan ini juga dikatakan jurang diantara kaya dan miskin di Malaysia semakin melebar. Mengikut laporan UNDP 1997 dan Laporan United Nations Human Development 2004, Malaysia mempunyai jurang pendapatan yang tertinggi di Asia Tenggara, lebih daripada Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia. Laporan ini mengatakan, 10% orang kaya di Malaysia mengawal 38.4% kekayaan negara manakala 10% yang termiskin hanya menikmati 1.7% kekayaan negara.

Dalam keadaan ini, adakah patut Cukai GST yang membebankan rakyat diperkenalkan? Bukankah Cukai GST akan miskinkan rakyat kerana rakyat perlu bayar cukai untuk segala barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang diguna? Lagipun dengan pengenalan cukai GST, sudah tentu harga barangan akan meningkat dan akan membawa kepada inflasi. Walaupun kerajaan kata harga barangan tidak akan naik, tetapi pengalaman negara lain menunjukkan ia tidak benar. Rancangan kerajaan adalah untuk melaksanakan Cukai GST dan mengurangkan cukai pendapatan individu dan syarikat. Adakah ini sesuatu yang adil dalam negara dimana 80% penduduknya tidak mampu membayar cukai? Bukankah ini satu tindakan yang akan membebankan rakyat?