Wednesday 17 April 2013

Pendakian Gunung Kinabalu, Sabah


PENDAKIAN GUNUNG KINABALU, SABAH
23 Mei 2011 (Isnin) – 24 Mei 2011 (Selasa)


Saya telah mewakili Kelab Kebajikan dan Sukan AADK dalam misi menawan Gunung Kinabalu, Sabah bersama dengan 7 orang pendaki dari kementerian-kementerian yang lain. Antara kementerian yang mengambil bahagian ialah dari Kementerian Pengajian Tinggi, Hospital HUKM Cheras, Kementerian Belia dan Sukan, Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi dan Kementerian Pengangkutan. Pendakian ini telah diadakan pada 23 Mei 2011 (Isnin) hingga 24 Mei 2011 (Selasa). Perbelanjaan bagi pendakian ini ditanggung sepenuhnya oleh peserta.

Gunung Kinabalu adalah setinggi 13,455 kaki (4,905.2 meter) dari paras laut. Ianya merupakan gunung tertinggi di Asia Tenggara. Sebelum membuat pendakian, peserta terlebih dahulu mesti membuat tempahan dengan pengurusan KINABALU PARK. Kebiasaannya tempahan hendaklah dibuat dalam masa 4 bulan hingga ke 5 bulan sebelum tarikh pendakian. Pendaki boleh memilih pakej yang ditawarkan oleh KINABALU PARK dengan anggaran belanja diantara RM750.00 hingga RM850.00. Pakej termasuk pengangkutan, penginapan, makan dan minum sepanjang tempoh pendakian (tidak termasuk tiket kapal terbang).

Semua pendaki melaporkan diri di KINABALU PARK pada 22 Mei 2011 (Ahad), jam 6.00 petang dan menginap di Rock Hostel Kinabalu Park iaitu di kaki Gunung Kinabalu. Selepas itu semua peserta menikmati makan malam di Balsam Cafe. Ketika makan malam itu, kita akan berjumpa dengan pendaki-pendaki yang akan turut mendaki pada keesokan harinya. Cuaca sejuk dan keadaan berkabus mula menyelubungi kawasan Kinabalu Park dan menerbitkan suasana yang aman dan mendamaikan. 

Pada 23 Mei 2011 (Isnin), selepas bersarapan pagi di Balsam Cafe, pendaki memulakan pendakian Gunung Kinabalu. Setiap pendaki akan diberi tanda nama sebagai permit mendaki dan pengenalan diri. Untuk 8 orang pendaki, pihak pengurusan KINABALU PARK akan memberi 2 orang GUIDE sebagai pemandu arah. Selepas mendapat taklimat dari GUIDE, pendakian bermula di Timpohon Gate pada jam 8.45 pagi menuju ke Penginapan LABAN RATA iaitu di pertengahan Gunung Kinabalu. Jarak pendakian pada hari pertama ialah sejauh 6 Km dan mengambil masa di antara 5 jam hingga 7 jam.

Pada peringkat awal, pendaki akan melalui jalan-jalan kecil yang mempunyai anak-anak tangga yang dibentuk berdasarkan bentuk muka bumi dan akar-akar pokok. Cuaca yang cerah boleh menjadi berkabus dan hujan dengan sekelip mata. Sentiasalah bersedia dengan baju hujan. Sebaik-baiknya anda membungkus pakaian anda didalam beg plastik sebelum memasukkannya kedalam beg. 

Keadaan disekitar yang sejuk boleh menyebabkan penguncupan pada otot betis secara tiba-tiba. Ia boleh menyebabkan kekejangan otot (cramp). Anda dinasihatkan supaya membawa ubat yang berkaitan dan kurangkan banyak berhenti berehat semasa anda berjalan. Biarlah anda berjalan perlahan-lahan daripada anda terpaksa mengalami kekejangan otot. Permukaan trek mendaki adalah dari batu granite dan agak licin (terutama apabila hujan). 

Anda dinasihatkan supaya berhati-hati, jangan berlari-lari dan pakailah kasut yang bertapak getah. Semasa pendakian, pendaki akan dapat menikmati permandangan yang indah serta dapat melihat flora dan fauna yang berwarna-warni, sungguh cantik sekali. Pokok periuk kera banyak terdapat di sepanjang laluan pendakian.

Semua peserta tiba di penginapan LABAN RATA pada jam 2.00 petang. Catatan suhu di Laban Rata ialah 7 darjah celcius. Keadaannya amat sejuk sekali dan semua pendaki terpaksa memakai baju sejuk dan sarung tangan. Kebanyakkan pendaki mengalami pening-pening dan ada yang muntah semasa sampai di Laban Rata. Semakin tinggi anda mendaki, anda akan berasa semakin cepat letih. 

Ini adalah disebabkan kandungan oksigen diudara semakin nipis. Hidung anda akan cepat berair dan anda mungkin akan menghidap selsema. Ini adalah disebabkan udara yang sejuk dan lembap. Kebanyakkan pendaki akan hilang selera makan. Bagaimanapun anda di nasihatkan supaya makan untuk mengembalikan semula tenaga anda. Semua pendaki menikmati makan malam di cafe Laban Rata. Semua pendaki akan bermalam di Laban Rata untuk berehat.

Pada hari kedua iaitu 24.5.2011 (Selasa), semua pendaki akan bangun pada jam 1.00 pagi untuk meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu. Selepas makan dan diberi taklimat oleh GUIDE, peserta memulakan pendakian ke puncak pada jam 2.00 pagi. Jarak pendakian dari Laban Rata ke puncak Gunung Kinabalu ialah sejauh 3 Km dan mengambil masa di antara 3 jam hingga 5 jam. 

Setiap pendaki hendaklah mempunyai head lamp atau lampu suluh untuk menyusuri trek yang gelap dan kelam. Semasa pendakian ke puncak Gunung Kinabalu, udara menjadi semakin nipis. Ada di kalangan pendaki akan mengalami sesak nafas kerana kekurangan oksigen. Pendaki juga akan mengalami sakit kepala serta akan merasa pening dan keletihan yang memenatkan.

Semua pendaki selamat tiba di Puncak Kinabalu pada jam 6.30 pagi. Suhu di puncak kinabalu jatuh ke 5 darjah celcius dan semua pendaki mengalami keadaan sejuk yang amat sangat sehingga menyusuk tulang ditambah pula dengan tiupan angin yang sejuk dan kuat. Seluruh anggota terasa kebas dan rasa amat sukar untuk bernafas. Puncak Gunung Kinabalu di kenali sebagai LOW PEAK iaitu puncak tertinggi dengan ketinggian 4,905.2 meter. 

Semua pendaki tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan melihat permandangan yang terbentang luas di depan mata. Sungguh cantik keindahan ciptaan Yang Maha Esa. Terasa betapa kerdilnya kita menyaksikan ciptaan alam ini. Semasa di puncak Kinabalu, kita akan berjumpa dengan pendaki dari negara luar seperti dari Kanada, England, Perancis, Belanda, Filipina dan lain-lain yang sama-sama mendaki ke puncak kinabalu.

Pada jam 8.00 pagi semua pendaki memulakan pendakian turun dari puncak ke penginapan LABAN RATA untuk sarapan. Selepas Check out pada jam 10.00 pagi, pendaki akan mendaki turun untuk kembali ke TIMPOHON GATE iaitu kaki Gunung KInabalu. Semua peserta selamat sampai di TIMPOHON GATE pada jam 3.00 petang dan makan tengahari di Balsam Cafe KINABALU PARK. Selepas makan dan check out dari KINABALU PARK, semua peserta yang berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu akan diberi sijil pengesahan.

Terasa satu kepuasan kerana berjaya menakluk puncak Kinabalu memandangkan pendaki terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan halangan untuk sampai ke puncak. Sesungguhnya sokongan dan dorongan yang saya terima dari semua pengawai dan kakitangan AADK telah menguatkan semangat saya dan akhirnya nama AADK telah terpahat megah di Puncak KINABALU.





3 comments:

  1. subhanAllah...indahnya ciptaan Allah...

    ReplyDelete
  2. Salam Pok Nik

    Terjumpa jugak saya Blog Pok nik ni.
    Pandai poknik mengarang..

    Jumpa lagi Pok Nik

    ReplyDelete