Assalamualaikum dan Selamat Menjengah ke laman blog matahati360.

Semoga dapat berkongsi ilmu, pandangan dan maklumat yang bermanafaat untuk semua. Laman ini akan membincangkan pelbagai topik yang menyentuh pelbagai isu berkaitan masyarakat. Terima kasih dan selamat berkomentar. Wasalam







Pages

Sunday, October 30, 2011

Lain Dulu Lain Sekarang

Pemikiran dan adat budaya kita sekarang memang jauh berubah tidak sama seperti dulu-dulu lagi. Dulu masyarakat kita sangat terkenal dengan adat sopan dan santunnya. Orang muda lebih menghormati orang yang lebih tua dan murid juga sangat patuh pada gurunya. Pendek kata masyarakat kita dulu-dulu memang sarat dengan nilai-nilai murni. Tetapi kini rasanya jauh sekali bezanya, masyarakat kini lebih mementingkan kata hati dan kepentingan diri sendiri tanpa kisah akan pemikiran orang lain.

Dalam menyatakan soal dulu dan sekarang ini kita dapat lihat gaya hidup masyarakat kita juga semakin berubah terutama dalam soal hiburan. Sekarang kita lihat pelbagai rancangan hiburan realiti yang muncul dan sangat diminati oleh belia remaja kita malah warga emas juga. Teman semalam teman berkesempatan tengok rancangan hiburan `VOKAL; Bukan Sekadar Rupa' di TV3. Teman percaya ramai yang minat dan suka tontonnya.

Dalam teman dok tengok tue teman terperasan la pulak akan sepasang warga emas yang bertudung dan berkopiah turut hadir untuk bagi sokongan penuh pada salah seorang VOKAL tu. Teman rasa sungguh takjub dengan semangat mereka kerana sokongan moral tu. Terdetik dihati teman akan perubahan sikap ibu bapa sekarang berbanding dengan sikap ibu bapa dulu-dulu.

Dulu jangan harapla kalau anak-anak nak berimpian untuk jadi artis samada penyanyi atau pelakon kerana ibu bapa dulu-dulu sanggup tak mengaku anak kalau anak-anak mereka terlibat dalam dunia hiburan yang dianggap maksiat itu. Tapi kini semacam dah jadi satu penerimaan dan kebanggaan pulak bagi ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka jadi artis. Teman rasa sekarang ni ibu bapa pulak yang tolong ambil borang untuk anak-anak menyertai pertandingan atau `audition' untuk jadi penyanyi. Inilah perubahan namanya, dulu lain, sekarang lain.'

Cakap pasal sikap dan adab sopan pula, teman sangat suka sekali kalau dengar orang dulu berbicara dengan orang lain. Mereka gunakan bahasa yang berlapik dan lembut semasa bercakap. Tapi sekarang ni, adab berbahasa kita sangat jauh bezanya tambah pula dipopularkan terus menerus melalui TV dan ditonton oleh ramai orang. Apa yang teman nak katakan nie juga berkait secara langsung dengan VOKAL ni juga.

Teman terperasan tutur bahasa yang digunakan oleh salah seorang panel juri sangat kasar dan kurang bersopan. Dengan berbahasa `aku' dan 'kau' kepada peserta teman rasa bukan satu adab yang baik dan sopan. Acapkali teman dengar orang yang popular selalu suka bercakap dengan gaya yang seperti itu kebanyakkan pulak lelaki. Bukan sahaja dalam VOKAL tetapi juga dalam beberapa rancangan lain. Seorang lagi pun sama macam dia juga yang kahwin sesama artis juga.

Bagi teman ini satu budaya yang tidak harus diamalkan dalam acara yang disiarkan secara langsung itu. Kot ye pun kalau dah tabiat bercakap dengan gaya macam tu kat ruamah atau dengan kawan janganlah diamalkan semasa bersiaran secara langsung dalam TV. Buruk benar bunyinya. Bagi teman orang yang sensitif ni bila dengar gaya macam tu rasanya sangat kurang ajar bila bercakap dengan berbahasa `aku' dan `kau'.

Teman masih tak boleh terima jika ada yang berbahasa aku dan kau kalau orang tu tak kenal teman atau teman tak kenal dia. Hanya kawan rapat teman atau ahli keluarga sahaja yang boleh guna bahasa tu pada teman. Mungkin orang kata lain padang lain belalang, lain orang lain pandangan. Tapi itulah pandangan teman.

Adakah dengan status sebagai artis maka mereka rasa boleh guna apa sahaja gaya bahasa untuk berbicara dengan sesiapapun tanpa memikirkan nilai dan budaya masyarakat kita. Apala salah kalau dilembutkan sedikit bahasa tu macam Era Fazira yang gunakan `saya' dan `anda'. Teman ucapkan syabas pada Era kerana masih pertahankan nilai kesopanan dalam berbahasa dengan peserta. Adakah wajar kita menerima budaya dan adab yang tidak enak ini meresapi gaya percakapan belia remaja kita bila bercakap dengan orang yang lebih tua.


Teman percaya sikap artis itu hanyalah dikalangan artis sahaja dan bukan semua artis yang bersikap macam itu. Hanya segelintir sahaja yang merasakan merka itu popular dan ada prinsip tersendiri. Lantaklah dengan prinsip yang tak disukai itu. Jangan pulak membawa bencana moral kepada generasi kita sudah kerana sememangnya kita tahu bahawa walaupun ada artis yang memberi teladan yang molek kepada peminat seperti Wardina, Siti Nurhaliza dan lain-lain. Tetapi tidak kurang juga artis yang memberi impak songsang kepada masyarakat kita yang mengubah langskap moral generasi termasuk dalam penagihan dadah, pergaulan bebas, maksiat, zina, minum arak, clubbing dan sebagainya. Sebab itulah dulu-dulu orang tua kita sangat melarang dan benci jika anak terbabit dalam duni popular sebagai artis. Sebab mereka taknak menanggung azab kelak. Tapi itu dulu, sekarang lain.

Wednesday, October 26, 2011

Tarikh Keramat 11.11.11


Tarikh 11 November 2011 (11.11.11) kini jadi tarikh pilihan ramai kebanyakannya bagi pasangan yang akan berumah tangga pada tahun ini. Pagi tadi bersembang-sembang dengan Ustaz Abdullah dari Bahagian Nikah Kawin JAWI semasa Majlis 3 dalam 1 (Doa Selamat Tunai Haji, Aqiqah dan Tahlil Arwah) kat surau Al Muhajirin kat Kuarters Jln U-Thant.

Teman tanya Ustaz tentang program dia masa cuti sekolah nanti. Ustaz kata memang sibuk sekali dengan program nikah kawin bermula dari tarikh keramat 11.11.11. Tarikh itu jadi pilihan ramai bakal pengantin kata Ustaz Lah. Ada satu bakal pengantin dah pilih tarikh 11.11.11 dengan masa akad nikah jam 11.11 pagi dengan hantaran mas kawin sebanyak RM11,111.11 dan hantaran dulang sebanyak 11 dulang dengan 11 jenis. Wah semuanya dipilih dalam angka sebelas. Jangan la pulak nati dipilih masa untuk bersama isteri tepat jam 11.11 malam..hehehe. Lepas tue ditempah pulak nombor pendaftaran kereta WWW1111. Segalanya akan dipilih dengan angka 11.11 semata-mata untuk memahat memori dan sejarah dalam hidup. Tapi janganlah pulak pasang hasrat nak kawin sampai 11 kali pulak.
Apapun kita berdoalah semoga tarikh itu betul-betul menjadi tarikh keramat bagi mereka yang memilihnya dan bukannya jadi tarikh kiamat pulak.

Keramat atau Kiamat

Dalam dok kecoh-kecoh pasal tarikh keramat bagi orang yang nak kawin itu, ada juga dengar-dengar orang politik dok kecoh-kecoh pasal risau tarikh tu akan tarikh keramat atau jadi tarikh kiamat pulak. Sekarangkan sana sini semua orang dok cakap pasal pilihanraya umum ke 13. Tak kira orang politik, orang kampung, pemandu teksi malah remaja pun duk sibuk pasal nak tunggu tarikh hariraya yang akan menentukan masa depan negara dan sistem pemerintahan.

Ada yang mengandaikan bahawa tarikh itu adalah angka yang disukai oleh PM. Tapi itu hanya andaian sahaja. Betul atau tidak tak pasti lah. Semua orang boleh buat andaian dan tekaan tetapi yang dapat menentukannya adalah PM sendiri. Kita tunggu sajalah bila masanya akan tiba nanti.

Kata sesetengah orang yang membuat andaian, tarikh itulah masa yang sesuai untuk BN adakah PRU13 kerana ramai orang yang pergi haji belum balik lagi. Katanya kerana kebanyakan yang pergi tunai haji tu ramai pulak yang sokong PAS. Jadi inilah kesempatan terbaik untuk mengurangkan undi pembangkang. Betulkah ramai yang pergi tunai haji tu ramai penyokong tegar PAS. Rasa-rasanya tidak tepat pendapat tu kot. Rasanya penyokong BN pun ramai juga. Yang pasti rasanya tidak ada la pulak yang pergi tunai haji tu dari kalangan penyokong MCA, MIC, DAP dan Makkal Shakti. Tak tau lah pulak kot-kot kalau ada juga yang pergi tunai haji.

Dalam dok sembang-sembang pasal ini, ada juga yang berpandangan pulak tidak mungkin tarikh itu jadi pilihan PM kerana dekat sangat dengan tarikh Hari Raya Korban dan takkan lah PM nak adakah PRU13 dalam masa hari raya pulak, nati bertambah panjang pulak hari raya tue nanti. Mula dari 6 November hingga 11 November. Banyaklah pulak lembu dan kambing yang akan jadi korban pilihanraya bukannya korban hari raya.

Entahlah sama da tarikh tu tarikh keramat atau kiamat bagi parti tertentu jika diadakan pilihanraya pada hari tersebut. Tetapi melihat kepada senario fitnah menfitnah pada masa ini macam la pulak dunia dah dekat nak kiamat. Kerana salah satu alamat nya adalah timbul fitnah bergelombang-gelombang seperti gelombang laut, banyak berlaku pergaduhan dan persengketaan, mata pencarian tidak dapat dibezakan yang mana halal dan haram, manusia berlumba-lumba kumpul kekayaan, banyak berlaku perzinaan dan sebagainya. Harap-harapnya keramat yang muncul. Kita berserah pada Allah sahaja lah.

Lagipun katanya 11 November tu hari jumaat tak sesuai untuk tarikh PRU13, tapi kalu tarikh untuk kahwin amat sesuai sekali kerana sempena mengambil berkat penghulu segala hari. Barangkali kalau tarikh 11.11.11 itu dipilih sebagai hari penyatuan umat Islam sangat bagus dan sesuai sekali. Bukan sekadar jadi pilihan bagi penyatuan dua insan bercinta sahaja pada hari itu atau penyatuan dua buah keluarga. Molek kiranya kalu tarikh tue diperkembangkan kepada penyatuan dua golongan yang bersengketa dalam satu arena.

Pasal PRU13 ni jugak, berbagai-bagai cerita dah keluar samada yang betul atau fitnah, semata-mata nak pengaruhi penyokong dan tagih simpati pengundi untuk undi parti masing-masing. Sebagai umat Islam adalah wajib bagi kita menapis segala bentuk maklumat yang disebar dan kita terima dengan hati-hati supaya tidak terlibat dalam perbuatan maksiat yang mendatangkan kerosakan kepada masyarakat dan negara. Bila tiba masanya buatlah pilihan yang tepat demi kebaikan semua bukan demi kepentingan kita atau parti kita sahaja tetapi demi semua.

Sebenarnya tarikh 11.11.11 tu sangat cantik bagi orang yang nak kahwin kerana jatuh pada hari Jumaat iaitu hari perhimpunan dan perpaduan. Jika pertemuan pertemuan para nabi pada hari Jumaat, maka begitulah juga Allah swt menjadikan pertemuan umat Muhammad SAW pada hari yang sama, iaitu ketika melakukan solat Jumaat.

Bagi bakal pengantin yang memilih hari itu sebagai hari penyatuan sah sebagai suami dan isteri memang sungguh molek sekali kerana telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW ketika ditanya tentang hari Jumaat. Maka Baginda berkata " Hari Jumaat adalah hari silaturrahim dan pernikahan" Kemudian sahabat bertanya lagi "Mengapa demikian ya Rasulullah?". Baginda menjawap "Kerana para anbiya' pada masa lalu melaksanakan pernikahan pada hari tersebut". Jadi sungguh cantiklah tarikh Jumaat itu 11.11.11.

Apa- apa sajalah yang orang nak kata, namun yang penting kita berharap dan berdoa kepada Allah agar semua pasangan bakal pengantin yang akan bersatu hati pada tarikh 11.11.11 tersebut dirahmati serta dicurahkan kebahagiaan hingga ke akhir hayat dan dapat melahirkan zuriat yang menjadi pemimpin yang akan membawa kebaikan dan manafaat kepada seluruh umat Islam dan dunia umumnya. Amin.

Tuesday, October 25, 2011

Bila boleh bersatu hati ?

Sunni Syiah Bersatu Sunni Syiah Bersatu

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai: dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh musuhan (semasa jahiliyyah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatupadu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya" (Al Imran Ayat 103)

Dari ayat di atas betapa indahnya kalimah Allah yang menyeru hambanya supaya bersatu mengalang kekuatan dan tidak berpecah belah sehingga menjadi umat yang digeruni dan disegani oleh umat lain

Namun senario sekarang sangat berbeza, apa yang kita lihat hari ini adalah di mana mana sahaja kedudukan hati umat Islam sekarang telah berpecah belah semuanya gara-gara keinginan kuasa, kekayaan dan politik sehinggakan mata hati telah dibutakan. Di mana-mana sahaja kita lihat umat Islam saling bercakaran sesama sendiri malah saling berbunuhan. Lihat sahaja di negara Arab kini; di Libya, Algeria, Yaman, Mesir, Jordan, Syria, Somalia, Sudan, Iraq, Afghanistan, Bahrain, Iran, Pakistan dan banyak lagi.

Kalau dulu hati orang Islam pernah bersatu di bawah naungan kalimah Allah dan Rasul. Kini segalanya bagaikan pinggan kaca yang berderai terhempas jatuh ke lantai. Bagaimanalah agaknya nak cantum kembali pinggan yang pecah ini. Rapuhnya pertautan hati orang-orang kita dalam soal persatuan ummah. Ramai yang lebih rela mematikan hukum daripada mematikan adat budaya yang sonsang.

Lihat sahaja bagaimana rapuhnya tautan hati antara kita sesama umat Islam di Malaysia ini yang dapat dilihat dalam banyak perkara termasuk soal perjuangan mempertahankan akidah umat Islam yang diganggu gugat oleh agama lain. Malunya pada bangsa dan agama lain bila mana umat Islam bertelagah sesama sendiri dan berbeza pandangan dalam perjuangan itu. Sedihnya hati bila persoalan akidah umat telah dijadikan caturan politik oleh pihak tertentu. Ideologi politik semakin dijadikan kiblat sesetengah umat kita untuk berkehidupan. Semua yang akan dilakukan harus mempunyai keuntungan politik dan mendatangkan kelebihan kepada parti masing-masing.

Bukankah kita sepatutnya bersatu hati dan menolak ketepi seketika soal politik untuk bersatu hati membenteng akidah generasi kita dari dimurtadkan oleh penganut agama lain. Malangnya demi sebuah impian untuk berkuasa segolongan tertentu orang yang gilakan kekuasaan, kita sanggup beralasan faktor kedamaian beragama perlu diutamakan. Adakah ini satu alasan yang rasional dalam mana akidah umat kita terus diancam. Kita masih mampu bertenang hati menerima tusukan dan panahan yang menyesatkan. Bagaimana pula tentang hati kita, mampukan kita memendam hati menahan sakit hati akibat torehan yang dibuat penyebar agama lain itu. Itu satu perkara dan banyak lagi perkara lainnya.


Dulu kita pernah dengar kejadian sembahyang jumaat dua imam, solat berimankan orang tertentu tak sah, solat dua masjid dan banyak lagi. Rasanya perkara ini masih berlaku lagi hingga sekarang. Ini kisah benar dan ini yang dialami sendiri oleh teman setiap kali ketika balik ke Kampung di Kg Tok Sangkut, Pasir Mas Kelantan. Masa teman mula mengenali kampung tu teman jadi kaget bila nak pergi solat jumaat. Teman tengok sebahagian menghala ke hulu dan satu lagi ke hilir. Teman bertanya pada seseorang solat jumaat kat masjid mana? depa tanya balik nak sembahyang kat mana? masjid PAS ke masjid UMNO.. lor patutlah jadi dua hala rupanya ada masjid PAS dan masjid UMNO. Kariah masjid di kampung dah berpecah dua, satu di Tok Sangkut dan satu di Jejawi.

Perpecahan juga berlaku dalam soal kekeluargaan, ada dikalangan politikus yang fanatik sanggup memutuskan silaturrahim dan tali persaudaraan dengan keluarga semata-mata perbezaan ideologi politik yang dipegang. Anak dan bapa, adik beradik, sepupu sepapat dan sebagainya. Apakah nilai sebuah politik dan parti itu lebih mulia dan suci dari nilai hidup beragama dan mematuhi kehendak Islam.

Teman geleng kepala mengapa begini jadinya umat kita hari ini. Teman terfikir alangkah baiknya kalau umat kita bersatu hati dalam mengerjakan perkara baik demi kewajiban beragama. Tapi itu semua tidak berlaku disesetengah tempat. Mungkin ini hanya senario di sebuah kampung sahaja kot.

Alangkah indahnya hidup kita jika hati kita bertaut kembali untuk sama-sama berjuang dalam mempertahankan umat Islam dari dipesongkan ke pintu neraka atau sama-sama membangunkan umat Islam ke arah kehidupan yang lebih baik.

Teman tidaklah kata sapa-sapa tapi molek kiranya kalau kita semua umat Islam tidak kira apa jua bangsa tapi atas nama Islam dan kalimah Allah bersatu hati untuk berjuang mempertahankan kesucian Islam bergabung fikiran mengupayakan kedudukan ummah. Politik -politik lah juga tapi dalam soal ummah harus ada pertautan hati yang erat untuk bersatu hadapi ancaman musuh-musuh Islam yang berselindung dalam pelbagai rupa dan cara.

Monday, October 24, 2011

Kisah orang jual orang


"Jual orang lagi untung daripada jual unta" kata sang penjual hamba abdi dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Di ketika itu rupanya kisah orang jual orang sudah ada dipaparkan dalam drama Melayu ala Arab itu. itu buktinya kisah orang jual orang ni sebenarnya dah lama dan merupakan salah satu pekerjaan tertua.


Begitu juga kalau sesiapa masih ingat akan kisah sedih seorang hamba kulit hitam bernama Kunta Kinte dalam drama `The Roots'. Kisah Kunta Kinte sangat menyayat hati apabila dia ditangkap di negara Afrika dan dibawa ke Amerika Selatan dan dijual sebagai hamba abdi untuk bekerja diladang. Dengan keadaan dirantai dikaki dan tengkuk, dipaksa bekerja, dikurung dalam bangsal dan tidak diberi makan secukup mengambarkan layanannya tidak sebaik seekor binatang peliharaan macam kucing atau anjing. Malah lebih dari itu ada rakannya yang diseksa dan dipotong anggota badan ketika cubaan melarikan diri.


Itu sebahagian dari cerita dulu-dulu dalam sebuah drama yang mengisahkan tentang hati kering seorang manusia yang meniagakan manusia lain untuk dapat untung. Mungkin ramai yang beranggapan fenomena seperti itu sudah tidak ada lagi zaman sekarang. Tapi sedar atau tidak sebenarnya perniagaan yang tidak berperi kemanusiaan itu sebenarnya masih wujud lagi dalam era teknologi yang serba canggih ini. Walaupun sistem perniagaan jual hamba dan amalan perhambaan itu telah lama dihapuskan sejak Presiden Abraham Lincoln mengharamkannya, tetapi ia masih berlaku dikebanyakkan negara termasuk Amerika Syarikat sendiri.


Pada hari ini, bisnes jual orang masih terus berlaku tetapi dalam bentuk yang lebih terancang dan sistematik pergerakannya. Kalau dulu kaedah mencari orang untuk diniagakan adalah dengan cara memburu dan menculik mereka di penempatan pendalaman dan sebagainya, namun kini ia dilakukan dengan pelbagai cara mudah termasuk mengiklankannya di media dengan menawarkan umpan dan seterusnya memperdaya mangsa dengan menabur janji-janji manis. Malah sesetengahnya pula diculik ditepi-tepi jalan sahaja. Mereka yang terlibat dalam aktiviti bisnes ini sebenarnya adalah seorang penjenayah besar yang menjadikan ramai orang sengsara dan musnah masa depannya. Masakan tidak, tanpa rasa belas ihsan dan perasaan mereka sanggup menjual seorang lelaki, wanita, kanak-kanak serta bayi semata-mata kerana duit.


Perkara seperti ini banyak berlaku di seluruh negara termasuk Malaysia. Walaupun kes jual orang di Malaysia ini tidak seteruk seperti di Thailand, India, Vietnam dan Kemboja tetapi ia tetap menjadi tumpuan golongan penjenayah ini kerana kemakmuran dan sumber ekonomi yang teguh menjadikan Malaysia sebagai negara transit dan juga destinasi. Di Thailand, Kemboja dan Vietnam ramai lelaki dan kanak-kanak dijual dan dijadikan buruh paksa untuk bekerja sebagai nelayan tanpa dibayar gaji bertahun-tahun. Ramai yang cuba melarikan diri telah di bunuh tanpa dapat dikesan kerana mayat mereka dibuang di laut dalam. Wanita pula dijadikan pelacur di pusat-pusat hiburan, manakala terdapat lelaki dan kanak-kanak yang diculik telah dicacatkan anggota badan mereka untuk dijadikan pengemis jalanan.





Dipaksa melacur



Itu kisah yang berlaku di negara jiran kita, di negara kita pun lebih kurang sama juga kesnya tetapi ia lebih tertumpu kepada mangsa yang terdiri dari warga asing yang ada di negara ini. Secara rasminya kes seperti ini dipanggil sebagai `pemerdagangan orang'. Kebanyakkan mangsa kes pemerdagangan orang atau orang yang dijual di Malaysia ini adalah wanita yang dieksploitasi untuk seks komersial. Dengan kata lain mereka dipaksa untuk jadi pelacur tanpa kerelaan hati. Kebanyakan mereka asalnya datang ke sini bertujuan untuk bekerja sebagai pembantu rumah, pekerja kilang atau bekerja di restoran dengan dijanjikan gaji yang lumayan. Namun sebaik sampai ke destinasi mereka telah ditipu dan dipaksa untuk bekerja sebagai pelacur bagi melangsaikan hutang untuk membawa mereka ke sini. Mereka diugut, dikurung, diawasi oleh sindiket malah ada yang dibunuh ketika cubaan melarikan diri.



Kerapkali kita mendengar warga China `China Dolls', Indonesia, Vietnam, Thailand, Filiphina dan Kemboja yang menjadi mangsa diselamatkan oleh Polis dari kejahatan pemerdagangan manusia itu. Yang terbaru pula bila 21 warga Uganda berjaya diselamatkan dari sarang pelacuran setelah ditipu oleh sindiket itu dengan tawaran kerja yang lumayan.


Sebenarnya sesiapa pun boleh jadi mangsanya, terdapat juga warga tempatan yang turut menjadi mangsa seperti ini apabila ditipu dan dipaksa oleh orang yang dikenali atau dicintai untuk melakukan kerja melacur tanpa rela. Bahkan ada juga yang diculik untuk tujuan tersebut. Mereka dipaksa melayan sehingga beratus pelanggan untuk mendapat duit sebanyak mungkin. Sedangkan mangsa tidak mendapat apa-apa kecuali sengsara dan derita. Kadang kala mangsa akan dijual kepada sindiket lain pula apabila mereka telah langsai hutang atau tidak diperlukan. Di manakah hati seorang manusia yang sanggup melakukan perkara keji seperti ini kepada seseorang yang dikenalinya.


Kerapkali kita mendengar di media bahawa remaja dan wanita hilang dan tidak dapat dikesan oleh keluarga. Ini sebenarnya mungkin boleh berlaku kepada mereka juga dan ianya tidak mustahil. Dalam hal seperti ini kita perlu sentiasa berwaspada dan mengawasi pergerakan ahli keluarga kita agar mereka tidak menjadi mangsa.





Anak pun dijual beli



Itu kisah mangsa yang dipaksa melacur. Di media, kita juga sering dengar tentang cerita mengenai penjualan bayi oleh sindiket kepada pasangan suami isteri yang tidak punya zuriat. Bayangkan ada juga manusia yang sanggup jual anaknya untuk dapatkan wang. Ibu jenis apakah ini. Tapi itulah hakikatnya yang kita denga dan lihat dalam kes yang berlaku di Sarawak dan di Lembah Kelang baru-baru ini apa bila bayi berumur 6 hari hingga 9 tahun diperdagang untuk dijadikan anak angkat secara haram.


Dalam kes di Lembah Kelang, hospital swasta telah terbabit secara langsung dalam sindiket itu dengan memperdagangkan bayi yang dikandung secara luar nikah. Bayi yang tidak dikehendaki oleh ibu mereka itu akhirnya dijadikan bahan jualan yang menguntungkan dengan dijual sehingga RM30 ribu. Harga bayi adalah berbeza dan mengikut kategori. Jika bayi berbangsa Melayu kadarnya sekitar RM15 ribu -RM25 ribu, India pula RM10 ribu-RM 15 ribu, manakala Cina adalah paling mahal dijual pada harga RM 20 ribu -RM30 ribu kadangkala mengikut timbangan berat iaitu RM10 ribu sekilo.



Kebanyakkan ibu yang mengandung luar nikah tidak mahu bayikan mereka, jadi untuk menutup dosa dan noda mereka itu lebih baik dijual kepada orang apabila mendapat tawaran lumayan. Manakala pihak hospital pula akan mencari pembeli sejak dari awal dengan mendapatkan tempahan. Jenayah terancang mereka itu bermula dengan rekod mengandung dan rawatan yang dipalsukan bila mana nama ibu mengandung dalam buku rawatan mengandung itu dikosongkan. Setelah bayi dilahirkan baru buku rawatan itu diisi dengan nama ibu yang bakal membelinya. Jadi mudahlah urusan mereka untuk mendaftarkan bayi itu kelak untuk dapatkan sijil beranak.



Bagi penjenayah itu mungkin kegiatan mereka menjual bayi itu bukan satu kesalahan tetapi membantu pasangan yang tiada zuriat untuk memiliki anak. Namun adakah ini wajar, pasangan tersebut pula adakah tindakan mereka mendapat anak dengan cara begitu satu kebanggaan dan boleh membahagiakan. Tidak sedarkah mereka akan kesan buruk yang bakal terjadi pada masa hadapan sudahlah melanggar syariat dengan meletakkan Bin atau Binti anak tersebut dengan namanya lebih jauh dari itu ia sebenarnya merosakkan nasab dan keturunan yang sah dari segi hukum yang melibatkan soal nikah kawin dan faraid.


Inilah kejahatan-kejahatan manusia yang tidak berhati perut dan berhati mati, sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan wang semata-mata ingin hidup mewah walaupun dengan menjual maruah, kebebasan dan kebahagiaan orang lain. Apakah kita perlu mendengar dan melihat perkara ini terus berlaku di negara Malaysia yang makmur ini.


Jenayah ini seharusnya dihentikan dan dihapuskan terus dari terus berleluasa. Bagi sesiapa yang berhati mulia dan mempunyai maklumat tentang aktiviti pemerdagangan orang ini laporlah segera kepada pihak Polis di Talian 999. Keperihatinan anda semua mampu menyelamatkan mangsa dari kesengsaraan.



Saturday, October 22, 2011

Angan yang tak sudah

Bila fikir pasal angan- angan pastinya kita teringat akan kisah Mat Jenin yang suka berangan-angan itu dan ini. Teman ni pun berangan-angan jugak nak jadi blogger. Orang kata nak jadi blogger bukan lah susah, budak sekolah pun ramai yang jadi blogger. Teman baru nak mencuba dan pasang angan-angan tu sekadar untuk berkongsi apa yang teman tahu. Tapi setelah ada blog ni barulah terasa sedikit sebanyak camana rupanya jadi blogger ni, tidaklah susah tapi kena sedikit rajin untuk 'up date posting', kena banyak jadi pencerap dan pemerhati.

Sentuh pasal angan-angan ni, semua orang pasti ada angan-angan. Ada yang berangan nak jadi orang kaya, berangan jadi orang yang berkuasa atau ternama, berangan nak jadi macam-macam malah ada jugak orang yang berangan untuk berbini lebih dari satu. Tak salah untuk berangan-angan. Angan- angan tu sesuatu yang menjelma dari hati yang kita semua itu adalah fitrah keinginan manusia.

Memang benar kadang-kadang kita tidak nafikan yang angan-angan (fantasi) kita terlalu panjang hingga melewati batas syariat, sehingga terlupa kewajipan akhirat dan agama. Itu semua bila kita terlalu kuat berangan-angan.

Angan-angan ni sebenarnya bagus juga untuk menimbulkan impian hati dan rasa dorongan dalam jiwa kita dengan kata lain ia dipanggil cita-cita, tetapi jika terlalu kerap berangan-angan tanpa usaha dan tindakan maka ia hanyalah sekadar angan-angan sahaja tidak hasilkan kenyataan atau realiti. Tapi sebenarnya angan-angan ni berbeza dengan cita-cita. Ia lebih kepada satu keinginan yang tidak kesampaian, sebaliknya cita-cita ia memungkinkan dan boleh dicapai atau dihasilkan.

Pasal angan-angan dan cita-cita ni jugak sebenarnya ia banyak bertitik tolak dalam kisah teman ni juga. Dulu teman pun pernah berangan-angan nak jadi seseorang yang berjaya tetapi ternyata ia tak jadi kenyataan sebab teman takdak usaha yang kuat dan bersungguh. Tapi itulah dikatakan kuasa takdir setelah satu keadaan yang berlaku atas diri teman ni timbul satu cita-cita untuk buktikan pada seseorang bahawa teman juga boleh berjaya. Kalau tak jadi Perdana Menteri atau ahli korporat sekalipun sekurang-kurangnya teman lebih baik dari dulu.

Teman bersyukur dan berterima kasih kepada Allah swt dan kepada kedua ibu bapa teman. Walaupun hidup dalam kemiskinan untuk membesarkan lapan orang anak tetapi ibu dan ayah teman tak pernah sesekali mengabaikan keperluan hidup untuk kami anak-anaknya. Alhamdulillah semuanya berjaya dalam bidang masing-masing dan mampu berdikari. Keperluan ilmu dan asas agama yang cukup memberikan kami pedoman untuk masa depan.

Teman masih setia ingat akan kesukaran kedua ibu dan ayah teman yang sengsara membesarkan kami berlapan. Ayah teman sekadar seorang buruh kasar yang membanting tulang empat kerat mencari nafkah. Ibu teman pula seorang suri rumah yang membuat jualan kuih untuk membantu menyara kehidupan keluarga. Kami adik beradik pula akan membantu ibu untuk menjual kuih dengan menghantarnya ke kedai-kedai kopi. Bekalan kami ke sekolah adalah kuih yang dibuat oleh ibu. Selepas sembahyang subuh dan sebelum ke sekolah kami akan mengayuh basikal menghantar kuih ke beberapa buah kedai kopi. Setelah balik dari sekolah kami akan sekali lagi ke kedai kopi untuk mengambil hasil jualan kuih. Jika baik rezeki kami dan jualan habis dapatlah duit jualan lebih sikit. Jika tak habis maka itulah makanan rezeki kami untuk petang itu.

Hari demi hari begitulah rutin kehidupan kami sekeluarga. Setelah kakak dan abang berjaya menyambung pengajian ke peringkat tinggi kehidupan makin bertambah sukar kerana ibu dan ayah terpaksa mencari wang lebih untuk tampung belanja. Tapi rezeki Allah tetap ada dan hidup diteruskan seperti biasa. Masa terus berlalu, setelah habis pengajian peringkat rendah teman pindah ke peringkat menengah. Tapi takdir Allah menentukan teman kurang berjaya dalam pelajaran kerana mungkin terlalu banyak berangan-angan semasa mengaji. Sehabis berfikir teman ambil keputusan untuk mencuba lagi dengan sendiri dengan memasang tekad di hati untuk tidak kecewa dengan angan-angan saja.

Alhamdulillah, keputusan teman memberangsangkan, teman dapat duduk dikalangan sahabat-sahabat yang cemerlang dan ditawarkan ke peringkat seterusnya. Teman berusaha sedaya uapaya untuk berjaya namun akhirnya teman tergoda dengan sedikit kealpaan untuk tambah rezeki. Teman belajar sambil bekerja sehingga mengabaikan pengajian kerana mengejar rejeki yang semakin melimpah ketika itu. Diwaktu exam pun teman masih terus bekerja, akhirnya ternyata teman gagal sekali lagi untuk cemerlang. Walaupun masih baik keputusan itu tetapi ia kurang memuaskan hati teman sendiri apatah lagi buat ibu dan ayah.

Akhirnya teman beralah memandangkan kesusahan ibu dan ayah untuk sekali lagi membiayai pengajian teman. Teman akhirnya meneruskan kerja mencari nafkah untuk meringankan sedikit beban ibu dan ayah. Kerja pertama teman buat adalah dengan bergiat dalam industri batik yang ketika itu tengah hangat dipasaran. Namun setelah mula merudum teman terpaksa bekerja pula sebagai pembantu tukang rumah. Kerja teman banyak bermain dengan simen, pasir dan batu bata. Penatnya bukan main lagi tapi gajinya cuma RM15 sehari saja ketika itu. Teman bersyukur tak terhingga atas rezeki yang halal itu.

Dalam masa yang sama teman juga buat `part time' kadang kala selaku waiter kat kenduri kawin atau kat hotel yang ada function dinner. Yang pernah teman servis dulu termasuklah masa perkahwinan penyanyi Nora dengan suaminya sekarang. Lepas buat keja tue dapatlah RM45 dan sekotak rokok Salem, kerja dari jam 9 pagi hingga 2 pagi. Walaupun penat tapi hati suka dan enjoy. Kadang-kadang dapat offer untuk cuci rumah orang pun teman sapu, janji rezeki yang halal. Sekurang-kurangnya teman dapat bantu ibu dan ayah.

Namun hati teman sangat tersentuh bila teman ingin ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Teman perlukan bekalan sedikit duit untuk bekalan di sana nanti. Ibu dan ayah ada berikan sikit tapi tak cukup dan teman cuma pinjam dari kawan-kawan yang dekat tetapi ramai yang tak sudi untuk bantu dengan macam-macam alasan. Cuma ada seseorang yang sudi membantu teman dan teman ingat dia sampai bila-bila. Masa itulah kita baru tahu siapa kawan siapa sahabat.

Setelah beberapa bulan di Kuala Lumpur bekerja di sebuah syarikat penerbangan yang ternama MAS teman akhirnya rasa tidak serasi dan kembali semula ke kampung halaman. Tetapi rezeki masih murah sebaik saja balik ada tawaran kerja sebagai kerani disebuah syarikat. Teman terima tawaran tu dan bekerjalah dengan seadanya. Setelah beberapa bulan bekerja dapatlah pulak offer dari Jabatan Penerangan untuk jawatan sebagai pembantu. Teman rasa sangat syukur kerana diberikan rezeki yang tidak putus-putus. Akhirnya teman kerja dengan sesungguh hati dan bertekad untuk mencari yang terbaik dalam hidup. Terima kasih atas doa ibu dan ayah untuk kesekian kalinya.

Di tahun 1999 terasa pulak nak berpasangan hidup dan takdir mempertemukan jodoh teman dengan isteri. Usaha teman makin bersungguh, tapi tak disangka ada pulak cubaan manusia yang tak berterima kasih dengan merendahkan usaha yang teman lakukan untuk dia dan Jabatan. Teman rasa sangat terkilan dan kecewa atas sikap pegawai teman yang langsung tidak menghargai hasil usaha teman. Dua minggu teman protes sikapnya tanpa sepatah kata dan tindakan agar dia merasa bagaimana peritnya buat kerja untuk orang lain tanpa dihargai.

Akhirnya teman tekad untuk ke hadapan dan buktikan padanya rezeki ditangan Allah bukan pada makhluk. Teman teruskan perjuangan ke menara gading selama 3 tahun atas sokongan sahabat dan pegawai yang lain. Alhamdulillah rezeki telah tersurat dan sebaik habis pengajian teman diterima ke jawatan baru.

Dalam masa menjalani sebahagian kehidupan itu banyak pedoman teman dapat jadikan panduan untuk ubah sikap dan nasib diri teman. Pertamanya tentang angan-angan dan cita-cita, tentang keikhlasan hati, tentang kesabaran dan ketabahan, tentang rasa bersyukur dan berterima kasih, tentang persahabatan dan berkawan, tentang kemiskinan dan kekayaan dan banyak lagi perkara.

Apapun teman bangga dengan jasa dan bakti kedua ibu dan ayah teman yang tak pernah letih dan jemu membesarkan kami. Keikhlasan mereka mendidik menjadikan kami semua berjaya walaupun pernah berangan-angan satu ketika. Syukur kelapan lapannya sudah ada kerjaya. Anak sulung dah jadi guru, ke-2 dah jadi akauntan, ke-3 dah jadi pengurus syarikat MAS, ke-4 dah jadi `bisnessman' yang berjaya, ke-5 dah jadi usahawan, ke-6 (teman) dah jadi PRO, ke-7 dah jadi kontraktor yg berjaya dan ke-8 dah jadi arkitek langskap. Semua ini adalah berkat hasil usaha ibu dan ayah yang membesarkan kami dengan keringat yang halal dan ikhlas.

Terima kasih ibu dan ayah kerana menjadikan kami insan yang berguna walaupun bermula dengan angan yang tak sudah.

Friday, October 21, 2011

Kuasa Sebuah Hati

" Allah kurniakan kita sepasang mata untuk melihat, sepasang kaki untuk berjalan, sepasang tangan untuk bekerja, sepasang telinga untuk mendengar, tetapi mengapa Allah memberi kita hanya satu hati sahaja? adakah kita perlu mencari pasangannya".

Hati.. walaupun satu tetapi ialah pusat kuasa bagi seorang manusia. Ia amat berkuasa dalam mempengaruhi seluruh kehidupan seorang manusia. Gabungan hati dan akal yang baik maka baiklah kehidupannya dalam melawan nafsu yang sentiasa berperang dengannya.

Nasihat Ibnu Qayyim ;

Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali melaksanakan kehendak Allah swt.


  • Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan Allah swt.


  • Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah swt.


  • Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang dan damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya.


  • Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qada dan qadar Nya serta sentiasa sabar sehingga menemuiNya.


  • Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepada Nya dan bermohon kepada Nya.


Kekerapan berzikir kepada Nya adalah keikhlasan sebenar kepada Nya. Andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia masih tidak lagi dapat membendung hajat hati sihamba itu. Apa yang hati kata lain dari bicara mulut. Mulut sering sahaja menagih janji sedangkan hati memendam rasa. Namun akibat dari tindakan diri akan dirasai oleh keduanya.

Manakala, kata Luqman Al Hakim tentang akal dan hati " Allah mencipta manusia dengan akal dan hati, yang saling berbeza tabiat dalam memberikan reaksi kepada perkataan. Akal memproses logik, hati memproses emosi. Akal dan logik menghasilkan tahu. Hati dan emosi mencetuskan kemahuan manusia.

Apabila kita meminta sesuatu dari orang lain dengan menyebut " Syafiq buka pintu itu", ia adalah arahan kepada akal. Namun arahan itu mungkin hanya difahami oleh akal, tetapi bagaimana pun dengan hati. Arahan itu tidak mengambil kira soal hati. Alangkah elok jika diungkap dengan perkataan yang lebih sopan seperti " Syafiq tolong bukakan pintu, terima kasih" Pasti ia boleh diterima akal dan hati.

Ketika Luqman menasihati anaknya. Beliau mulakan ungkapan nasihat dengan lafaz " Ya Bunayya, yang bermaksud " wahai anak ku sayang". Ia dalah lafaz akal dan hati. Beliau tidak bersikap angkuh terhadap anaknya walaupun statusnya sebagai bapa. Malah kuasa kasih sayang dan bahasa yang mengungkapnya, menjadikan nasihat itu lebih berkesan dan penuh hikmah.

Manusia tidak bertindak berdasarkan apa yang dia tahu (akal), tetapi manusia bertindak berdasarkan apa yang dia mahu (hati). Jangan hanya mengeluarkan arahan, tetapi manfaatkan fitrah manusia yang ada perasaan.

Keramat Sebuah Hati



Hati merupakan paling istimewa dan sering menjadi intipan musuh (setan). Komposisi hati adalah nafsu dan akal yang diadun bersama untuk membentuk keperibadian manusia. Hati ibarat raja, apa sahaja yang dirasakan hati akan dipatuhi. Jika raja itu jujur dan baik maka ia akan memerintah dengan adil dan saksama. Tapi jika ia raja yang zalim maka ia akan memerintah dengan zalim dan kejam. Hati juga sentiasa berbolak balik dan tidak tetap.

Hati adalah anugerah Tuhan yang hanya diberikan kepada manusia. Hati adalah kalbu yang merupakan titik tolak dari apa yang akan, sedang dan telah kita kerjakan. Hati mampu menjadi tenang dan suci apabila kita beristiqamah dalam melakukan sesuatu yang baik. Hati akan menjadi kelam dan hitam bila kita terus menodainya dengan berbuat kejahatan dan maksiat.

Hati ibarat cermin. Cermin bagi cahaya Allah. Ketika cermin itu bersih maka ia akan memantulkan cahaya keilahian. Namun apabila cermin itu suram dan penuh dengan noda dan dosa, maka bagaimana mungkin cahaya boleh terpantul darinya. Jika hati dilimpahi cahaya Tuhan, maka ia akan dapat mengetahui rahsia -rahsia Tuhan.

Mata hatilah yang boleh melihat Allah. Kemurnian hati seseorang dapat menembusi hijab antara dia dengan TuhanNya. Dalam perjalanan hati seseorang akan selalu dicemari berbagai penyakit. Penyakit inilah yang akan mengotori kebersihan dan kemurnian hati seseorang. Takabbur dan sombong adalah penyakit yang sering menyerang hati kita. Ketika kita sombong maka sebenarnya kita sudah merasakan diri kita Tuhan.

Kita tidak berhak mendakwa bahawa segala keunggulan kita adalah milik kita sendiri. Semuanya adalah atas kehendak Nya. Sebesar-besar kuasa kita adalah berkat kuasanNya. Jangan sesekali kita menganggap semua yang ada pada kita adalah milik kita dan kita berhak mengatur segalnya tanpa sebuah perhintungan. Ini adalah satu kesombongan. Kesombongan inilah yang akan mempertebalkan hijab kita denganNya dan mengharamkan kita menjejaki kaki di syurgaNya. Dengan kesombongan ini juga akan menimbulkan rasa dengki dan iri hati pada hati kita.

Murnikanlah hati kita dengan berbuat baik sentiasa tanpa dikotori dengan sikap riak dan takabbur disamping berharap pada rahmat dan hidayah Allah agar memberi panduan ke jalan yang benar. Jangan kita menjadikan hati kita mati yang tidak dapat membezakan antara yang benar dan yang salah.

Assalamualaikum, Bicara dibuka..

Assalamualaikum wbt.

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan kita Sayyidina Muhammad dan keluarganya dan para sahabatnya sekalian. Ya Allah ku mohon agar mendapat keredhaan Mu dan rahmat Mu. Ya Allah hidupkan lah daku dalam keberkatan Mu dan lindungilah daku dari segala keburukan dan kejahatan musuh-musuh Mu. Ya Allah berilah daku hidayah dan panduan dalam melakukan sebaik-baik amalan dan semulia-mulia akhlak, sesungguhnya tiada siapa yang dapat memberinya melainkan Engkau Ya Allah. Dan pandulah jiwa ragaku kepada mengamalkan segala kebaikan dan kebajikan supaya ianya memberi manfaat kepada seluruh alam. Semoga ruang bicara blog ini juga memberi satu peluang kebaikan untuk daku dan juga semua.

Laman mahatati360 ini sekadar satu ruang untuk berkongsi maklumat, pandangan dan ilmu yang boleh dimanfaatkan bersama dalam era media baru ini agar dapat meluaskan lagi perspektif dalam diri daku selain mempertingkatkan budaya ilmu yang berguna. Apa yang baik datang dari Allah swt dan segala kekhilafan adalah dari daku jua.

Sekian. Wasalam