Tuesday 6 December 2011

HIJRAH KE MADINAH







Pengertian Hijrah

Murid-muridku,tahukah kamu,apakah erti Hijrah? 
Hijrah bererti berpindah. Apa yang dimaksudkan dengan Hijrah di sini ialah perpindahan Nabi Muhammad S.A.W. dengan sahabat-sahabatnya dari Makkah ke Yathrib (Madinah) yang berlaku dalam bulan September tahun 622 Masihi bagi tujuan menegakkan agama Islam.




Mengapakah berlakunya Hijrah

1.          Perintah dari Allah.

2.    Tekanan yang begitu kuat dari orang Quraisy menyebabkan orang-orang Islam tidak tertahan untuk terus tinggal di Makkah.

2.  Sikap orang-orang Arab yang begitu keras menentang dengan kejam menyebabkan Rasulullah S.A.W. mendapati begitu sukar untuk meneruskan usaha penyebaran Islam kepada orang-orang Arab.

4.  Adanya ajakan dan gesaan dari penduduk-penduduk Madinah supaya Rasulullah S.A.W. berpindah sahaja ke Madinah untuk meneruskan tugas risalah baginda. Di sana mereka sentiasa menanti-nanti akan kedatangan Nabi S.A.W. dan ingin memeluk agama baru itu. Bahkan mereka juga berjanji akan membantu Nabi S.A.W. dalam hal penyebaran agama Islam.

5.  Adanya satu pakatan jahat orang-orang Arab Quraisy untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W.

Detik-detik Sebelum Penghijrahan Nabi

Orang Islam yang tinggal di Makkah pada ketika itu,telah diperintahkan untuk berhijrah ke Madinah selepas dipulau dan diseksa oleh kafir Quraisy. Rasulullah S.A.W, Abu Bakar bin Abu Qhuzafah dan Ali Bin Abu Talib, dan juga sahabat-sahabat tetap berada di Makkah menunggu keizinan untuk berhijrah.

Abu Bakar seringkali meminta izin kepada Rasulullah untuk berhijrah ke Madinah namun Baginda bersabda kepadanya, "Janganlah engkau terburu-buru, mudah-mudan Allah memberimu teman untuk berhijrah."  Abu Bakar berharap kiranya orang yang dimaksudkan  Rasulullah S.A.W. adalah dirinya.  Kemudian dia membeli dua ekor unta, menambat kedua-duanya di rumahnya dan memberinya makan dengan cukup sebagai persiapan untuk hijrah.

Pertemuan sulit dikalangan  Pembesar Quraisy Mengenai Rasulullah S.A.W.

Orang-orang Quraisy mula berasa bimbang dan khuatir. Ini disebabkan kaum muslimin telah mendapat tempat dan perlindungan di Madinah.  Oleh itu mereka berwaspada terhadap penghijrahan Rasulullah S.A.W. ke Madinah.  Mereka segera mengadakan mesyuarat tergempar di Dar an-Nadwah, iaitu rumah milik Qushai bin Kilab. 




Perhimpunan tersebut turut disertai oleh Iblis laknatullah yang menunjukkan dirinya sebagai seorang lelaki tua dari Najed. Dalam perbincangan tersebut akhirnya mereka bersetuju dengan cadangan Abu Jahal supaya dikumpulkan seorang pemuda dari setiap kabilah untuk membunuh Rasulullah S.A.W. secara serentak agar Bani Abdu Manaf tidak mampu membalas dendam dan memerangi kesemua kaum Quraisy.

Perintah Rasulullah S.A.W.  terhadap Ali (r.a.) Menggantikan baginda  di atas katil 

Pada malam yang telah dirancangkan, para pemuda pilihan Quraisy berkumpul di pintu rumah Rasulullah S.A.W. untuk mengintip bila agaknya Baginda tidur. Jika Baginda telah tidur mereka akan menyerang Baginda dengan tiba-tiba. Tetapi rancangan jahat mereka awal-awal lagi telah diketahui oleh Baginda sebab malaikat Jibril telah datang menemui Baginda kemudian berkata, "Pada malam ini janganlah engkau tidur di bilik yang selalu engkau gunakan." Oleh itu Baginda mengarahkan Ali bin Abu Talib untuk tidur di tempat kamar Baginda dengan berkata, "Tidurlah di bilik tidurku dan pakailah selimutku ini, kerana sesungguhnya tindakan mereka yang engkau benci tidak akan menimpamu."

Rasulullah Keluar Dari Rumah

Rasulullah S.A.W. keluar dari rumah. Baginda mengambil segenggam pasir. Rasulullah S.A.W. menabur pasir ke atas kepala mereka sambil membaca Yassin: 1-9
يس. وَالْقُرْآنِ الْحَكِيم. إِنَّكَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ. عَلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ. تَنْزِيلَ الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ. لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أُنْذِرَ آبَاؤُهُمْ فَهُمْ غَافِلُونَ. لَقَدْ حَقَّ الْقَوْلُ عَلَىٰ أَكْثَرِهِمْ فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ. إِنَّا جَعَلْنَا فِي أَعْنَاقِهِمْ أَغْلَالًا فَهِيَ إِلَى الْأَذْقَانِ فَهُمْ مُقْمَحُونَ. وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ. 
Tidak lama setelah itu seorang pembesar Quraisy datang menemui pemuda-pemuda tadi dan berkata kepada mereka, "Apa yang kamu semua sedang tunggu?" Mereka menjawab, "Kami sedang menunggu Muhammad." Orang tersebut berkata, "Allah telah menggagalkan kita. Demi Allah, Muhammad telah keluar dari rumahnya, sambil dia menaburkan tanah ke atas kepala kamu semua.pemuda-pemuda tadi pun meletakkan tangan masing-masing ke atas kepala mereka dan mendapati tanah di atas kepala.  Mereka mengintai ke dalam rumah dan mendapati Ali bin Abu Talib berada di bilik tidur Rasulullah S.A.W. dan mengenakan selimut Baginda. Ketika itulah Allah mengizinkan Nabi berhijrah.

Baginda terus ke rumah Abu Bakar. Kemudian mereka keluar melalui pintu rahsia di belakang rumah Abu Bakar menuju ke gua Thur. 

Bersembunyi Di Gua Thur



Sesampainya mereka di gua Thur, Abu Bakar berkata, "Demi Allah, Rasulullah jangan masuk, kecuali setelah aku masuk dahulu. Sekiranya ada sesuatu yang bahaya biar kena kepadaku dahulu." Lalu beliau masuk ke dalamnya dan membersihkannya. Abu Bakar menutup lubang-lubang yang terdapat dalam gua tersebut dengan kain, kecuali sebuah lubang tidak dapat ditutup sebab beliau kehabisan kain. Lalu beliau menutup lubang tersebut dengan kakinya kemudian barulah beliau mempersilakan Rasulullah masuk ke dalam gua. 






Setelah Baginda masuk, Abu Bakar meletakkan kepala Baginda yang mulia ke ribanya hingga Baginda terlena. Seekor binatang berbisa telah menyengat kaki Abu Bakar yang digunakan untuk menutup lubang. Abu Bakar menahan kesakitan dan tidak sanggup menggerakkan kakinya agar Rasulullah S.A.W. tidak terbangun daripada tidur. Namun kerana tersangat sakit, air matanya terjatuh ke muka Rasulullah lantas Rasulullah terjaga dan berkata, "Apa hal diri kau wahai Abu Bakar? Kenapa engkau menangis wahai Abu Bakar?" Abu Bakar menjawab, "Ya Rasulullah, binatang berbisa yang ada dalam lubang ini menggigit kakiku ya Rasulullah. Rasulullah mengeluarkan  air liurnya dan membacakan kalimah:


 بِسمِ اللهِ ، تُرْبَةُ أرْضِنَا ، بِرِيقَةِ بَعْضِنَا ، يُشْفَى بِهِ سَقِيمُنَا ، بإذْنِ رَبِّنَا 

"Dengan nama Allah, dengan tanah bumi kami, dengan do’a penawar sebahagian dari kami, sembuhkanlah sakit kami dengan izin Tuhan kami."

Rasulullah menekankan ibu jarinya ke langit-langit dan menekankan ke tanah dan menyapukan ke  bekas  gigitan di kaki Abu Bakar. Di saat ubat masuk, lantas serta merta kesakitan yang dihidapi oleh Abu Bakar hilang.

Orang-orang Quraisy tiba  di Gua Thur

Ketika Rasulullah S.A.W. tidur di pangkuan Abu Bakar maka Allah SWT mengutuskan tenteranya, sebagai pengawal Rasulullah S.A.W. iaitu sarang labah-labah. Kemudian Allah mengilhamkan kepada burang merpati liar supaya membuat sarangnya, dan di saat itu juga mengeramkan telurnya. Sehinggakan sekiranya orang-orang kafir Quraisy datang mencari Rasulullah S.A.W. mereka merasa tidak yakin kalau ada orang di dalam gua.  Kemudian Allah menumbuhkan pokok kayu di hadapan pintu gua yang membuatkan orang-orang yang mencari Nabi merasa tidak yakin jika ada orang di dalam gua. 

Beberapa orang Quraisy  tadi sempat sampai ke pintu gua Thur, namun Allah SWT berkuasa di atas segala sesuatu. Ketika orang-orang kafir Quraisy telah sampai menuju ke pintu gua, di saat itu Abu Bakar merasa resah dan gelisah. 

Beliau berkata kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah! sekiranya salah seorang daripada mereka tunduk dan memandang ke hujung kaki mereka nescaya mereka akan melihat kita."

Rasulullah bersabda, "Bagaimana pendapatmu, wahai Abu Bakar, tentang dua orang (yang sedang bersembunyi), yang Allah adalah yang ketiganya?  Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah berserta kita." 

Akhirnya Abu Bakar menjadi tenang. Dengan kehendak Allah SWT, orang-orang kafir Quraisy tersebut berasa ragu-ragu yang Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di dalam gua tersebut sebab terdapatnya sarang labah-labah yang tetap utuh tidak terkoyak merentangi pintu gua, di samping itu,  burung merpati liar sedang mengeramkan telurnya di depan pintu gua. Justeru itu mereka terus beredar meskipun hanya beberapa langkah sahaja dari situ Rasulullah S.A.W. sedang bersembunyi.


Mengenai peristiwa ini Allah SWT menurunkan ayat al-Quran (at-Taubah:40)

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ


Jikalau kalian tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berkata kepada temannya, ‘Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita.’ Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kalian tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 40)
Mereka bersembunyi di gua Thur selama tiga malam. Sepanjang mereka berada di situ, anak lelaki Abu Bakar, iaitu Abdullah bin Abu Bakar bertindak sebagai pemberi maklumat, menyampaikan berita kegiatan Quraisy Makkah. Di siang hari beliau berada di tengah-tengah orang Quraisy untuk mendengar apa yang mereka rencanakan tentang Rasulullah dan Abu Bakar. Pada tengah malam, ia pergi ke gua menceritakan apa yang ia dengar kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Di hujung malam beliau keluar dari gua dan berada di kalangan Quraisy di pagi hari menampakkan yang beliau bermalam di Makkah bersama Quraisy.

Di samping itu, Amir bin Fuhairah, bekas hamba Abu Bakar, mengembala kambing bersama-sama orang Makkah, dan selepas malam berlabuh beliau membawa kambing-kambing gembalaannya kepada Rasulullah dan Abu Bakar untuk membekalkan mereka berdua dengan susu dan daging panggang. Apabila Abdullah bin Abu Bakar pulang ke Makkah, Amir bin Fuhairah berjalan mengikuti jejaknya bersama-sama dengan gerombolan kambingnya hingga menghapuskan jejak kaki Abudullah bin Abu Bakar dan tidak dapat dikesan oleh pihak Quraisy.


Perjalanan Ke Madinah


Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar, dengan ditemani oleh Amir bin Fuhairah dan juru pandu Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik, bergerak ke arah selatan  menuju Yaman, kemudian beralih ke arah persisir pantai, melalui jalan yang tidak pernah dilalui orang, mereka kemudiannya ke arah utara menghampiri pantai laut merah, iaitu jalan yang jarang digunakan.


Rasulullah tiba Di Quba'
.
Perjalanan hijrah penuh dengan ujian. Bukan sahaja menjadi buruan musuh, tetapi keadaan padang pasir yang panas, berbukit bukau, dan berbatu pejal itu semuanya menjadi bebanan musafir yang jauh itu. Tetapi Allah memberi kekuatan dengan berlakunya mu'jizat, bagi menyatakan Allah SWT sentiasa bersama Rasulullah di mana sahaja baginda pergi dan itulah juga yang menjadi keimanan dalam diri Rasulullah. Penduduk Madinah menunggu-nunggu kedatangan Rasulullah S.A.W.setelah mereka mendengar berita bahawa Rasulullah S.A.W. telah pun keluar dari Mekah, tiap-tiap hari mereka berkumpul  menunggu ketibaan Rasulullah.


Rasulullah S.A.W. berada di Quba' selama empat hari. Di Quba' Baginda meletakkan asas sebuah masjid dan bersembahyang di dalamnya. Itulah masjid yang pertama yang dibina di atas dasar taqwa sebagaimana yang dinyatakan dalam surah at-Taubah ayat 108.

لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَداً لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). 

Tiba di Madinah
.


Hari paling bersejarah bagi Yathrib (Madinah) dan penduduknya ialah ketika Rasulullah S.A.W. memasuki Madinah. Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, penduduk Madinah lelaki dan perempuan, orang dewasa dan kanak-kanak, memenuhi jalan dan jendela rumah menyambut Rasulullah S.A.W. dengan bertakbir:
.
"Allahu Akbar, Rasulullah telah tiba, Allahu Akbar, Muhammad telah tiba, Allahu Akbar, Muhammad telah datang. Allahu Akbar, Rasulullah sudah datang,"
.
Para wanita Ansar bergembira dengan menyebut:
.
طلع البدر علينا من ثنيات الوداع...وجب الشكر علينا ما دعا لله داع 
أيها المبعوث فينا جئت بالأمر المطاع...جئت شرفت المدينة مرحبا يا خير داع 
Bulan purnama sedang mengambang di atas kita
dari daerah Tsaniah al-wada',
Wajiblah kepada kita bersyukur
apa yang diseru kerana Allah oleh yang menyeru.
Wahai orang yang membangkitkan di kalangan kita
kamu membawa perkara yang mesti dita'ati.
.
Masing-masing kampung memegang tali unta tunggangan Rasulullah S.A.W. dan mengajak Baginda tinggal di kampung mereka dengan mendakwa kampung mereka kuat serta bersedia untuk mempertahankan Rasulullah S.A.W. Rasulullah bersabda: "Biarkan unta ini berjalan, kerana ia diperintah oleh Allah SWT." Antara kampung-kampung yang dilalui ialah Kampung Bani Salim, Kampung Bani Bayadhah, Kampung Bani Saidah, Kampung Bani Balharith bin al-khazraj, dan Kampung Bani 'Adiy bin an-Najjar.

Pembinaan Masjid Nabawi

Ketika Rasulullah di bumi Madinah yang barakah memberi peluang kepada Baginda untuk membina asas yang teguh bagi membina negara Islam dan mewujudkan tiga bentuk hubungan yang penting iaitu:
  1. Hubungan dengan Allah SWT.
  2. Hubungan sesama umat Islam.
  3. Hubungan umat Islam dengan orang bukan Islam dan dengan negara bukan-Islam dalam rangka menyampaikan risalah Islam serta menentukan sikap mereka terhadap Islam.
Hubungan antara manusia dengan Allah SWT merupakan hubungan yang penting.  Justeru itu langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. setelah tiba di Madinah ialah membina masjid. Dengan tertegaknya masjid bermakna tertegaklah syi'ar yang penting bagi Islam yang sentiasa diperangi oleh musuh dari segenap penjuru.

Oleh itu Rasulullah S.A.W. telah memilih tanah tempat Baginda berhenti dan turun dari unta yang ditunggangi Baginda ketika hijrah sebagai tapak masjid yang akan didirikan. Tanah tersebut dibeli daripada pemiliknya iaitu dua orang anak yatim Bani an-Najjar. Tanah tersebut dibersihkan dan kubur-kubur musyrikin yang kebetulan berada di situ dibongkar dan dialihkan ke tempat lain. Pokok-pokok tamar ditebang, dan tanahnya diratakan. Kemudian di atasnya dibina masjid dengan ukuran panjang seratus hasta, lebar seratus hasta, dan tinggi tiga hasta. Dinding masjid diperbuat daripada batu bata yang diikat dengan tanah liat, atapnya pelepah tamar dan tiangnya dari batang tamar. Binaannya diteguhkan dengan dua tiang dari batu dan lantainya diperbuat daripada pasir dan batu-batu kecil. 

Persaudaraan Islam 
.
Perkara kedua yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. setelah tiba di Madinah ialah dengan mempersaudarakan golongan Muhajirin dengan golongan Ansar . 
.
Rasulullah S.A.W. melakukan ikatan persaudaraan tersebut di rumah Anas bin Malik r.a. Jumlah yang terlibat dalam peristiwa tersebut ialah 90 orang.
.
Kemudian Baginda memegang tangan 'Ali bin Abi Talib dan berkata, "Inilah saudaraku."
.
Seterusnya Hamzah dipersaudarakan dengan Zaid bin Harithah, Ja'far bin Abi Talib dengan Mu'az bin Jabal, Abu Bakar al-Siddiq dengan kharijah bin Zuhair, 'Umar bin al-Khattab dengan Uthban bin Malik, Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah dengan Saad bin Mu'az, Abdul Rahman bin Auf dengan Saad bin Rabi', Zubair bin al-Awwam dengan Salamh bin Salamah, 'Uthman bin 'Affan dengan Aus bin Shabab, Talhal bin 'Ubaidillah dengan Ka'ab bin Malik, Said bin Zaid dengan Ubai bin Kaab, Mus'ab bin 'Umair dengan Abu Ayyub Khalid bin Zaid, Abu Huzaifah bin 'Utbah dengan 'Abbad bin Bisyr, 'Ammar bin Yasir dengan Huzaifah Ibn Yaman, Abu Zar al-Ghifari dengan Munzir bin 'Amru, Hatib bin Abi Balta'ah dengan 'Uwaim bin Sa'idah, Salman al-Farisi dengan Abi Darda' dan Bilal bin Rabah dengan Abu Ruwaihah.

Kesan  Hijrah Rasulullah

1.        Terbentuknya sebuah negara Islam yang pertama di Madinah.

2.        Nama Yathrib di tukar kepada Madinah Al-Munawwarah.

3.        Tahun Hijrah bermula.

4.        Kedudukan Islam makin kuat.



Pengajaran Hijrah Rasulullah




1.        Umat Islam perlu berhijrah untuk  mencapai kejayaan dalam semua bidang.


2.        Kita hendaklah bernani bekorban di jalan Allah.


3.        Menghormati dan mengambil iktibar daripada peristiwa Hijrah.