30 September 2011

Angkuh dan Sombong Jejas Prestasi Kerja


Sikap bekerjasama dan saling membantu bukan sahaja menaikkan nama organisasi tetapi juga membuang sifat mazmumah seperti sombong. - Gambar hiasan

ISLAM melarang umatnya bersifat bangga diri dan merendahkan orang lain. Sebaliknya hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain. Ini kerana semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertaqwa.

Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat: 13)

Buta Sebelah Mata Dikategorikan OKU


Shahrizat Abdul Jalil bersama OKU dan Presiden Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Abdullah Malim Baginda (kanan) memukul gendang sebagai simbolik merasmikan ulang tahun ke-60 dan Hari Terbuka Persatuan Orang Buta Malaysia di Kuala Lumpur.

Bermula Sabtu ini 1 Oktober 2011, individu yang buta sebelah mata akan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan boleh didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, keputusan itu akan membolehkan golongan tersebut menerima faedah sama seperti OKU lain, sekiranya mendaftar dengan JKM.

"Perkara ini dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi OKU dua hari lalu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan hari terbuka persatuan itu.

Shahrizat berkata, Kabinet dalam pada itu meluluskan cadangan kementerian supaya semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melantik wakil golongan OKU sebagai ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab ke atas perancangan dan pembangunan di setiap PBT.

Beliau berkata, selain itu, cadangan agar Unit Audit Akses ditubuhkan di setiap PBT turut diluluskan Kabinet, baru-baru ini.

Katanya, inisiatif itu antara usaha kerajaan untuk membela kesejahteraan dan memperjuangkan hak golongan OKU agar mereka dapat bersama-sama melibatkan diri dalam arus pembangunan negara secara lebih aktif dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Beliau berkata, keputusan kerajaan itu akan dapat meningkatkan aksesibiliti OKU kepada bangunan dan kemudahan awam dan seterusnya menggalakkan persekitaran mesra OKU.

Terdahulu ketika berucap, Shahrizat berkata, MAB yang ditubuhkan 60 tahun lalu menjadi ikon kepada persatuan-persatuan yang memperjuangkan hak golongan OKU yang lain.

"Kerajaan terutamanya kementerian amat menghargai peranan MAB selama tempoh itu dan kita sudah pastinya akan sentiasa tampil membantu MAB dalam apa juga hal," katanya.

Beliau berkata, MAB menjadi satu contoh bagaimana satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat memperjuangkan isu untuk OKU dengan lebih serius.

Sumber: Utusan

29 September 2011

Hanya Logo Halal Jakim Mulai 1 Jan 2012



Mulai 1 Jan 2012, hanya logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh digunakan dan diiktiraf.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu susulan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 yang diluluskan Parlimen Julai 2011 dan akan berkuatkuasa 1 Nov 2011.

"Bermakna premis makanan, restoran, hotel dan pihak-pihak lain yang sebelum ini menggunakan logo halal bukan dikeluarkan Jakim, perlu membuat permohonan baru kerana selepas tarikh 1 Jan 2012, logo halal sedia ada adalah terbatal.

"Mana-mana pihak lain juga tidak boleh lagi memperakukan atau mengeluarkan sijil halal ataupun membuat pengisytiharan sendiri berhubung status halal," katanya.

Ismail Sabri berkata selepas tarikh itu mereka yang masih menggunakan logo halal lain boleh didenda sehingga RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan dan sehingga RM100,000 bagi orang perseorangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ismail Sabri berkata bagi pihak industri pula, tempoh setahun diberikan untuk menukar semua produk keluaran mereka dengan logo halal Jakim.

Bagi barangan yang diimport pula, pihak yang memasarkan barangan itu boleh mendapatkan perakuan atau sijil halal melalui 53 badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.

"Semua pihak terbabit dinasihat membuat permohonan awal menerusi Majlis Agama Islam negeri masing-masing kerana Jakim sudah memberi kuasa kepada semua majlis agama Islam negeri bagi melicinkan proses permohonan," katanya.

Dianggarkan 1,500 termasuk premis perniagaan seperti restoran, gerai, hotel dan pihak industri seperti kilang tidak menggunakan logo halal daripada Jakim.

Sumber: Bernama

Lupus Cetakan Ayat Suci Ikut Syariah



Dua guni yang mengandungi bahan cetakan ayat Al-Quran ditemui di kawasan Perindustrian Mergong 2, Alor Setar beberapa hari yang lalu. Bahan-bahan itu ditemui oleh seorang pengurus pemasaran sebuah kilang percetakan di situ yang diletakkan di hadapan pintu pagar belakang kilang tersebut. Mengikut undang-undang, setiap kilang percetakan Al-Quran perlu mempunyai tempat pelupusan sebelum diberi lesen. (Sumber: BERNAMA)

Beberapa hari sebelum itu, sebuah trailer dengan muatan penuh naskhah al-Quran yang dipercayai salah cetak dilonggokkan di kawasan semak berdekatan rumah penduduk Kampung Pak Endeng, Pauh Sembilan, Bachok, Kelantan.

Umat Islam ditegah daripada melonggok atau membuang al-Quran yang tidak digunakan di merata tempat termasuk dalam semak walaupun alQuran tersebut tersalah cetak. Ini kerana perbuatan sedemikian boleh mencemarkan kesucian dan menghina kitab suci itu.

"Islam melarang umatnya menghina al-Quran dengan membiarkan dibuang di merata tempat walaupun ia tidak digunakan lagi seperti kitab usang atau tersalah cetak. Adalah berdosa seseorang Islam tidak menghormati kitab suci al-Quran walaupun ia dalam bentuk tidak sempurna, " katanya Timbalan Mufti Kelantan Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Nik Abdul Kadir berkata Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuaratnya sebelum ini mengambil ketetapan bahawa naskhah al-Quran yang tidak digunakan mesti dilupuskan secara berhemah supaya kehormatannya dipelihara mengikut lunas-lunas Islam.

"Berdasarkan keputusan itu, mana-mana syarikat pencetak yang hendak melupuskan naskhah al-Quran yang tidak digunakan itu hendaklah menggunakan khidmat syarikat pelupusan ditauliah bagi memastikan ia dilupuskan secara terhormat sesuai dengan kesuciannya.

"Bagi orang perseorangan pula hendaklah membakar naskhah berkenaan dan abunya hendaklah ditanam atau dibuang ke sungai," katanya. (Sumber: BERNAMA)


Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-30 yang bersidang pada 22 Aug 1992 telah membincangkan Pelupusan Al-Quran. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan resam uthmani hendaklah dilupuskan.
2. Kaedah pelupusan ialah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam ditempat yang dikawal.
3. Kerja-kerja pelupusan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada Urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Dan dilakukan dengan cara tersembunyi demi mengelakkan salah faham orang ramai.

Sumber: eFatwa

Artikel berikut ini bukanlah suatu artikel yang baru. Ia telah disiarkan oleh BHarian pada 19 September, 2010.

Pusat Pelupusan Percetakan Saufi


MESIN insinerator yang dibina khas untuk membakar ayat suci al-Quran.

DIRIWAYATKAN, seorang sahabat menjumpai al-Quran, menyapukan wangian padanya dan menyimpan di tempat tinggi. Bagi sahabat itu, Allah janjikan syurga. Begitu juga Saidina Umar yang terjumpa keratan al-Quran lalu diambil dan diciumnya, Allah memberikan pahala.

Inilah kebesaran untuk mereka yang menjaga serta mengagungkan kalimah Allah yang diwahyukan kepada rasul-Nya, Muhammad SAW, menjadi petunjuk kepada umat sekalian alam, tidak kira bagaimana cara dilakukan. Malangnya, tidak ramai yang tahu cara tepat untuk melupuskan kita suci ini. Kejahilan ramai inilah yang turut mendorong sebuah syarikat tempatan iaitu penerbitan Al-Quran Mushaf Uthmani, Percetakan Saufi menawarkan khidmat pelupusan al-Quran menerusi Pusat Pelupusan Ayat Al-Quran Percetakan Saufi di Batu 10 Cheras, Kajang, Selangor.

Malah, pengalaman Pengerusi Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, menyaksikan sendiri naskhah al-Quran dilonggokkan bersama buku lain di pusat pengumpulan barangan kitar semula miliki bukan Islam, menjadi antara titik tolak kewujudan syarikat itu pada 2008.

“Terkejut dan sedih apabila melihat al-Quran dibiarkan bersepah di pusat kitar semula dan ini menyedarkan saya mungkin ramai tidak tahu bagaimana hendak melupuskan al-Quran. Orang dulu akan bakar tetapi timbul juga persoalan selepas dibakar nak buat macam mana pula?

“Jika ditanam, perlu dipastikan tempat itu tidak di langkah atau abu hendaklah ditaburkan ke laut. Itu yang terlintas di hati saya untuk membantu mereka yang ingin melupuskan al-Quran terutama yang sudah lama dan koyak.

“Selain itu, saya ingin pastikan keagungan ayat Allah dipelihara dan cara saya ialah menyediakan kemudahan mengumpul dan membakar al-Quran supaya umat Islam tidak lagi membiarkan ayat al-Quran begitu saja,” katanya.

Katanya, bahan terkumpul itu kini dibakar secara berkala menggunakan mesin insinerator dan abunya sama ada ditanam dalam telaga khas yang digali di kawasan pengumpulan dan pelupusan atau dihanyutkan di laut di Negeri Sembilan.

Mesin pembakar khas untuk tujuan melupuskan barangan bercetak ayat Al-Quran mengikut prosedur dan syariat Islam iaitu secara pembakaran selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992.

Rahmat berkata, Percetakan Saufi adalah syarikat percetakan yang telah diberi lesen oleh Bahagian Kawalan Penerbitan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekal, mengganti dan mengambil Al-Quran lama bukan Mushaf Uthmani bagi tujuan pelupusan.

Syarikatnya juga mendapat kebenaran Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran untuk membekal dan memulihara ayat suci di sekolah kebangsaan dan sekolah agama di seluruh negara. Syarikat itu turut mengumpul dan melupuskan Al-Quran lama yang disalah cetak dan tidak mendapat kelulusan Lajnah Tashih Al-Quran KDN terutama yang dicetak sebelum 1990, mengandungi perkataan salah dan jika dibaca membawa maksud salah serta mendatangkan dosa.

Kaedah Pelupusan


PROSES memasukkan ayat al-Quran yang sudah diracik ke dalam mesin insinerator melalui pintu utama.

PELUPUSAN ayat suci al-Quran perlu dilakukan dengan tertib dan setiap aspek diberi perhatian teliti termasuk memastikan abu daripada bahan bakar mengandungi kalimah Allah itu tidak berterbangan, bersepah, dipijak atau dilangkah.

Pengerusi Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, berkata proses pembakaran ayat suci al-Quran menggunakan mesin insinerator khas turut melalui peringkat percubaan dan penambahbaikan. Menurutnya, proses pembakaran al-Quran pada awalnya tidak berjaya kerana keadaan naskah al-Quran yang agak tebal.

Selepas itu katanya, timbul idea untuk mencarik al-Quran termasuk kulitnya yang tebal menggunakan mesin pencarik menjadi helaian kecil yang lebih ringan serta terurai supaya lebih mudah dibakar dan menjadi abu halus.

Proses pembakaran dimulakan dengan meracik al-Quran menjadi helaian kecil sebelum dimasukkan ke dalam raga dan dibawa ke mesin insinerator untuk dibakar. Mesin perlu dipanaskan menggunakan gas industri selama empat jam untuk mendapat suhu 600 darjah celsius.

Kertas seberat 300 kilogram dimasukkan pada satu-satu masa ke dalam insinerator melalui dua pintu iaitu pintu utama (berbentuk bulat) jika mesin masih belum panas dan pintu kedua (berbentuk empat segi tepat di bahagian sisi mesin) apabila haba semakin panas.

Kepanasan ruang bakar membolehkan 100 kilogram kertas dibakar dalam masa sepuluh minit dan kemudian abu dibiarkan selama empat jam untuk sejuk sebelum dimasukkan ke dalam bekas menyimpan abu.

Mesin insinerator boleh membakar satu setengah tan kertas pada satu masa dan proses itu memakan masa antara empat hingga lima jam. Keseluruhan proses pembakaran memakan masa lapan hingga sembilan jam termasuk untuk menyejukkan abu.

Rahmat berkata, walaupun nampak mudah, proses pelupusan al-Quran melalui pembakaran itu perlu dilakukan dengan berhati hati kerana tidak ada sehelai kertas tercetak ayat al-Quran atau abu boleh dibiarkan bersepah.

Katanya, pihaknya turut mengupah pekerja untuk mengasingkan kulit tebal dan kertas yang memakan masa serta tenaga kerja, begitu juga untuk mengendalikan mesin meracik bagi memudahkan pembakaran.

Proses pembakaran dilakukan dua kali seminggu atau mengikut keperluan terutama apabila kertas yang sudah diracik semakin banyak.

Selain pengumpulan dan pelupusan al-Quran, Percetakan Saufi menganjurkan program Skim Al-Quran Wakaf Malaysia bagi menggalakkan umat Islam bersedekah melalui amalan wakaf untuk diedarkan kepada pihak memerlukan. Melalui skim wakaf itu, individu atau syarikat boleh menyumbangkan RM30 untuk naskah Al-Quran Mushaf Uthmani yang kemudian diedarkan ke masjid, surau, rumah anak yatim, rumah kebajikan, sekolah dan maahad tahfiz. Mereka yang ingin menyertai Skim Al-Quran Wakaf Malaysia boleh menghubungi syarikat itu di nombor 03-26933049/03-26915184.

Sumber: BHarian

28 September 2011

Kayap Melibatkan Urat Saraf


Kayap pada bahagian muka.

Mengalami gatal-gatal di badan pasti merimaskan tambahan pula kesakitan yang mencucuk-cucuk sehingga timbul bintik-bintik kemerahan di bahagian berkenaan.

Kemunculan bintik-bintik tersebut biasanya berlarutan selama dua atau tiga hari sebelum menggelembung dan pecah mengeluarkan cecair dengan bau kurang menyenangkan.

Malah ada juga yang mengeluarkan nanah di bahagian yang gatal itu, disusuli pula dengan sakit yang menyengat.

Bagi yang memandang remeh, pasti menganggap bintik-bintik tersebut sebagai masalah gatal biasa tetapi sebenarnya ia adalah sebahagian daripada simptom penyakit kayap.

Menurut Pakar Runding Sakit Kulit, Dr. Mohd. Noh Idris, jika terdapat simptom tersebut segeralah berjumpa dengan doktor untuk rawatan dengan segera.

"Serangan kayap ini sangat sakit kerana ia melibatkan urat saraf selain membahayakan kesihatan,'' ujarnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Katanya lagi, keadaan ini jika tidak diberikan rawatan awal akan menjejaskan kesihatan lebih-lebih lagi jika ia menyerang pada bahagian-bahagian sensitif seperti mata.

Ular dalam tubuh

"Sebab itu, bagi pesakit yang terkena kayap di bahagian mata, kita akan rujuk kepada pakar mata untuk memastikan tidak ada perkara-perkara serius yang berlaku kepada pesakit tersebut. Kayap boleh membuatkan seseorang itu buta jika tidak dirawat," katanya.

Menurut Dr. Mohd. Noh, serangan kayap biasanya dikesan melalui kesan tompokan kemerah-merahan pada kulit dan menggelembung serta berisi air.

Bagaimanapun terdapat juga yang mengandungi nanah serta menyebabkan kulit menjadi hitam-kehitaman serta menjalar berselerak ke bahagian badan yang tertentu.

Menurutnya, pesakit yang mendapat kayap akan mengadu sakit yang mencucuk-cucuk atau kebas di atas lingkaran tersebut.

Malah pesakit juga boleh merasai mereka seperti diserang sakit jantung jika lingkaran itu merebak.

Beliau memberitahu, gelembung-gelembung berair juga akan timbul di atas lingkaran tadi.

Dalam tempoh seminggu gelembung itu akan pecah dan kering lalu mengeruping.

Terang beliau lagi, kayap adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan virus Varicella Zoster dan bertindak menyerang seseorang yang mempunyai daya ketahanan badan yang lemah.

"Kebiasaannya golongan warga emas menjadi sasaran utama penyakit ini kerana golongan ini lazimnya mempunyai sistem imuniti yang agak lemah.

"Bagaimanapun terdapat juga golongan kanak-kanak yang dijangkiti kayap biarpun peratusannya terlalu rendah iaitu sekitar lima peratus,'' ujarnya .

Katanya lagi, serangan kayap biasanya berlaku pada bahagian pinggang ke atas bagaimanapun ia kadangkala juga berlaku pada bahagian sulit.

Malah kajian membuktikan sebanyak 55 peratus kejadian kayap berlaku di bahagian pinggang ke atas, manakala 20 peratus di bahagian muka serta 15 peratus berlaku di bahagian bawah pusat ke bawah manakala lima peratus berlaku di bahagian sulit dan punggung.

Ditanya mengenai rawatan, beliau memberitahu, pesakit yang datang bertemu akan diberikan ubat mematikan kuman serta ubat tahan sakit.

"Biasanya ubat anti virus perlu dimakan selama tujuh hari bagi memastikan kuman tersebut betul-betul hilang ,'ujarnya yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang perubatan kulit.

Tegasnya lagi, sekiranya pesakit dalam keadaan yang kritikal ia akan diberikan suntikan, bagaimanapun, yang penting ialah diagnosis penyakit harus dipastikan terlebih dahulu.

Rawatan segera sangat diperlukan bagi mengurangkan kesan buruk kayap khususnya yang terkena pada mata dan mengurangkan kesan sakit.

Ditanya mengenai kepercayaan bahawa penyakit ini disebabkan oleh ular dalam tubuh pesakit, beliau menjelaskan adalah tidak benar, begitu juga kepercayaan kononnya bila lingkaran bertaut pesakit akan mati.

"Semua itu adalah karut, hakikatnya keadaan itu berlaku kerana ia berpunca daripada urat saraf yang terdapat di badan pesakit tersebut," katanya.

Sumber: Utusan

Sindiket Penipuan Bungkusan Melalui Internet

Pernahkah anda mendapat emel yang mengatakan anda menang hadiah tanpa sebab atau atas sesuatu pertandingan yang anda tidak pernah sertai atau emel yang menyatakan anda menang loteri dan berbagai jenis atau lagi ...........

Barangkali peringatan yang berikut ini menjelaskan kepada anda kenapa emel-emel yang sebegini perlu diabaikan. Walaupun kes yang dinyatakan dalam peringatan yang berikut ini menggunakan facebook dalam modus operandinya. Tetapi yang pastinya ia adalah berkaitan.


Gambar Hiasan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket penipuan bungkusan yang semakin berleluasa melalui Internet.

PDRM dalam kenyataan di laman Facebook menjelaskan modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan berkenalan dengan mangsa melalui laman sosial seperti Facebook, e-mel dan laman sembang dalam tempoh satu hingga empat bulan.

Setelah persahabatan terjalin, anggota sindiket kemudian memaklumkan kepada mangsa bahawa bungkusan telah dihantar kepadanya sebagai barangan hadiah.

Bungkusan itu dikatakan mengandungi barang perhiasaan, wang, emas dan disusuli dengan kiriman resit penghantaran melalui e-mel kepada mangsa.

Menurut PDRM, mangsa kemudian akan dimaklumkan oleh sindiket bahawa bungkusan berkenaan ditahan oleh Kastam Malaysia.

"Mangsa diminta menjelaskan beberapa bayaran kepada Kastam dan syarikat ejen dengan memasukkan wang ke dalam akaun yang akan diberikan oleh sindiket bagi tujuan menuntut bungkusan tersebut.

"Mangsa yang terpedaya hanya sedar ditipu setelah membuat beberapa bayaran sebagaimana yang diminta oleh sindiket tanpa mendapatkan bungkusan tersebut," kata PDRM.

Justeru itu PDRM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan kenalan melalui Internet dan mengelak daripada menjadi mangsa kepada penipuan jenayah siber itu.

Sumber maklumat: BERNAMA

27 September 2011

Berakhir Sukan Laga Lembu di Barcelona


LEMBU terakhir yang mati dibunuh ditarik keluar dari arena Monumental di Barcelona kelmarin.

BARCELONA, Sepanyol - Seekor lembu jantan dibunuh di Catalonia kelmarin sebelum pengharaman sukan tersebut berkuat kuasa di arena Monumental, Barcelona. Haiwan seberat 570 kilogram itu dibunuh oleh seorang matador berusia 28 tahun, Serafin Marin.

Para penonton seramai 18,000 orang menyaksikan majlis terakhir laga lembu jantan tersebut. Sebahagian daripada mereka menjulang tiga matador yang mengambil bahagian dalam pertarungan dengan lembu jantan.

Larangan sukan tersebut akan bermula pada Januari tahun depan. Parlimen Catalonia mengundi pada Julai 2010 untuk mengharamkan sukan tersebut. Pengundian itu dibuat selepas beberapa kumpulan hak asasi manusia mendapatkan 180,000 tandatangan bagi meminta sukan tersebut dibincangkan.

Para peminat sukan itu bergambar di arena tersebut sebagai kenangan.

"Adalah amat penting untuk datang ke sini hari ini," kata seorang peminat sukan itu, Juan Jose Cabedo.

Dia sanggup menempuh perjalanan sejauh 200 kilometer untuk menyaksikan acara itu.

"Kami berasa sedih dan marah," katanya. Namun, kira-kira 30 aktivis hak asasi haiwan meraikan penamatan acara laga lembu itu.

Sumber: Kosmo.

Tradisi Yang Kejam


SEORANG lelaki bertindak nekad mendekati Afligido untuk menikamnya dengan lembing.

ORANG ramai sibuk berlari, menunggang kuda dan berteriak. Mereka berkejar-kejaran sambil merancang strategi untuk mengepung dan mengalahkan seekor lembu laga jantan. Masing-masing mengacukan lembing untuk disasarkan ke arah tubuh haiwan berkenaan yang mendengus dan mengganas akibat keresahan serta kesakitan.

Begitupun Selasa lalu, lembu itu akhirnya mati juga di tangan mereka. Ratusan orang telah berganding bahu menumpaskan Afligido, seekor lembu jantan seberat 608 kilogram dalam festival Toro de la Vega. Nama Afligido itu sendiri yang bermaksud 'kedukaan' seakan-akan mengejek hayat haiwan tersebut.

Berlangsung di bandar Tordesillas di wilayah tengah negara tersebut, lembu itu berlari cemas merentasi jalan dan lorong, menyeberangi Sungai Duero hinggalah akhirnya ia tewas di sebuah kawasan dataran.


PULUHAN peserta berkuda menyasarkan lembing mereka ke arah lembu jantan yang menjadi 'mangsa' sambutan sebuah warisan tradisi.

Selain luka parah akibat ditusuk puluhan lembing dari pelbagai arah, Afligido yang kehabisan tenaga dan tidak mampu lagi berlari akhirnya dibunuh dengan satu tikaman menggunakan alat pemutar skru besar tepat di kepalanya.

Ritual merejam lembu dengan lembing beramai-ramai itu adalah tradisi yang diwarisi sejak Zaman Pertengahan di negara itu. Ia jauh mendahului sebuah lagi tradisi lama yang juga dianggap tidak berperikemanusiaan iaitu pertandingan laga lembu.

Festival yang bermula sejak tahun 1453 itu disifatkan sebagai acara yang kejam dan memalukan oleh golongan pencinta haiwan serta banyak lagi pertubuhan bebas sedunia. Sebahagian besar rakyat Sepanyol sendiri merasakan festival itu perlu dihentikan dan diganti dengan acara lain.

Selain daripada insiden seorang penunjuk perasaan wanita yang nekad menyembur cecair pemedih mata kepada seorang perejam lembing di Tordesillas, sebuah perarakan protes turut dijalankan di Madrid.


KUMPULAN pencinta haiwan mengadakan perarakan di Madrid bagi memprotes festival Toro de la Vega yang kejam.

"Kami protes sambutan Toro de la Vega ini. Selain acara laga lembu, kami juga mahu festival yang lebih kejam ini dihentikan. Budaya negara ini tidak sepatutnya diasaskan dengan tindakan menyeksa dan menyebabkan kematian haiwan secara suka-suka," kata Silvia Barquero, jurucakap kumpulan pejuang hak haiwan, PACMA.

Wilayah timur laut Sepanyol iaitu Catalonia akan menganjurkan pertandingan laga lembu terakhirnya pada 25 September nanti. Perkara itu tercapai setelah mengambil kira undi bantahan pada tahun lalu yang mahukan tradisi itu dilenyapkan terus dari bumi Sepanyol.

Dalam perkembangan lain, PACMA mencabar majlis perbandaran Tordesillas untuk mengisytiharkan Toro de la Vega sebagai aset budayanya.

Setiap wilayah di Sepanyol mempunyai penilaian dan undang-undang tersendiri berkaitan isu perlindungan haiwan. Begitupun, pertandingan laga lembu masih dibenarkan termasuk di Tordesillas yang terus menganggap Toro de la Vega perlu disambut setiap tahun atas nama kesinambungan tradisi.

Sumber: Kosmo!

26 September 2011

Hari Jantung Sedunia

Keluarga pesakit harus perlu pelajari bantuan pernafasan andai masalah berulang.



KHAMIS ini (29 September 2011) adalah Hari Jantung Sedunia dan sudah banyak diperkatakan mengenai cara mengelak serangan jantung. Namun aspek yang kurang dititikberatkan atau sering terlepas pandang adalah kehidupan selepas individu itu bergelar pesakit kardiovaskular yang juga pembunuh nombor satu dunia.

Hakikatnya, selain ubat-ubatan dan rawatan, fasa pasca rawatan sakit jantung itu dan mengenal pasti dan menerima peristiwa yang mengubah diri individu itu akan membantu atau setidak-tidaknya mempercepatkan lagi usaha ke arah pemulihan.

Bagi memastikan anda dapat terus menikmati kehidupan yang sihat dan bermakna bersama keluarga dan rakan-rakan, ada beberapa langkah serta pengorbanan termasuk mengubah cara hidup. Sebenarnya tempoh diperlukan bagi penghidap sebelum menyambung semula kehidupan aktif dan kembali bekerja, bergantung kepada langkah-langkah yang diambil bagi mengekalkan gaya hidup baru dan bukan hanya setakat mengubah program diet dan meningkatkan aktiviti fizikal.

Keputusan kaji selidik menunjukkan bahawa semakin banyak nyawa hilang sejak kebelakangan ini selepas pesakit keluar hospital tanpa menyedari mereka perlu memberi lebih perhatian kepada pengurusan sindrom koronari akut (acute coronary syndrome, ACS), iaitu terma induk kepada mereka yang mengalami serangan jantung atau ancaman sakit jantung akibat pengurangan aliran darah ke otot jantung.

Mereka yang pernah mengalami ACS perlu sedar bahawa penyakit ini adalah kronik dan bersifat progresif, tetapi masih boleh diuruskan. Langkah yang perlu diambil adalah mencegah daripada serangan jantung yang lain dan mengurangkan risiko jangka sederhana dan jangka panjang. Anda boleh melakukan langkah-langkah ini jika anda memahami penyakit ini dan menyedari risiko yang ada.

Menghadapi realiti hidup baru ini serta keadaan sebenar kesihatan adalah salah satu cabaran yang ditempuhi. Cabaran lain pula adalah menguatkan diri untuk melalui terapi pencegahan serta menjadikannya satu amalan.

Perasaan atau berasakan diri tersisih dan keseorangan adalah reaksi semula jadi menghadapi situasi baru ini. Oleh itu amat penting bagi ahli keluarga atau penjaga memahami aspek seperti cara penjagaan, penilaian dan rawatan sewajarnya yang diperlukan pesakit bagi mengurangkan risiko kejadian seterusnya. Sebaik pesakit mengakui dan memahami bahawa kerjasama jangka panjang di seluruh rantaian sistem bantuan perlu wujud, tanggungjawab bersama menguruskan kehidupan selepas serangan jantung akan menjadi semakin mudah. Apa yang penting adalah pesakit perlu menyedari bahawa kunci ke arah kehidupan yang produktif selepas serangan jantung sebahagian besarnya ditentukan oleh mereka sendiri.

Kitaran rawatan

Walaupun doktor sentiasa bersedia menawarkan nasihat profesional mengenai ujian dan ubat yang perlu diambil, pesakit juga harus menyedari tanda amaran dan simptom serangan jantung seterusnya.

Sudah tentu pengalaman yang dilalui mengganggu sesetengah pesakit apabila mereka meninggalkan persekitaran hospital selepas serangan jantung. Di sinilah sokongan pihak keluarga menjadi penting dalam membantu pesakit mengubah gaya hidup dan menjalani program pemulihan kardium seperti yang dicadangkan atau dinasihati oleh ahli terapi dan doktor.

Ahli keluarga pesakit boleh mempelajari teknik asas bantuan pernafasan (CPR). Memberi bantuan kepada seseorang yang mengalami serangan jantung pada minit-minit pertama boleh menentukan sama ada mereka akan hidup atau mati. Pesakit dan penjaga juga harus tahu angka penting yang diawasi berkaitan kesihatan jantung - paras kolesterol (HDL dan LDL); glukosa darah dan tekanan darah. Menguruskan faktor risiko ini dengan baik dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya darah beku.

Dalam usaha merawat pesakit ACS, bergantung keadaan penyakit, doktor boleh memberi ubat atau mencadangkan prosedur invasif. Antara prosedur invasif adalah intervensi koronari perkutaneus (percutaneous coronary intervention(PCI), yang mana arteri tersumbat dibuka menggunakan alat khas dikenali ‘sten.’ PCI juga dikenali sebagai angioplasti. Satu lagi prosedur invasif adalah graf pintas arteri koronari yang mana arteri berkenaan (selalunya tersumbat) pada jantung dipintas menggunakan vena untuk membolehkan darah mengalir ke jantung.

Selain pakar bedah kardiotoraks, peranan intervensi serta bantuan diberikan pakar kardiologi membantu pesakit menangani tempoh pemulihan yang panjang selepas pembedahan, parut serta sakit juga adalah faktor penting dalam pengurusan penyakit jantung pesakit.

Dari segi ubat-ubatan pula, kewujudan anti platelet di pasaran yang mencegah platelet dalam darah daripada melekat dan menjadikan darah beku. Ubat-ubat ini diberikan sebagai tambahan atau pengganti ubat-ubat lain digunakan bagi mencegah serangan jantung, strok dan pembentukan darah beku atau diberikan sebaik saja berlaku serangan jantung untuk mengurangkan risiko serangan jantung seterusnya. Jika diambil atas nasihat doktor dan disertakan dengan perubahan amalan gaya hidup, sesetengah antiplatelet mampu meningkatkan kadar kejayaan secara berkesan untuk pesakit ACS.

Bagi kehidupan di luar hospital, pesakit yang pernah melalui ACS mampu menangani penyakit kronik ini dengan lebih baik hasil rawatan yang dipertingkatkan, daripada pembedahan dan terapi intervensi kepada ubat-ubatan pencairan darah dan antiplatelet.

Penjagaan secara menyeluruh oleh doktor, pemberi ubat, ahli terapi serta sokongan padu daripada ahli keluarga, sahabat, rakan kerja dan penjaga dari komuniti turut membantu menyumbang ke arah pendekatan rawatan yang lebih cekap dan mutu kehidupan yang lebih baik buat pesakit.

Sumber: BHarian

25 September 2011

Tinted Yang Dibenarkan Pada Kenderaan.



Teringat masa mula-mula dapat beli sebuah kereta baru. Segala macam aksesori aku nak bubuh pada kereta aku tu. Nak pasang itu... nak pasang ini... Habis duit gaji bulan tersebut... datang pula selepas dapat gaji bulan berikutnya untuk pasang aksesori lain. Tapi itu dulu... masa hati muda dan jiwa muda.

Antara benda yang aku tambah pada kereta aku ialah tinted.

"Ini tinted mesti JPJ tak marah punya" kata tokey kedai eksesori kereta, apabila aku ragu-ragu untuk memilih tinted yang dicadangkan kerana kelihatan sangat gelap.

Setelah berfikir beberapa ketika, memilih mana satu yang berkenan dan setelah setuju dengan harga yang ditawarkan, maka aku pun pasanglah tinted tu. Aku cari yang murah-murah sahaja. Kalau ikutkan kehendak tokey kedai aksesori tu, memang yang ribu-ribu lah yang dicadangkannya. Diberikannya berbagai alasan kenapa tinted yang dia cadang tu sangat elok kalau aku ambil. Cuma tak disebutkan satu alasan iaitu dia dapat untung banyak.

Bina Satu Jalur Gemilang Secara Berkumpulan

Beberapa minggu yang lalu di saat bahang suasana Hari Kebangsaan Malaysia masih lagi hangat kami telah diarahkan oleh ketua jabatan kami untuk menghadiri satu kursus di Hotel MV Kuantan. Ini adalah secebis catatan pengalaman dalam perjalanan kursus tersebut.

Di atas papan putih tertulis ukuran bendera Malaysia (Jalur Gemilang) bersaiz kecil. Panjang dan lebar Jalur gemilang tersebut adalah 27.5 sm dan 5.5 inci. Manakala panjang dan lebar kotak biru adalah 5 inici dan 3.25 inci. Dan lebar setiap jalur putih atau merah adalah 1 cm.

“Tugasan seterusnya. Anda dikehendaki bekerja dalam kumpulan. Setiap kumpulan dibekalkan dengan sehelai kertas mahjong, sebatang pen dan sebilah gunting. Anda tidak dibenarkan membawa lain-lain keperluan selain yang diberi sahaja."

"Dengan menggunakan bahan yang diberi, dan dengan menggunakan segala potensi diri yang anda miliki, dan kemampuan anda untuk berfikir di luar kotak, hasilkan gambar sehelai bendera Malaysia yang bersaiz 2 kali ganda daripada saiz yang diberi,” kata pemudah cara kepada kami semua dalam suatu kursus motivasi.

Kursus motovasi tersebut diadakan di Hotel MV untuk kami semua bertujuan menerapkan nilai-nilai bekerja secara berkumpulan (team building) ke dalam jiwa kami.


Pelajar Bekerja Secara Berkumpulan Menghasilkan Jalur Gemilang (Gambar Hiasan).

24 September 2011

Kakitangan Awam Diramal Naik Gaji Lagi

Kerapkali sejak akhir-akhir ini masyarakat merungut dengan kenaikan harga barangan. Walau bagaimanapun dalam mereka merungut mereka tidak pula memboikot untuk tidak membeli barangan tersebut. Menjelang hari bulan terang mengambang dan poket penuh, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhkan bonet kereta mereka dengan segala barangan yang bukan sahaja barangan keperluan tetapi termasuk juga barangan kehendak.

Itulah hebatnya menjadi rakyat Malaysia. Sengkek tapi berkemampuan....

Berikutan dengan ini, pastinya ini adalah berita baik yang sangat dinanti-nantikan oleh kakitangan awam. Gaji mereka akan diumumkan naik lagi. Pengumumannya akan dibuat oleh PM dalam Bajet 2012. Syukur Alhamdulillah... Sekurang-kurangnya kelak dapatlah menampung kos sara hidup yang semakin meningkat berikutan peningkatan kos bekalan makanan dan lain-lain barang keperluan serta peningkatan kos perkhidmatan.

Kakitangan awam pula sebagai balasannya harus mengucapkan tanda terima kasih mereka dengan cara berkhidmat dengan lebih tekun, lebih rajin dan lebih cemerlang lagi ....
.

Makcik kaya!! Makcik Banyak Wang!! Boleh 'Shopping' sakan!! (Gambar Hiasan)

Kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat, 7 Oktober 2011 ini

Antara tuntutan CUEPACS sebelum ini ialah pemberian bonus dua bulan, umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun dan penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.

Bagaimanapun, sumber menyatakan masih tidak diketahui berapa peratus kenaikan gaji yang bakal diperoleh oleh kakitangan kerajaan kerana pada 2007 mereka menikmati kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus.

Turut tidak dipastikan lagi sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan akan memberi dua bulan bonus atau sebulan bonus saja dan ura-ura mengenai perkhabaran ini sudah tersebar dengan meluas di kalangan kakitangan awam.

Ketika pembentangan Bajet 2011 tahun lalu, bantuan khas kewangan RM500 diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak.

Baru-baru ini, CUEPACS yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam di negara ini, mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha memperbaiki kebajikan anggota kerajaan di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Menurut sumber itu lagi, antara perubahan yang dijangka berlaku terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah kemungkinan membabitkan beberapa perkara seperti struktur gaji; elaun; peningkatan peluang kerjaya dan syarat perkhidmatan.

Kali terakhir semakan struktur gaji dan beberapa perkara lain secara menyeluruh membabitkan sistem sektor awam ialah pada 1992, cuma sebelum ini kerajaan beberapa kali mengumumkan pelarasan gaji.

Kita difahamkan Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada kakitangan kerajaan pada 7 Oktober ini... sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan satu perubahan drastik secara menyeluruh pada sektor perkhidmatan awam, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan pelarasan gaji kakitangan awam dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh 15 tahun sejak 1992 hingga 2007, diberikan setiap tiga hingga lima tahun iaitu pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007.

Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan sejak Januari 1992, sebagai langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam sebelum dikaji semula dan digantikan dengan SSM.

Sumber: BHarian

Bagaimanapun..............

Pemberian bonus dan kenaikan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam masih menjadi teka-teki apabila Datuk Seri Najib Razak, enggan mengesahkan atau menafikan kesediaan kerajaan berbuat demikian dalam Bajet 2012.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata sebarang keputusan pemberian bonus dan kenaikan gaji bergantung kepada kemampuan kerajaan.

Saya punya pendirian, apa-apa yang akan diumumkan dalam bajet tidak akan dibocorkan lebih awal lagi. Kalau kita mampu (berikan bonus dan kenaikan gaji), kita buat, kalau kita tak mampu kita tak buat, katanya. (Rujuk: BHarian)

Pinjam Along Demi Hantaran Kahwin

Kenapa masih lagi ada orang yang belum mahu sedar tentng bahaya meminjam wang dengan Along. Adakah kerana belum cukup banyak kes yang dipaparkan oleh media massa tentang hal ini. Atau adakah kerana mereka ini tidak ambil pusing tentang hal-ehwal perkembangan dan segala isu semasa yang berlaku di persekitaran mereka. Atau adalah prinsip hidup mereka "Dah terhantuk baru tergadah".

Meminjam dengan Along untuk hantaran perkahwinan yang sudah barang tentu begitu mahal. Isu ini pun kerapkali kita baca... Isu wang hantaran yang sangat tinggi melampaui kemampuan pengantin lelaki. Sebagai contoh segala barang perhiasan diri, emas dan permata nak serba berdiri atau nak serba dua.

Disebabkan mahalnya kos wang hantaran terdapat sedelintir insan malang yang belum terlangsai hutang pinjaman dengan bank walaupun telah berkahwin selama sepuluh tahun. Bayangkan pula jika meminjam wang dengan Along. Sehingga ke anak cucu dan pastinya sehingga nyawa bercerai daripa badan pun belum tentu hutang akan selesai. Apalah ertinya nilai hantaran yang tinggi jika akhirnya kesan daripada hutang yang tak berkesudahan, anak menantu tidak dapat menikmati kebahagian berumah tangga malahan menanggung kesusahan pula.

Semoga kisah berikut ini menjadi iktibar kepada insan-insan lain yang mempunyai prisip hidup 'Biar papa asal bergaya'.


Cincin 'Tanda Cinta' terhias indah di dulang hantaran. (Gambar Hiasan)

JOHOR BAHRU: Gara-gara terdesak melangsungkan perkahwinan apabila permohonannya mendapatkan pinjaman dengan institusi kewangan ditolak, seorang kontraktor binaan di sini kini hidup dalam ketakutan apabila ditipu ceti haram selepas terjebak dengan pinjaman wang daripada tujuh along, awal bulan lalu.

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Zali, 31, pada awalnya ingin meminjam RM10,000 daripada along sebagai wang hantaran kepada pihak pengantin perempuan berikutan simpanannya tidak mencukupi.

Pinjaman antara RM750 hingga RM1,000 daripada setiap tujuh along itu mengenakan bunga antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap minggu.

Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay, berkata hidup lelaki itu amat tertekan kerana dia bukan saja tidak mendapat sepenuhnya wang yang ingin dipinjam, malah diminta melunaskan bunga pinjaman berjumlah RM12,800 walaupun sudah membayar wang yang dipinjamnya.

Kes menimpa lelaki ini lain daripada yang lain kerana dia bukan saja ditipu kerana tidak mendapat sepenuhnya wang yang dipinjam, malah turut diminta menyelesaikan bunga pinjaman sedangkan pinjaman sudah dijelaskan.

Dia sepatutnya tidak perlu lagi membayar bunga pinjaman jika sudah melangsaikan pinjaman dibuat, namun dia masih diminta membayar bunga pinjaman setiap minggu yang berbeza-beza daripada setiap along, katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tay berkata, lelaki itu meminjam daripada seorang along kepada along lain bagi mengelak dikenakan bayaran bunga, namun masalahnya berlarutan kerana masih diminta menjelaskan hutang itu.

Kes ini diibaratkan sebagai gali dan tutup lubang kerana lelaki itu menyangka dia tidak berhutang lagi dengan along terdahulu selepas menjelaskan hutang hasil pinjaman wang dengan along seterusnya, namun dia kini terjerat.

Kita meminta pihak ceti haram ini tidak menggunakan sebarang kekerasan terhadap mangsa serta memberikannya sedikit tempoh untuk menyelesaikan segala hutang berkenaan apatah lagi beliau tidak mampu serta baru saja mendirikan rumah tangga, katanya.

Sementara itu, Zali berkata dia sudah memohon pinjaman dari lebih 10 institusi kewangan berdaftar di negara ini tetapi gagal .

Saya buntu memikirkan perkara ini kerana kedua-dua keluarga saya dan mentua langsung tidak mengetahui mengenai hal ini walaupun majlis perkahwinan sudah selesai, namun wang hantaran masih lagi tergantung dan kerana itu saya memerlukan wang berkenaan, katanya.

Sumber: BHarian

23 September 2011

Pelajar Lapor Polis Selepas Kena Halau Sekolah

Lagi cerita fasal sekolah, guru dan pelajar ...........

Sebelum ini kita telah terbaca tentang pelajar dihalang daripada mengambil peperiksaan awam (Baca Sini). Yang ini pula tentang beberapa orang pelajar yang dikatakan bermasalah telah dihukum dengan cara dihalang daripada masuk ke kawasan sekolah....

Dunia pendidikan masa kini sangat mencabar. Cabaran bukan sahaja di segi peningkatan pencapaian akademik, peningkatan kualiti modal insan, tetapi cabaran untuk mewujudkan perasaan tetap bersabar dalam menangi hal kareanah pelajar. Objektif, misi dan visi sekolah amat jelas. Bagaimanapun pelajar yang datang ke sekolah segelintir daripada mereka tidak mempunyai matlamat yang jelas. datang ke sekolah kerana rakan-rakan lain datang sekolah atau kerana ibubapa suruh ke sekolah.

Diharap segala cabaran ini tidak melemahkan pihak sekolah dan para guru untuk mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna di masa akan datang dan cemerlang di dunia dan akhirat.


Gambar Hiasan

GEMENCHEH: Seramai sembilan pelajar membuat laporan polis selepas dihalau keluar dari sebuah sekolah menengah di sini, pagi semalam kerana didakwa sering tidak lulus peperiksaan, tidak mahu belajar dan degil.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, lima pelajar Tingkatan Lima, tiga pelajar Tingkatan Empat dan seorang pelajar Tingkatan Dua dihalang masuk ke kelas oleh pengawas dan diherdik pengetua yang menyuruh mereka keluar dari sekolah berkenaan.

Mereka terpaksa menunggu di luar pagar hingga ditegur orang awam yang kemudiannya menasihati mereka supaya tidak berdiri bersebelahan jalan raya yang sibuk dan sebaliknya pergi membuat laporan polis.

Pelajar berkenaan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gemencheh, pada jam 7.17 pagi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Seorang bapa yang anaknya turut dihalau kesal terhadap tindakan sekolah kerana membahayakan keselamatan pelajar.

“Walaupun pelajar berkenaan, termasuk anak saya bermasalah dari segi pelajaran dan disiplin, tindakan sepatutnya diambil dalam lingkungan kawasan sekolah dan bukan dihalau keluar dari sekolah pada waktu persekolahan.

“Bagaimana jika mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya? Adakah pihak sekolah mahu bertanggungjawab? Pada masa sama saya mengaku memang anak saya ada masalah sikit, tetapi ambillah tindakan dalam sekolah,” katanya yang tidak mahu identitinya disiarkan.

Selepas laporan polis dibuat, dua guru sekolah bersama Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) dari Tampin datang ke balai polis jam 11 pagi dan menasihatkan pelajar berkenaan kembali ke sekolah untuk menyambung sesi pembelajaran.

Sumber: BHarian

Syarat Untuk Warga Asing Layak Taraf Penduduk Tetap



Warga asing yang memegang permit masuk atau bertaraf penduduk tetap (PR) tidak layak untuk mendaftar sebagai pengundi di negara ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad.

Beliau berkata mereka juga tidak secara automatik manjadi warganegara selagi tidak memenuhi peraturan ditetapkan.

"Kerajaan tidak sewenang-wenangnya meluluskan permohonan Permit Masuk atau Taraf Penduduk Tetap (PR) kepada warga asing," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menafikan laporan laman web Malaysian Chronicle pada 17 Sept lalu yang mendakwa Jabatan Imigresen menawarkan pekerja warga Bangladesh di negara ini untuk diberi status penduduk tetap bagi tujuan berdaftar sebagai pemilih dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

22 September 2011

Ferrari Pacuan Empat Roda

Aku ni bukan lah reti sangat fasal kereta. Yang aku tau ialah isi minyak, pam tayar bila kurang angin, start enjin dan jalan serta hantar ke kedai untuk servis bila dah sampai tempoh untuk servis. Tetapi bila orang sebut kenderaan pacuan empat roda maka aku akan terbayangkan sebuah kereta besar yang lasak untuk kegunaan dijalan bersebut dan berbatu-bata kasar, bertayar besar dan mempunyai enjin diesel.

Hakikatnya konsep yang aku miliki berkaitan kereta pacuan empat roda didapati silap sama sekali. Terdapat juga kereta sport yang berpacuan empat roda rupanya....

Barangkali kereta sport tersebut untuk pamanduan lasak di litar perlumbaan berselut dan berlumpur.... Ada sesiapa boleh ajar aku tentang hal ini???



PELUMBA kereta Itali, Giancarlo Fisichela berdiri di tepi kereta Ferrari Four di bilik pameran.

Model kereta Ferrari pertama yang menggunakan sistem pacuan semua roda diperkenalkan secara rasmi di Bucharest, Romania kelmarin.

Subjek Pendidikan Keselamatan Jalan Raya



Bermula tahun depan, 2012 pendidikan keselamatan jalan raya akan dijadikan kurikulum di sekolah menengah selepas ia diperkenalkan di sekolah rendah sejak tahun 2007, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk mendidik masyarakat supaya lebih berhemah di jalan raya sejak di usia muda, sekaligus membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Pada April 2007, JKJR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran memperkenalkan pendidikan keselamatan jalan raya yang diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, bermula di 1,000 sekolah rendah terpilih.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan 1MOT dan Mesra Aidilfitri kementerian itu di sini Rabu, Kong berkata pihaknya sentiasa mengambil berat tentang masalah keselamatan jalan raya di negara ini selepas Ops Sikap ke-24 menunjukkan peningkatan 16.6 peratus kes kemalangan iaitu kepada 19,606 kes berbanding 16,817 kes pada Aidilfitri tahun lepas.

Beliau berkata JKJR turut memperkenalkan rancangan tindakan untuk 10 tahun bermula tahun ini hingga 2020 yang juga satu inisiatif di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

Kong berkata semasa mengikuti persidangan bersama menteri pengangkutan negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) baru-baru ini, beliau dimaklumkan negara lain di seluruh dunia turut mengalami kadar kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi.

Beliau berkata statistik pada tahun lepas menunjukkan 60 peratus kematian jalan raya di negara ini melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal berikutan lebih daripada 45 peratus jumlah kenderaan di jalan raya adalah motosikal.

Sumber: BERNAMA

21 September 2011

Hari Bebas Kereta Sedunia

Esok Khamis 22 September 2011 adalah hari bagi sambutan Hari Bebas Kereta Sedunia.

Bebas kereta bermaksud tiada penggunaan kereta di atas jalan raya di hari kempen tersebut. Kempen Bebas Kereta sebegini tentulah sukar untuk dilaksanakan secara total. Bagaimanapun harapan daripada kempen ini, sekurang-kurangnya akan berlaku pengurangan jumlah kenderaan yang ketara pada hari tersebut. Cara mengurangkannya boleh dengan cara berkongsi kereta atau menggunakan sepenuhnya perkhidmatan awam yang ada.

Kempen ini mempunyai hasrat yang murni untuk mengurangkan partikel-partikel rumah hijau (terutamanya gas karbon dioksida yang banyak terbebas daripada pembakaran bahan api fosil) di atmosfera bumi yang diketahui umum adalah punca kepada isu pemanasan global. Segalanya demi memelihara keseimbngan alam ini dan keselesaan penghuninya.

Nasihat Tentang Sahabat



Berikut ialah wasiat Alqamah kepada anaknya mengenai sahabat, tulisan seorang ulama' tersohor:

Seorang alim bernama Alqamah telah berwasiat kepada anaknya. Antara wasiatnya ialah:

"Apabila tercetus di hatimu berkawan dengan seseorang, pastikan jika engkau berkhidmat dengannya, dia boleh mengawal dirimu."

"Andainya kamu bersahabat dengannya dia boleh menghias dirimu, sekiranya pada suatu ketika kamu kekurangan belanja dia boleh berbelanja untuk kamu."

Pelajar Dilarang Ambil UPSR Akan Duduki Semula Peperiksaan



Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, Sarawak yang tidak dibenar menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana dianggap lemah, dibenar menduduki peperiksaan itu dalam tempoh empat minggu lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil meluahkan dukacita terhadap pentadbiran sekolah terbabit yang menyekat hak tiga murid iaitu Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi menduduki UPSR, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, setiap pelajar yang mendaftar mengambil peperiksaan awam, mesti diberi peluang menduduki peperiksaan itu.

“Sama ada murid itu cemerlang, kurang cemerlang atau lemah, itu soal kedua. Hak dia untuk ambil peperiksaan tidak boleh disekat atau dihalang oleh pentadbir sekolah.

“Sebagai Menteri Pelajaran, ini kuasa saya mengikut Akta Pendidikan dengan membenarkan mereka menduduki UPSR. Saya juga sudah menerima laporan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bahawa ini boleh dilakukan.

“Biasanya, ia mengambil masa empat minggu daripada tarikh keputusan saya untuk murid terbabit menduduki peperiksaan itu,” katanya.

Muhyiddin berkata, LPM akan mengolah soalan peperiksaan itu supaya setara dengan kertas peperiksaan UPSR yang selesai diduduki calon 15 September lalu.

Beliau turut mengingatkan pentadbir sekolah tidak terlalu ghairah mencapai kecemerlangan sekolah hingga bertindak di luar perkara sepatutnya.

Katanya, dalam keghairahan pentadbir sekolah untuk mendapat insentif tertentu, mereka seharusnya tidak bertindak sedemikian seperti menyekat pelajar yang lemah untuk menduduki peperiksaan bagi membolehkan sekolah itu mendapat keputusan cemerlang.

"Ini adalah hak pelajar, ibu bapa juga berhak untuk tahu pencapaian anak mereka, jangan sampai hak pelajar untuk mengambil peperiksaan dihalang," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau juga sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran melakukan siasatan mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pentadbir sekolah terutama guru besarnya.

'Cikgu kata saya tak pandai'

Foto

BINTANGOR: “Cikgu tidak benarkan saya ambil ujian kerana cikgu kata saya tak pandai. Setakat ini keputusan terbaik saya hanya C, sebab itulah saya dikurung,” kata Idie Ganhyol, 12, seorang daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor yang tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atas atasan lemah.

Idie bersama dua rakannya, Edward Ujoh dan Richmend Mangi, dikurung dalam bilik pemulihan sekolah itu bagi menghalang mereka daripada menduduki UPSR kerana bimbang prestasi keseluruhan sekolah akan menurun.

Mereka dikurung mulai jam 8 pagi hingga tengah hari dua hari berturut-turut, pada 13 dan 14 September lalu.

Edward pula berkata, gurunya turut memaklumkan dia juga tidak boleh menduduki UPSR kerana terlalu lemah dalam pelajaran, sebelum mengurungnya bersama dua rakannya.

Sementara itu, ibu Edward, Molly Nilau, yang ditemui mengaku sangat marah dan sakit hati kerana anaknya diperlakukan sedemikian.

“Anak saya dilayan macam pencuri... penjenayah, sehingga dikurung sebegitu. Kami juga tidak pernah tarik balik laporan polis. Guru sekolah merayu kami tarik balik laporan... tapi kami enggan.

“Mereka juga kata kalau kami mahu teruskan juga kes itu sampai ke mahkamah, kami tak akan mampu bayar kos yang dikenakan,” katanya.

Bapa Idie, Ganyol Lubok berkata, guru sekolah terbabit sudah meminta maaf dan merayu supaya ibu bapa menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Tapi saya jawab tidak... kami tidak akan tarik balik laporan polis yang dibuat. Guru terbabit sepatutnya merujuk kepada ibu bapa terlebih dulu kalau tak mahu anak kami menduduki peperiksaan, bukannya mengurung mereka.

“Guru juga memberitahu mereka akan mengemukakan ujian percubaan anak kami sebagai ganti kepada peperiksaan UPSR,” katanya yang sangat kecewa dengan tindakan guru sekolah itu.

Sumber: BHarian dan BERNAMA

Sekolah taksub semua A ditegur

Sekolah yang terlalu taksub untuk mencatat prestasi dengan keputusan semua A dalam peperiksaan awam sehingga sanggup bertindak di luar batasan, ditegur kerana kecemerlangan institusi pendidikan bukan diukur dari segi pencapaian akademik saja.

Sebaliknya, pengiktirafan itu termasuk pemberian ganjaran kepada pengetua, guru besar dan guru di bawah Tawaran Baru, mengambil kira penilaian menyeluruh yang turut meliputi aspek pencapaian kokurikulum dan pelajar serta keberhasilan pembangunan modal insan selaras Falsafah Pendidikan Negara.

Berikutan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengetua dan guru besar harus bersikap lebih terbuka dalam memahami hasrat kementerian berhubung matlamat pendidikan berkualiti.

“Saya dukacita ada sekolah terlalu taksub seperti itu, sedangkan kementerian tidak menilai kecemerlangan sekolah hanya berdasarkan prestasi semua A dalam peperiksaan. Malah, ada sekolah yang bukan seluruh pelajarnya mendapat keputusan semua A, tetap berjaya menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

“Jadi, tindakan seperti menyekat calon tertentu menduduki peperiksaan awam bermakna menutup potensi yang ada serta menyebabkan masyarakat menjadi keliru,” katanya.

Sumber: BHarian

Bilik Terapi di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)


Gambar Hiasan

Lazimnya di pusat-pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau di mana-mana pusat intervensi awal, kanak-kanak istimewa yang dihantar ibu bapa adalah dengan pelbagai masalah, kelebihan dan keperluan.

Memang menjadi keutamaan ibu bapa kanak-kanak dengan keperluan istimewa ini memastikan kanak-kanak ini diajar dengan kemahiran untuk mengurus diri.

Di PDK atau pusat intervensi awal yang lain, kanak-kanak istimewa ini dilatih mengurus diri dan berdikari serta kemahiran asas lain yang memastikan mereka dapat menjalani kehidupan biasa.

Kanak-kanak istimewa ialah mereka yang autistik, atau penghidap cerebral palsy (CP), sindrom down, hiperaktif dan lain-lain.

Kanak-kanak autistik misalnya memerlukan suasana yang bebas daripada dia mudah mengalihkan tumpuan dalam proses membina kemahiran motor halusnya dan penghidap CP pula mempunyai perkembangan kemahiran motor kasar yang agak lambat daripada orang lain.

Guru dan penjaga akan memastikan setiap keperluan anak-anak istimewa ini diambil kira berdasarkan peralatan dan kemudahan yang mereka ada, tetapi cabarannya ialah keperluan kanak-kanak ini berbeza.

PDK dikelola Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terlibat secara langsung dalam penyediaan manual programnya.

PDK bermula dengan projek perintis di Terengganu untuk membantu kanak-kanak kelainan upaya (OKU) di bawah naungan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

BILIK TERAPI

Menyedari keperluan PDK dalam membina kemahiran motor kasar dan halus, perkembangan sosial dan pengurusan diri kanak-kanak istimewa ini, Procter & Gamble (P&G) memberikan kerjasama dengan membina bilik terapi khas untuk kanak-kanak ini.

Penyediaan bilik terapi ini dilakukan di bawah program khas P&G iaitu Open Minds, dan setakat ini ia menyumbang RM1 juta bagi memenuhi keperluan pembelajaran kanak-kanak istiwewa di 50 PDK.

PDK yang dipilih meliputi setiap negeri, kata Ketua Hal Ehwal Luar P&G (Malaysia &Singapura) Zulhaimi Abdul Hamid.

Bilik terapi pelbagai pancaindera ini menyediakan kemudahan rangsangan pancaindera untuk kanak-kanak istimewa yang hilang upaya pembelajaran normal agar mereka dapat belajar dalam suasana yang tenang.

Bilik-bilik ini juga diubahsuai secara spesifik untuk membolehkan pelbagai rangsangan seperti cahaya, warna, dan bunyi dapat disampaikan secara efektif kepada pancaindera tertentu.

"Tujuannya juga untuk mempercepat proses pemulihan pelatih bermasalah," katanya semasa ditemui di PDK 4 Divisyen, Desa Tun Hussein Onn.

"Kami berbincang dahulu tentang keperluan kanak-kanak ini dan penyediaan bilik terapi pancaindera ini hasil perbincangan dengan JKM tetang apa yang diperlukan PDK mereka," katanya.

OPEN MINDS

Setiap bilik terapi di PDK ini menelan kos RM20,000 dan setakat ini bantuan berjumlah RM1 juta telah dikeluarkan.

PDK ke-50 dan terakhir setakat ini yang menerima bantuan kemudahan bilik terapi pelbagai pancaindera itu ialah Sungai Besi manakala projek pertama ialah di PDK Presint 9 Putrajaya.

"Selain membina bilik terapi pelbagai pancaindera ini, kami juga menganjurkan kursus untuk guru-guru PDK pada bulan Oktober 2010 untuk memastikan mereka mampu menguasai sepenuhnya penggunaan bilik terapi untuk mendapatkan impak maksimum ke atas kanak-kanak istimewa ini," katanya.

Beliau berkata program P&G Open Minds merupakan sebahagian daripada matlamat korporat global P&G iaitu "Live, Learn dan Thrive" yang memberi fokus terhadap usaha kemanusiaan jenama P&G, petugas dan asas korporat di dalam meningkatkan taraf hidup kanak-kanak istimewa yang memerlukan bantuan sejak bayi sehingga berusia 13 tahun.

Di Malaysia, Open Minds meneruskan fokus untuk membantu dan meningkatkan kualiti masa depan kanak-kanak istimewa ini dengan menyediakan pembelajaran khusus dan kemudahan yang diperlukan dalam kehidupan.

Sejak pelancarannya pada tahun 1999, Open Minds menyentuh kehidupan 8,000 kanak-kanak istimewa melalui pelbagai projek dan kempen.

YANG ISTIMEWA

Muhammad Alif Daniel Norzarimim, 5, ialah seorang daripada 35 kanak-kanak istimewa di PDK Desa Tun Hussein yang mengikuti program bilik terapi pelbagai pancaindera itu.

Menurut ibunya, Haslina Suhaida Sirat, 35, Muhammad Alid Daniel dimasukkan ke PDK 4 Divisyen sejak umur setahun dan menggunakan latihan di bilik terapi itu selama empat tahun.

Walaupun sesi yang diikuti hanya seminggu sekali, tetapi ia memberi kesan positif kepada Muhammad Alif kerana menurut Haslina, anaknya itu kini lebih aktif dan mindanya lebih terangsang dengan perkembangan di sekelilingnya dan kemahiran motor kasarnya bertambah baik.

Penyelia PDK di situ Sharifah Anum Syed Abd Hadi berkata bilik terapi itu mempunyai pelbagai komponen khusus untuk terapi beberapa kategori masalah kanak-kanak sepertiya CP, hiperaktif, autism dan sindrom down.

Untuk hiperaktif misalnya, antara pendekatan yang digunakan ialah terapi belon air dan bagi kanak-kanak CP, terapinya menggunakan kabel fiber optik manakala untuk kanak-kanak autistik, kelambu digunakan serta beberapa rangsangan tambahan seperti terapi muzik, pencahayaan dan aroma terapi.

Kanak-kanak CP akan diminta memegang kabel fiber optik yang halus untuk tempoh tertentu dengan tujuan meningkatkan perkembangan kemahiran motornya. Cahaya lampu pada hujung fiberoptik itu bertujuan untuk membuatkan kanak-kanak berkenaan lebih peka pada deria rasa mereka.

TERAPI BERBEZA

Sharifah Anum berkata stimulasi berulang kali itu membantu mempercepat keupayaan kanak-kanak CP dan membantu dalam proses pembelajarannya yang lebih cepat daripada terapi biasa di bilik darjah.

Bagi kanak-kanak hiperaktif pula ternyata sesi terapi yang dijalani memberikan kesan kerana kanak-kanak ini lebih terkawal pergerakan mereka dan akan duduk diam dan boleh fokus terhadap sesi terapi dan pembelajaran kemudiannya.

Beliau berkata bilik terapi itu melengkapi proses pembelajaran kanak-kanak istimewa yang sememangnya mengikuti kelas di bilik biasa di PDK.

Hanya empat kanak-kanak akan dibenarkan menggunakan ruang bilik yang terhad itu dalam satu-satu masa bagi memastikan setiap sesi terapi berlangsung dengan berkesan.

Setiap sesi juga akan mengikut kategori masalah kanak-kanak, katanya.

Sesi bersenam diadakan setiap kali selepas kanak-kanak berkenaan menjalani sesi terapi di bilik khas itu bagi memastikan minda mereka terangsang dan perkembangan kemahiran motor halus dan kasar mereka ditingkatkan.

Kaedah yang digunakan guru di sini adalah mudah kerana semuanya bersifat interaktif. Satu sesi berlangsung selama lima hingga 20 minit bergantung kepada keperluan pelatih.

KEPERLUAN GURU

Sharifah Anum puas hati kerana setakat ini enam pelatih yang mengikuti terapi itu didaftarkan masuk di sekolah pendidikan khas tanpa masalah selepas pencapaian mereka dinilai.

Selain kanak-kanak yang secara bergilir menggunakan bilik terapi itu, guru-guru di PDK itu juga digalakkan menggunakannya untuk mengurangkan stres.

"Mereka digalakkan menghabiskan masa beberapa minit di bilik ini untuk sesi terapi sendiri dan ternyata ia menenangkan dan membantu guru," katanya.

Oleh Rohana Mustaffa
Sumber: BERNAMA

20 September 2011

Sindrom ‘Empty Nest’ Sepi Warga Emas

Bapa yang kaya anak kini hidup kesepian



SABIL sedih mengenang nasib yang ditinggal lapan anaknya di Kampung Kudei Baru, Kuching. Sindrom ‘Empty Nest’ meningkat berikutan generasi muda hijrah ke bandar

KUCHING: Kaya anak tetapi hidup kesepian. Itulah nasib warga emas, Sabil Terbi, 77, dari Kampung Kudei Baru dekat sini, yang mempunyai sembilan anak tetapi mengalami sindrom ‘Empty Nest’ iaitu rasa kesunyian dan sedih akibat tinggal bersendirian di kawasan luar bandar dan berjauhan dengan anak. Daripada sembilan anaknya termasuk empat lelaki, hanya seorang yang sanggup menjaganya iaitu anak sulungnya, Railie Sabil, 42.

“Kalau ada warga emas di Sarawak yang hidupnya sunyi dan terabai, sayalah antara mereka. Saya mempunyai sembilan anak berusia 25 hingga 42 tahun, namun hanya anak sulung yang sanggup menjaga saya, sedang yang lain tidak pernah menjenguk saya,” katanya ketika ditemui di sini.

Sumber: BHarian

Sindrom ‘Empty Nest’ sedih berjauhan daripada anak meningkat


Gambar Hiasan

Kira-kira 23 peratus atau 538,000 daripada 2.4 juta warga emas di negara ini mengalami sindrom ‘Empty Nest’ iaitu rasa kesunyian dan sedih akibat tinggal bersendirian di kawasan luar bandar dan berjauhan daripada anak-anak.

Perak mencatatkan jumlah kes sedemikian yang paling tinggi membabitkan 68,437 orang, diikuti Johor 68,087 dan Sarawak 62,804.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Anjli Doshi-Gandhi, berkata peningkatan kes sindrom ‘Empty Nest’ perlu diberi perhatian kerana ia juga dikenal pasti punca kepada masalah mental dan tekanan yang kebiasaannya melanda warga emas wanita.



“Sindrom ini terjadi apabila anak-anak berhijrah ke tempat yang lebih membangun sama ada untuk mencari pekerjaan selari dengan kepesatan ekonomi, melanjutkan pelajaran ataupun sudah berkahwin.

“Justeru, ibu bapa rasa kekosongan, rasa seperti tidak diperlukan sehingga mendorong mereka mengalami kesan sampingan seperti kemurungan dengan kajian menunjukkan 41.2 peratus daripada mereka mengalami gangguan kepada kesihatan fizikal dan mental,” katanya kepada Berita Harian.

Dr Anjli berkata, penemuan itu adalah berdasarkan hasil Kajian Penduduk Keluarga Malaysia (KPKM) kali ke-4 oleh LPPKN serta dipadankan dengan hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2010.

Kajian itu membabitkan 18,875 rumah dengan menemubual 11,401 penghuni, termasuk 1,081 warga emas.

Bagi membendung sindrom ini, katanya, LPPKN menganjurkan pelbagai program nilai kekeluargaan di bawah Dasar Keluarga Negara (DKN) dan Pelan Tindakan DKN yang diluluskan kerajaan Disember tahun lalu.

“Ia termasuk dengan menambah Pusat Anjung Interaksi Rekreasi Intervensi dan Sokongan (AIRIS) sebagai tempat kaunseling, terapi dan sokongan psikososial kepada keluarga dan komuniti setempat di Bertam, Pulau Pinang, tahun ini,” katanya.

Pusat AIRIS pertama dibina di Selayang, Selangor dan Seremban 2, Negeri Sembilan bagi keluarga dan warga emas menghabiskan masa mereka dengan menyertai pelbagai program komuniti yang disediakan di situ.

“Melalui program itu, kita mengajar warga emas cara hidup yang aktif, amalkan pemikiran positif, memenuhi masa mereka dengan aktiviti kemasyarakatan, bercampur dengan jiran tetangga dan banyakkan beribadah.

“Kita juga memberi kaunseling kepada mereka bahawa kitaran hidup seperti ini di mana ibu bapa warga emas ditinggalkan sendiri kerana anak mempunyai kehidupan masing-masing adalah perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan dan harus bersedia untuk menghadapinya,“ katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan anak-anak supaya tidak lepas tangan mengenai sindrom itu dengan turut memainkan peranan meluangkan masa untuk ibu bapa supaya mereka rasa lebih dihargai.

“Anak-anak seharusnya mengambil peluang dan masa selagi ibu bapa mereka masih hidup dengan menjaga ataupun pulang ke kampung untuk meluangkan masa bersama mereka,” katanya.

Kajian itu juga mendapati kira-kira 55 peratus daripada warga emas terbabit menyatakan rasa tidak kisah jika ditempatkan ke Pusat Jagaan Orang Tua untuk mengisi masa lapang mereka.

Sumber: BHarian


Tukang Gunting Rayu Digantung

Apabila saya membaca berita ini, saya tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang lucu. Ia perlu dilihat secara mendalam mengapa pesalah memohon untuk hukuman yang berat melebihi daripada hukuman yang sepatutnya dijatuhkan ke atasnya.

Saya melihat, pesalah berada dalam situasi berputus asa untuk meneruskan hidup. Dalam laporan berita ini dinyatakan bahawa pesalah mengaku dirinya menghadapi banyak masalah peribadi. Pesalah ini melihat dirinya tidak lagi berguna di dalam masyarakat.

Yang pastinya pesalah ini memerlukan pertolongan. Keyakinan terhadap dirinya perlu dipulihkan. Masyarakat perlu memberikan sokongan moral terhadapnya agar dia lebih yakin untuk meneruskan kehidupannya bersama masyarakat di persekitarannya.

----------------------------------------------------------------------



Kebiasaannya pesalah jenayah akan memohon hukuman ringan tetapi lain pula berlaku kepada seorang tukang gunting di Mahkamah Sesyen semalam.

Tertuduh K Pasupathy, 26, bukan saja mengaku bersalah atas tuduhan menetak ibu kandungnya, S Krishnamah, 49, malah meminta Hakim Norsalha Hamzah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya.

Norsalha yang terkejut dengan permintaan itu meminta jurubahasa menerangkan hukuman terhadap tuduhan dikenakan terhadapnya tidak membawa hukuman gantung.

Selepas diberi penjelasan, Norsalha menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, Pasupathy didakwa menetak ibunya dengan sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan parah di rumah No 1739, Lorong 36, Taman Ria, di sini, jam 8 pagi, 6 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan sebatan atau kedua-duanya.

Pasupathy yang tidak diwakili peguam mengangguk memahami dan mengaku bersalah ketika tuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Bagaimanapun, Norsalha memberi peluang kepada tertuduh untuk mengemukakan rayuan sebelum memutuskan hukuman.

Melalui jurubahasa, dia berkata: “Yang Arif saya memohon hukum gantung sampai mati” dan selepas dijelaskan kesalahan itu hanya memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, beliau terdiam seketika.

“Kalau macam itu saya minta hukuman penjara 20 hingga 30 tahun. Hukumlah penjara maksimum sebab saya ada banyak masalah peribadi, ” katanya.

Sumber: BHarian

19 September 2011

Iri Hati dan Hasad Dengki



"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu" (An-Nisa' : 32)

Umumnya semua kita punya sifat ini, cuma bergantung kepada kekuatan diri untuk mengawalnya. Ada yang tidak mempedulikannya. Ada yang mengikutinya hingga menggadaikan maruah diri dan orang sekitarnya. Kita seringkali lupa bagaimana Allah mendidik kita supaya sentiasa meminta kepadaNya.

Tentulah Allah lebih tahu apa yang ingin dipinta kerana sifatNya yang maha mengetahui. Namun kita tetap disuruh meminta untuk menunjukkan pegabdian diri kepada Allah selaku pencipta yang tahu kebaikan untuk ciptaanNya. Jika kita tidak meminta, hanya kitalah yang rugi dan kecewa.

Tanah Untuk Perwira Di Perak


ZAMBRY bersama Muhammad (kanan) membantu membetulkan kerusi roda diterima Moh Sani pada Persidangan Perwakilan Tahunan 2011, PBTM Bahagian Perak ke-24 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada 18 September 2011. Perak negeri pertama tawar 7,000 lot kediaman percuma kenang jasa bekas anggota keselamatan

IPOH: Perak menawarkan lot kediaman percuma dengan bayaran premium tanah paling minimum kepada pesara tentera dan polis sebagai penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan negara.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri semalam mengumumkan 7,000 lot kediaman disediakan menerusi Projek Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) untuk bekas tentera dan polis, manakala premium tanahnya ditetapkan hanya RM500, sekali gus menjadi negeri pertama berbuat demikian.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata projek itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan 3,700 lot kediaman, manakala selebihnya dilaksanakan menerusi fasa kedua.

“Kita sudah mengenal pasti kawasan seluas 248 hektar di seluruh Perak bagi pembinaan lot kediaman berkenaan. Jika semua perbincangan dan persefahaman membabitkan pelbagai aspek, termasuk teknikal dapat diselesaikan, projek berkenaan akan dimulakan sebelum akhir tahun ini.

“Usaha bagi menjayakan projek ini sudah dimulakan kira-kira 18 bulan lalu dan kerajaan negeri sudah mengenal pasti kawasan berkenaan membabitkan 10 daerah di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan 2011, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Bahagian Perak ke-24 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Hadir sama Presiden PTBM, Datuk Muhammad Abd Ghani; Yang Dipertua PTBM Perak, Leftenan Komander (B) Jayah Said dan Panglima 2 Briged, Datuk Zulkifli Mansor.

Zambry berkata, pemilihan individu layak menerima peruntukan itu akan dibuat PBTM dan keutamaan diberi kepada mereka yang belum memiliki kediaman.

“Perak menjadi negeri pertama melakukan usaha memberi lot kediaman dan pengurangan kadar premium tanah. Kebiasaannya, kadar premium tanah yang dikenakan sebanyak RM3,000, tetapi kita tetapkan hanya RM500 sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa serta sumbangan kepada bekas tentera dan polis yang banyak berkorban demi mempertahankan keamanan negara.

“Justeru, kerajaan negeri kehilangan hasil sekurang-kurangnya lebih RM17 juta dalam bentuk nilai premium tanah,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyerahkan geran hak milik bangunan Wisma Pahlawan kepada PBTM Perak dan bantuan kerusi roda kepada dua bekas tentera Perak, iaitu Moh Sani Odin dan Rosli Adnan.

Pada majlis sama, dua bekas tentera, iaitu Mejar (B) Zainal Arif Abdul Aziz dan Pegawai Waran 1 (B), Nor Wati Pandak Piah turut menerima Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) yang disampaikan Zambry bagi menghargai sumbangan mereka dalam perkhidmatan masing-masing.

Sumber: BHarian

18 September 2011

Hamba Mu

Imam Muda (Hambamu by Lyrics) Mawi feat. Akhil Hayy



Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati

Usaha dengan doa itu,
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya hati di terang
Tunjukkan jalan
Seandainnya hilang
Tegakkan perjalanan
Yang bakal ditempuh

Umat Islam Sentiasa Boleh

Umat Islam Sentiasa Boleh!!



Hayati maksud lirik dalam lagu ini :

Umat Islam harus cemerlang
Hari ini mesti lebih baik dari semalam
Jangan buang masa
Siapa kata kita tidak boleh
Kita punya Allah Maha Kuasa
Kita punya kuasa tenaga
Doa sebagai senjata
Umat Islam sentiasa boleh


“ Barangsiapa yang hari ini dia lebih baik dari semalam, maka dia dari kalangan mereka yanng beruntung. Barangsiapa yang hari ini dia sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang rugi. Barangsiapa yang hari ini dia, lebih teruk dari semalam, maka dia di kalangan orang yang celaka” Hadith Rasulullah SAW.

16 September 2011

Myvi 1.5 Liter Dilancarkan



PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) melancarkan model baru Perodua Myvi SE 1.5 dan Myvi Extreme 1.5, kenderaan penumpang pertama keluarannya dilengkapi enjin berkuasa 1.5 dalam usaha mengukuhkan kedudukannya di pasaran tempatan.

Ditawarkan pada harga bermula RM50,900 hingga RM61,700 itu, ia dijangka menarik perhatian pengguna di negara ini dengan kepuasan pemanduan maksimum khususnya dari segi prestasi yang dipertingkat.

Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata keputusan melancarkan Myvi 1.5 liter itu berdasarkan permintaan tinggi dikalangan pengguna yang mahukan enjin lebih berkuasa.

ISA Akan Dimansuhkan, Dua Undang-Undang Baru Akan Digubal



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan Akta Buang Negeri 1959 akan dimansuhkan terus.

Sehubungan itu, Najib berkata dua akta baru yang sesuai akan digubal (di bawah "semangat serta payung" Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan) bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah untuk memelihara ketenteraman dan keselamatan awam.

Katanya, akta baru itu bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

"Seperti mana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif.

"Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus...

"Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa," katanya dalam Perutusan Khas Hari Malaysia di Angkasapuri.

Sehubungan itu, Najib berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

Katanya, kajian semula komprehensif akan membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

"Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa," katanya.

Sumber: BHarian

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata undang-undang baru itu akan merujuk undang-undang di negara lain sebagai contoh.

"Undang-undang yang berhubung kait dengan keganasan, contohnya Akta Patriot di Amerika Syarikat, Akta Anti Keganasan di United Kingdom dan Australia, semua ini boleh dijadikan contoh dalam kita hendak memerangi keganasan," katanya.

Hishammuddin juga berkata fokus utama kerajaan selepas ini ialah mencari keseimbangan antara kepentingan dan keselamatan, serta kepentingan suasana demokrasi semasa dalam menggubal undang-undang baru itu. (Rujuk; Bernama)

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata keputusan itu memperlihatkan keyakinan Najib terhadap keupayaan masyarakat, termasuk anggota legislatif pembangkang, dalam melaksanakan proses transformasi secara menyeluruh.

"Berdasarkan pemansuhan ISA ini, secara tidak langsung, badan eksekutif dah beri sebahagian kuasanya dalam soal keselamatan kepada badan kehakiman dan legislatif, termasuk kepada rakyat secara amnya. (Rujuk: Bernama)

Satu undang-undang yang lebih bersifat menjaga kepentingan umum mungkin menggantikan Seksyen 27 Akta Polis 1967 berhubung kebebasan berhimpun yang sedang dikaji semula, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

"Kita memang telah lama bersedia, berbincang di peringkat Kementerian Dalam Negeri untuk menentukan bahawa di satu pihak, kita akan biarkan kepentingan hak untuk bersuara, dan di satu pihak lain, kita nak tentukan bahawa kepentingan awam juga tidak boleh terganggu. (Rujuk: Bernama)

Akta Baru Ganti ISA Tidak Digunakan Tahan Mereka Yang Berbeza Ideologi Politik

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Dua undang-undang baru yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 tidak akan digunakan bagi menahan pihak yang berbeza ideologi politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kedua-dua akta itu akan hanya digunakan bagi mengekang kegiatan pengganas dan ekstremis agama.

Selain itu, pihak yang didapati bersalah di bawah kedua-dua akta tersebut hanya akan ditahan setelah dijatuhi hukuman oleh mahkamah, katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog bersama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) di sini Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak yang mendakwa dua akta baru yang akan menggantikan ISA itu akan mengekalkan ciri-ciri ISA yang didakwa mereka akan menindas tahanan.

Sumber: Bernama

Perpaduan Nasional: Jangan Lupa Sejarah

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA



Artikel ini merupakan hasil wawancara dengan Datuk Omar Hashim, Pengerusi Jawaatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM). Artikel ini dipaparkan bersempena bersemaraknya sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54.

----------------------------------------------------------------------------

RUKUN NEGARA

Lahirnya apa yang dipanggil sebagai Rukun Negara selepas Tragedi 13 Mei dilihat sebagai satu usaha murni kerajaan untuk menangani konflik perkauman dengan secara telus.

Pengisytiharan Rukun Negara yang dibuat 31 Ogos 1970 diharap menjadi kunci untuk membuka jalan kepada usaha mewujudkan suasana keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Rukun Negara ialah satu daripada piagam yang besar yang dihasilkan di negara ini yang terbahagi kepada dua, iaitu cita-cita dan prinsip, dan ini mendapat persetujuan daripada semua kaum pada masa itu.

"Rakyat Malaysia juga perlu mengambil berat dan menghayati falsafah di sebalik cita-cita dan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jika mereka mahu kehidupan yang aman dan harmoni.



"Dalam masa yang sama kerajaan perlu menggerakkan kembali kempen untuk memberi kefahaman dan penghayatan terhadap Rukun Negara," kata Datuk Omar Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) kepada Bernama dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.

Rukun Negara berpaksikan kepada lima prinsip utama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Intipati cita-cita Rukun Negara pula ialah ke arah mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara cara hidup demokratik, mencipta masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, menjamin cara hidup yang liberal dan melahirkan masyarakat progresif.

DASAR EKONOMI BARU (DEB)

Omar juga merujuk kepada pelaksanaan dasar sosial ekonomi bersepadu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 menerusi Rancangan Malaysia Kedua untuk tempoh 20 tahun.

Menurut beliau, DEB adalah respons kepada 13 Mei bertujuan merawat penyakit dan kepincangan sosial serta ekonomi yang mendatari tragedi besar itu.

Di bawah dasar itu, masyarakat Malaysia disusun semula supaya ia menjadi lebih adil dengan sistem ekonomi diperbaiki untuk pembasmian kemiskinan semua kaum.

Langkah juga diambil bagi memastikan kekayaan negara dapat diimbangi dan diagih-agihkan secara lebih adil dan saksama khasnya antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Omar berpendapat DEB selepas 20 tahun pelancarannya mencapai kejayaan besar bagi semua kaum walaupun bagi Bbumiputera prestasinya tidak mencapai sasaran yang direncanakan.

"Namun demikian, DEB adalah instrumen paling efektif dalam membangun keyakinan masyarakat dan memperkasa kestabilan negara."

JANGAN LUPA SEJARAH

Setelah lebih 40 tahun Tragedi 13 Mei berlaku, mungkin ramai yang ingin melupuskannya terus daripada ingatan mereka supaya igauan buruk peristiwa berdarah ini tidak menghantui kehidupan khususnya generasi muda negara.

Dalam hal ini, apa yang diperlukan ialah kesungguhan semua pihak memastikan sejarah hitam itu tidak berulang dan kita juga tidak memerlukan tragedi berdarah untuk mengajar kita betapa pentingnya erti perpaduan.

Namun perkembangan mutakhir membimbangkan Omar menjadikan beliau tidak begitu optimistik apabila diaju soalan prospek pencapaian perpaduan nasional.

Beliau menuding kepada apa yang disifatkannya sebagai "partisan politic" atau politik berat sebelah yang dianggapnya merosakkan sebarang usaha besar untuk kepentingan kebangsaan.

Keutamaan diberi hanya kepada politik kepartian walaupun ia jelas bertentangan dengan kepentingan negara.

"Partisan politic", katanya, menyumbang kepada pergeseran kaum dan ini terbukti dalam tragedi 13 Mei.

"Segala-galanya dipolitikkan sehingga amat menyukarkan institusi negara dan badan pentadbiran berjalan dengan baik," katanya.

Jika tekanan memperleceh institusi negara terus menerus dikempen oleh pembangkang lama kelamaan kewibawaannya akan terhakis dan akibatnya amat buruk.

"Keadaan sekarang menunjukkan ada bahagian masyarakat yang seolah-olah kehilangan kepercayaan kepada institusi kerajaan, tak percaya kepada polis, tak percaya kepada sistem kehakiman dan tak percaya kepada pemimpin kerajaan.

"Ini satu perkara yang dahsyat dan sindrom ketidak percayaan ini adalah satu penyakit besar kepada bangsa Malaysia. Inilah hasil permainan partisan politic," tegasnya.

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


Kredit Carta: bidadaribumi.blogspot.com

Omar lalu menggesa kerajaan mewajibkan semula pelajar dan mahasiswa memahami sedikit sebanyak perkara pokok dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kursus-kursus boleh disediakan mengikut tahap kemampuan masing-masing dan tidak terlalu teknikal.

Menurut beliau, segala yang rakyat perlu tahu atau patut tahu mengenai hak dan tanggungjawab mereka, kedudukan orang Melayu dan Islam serta Raja-Raja Melayu semuanya tersurat dengan seimbang di dalam Perlembagaan.

"Pakar-pakar perundangan Perlembagaan memberitahu kita bahawa Perlembagaan Malaysia adalah sebuah dokumen organik yang unik yang memperlihatkan kebijaksanaan luar biasa dari segi keadilan, keseimbangan dan matlamat jarak jauh negara.

"Saranan saya bagi membangun kembali keyakinan rakyat dan perpaduan nasional adalah dengan memberi tumpuan kepada beberapa tonggak penyatuan yang kita cipta," tambahnya.

Cadangan yang diutarakan Omar, pertama, pelaksanaan secara serius tanpa kompromi, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan semua rakyat dan juga menjadi bahasa ilmu pengetahuan.

Walaupun bahasa-bahasa lain dibenar penggunaannya tetapi Bahasa Melayu mesti diutamakan dalam semua keadaan, rasmi atau tidak rasmi.

"Selepas hampir 54 tahun merdeka semua orang harus menerima Bahasa Melayu sebagai lambang penyatuan dan darah daging mereka," tegas beliau.

Cadangan Omar yang kedua menyentuh mengenai sistem pendidikan nasional yang dikatakannya mestilah dilaksanakan dengan tegas berasaskan semangat tersurat dan tersirat Penyata Razak.

Dalam hal ini, sekolah kebangsaan wajib diberi prioriti dari segi infrastruktur, keguruan dan kelengkapan yang terbaik selain diadakan pengajaran Bahasa Inggeris serta Bahasa Cina dan Bahasa Tamil yang teratur.

Dengan demikian, kata Omar sekolah kebangsaan akan dapat menarik lebih ramai ibu bapa Cina dan India menghantar anak-anak mereka bermula daripada sekarang.

"Sekolah kebangsaan akan menjadi sekolah nasional atau sekolah perdana dalam erti kata yang sebenar di mana semua anak Malaysia belajar bersama serta bersaing di bawah satu bumbung yang melambangi perpaduan.

"Kita harus menjalani satu muhasabah nasional berhubung perpaduan nasional.

"Kita bangun atau jatuh sebagai satu bangsa bergantung kepada kebijaksanaan kita mengurus kerukunan hidup masyarakat kita," kata Omar.

Menurut beliau, rakyat Malaysia sebetulnya mempunyai banyak kekuatan sebagai satu bangsa umpamanya kepelbagaian kaum dan budaya dengan kepandaian masing-masing, peramah dan punya toleransi yang tinggi dan tradisi hidup bersama dengan aman dan harmoni.

"Semua ini adalah aset yang wajib digembleng untuk perancangan membangun perpaduan yang lebih kental.

"Dalam suasana pancaroba dan tidak kestabilan di seluruh dunia, Malaysia bagi saya ialah satu oasis kebahagian. Negara ini indah dan kaya.

"Saya sayang dan bangga dengan watan saya ini dan berdoa tidak akan timbul apa-apa malapetaka yang dapat merosak kestabilan dan keharmonian rakyatnya," katanya.

Oleh Melati Mohd Ariff
Sumber: BERNAMA

15 September 2011

Sindiket Penipuan Perbankan Internet Tumpas

Awas!! Penipuan Perbankan Internet mengambil wang anda tanpa pengetahuan anda!! 
Bagaimana Modus Operandinya??


KAD SIM yang dirampas berhubung siasatan kes penipuan memindahkan wang secara haram menggunakan internet.

Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan wang melalui Internet yang didalangi warga Afrika dengan tertangkapnya tujuh anggota kumpulan penjenayah itu di Seksyen 14, Petaling Jaya, dekat sini baru-baru ini.

Siasatan mendapati kumpulan sindiket terbabit yang mula beroperasi mulai awal tahun ini terlibat dalam 12 kes penipuan, membabitkan kerugian berjumlah hampir RM242,321.14.

Mereka yang ditangkap ialah masing-masing seorang lelaki warga Sierra Leonne, Jordan dan Pakistan serta empat rakyat tempatan termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 27 tahun.

Siasatan polis mendapati kebanyakan suspek yang ditangkap mahir dalam bidang teknologi maklumat termasuk lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Rangkaian serta Kejuruteraan Awam dari kolej swasta di ibu negara tetapi menyalahgunakan ilmu pengetahuan itu untuk melakukan jenayah siber di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan (gambar) berkata, modus operandi (MO) kumpulan sindiket terbabit adalah mendapatkan maklumat perbankan Internet mangsa seperti nama pengguna, nombor laluan dan nombor telefon pengguna menggunakan taktik ‘phishing’.

‘Phishing’ adalah perbuatan mendapatkan maklumat peribadi melalui kiosk seperti nama pengguna, kata laluan dan maklumat kad kredit dengan menyamar sebagi individu sah dalam komunikasi elektronik.

Menurut Syed Ismail, suspek memperoleh maklumat mangsa yang dimuat turun melalui perisian yang dipasang pada kiosk dalam bank yang menjalankan perbankan Internet.

“Sindiket kemudian membuat panggilan kepada pemilik akaun atau telefon dengan menyamar sebagai pekerja syarikat telekomunikasi dan memberitahu kononnya talian telekomunikasi yang digunakan oleh mangsa akan mengalami gangguan perkhidmatan selama kira-kira dua jam kerana kerja-kerja menaik taraf.

“Setelah menelefon mangsa, mereka akan datang ke mana-mana cawangan syarikat telekomunikasi yang berkaitan untuk mendapatkan kad SIM gantian tanpa pengetahuan pemilik sebenar,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Bukit Perdana di sini hari ini.

Syed Ismail berkata, suspek akan memperdayakan pekerja syarikat telekomunikasi dengan mengemukakan laporan polis palsu yang direka sendiri dengan menyatakan kononnya mereka telah disamun dan kehilangan telefon serta kad pengenalan.

Selain laporan polis palsu, katanya, anggota sindiket juga akan mengemukakan salinan kad pengenalan dan menyamar sebagai pemilik telefon berdaftar dengan syarikat telekomunikasi itu dengan mengekalkan butir-butir pengenalan diri mangsa tetapi meletakkan gambar mereka.

“Mereka turut memalsukan surat memberi kuasa yang kononnya telah ditandatangani oleh pemilik telefon yang berdaftar dengan syarikat telekomunikasi tersebut,” katanya.

Menurut Syed Ismail, dokumen palsu dikemukakan itu menyakinkan pekerja syarikat telekomunikasi terbabit untuk menyerahkan SIM kad gantian yang akan digunakan oleh suspek bagi mendapatkan kod kuasa transaksi (TAC) wang dari akaun mangsa, malah maklumat itu turut disalahgunakan untuk memohon kad kredit menggunakan nama mangsa.

Beliau berkata, di peringkat seterusnya, sindiket akan membuat pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga iaitu milik anggota kumpulan sindiket melalui perbankan Internet ataupun perkhidmatan Western Union tanpa pengetahuan mangsa.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman diketuai, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din telah menjalankan siasatan dan berjaya memberkas tujuh suspek di beberapa lokasi di kawasan Millenium Square, Seksyen 14, Petaling Jaya pada Sabtu dan kelmarin.

“Polis turut merampas beberapa barang yang digunakan oleh sindiket dalam kegiatan penipuan itu termasuk satu komputer bersama unit pemprosesan pusat (CPU), kad kredit dipercayai dicuri, buku akaun simpanan bank, kad sim dan mikro pelbagai syarikat telekomunikasi, komputer riba, thumb drive, salinan kad pengenalan serta laporan polis palsu,” katanya.

Sumber: Utusan