Thursday 28 July 2011

Program Pemutihan : Tinggal 5 hari lagi tetapi 1.3 Juta PATI belum daftar

Sumber: Utusan Malaysia 28/Julai/2011

Ke manakah mereka? Tinggal lima hari lagi Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah berakhir tetapi lebih 1.3 juta pekerja asing yang sepatutnya mengambil peluang pendaftaran itu belum berbuat demikian.

Sehingga Selasa, hanya 390,404 daripada 1.75 juta pekerja asing mendaftar sejak program bermula 13 Julai lalu, sedangkan Kementerian Dalam Negeri menegaskan tempoh akhir Ahad ini tidak akan dilanjutkan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk memberikan ‘keistimewaan’ kepada majikan dan pekerja asing yang mendaftar awal dalam program berkenaan.

“Saya sedang mempertimbangkan bila masa program pemutihan nanti, kita beri keutamaan kepada majikan yang memerlukan pekerja asing kepada majikan yang mendaftar awal.

“Lagi lambat (majikan mendaftar), lagi susah dia nak dapat pekerja asing. Jangan salahkan saya kerana bila kita suruh mereka buat, mereka liat nak pergi tetapi bila nak pekerja asing, macam-macam alasan diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan operasi pendaftaran pekerja asing sah di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini.

Hishammuddin berkata, program yang dilaksanakan kerajaan itu bukan bertujuan untuk berseronok atau menyusahkan orang ramai sebaliknya, ia mempunyai agenda yang lebih besar terutamanya dalam menjamin keselamatan negara.

Katanya, program transformasi besar-besaran Jabatan Imigresen itu juga dapat menangani pelbagai masalah dan cabaran, antaranya mengatasi situasi kemungkinan pekerja sah lari meninggalkan majikan asal untuk menyertai Program Pemutihan, membendung isu pemerdagangan manusia dan sebagainya.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga dapat mengetahui jumlah sebenar pekerja asing di negara ini, yang kemudiannya akan disalurkan ke sektor-sektor tertentu mengikut jumlah keperluan mereka.

“Bagi pekerja asing yang masih mempunyai permit yang sah dan lari daripada majikan, kita akan senaraihitamkan mereka dan tidak akan dibenarkan menyertai Program Pemutihan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu supaya tidak mengambil kesempatan terhadap program yang dilaksanakan kerajaan itu untuk mengaut keuntungan kerana ia boleh menjejaskan nama negara.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, walaupun jumlah yang mendaftar masih kurang, beliau percaya angka itu akan meningkat dalam tempoh beberapa hari lagi kerana mengikut rekod Jabatan Imigresen, terdapat 1.75 juta pekerja asing sah yang bekerja di negara ini.

Katanya, setakat ini beliau berpuas hati dengan operasi pendaftaran itu di kesemua 37 pejabat imigresen seluruh negara kerana purata tempoh yang diambil bagi mendaftar seseorang pekerja asing hanya mengambil masa dua minit sahaja.

“Secara umumnya saya berpuas hati dengan operasi pelaksanaan pendaftaran yang dilaksanakan di semua pejabat Imigresen seluruh negara khususnya komitmen tinggi yang ditunjukkan setiap petugas Jabatan Imigresen yang sanggup bekerja sehingga lewat malam termasuk beroperasi 24 jam,” katanya.

Monday 25 July 2011

PROGRAM PEMUTIHAN 6P (PENDATANG TANPA IZIN )

APAKAH PROGRAM 6P?
Program 6P adalah singkatan bagi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin. Ia adalah satu pakej program yang menggabungkan beberapa syor yang dikemukakan oleh Makmal Pengurusan Warga Asing (MPWA) sebagai pendekatan terkini oleh Kerajaan untuk memantapkan pengurusan warga asing di Malaysia.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN 6P?
Angka enam (6) pada nama Program 6P itu membawa maksud kepada enam peringkat pelaksanaan yang akan digerakkan sepanjang tempoh program ini, bermula dengan
PENDAFTARAN, PEMUTIHAN, PENGAMPUNAN, PEMANTAUAN, PENGUATKUASAAN dan PENGUSIRAN.



APA YANG AKAN DILAKUKAN KERAJAAN PADA SETIAP PERINGKAT TERSEBUT?


PERINGKAT 1: PENDAFTARAN
Pada peringkat ini, proses pendaftaran akan dilaksanakan untuk tujuan mendaftarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia, dan menerusi kaedah ini, Kerajaan berpeluang mendapatkan maklumat majikan PATI, selain rekod peribadi serta data biometrik PATI yang merupakan elemen teras bagi rasional pelaksanaan program ini. Tindakan ini selari dengan inisiatif Kerajaan untuk mewujudkan pangkalan data komprehensif bagi setiap warga asing di Malaysia, sekali gus membolehkan proses pemantauan dilaksanakan secara lebih berkesan, termasuklah usaha membabitkan penyelesaian dalam menangani isu pemalsuan identiti serta dokumen yang selama ini mudah dipalsukan akibat tiada rekod biometrik.

PERINGKAT 2: PEMUTIHAN
Pada peringkat ini, setiap PATI yang telah berdaftar menerusi program ini akan dikenal pasti jika wujud keperluan untuk mengekalkan mereka dalam sektor tertentu yang mempunyai penawaran kekosongan kerja membabitkan pekerja asing. Jika hasil pertimbangan mendapati PATI yang terbabit sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut, maka mereka akan diputihkan dan seterusnya dijadikan pekerja asing yang sah dengan senarai majikan yang berdaftar. Bagaimanapun, proses pemutihan ini hanya akan dipertimbangkan untuk sektor serta sumber negara yang tersenarai dalam dasar penggajian pekerja asing dan yang pernah diberikan kebenaran khas kerajaan termasuk sub-sektor yang sedang dibekukan. Pada masa yang sama, proses pemutihan ini juga akan mengambil kira kelayakan majikan berdasarkan keperluan semasa mengikut sektor dan sub-sektor yang akan ditentukan oleh kementerian/agensi kawal selia.

PERINGKAT 3: PENGAMPUNAN
Pada peringkat ini PATI yang tidak tersenarai untuk diputihkan, atau PATI yang secara sukarela memilih untuk pulang ke negara asal mereka masing-masing akan diampun dan dibenarkan pulang atas kos sendiri tanpa dikenakan sebarang bentuk tindakan. Bagaimanapun, pengampunan ini hanya terhad kepada PATI yang melakukan kesalahan imigresen sahaja.

PERINGKAT 4: PEMANTAUAN
Pada peringkat ini, naziran ke premis-premis majikan seluruh negara akan dilakukan untuk memberi nasihat kepada majikan, selain pada masa sama menerangkan implikasi tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melindungi pekerja berstatus PATI yang tidak berdaftar dengan Program 6P. Antara lain, majikan serta PATI yang berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa kepada hukuman denda sehingga RM1 juta.

PERINGKAT 5: PENGUATKUASAAN
Pada peringkat ini, operasi penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan secara besar-besaran dan digerakkan dengan tujuan untuk mengesan serta menangkap PATI serta majikan yang dikenal pasti masih melakukan kesalahan imigresen.

PERINGKAT 6: PENGUSIRAN
Di peringkat terakhir ini, PATI yang telah ditangkap melalui operasi penguatkuasaan bersepadu akan dikenakan tindakan undang-undang sebelum diusir keluar dari Negara ini. Oleh kerana kos bagi proses pengusiran ini ditanggung menggunakan peruntukan Kerajaan, maka setiap PATI yang diusir akan turut sama disenaraihitamkan daripada kebenaran untuk masuk semula ke negara ini.

  SIAPAKAH YANG PERLU MENDAFTAR BAGI PROGRAM 6P INI?
Berikut adalah empat kategori warga asing yang perlu mendaftar/didaftarkan:
  1. Semua warga asing yang telah masuk ke Malaysia tanpa izin dan kini tinggal serta bekerja di Negara ini secara tidak sah;
  2. Semua warga asing yang masih tinggal di Malaysia selepas pas atau permit kerjanya tamat tempoh atau dibatalkan;
  3.  Semua warga asing yang telah menyalahgunakan permit masuk, pas atau dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan;
  4.  Semua warga asing yang melanggar syarat pas atau permit seperti yang ditetapkan undang-undang Malaysia.
ADAKAH TANGGUNGAN PATI JUGA PERLU DIDAFTARKAN?
Jika tanggungan PATI bertaraf bukan warganegara, maka mereka juga perlu didaftarkan. Bagaimanapun, untuk proses selanjutnya, mereka perlu pulang dahulu ke negara asal bersama ibu atau ayah masing-masing sebelum masuk semula ke negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial untuk tujuan melawat bagi tempoh dibenarkan.



APAKAH ADA BAYARAN UNTUK PROSES PENDAFTARAN?
Tiada – jika pendaftaran dibuat di pejabat Imigresen.
Ya – caj perkhidmatan akan dikenakan jika pendaftaran dibuat dengan syarikat pengurus. Senarai bayaran akan dimaklumkan kelak.

APAKAH MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN KETIKA PENDAFTARAN?
Berikut adalah senarai maklumat yang akan diambil ketika proses pendaftaran:
i. Nama;
ii. Gambar;
iii. Cap 10 jari tangan kanan dan kiri;
iv. Nombor passport/dokumen perjalanan;
v. Waeganegara;
vi. Jantina;
vii. Tarikh lahir;
viii. Maklumat majikan (nama, no. kad pengenalan, nombor telefon, alamat, e-mel, dan sektor pekerjaan);
ix. Pengesahan kebenaran maklumat oleh majikan; dan
x. Tujuan mendaftar – sama ada untuk bekerja (diputihkan), untuk pulang ke negara asal (diampun dan tidak dikenakan tindakan/hukuman); atau lain-lain tujuan.

SIAPAKAH YANG AKAN MENGURUSKAN URUSAN PENDAFTARAN 6P INI?
Selain pihak Imigresen, Kerajaan turut melantik sekumpulan SYARIKAT PENGURUS untuk membantu urusan pendaftaran PATI sepanjang tempoh pelaksanaan program ini. Tawaran untuk permohonan telah dibuka kepada umum menerusi iklan khas pada 7 hingga 10 Jun lalu dan sehingga ditutup, sejumlah 1,350 permohonan diterima. Keputusan pemilihan akan diputuskan satu jawatankuasa khas yang diangotai 17 wakil daripada pelbagai bahagian seperti senarai berikut:
i. Kementerian Dalam Negeri (KDN);
ii. Jabatan Imigresen;
iii. Kementerian Sumber Manusia (KSM);
iv. Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia;
v. Polis Di Raja Malaysia (PDRM);
vi. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.



Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi nombor yang tertera:
016-2286392/012-2008174/016-2286285/03-89939840/016-2115871