Pages

Monday, September 4, 2023

Kisah Saya dan Pokok: Seri Pagi (4)

    Setelah saya tahu beberapa tumbuhan yang bunganya seperti seri pagi, saya ingin menceritakannya kepada kawan pena Jepun saya. Kami berhubung dengan saling bertukar poskad 😊

   Ohh sebelum itu, saya terjumpa satu lagi setem bertemakan ikan & tumbuhan akuatik. Ada satu lagi tumbuhan yang mempunyai bunga seperti seri pagi, iaitu Ipomoea aquatica (nama botani) atau Water Spinach (nama Inggeris). Saya terbayang maksud Water Spinach adalah Bayam Air, jadi saya berfikir, "Ohh, saya tak pernah dengar tentang Bayam Air, hanya tahu sayur Bayam, jadi saya tak kenal lah kot tumbuhan ini."

  Pada poskad kepada Yumikoさん, saya cerita tentang bunga seri pagi, tumbuhan ubi keledek, tumbuhan akar tapak kuda, dan pokok water spinach (saya tulis poskad dalam Bahasa Inggeris). Saya gunakan poskad gambar bunga akar tapak kuda yang saya tempah cetaknya, dan lekatkan 2 setem iaitu setem bunga seri pagi dan water spinach.

   Setelah 2 minggu poskad tersebut dipos, Yumikoさん beritahu saya bahawa poskad saya kepadanya sampai, dan dia suka terimanya! 🤩

   Tetapi yang lebih mengejutkan, adalah isi mesejnya kepada saya...


"I got your postcard today. I'm so glad, you made this card! Wonderful and thank you!

'Sea morning glory'... Oh, I saw something similar on the beach (Niigata faces the sea). It's like a Calystegia japonica or Calystegia soldanella that I saw at the beach.

Very interesting.

And 'Water Spinach' is ผักขมน้ำ, isn't it?

Before, there is not in Japan. Now we can see it at the market. It is cultivated in Niigata, though it is a little.

And... 'Japanese morning glory' is summer flower for us.

Thank you so much for everything!

Yumiko"


   Saya terkejut! Selain terkejut yang Water Spinach ada mula ditanam di Jepun, tapi terkejut kerana Yumikoさん kenal tumbuhan tersebut semasa dia tinggal di Thailand dahulu.

   Saya terfikir, jika Thailand ada tumbuhan Water Spinach, tak kan lah Malaysia tiada? Kerana cuaca dan tanih Malaysia dan Thailand hampir sama.

   Saya pun cari makna atau nama Melayu bagi Water Spinach di laman web Google. Jawapannya buat saya tergamam!

   Water Spinach = Kangkung

   Lahh, saya kenal sangat tumbuhan ni!! 😆 Dah lah ia adalah sayur kegemaran saya. Alahai Munirah ☺ Kawan pena Jepun yang menyedarkan saya tentang nama Inggeris sayur kangkung, serta saya gembira tahu bahawa rupa bunga sayur kangkung seakan bunga seri pagi 😃

Saturday, September 2, 2023

Kisah Saya dan Pokok: Seri Pagi (3)

    Anda rasa kisah saya dan tumbuhan 'adik-beradik' seri pagi terhenti pada kisah sebelumnya? Ada lagi kisah yang lain 😃

   Saya ada beli beberapa Sampul Surat Hari Pertama (First Day Cover/ FDC) tentang tumbuhan. FDC ni menarik kerana ia memaparkan setem yang dikeluarkan sempena FDC itu, serta pamphlet penerangan tentang setem itu. Salah satu FDC yang saya ada adalah tentang Tumbuhan Berubi (Tuber Plants).

   FDC dan setem 'Tumbuhan Berubi' memaparkan 6 jenis tumbuhan iaitu Ubi Kayu, Ubi Badak, Sengkuang, Ubi Keledek, Ubi Keladi dan Ubi Atas.

   Anda pernah dengar tentang nama kesemua tumbuhan itu? Saya hanya tahu atau pernah dengar separuh dari tumbuhan itu, selebihnya adalah pertama kali saya tahu 😃 (umpama saya belajar sesuatu secara seronok melalui setem! ❤)

   Lebih menarik lagi, lukisan tumbuh-tumbuhan di setem lengkap dengan gambar bahagian ubi, rupa daun dan bunganya. Saya terpana sebentar apabila melihat lukisan setem ubi keledek, kerana rupa bunganya seakan seri pagi!

   Apabila saya lihat nama saintifiknya, sah lah bahawa tumbuhan ubi keledek digolongkan (dalam ilmu botani) di dalam kumpulan bunga seri pagi iaitu Ipomoea batatas.

   Jika anda pernah melihat bunga ubi keledek, kongsikanlah gambarnya dengan saya! 🤩

   Seorang kawan saya pernah kongsikan gambar tumbuhan ubi keledek yang daunnya menjalar menutupi tanah di kebun pisang ayahnya. Menarik sungguh! 😃

   Baru-baru ini, saya ada membeli majalah terbitan Penerbit MARDI, keluaran tahun 2020 (Majalah AGROMEDIA, Bil. 54) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023. Ada artikel di dalam majalah yang menunjukkan gambar-gambar pelbagai jenis bunga seri pagi, termasuk gambar bunga ubi keledek! (Tajuk artikel: 

Warna-Warni Keledek Liar: Rumpai Pelbagai Guna).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...