Utusan Malaysia, 6 mac 2007


Oleh MERAN ABU BAKAR

CHEF Joseph Yong dan Chef Razali Abdullah bersama pekerja dan sebahagian hidangan di Kafe Pak Adam.

MENIKMATI hidangan yang sama setiap hari boleh menjemukan. Sesekali hendak juga mencuba hidangan lain seperti makanan Cina, India atau Barat.

Namun masalahnya apabila teringin hendak memakan makanan Cina, berasa was-was pula sama ada makanan yang dihidangkan itu halal atau tidak.

Hendak makan di restoran hotel lima bintang, tidak mampu kerana harganya pasti mahal. Jadi ke manakah tujuan anda? Apa kata jika anda berkunjung ke Kafe Pak Adam yang terletak di Taman Shamelin Perkasa, Cheras dan pilihlah makanan Cina mana yang anda suka.

Bagi mereka yang telah biasa menikmati makanan di sini, mereka akan datang semula dan kedudukannya yang agak tersorok tidak menjadi masalah.

Kafe yang dibuka pada bulan Oktober 2005 ini merupakan salah satu cabang perniagaan yang dimiliki oleh empat rakan kongsi. Salah seorang daripadanya ialah Muhammad Adam bin Abdullah, saudara baru berbangsa Cina. Bagaimanapun semasa berkunjung ke kafe tersebut baru-baru ini, Muhammad Adam tiada kerana ke luar negara.

Menurut pembantu chef Kafe Pak Adam, Razali Abdullah, kafe tersebut khusus menghidangkan makanan Cina Muslim memandangkan terlalu kurang restoran yang menghidangkan makanan Cina yang halal dimakan oleh masyarakat Islam.

“Kebanyakan makanan Cina yang halal hanya boleh didapati di restoran hotel lima bintang dan sudah tentulah harganya mahal. Cuma mereka yang mampu sahaja boleh makan di hotel,’’ kata Razali.

Makanan Cina

Beliau menambah, kafe tersebut mahu memberi peluang kepada semua orang untuk menikmati makanan Cina yang halal.

“Di antara hidangan yang popular di sini ialah sayur campur, nasi ayam kukus, mee Hokkien, nasi goreng kantonis dan banyak lagi.

“Kesemuanya dihidangkan panas-panas dan makanan seperti ini tidak terdapat di restoran Melayu di mana makanannya dimasak lebih awal,’’ ujar Razali lagi.

Beliau berkata, sejak kafe tersebut dibuka, didapati ramai pelanggan Melayu yang menyukai cara hidangan begini yang nampak segar dan menyelerakan.

Dua orang chef ditugaskan untuk memasak hidangan yang dipesan pelanggan, iaitu ketua chef, Joseph Yong dan Razali sendiri. Selain memasak, Razali juga ditugaskan untuk membeli bahan-bahan yang hendak dimasak.

Kafe tersebut yang dibuka dengan modal lebih RM100,000 memulakan operasinya daripada pukul 10 pagi hingga 10 malam. Ia menjadi tumpuan pelanggan Melayu dan Cina pada waktu makan tengah hari, sementara pada waktu malam ramai yang datang untuk minum-minum atau lepak.

Razali berkata, pada waktu malam, pelanggan suka menikmati hidangan Barat yang turut dihidangkan di sini. Di antara yang boleh dipilih ialah chicken chop, fish & chip, black pepper steak, lamb chop dan sebagainya.

“Semasa mula-mula dibuka dahulu, Kafe Pak Adam menghidangkan masakan nyonya dan pulut kuning. Namun menu seperti itu tidak begitu popular dan kami mengambil keputusan untuk menghidangkan makanan Cina Muslim,’’ jelas Razali.

Kafe Pak Adam juga menerima tempahan untuk katering atau mengadakan majlis di sini. Kafe boleh memuatkan sehingga 300 orang bagi majlis yang hendak diadakan di sini.

Kepada anda yang ingin menikmati makanan cina muslim atau ingin mengadakan majlis di Kafe Pak Adam, boleh menghubungi Razali di talian 014-6642100 atau 03-92836163
Hit: 10 Laman Asal