Pembangunan Sahsiah

Assalamualaikum w.b.t , pertama sekali syukur kehadrat illahi kerana dengan limpah dan kurnianya kita masih diberi peluang untuk menikmati kehidupan didunia ini , tetapi beringatlah bahawa dunia ini hanya pinjaman yang sementara , akhirat adalah kekal abadi. Terima kasih kerana sudi buka dan baca ruangan ini . in shaa Allah saya akan cuba untuk berkongsi sedikit pengalaman atau pembelajaran dalam PENDIDIKAN AWAL KANAK KANAK. Antara subjek yang ada dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak ialah Pembangunan sahsiah.





Pembangunan ialah perihal membangun, proses membangun (mencapai kemajuan, perkembangan atau satu usaha atau kegiatan membangunkan (memajukan dan mengembangkan sesuatu). Pembangunan sahsiah adalah merangkumi penampilan fizikal, sikap, tingkah laku, pemikiran, perasaan, sosial dan rohani individu. Pembangunan sahsiah juga membawa maksud iaitu membina akhlak, peribadi dan tingkah laku dengan matlamat melahirkan seseorang itu bertamadun, intelek, murni dan berdaya maju. Berpandukan kesemua aspek yang dikemukakan, seseorang individu boleh dinilai sahsiahnya dengan adanya elemen-elemen ini. Dalam perspektif Islam, pembangunan sahsiah bukan sahaja dilihat dari aspek jasmani, tetapi juga merangkumi seluruh aspek rohani, naluri dan akal individu. Menurut Shahabuddin dan Rohizan (2007), sahsiah juga bermaksud akhlak . Akhlak terbahagi kepada dua bahagian iaitu akhlak terpuji dan akhlak tercela. Islam memberi penekanan penting kepada kedua-dua akhlak tersebut. Selalunya individu yang mempunyai sahsiah atau akhlak yang baik menunjukkan penampilan fizikal yang kemas, sikap yang beramah mesra, tingkah laku yang boleh diterima oleh norma dan nilai masyarakat, dapat mengawal perasaan diri, boleh bergaul mesra dengan orang lain serta memegang kepada nilai agama sendiri. Manakala, individu yang dikatakan mempunyai sahsiah yang bermasalah lebih cenderung kepada masalah disiplin, tingkah laku devian , penyalahgunaan dadah dan memegang nilai-nilai atau budaya yang bercanggah dengan norma masyarakat. Guru merupakan penggerak utama dalam membangunkan sahsiah murid-murid serta menjadi role model dalam membangunkan modal insan yang bersahsiah dan berakhlak mulia. Konsep pembangunan sahsiah harus disemai dan diamalkan dalam diri setiap pendidik sebagai satu misi yang penting demi membangunkan keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Sebelum membentuk sahsiah murid-murid, pendidik terlebih dahulu perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi oleh murid-murid. Guru mempunyai peranan paling penting, khususnya dalam mengawal keseimbangan moral murid, bertanggungjawab dalam mengawasi disiplin murid, agar mereka tidak hanyut dalam arus pembangunan kemewahan kebendaan yang begitu pesat pada masa ini.


Search This Blog

Powered by Blogger.

Blog Archive