Assalamualaikum darlings... okeh hari ni nur nak share pasal guideline yg nur petik dr blog myiham.com .. semoga perkongsian ini bermanfaat buat diri nur dan kita semua dlm menempuhi alam pertunangan :)
Bertunang adalah salah satu proses yang wujud dalam syariat Islam.
Hukumnya adalah sunat. Ia terjadi apabila hasrat seorang lelaki untuk
menjadikan seorang wanita sebagai isterinya disambut oleh wanita
tersebut ataupun walinya. Maka, apabila sah menjadi tunangan, wanita
tersebut tidak boleh lagi dipinang oleh orang lain.
Mungkin asas tersebut sudah ramai yang tahu.
Cuma ramai orang terlepas pandang tentang apa yang berlaku seusai
proses pertunangan tersebut. Kita tahu, jika seorang lelaki hendak
melamar, dia diharuskan untuk tengok wanita yang hendak dilamarnya.
Apabila wanita tersebut sudah bergelar tunangannya pula, dia boleh
berkenalan dengan wanita tersebut beserta keluarganya. Itu antara hikmah
pertunangan ; sebagai proses menuju perkahwinan yang sejahtera.
Bab perkenalan itulah ramai orang terlepas pandang. Mungkin sebab
tidak dititkberatkan. Maka banyak jugalah berlaku kerosakan pemuda dan
pemudi Islam yang berada dalam fatrah pertunangan kononnya atas nama
‘berkenalan’.
Jadi saya cuba tuliskan sedikit guideline atau panduan untuk
perhubungan sewaktu tempoh pertunangan. Harapnya, ia mampu menarik
mana-mana yang telah terlanjur ke depan dan mampu menyuntik keberanian
kepada mana-mana yang masih tidak tahu cara berhubungan.
Ok,kita mulakan.
Pertama : Nothing Change
Apa maksudnya? Maksudnya, apabila anda dan dia bertunang, tidak ada
apa-apa yang berubah. Baik dari segi siapa dia, cara bercakap dengan
dia, cara memandang dia dan sebagainya. Dia tetap lelaki ajnabi dan dia
tetap perempuan ajnabi. Maka layanan anda kepadanya juga mesti sebagai
ajnabi. Macam anda berkomunikasi dengan pakcik teksi, abang jual top-up
kat kedai dan tukang kebun di sekolah. Apa yang berbeza cuma anda dan
dia ada janji untuk berkahwin, itu sahaja.
Kedua : Pemfokusan
Apa hikmah anda sebagai wanita haram dipinang lagi selepas anda
menerima pinangan seorang lelaki? Antara hikmahnya, Islam mahu mendidik
anda supaya fokus. Buat satu-satu biar selesai satu-satu. Bertunang
bukan sekadar soal ‘reserve’ semata-mata. Ia soal penyatupaduan usaha
untuk menjayakan sebuah akad nikah. Mahu merealisasikan itu bukan
senang, perlu kepada pemfokusan gerak kerja. Jadi, untuk berhubung
antara satu sama lain, janganlah lari fokus. Soalan-soalan seperti
tadi datang program tak? saya tak nampak awak pun atau
awak dah makan ke? makan apa? itu semua agak jauh dari titik fokus yang sebenar.
Ketiga : Manusiawi
Apa yang saya maksudkan di sini adalah layanan kepada satu sama lain
ketika berhubungan mestilah seperti melayan manusia, bukan robot. Banyak
terjadi, apabila satu pihak ‘terlalu menjaga’ maka dia menjadi robot
dan bukan lagi manusia. Mana ada manusia suka berkomunikasi dengan
robot, apatah lagi yang berlakon sebagai robot itu adalah tunangannya.
Jadi jangan jadi robot, jadilah manusia. Caranya mudah, anda sebagai
wanita contohnya, ketika anda pergi kedai top-up dan meminta
brader kedai tersebut memasukkan top-up ke dalam telefon bimbit anda, adakah anda berinteraksi dengan
brader itu sebagai manusia atau robot?
Anda akan berinteraksi sebagaimana manusia biasa, bukan? Kalau perlu
senyum, anda senyum. Kalau perlu jawab apa brader tu tanya, anda jawab.
Kalau perlu bertanya, anda bertanya. Tapi adakah perlu untuk anda
berbalas jelingan mata dengan
brader tersebut? Tak perlu. Adakah perlu anda duduk melayan
brader
tersebut berbual-bual? Juga tidak perlu. Jadi kena faham, anda bukan
perlu menjadi tegas seperti robot, sebaliknya anda perlu menjadi manusia
yang tegas.
Keempat : Sms, email, calling
Saya faham, part ini paling ramai yang kalah. Tambah-tambah kalau dapat kredit
free, memang susah nak tahan tangan dari mesej atau
call
orang yang selalu di ingatan. Tambah menyulitkan keadaan, apabila mahu
berhubung tetapi tidak ada apa-apa perkara penting untuk dicakapkan.
Maka diperah jualah otak mereka-reka ‘perkara penting’ barang sepatah
dua, kemudian meleret-leretlah kepada segala benda yang tidak penting.
Akhirnya, dua-dua lalai leka.
Jadi dalam hal ini, tidak dapat tidak kedua-dua pasangan mesti
menjadi tegas. Patutnya, lelakilah yang memainkan peranan menegakkan
ketegasan tersebut. Tetapi realitinya, ramai lelaki yang tidak menjadi
tegas manakala yang wanita pula terkial-kial mempertahankan ketegasan.
Sudahlah wanita itu sifatnya mudah cair, lelaki pula tidak memainkan
peranan sebagai ‘pemimpin’ yang amanah dengan baik.
Soal medium berhubung ini, ianya halal dan hukum asalnya harus
semata-mata. Tetapi ia boleh menjadi haram bergantung kepada bagaimana
kita menggunakannya. Justeru, amalkan tips berikut ketika berhubung :
- Banyakkan isi, kurangkan bunga. Sekadar ayat pemanis bicara
sikit-skit, tanya khabar, itu ok. Tapi selepas itu mesti terus kepada
isi. Biar isinya banyak. Kalau mahu bincang, biar perbualan itu
benar-benar berbentuk perbincangan.
- Tak perlu berjenaka. Berjenaka biasanya untuk mengendurkan suasana.
Tetapi sebaiknya anda mengambil sikap pertengahan, iaitu mewujudkan
suasana perbualan yang tidak terlalu tegang dan tidak terlalu kendur.
Kadang-kadang, jenaka mengundang padah. Boleh menghilangkan batas-batas
ketegasan yang cuba dijaga. Jadi masing-masing pujuklah hati ; simpan
dulu jenaka itu untuk kemudian hari. Itu lebih manis.
- Jaga masa. Ada sesetengah lelaki, tengah malam baru nak contact.
Konon tak boleh tidur, konon itu dan ini. Jadi dalam keadaan tersebut,
wanitalah yang perlu bertegas dan berkeras. Jangan bagi muka. Berhubung
‘di luar waktu’ apatah lagi dalam suasana yang sunyi sepi, memang ibarat
anda berdiri di mulut syaitan. Bila-bila masa boleh kena telan.
- Jangan berkhalwat. Nabi s.a.w sebut : tidak berdua-duaan lelaki dan wanita melainkan syaitan adalah yang ketiga. Ini bukan berlaku di alam nyata sahaja, bahkan juga di alam maya. Chatting atau calling, biar ketika benar-benar perlu dan penting. Selesai urusan, segera tinggalkan ruang tersebut.
Kelima : Rapati ibu bapa
Banyak terjadi, perempuan apabila sudah bergelar tunangan orang, dia
cenderung merapati si lelaki berbanding ibu bapanya sendiri. Ini silap.
Kena faham dengan baik, bahawa tanggungjawab dan ketaatan hanya
berpindah dengan akad, bukan dengan bertunang. Jadi sebagai anak gadis,
anda perlu kekal sepertimana sebelum menjadi tunangan orang. Apa-apa
perkara, ibu bapa mesti menjadi yang utama, bukan tunang.
Sebab itu dalam banyak-banyak kes, pernikahan menjadi susah. Antara
sebabnya adalah, si gadis lebih sibuk dengan si tunang berbanding
berbincang atau memujuk ibu bapanya, manakala si lelaki pula langsung
tidak berusaha untuk memujuk ibu bapa gadis tersebut untuk menyegerakan
pernikahan.
Orang perempuan kena faham, susah mahu berjumpa lelaki yang benar-benar berani dan
gentleman.
Yang sanggup melamar terus kepada ibu bapanya dan sanggup bersemuka
sendiri memujuk supaya dipercepatkan pernikahan. Lebih-lebih lagi kalau
masih belajar. Dengar sahaja dari mulut si gadis bahawa ayahnya tidak
bagi kahwin masa belajar, terus menjadi gerun. Apabila disuruh oleh si
gadis untuk menghubungi ayahnya dan berbincang, pelbagai alasan diberi.
Hakikatnya, dia tidak bersedia dan tidak berani bersemuka.
Itu masih ok. Apa yang tidak ok adalah si lelaki asyik mahu merapai
si gadis sepanjang tempoh pertunangan. Perkara yang penting dijadikan
tidak penting. Perkara yang tidak penting pula dijadikan penting.
Bab-bab memujuk keluarga, membina hujah dan sebagainya, tidak berminat
untuk dibincangkan. Sebaliknya bab-bab sakit kepala, saya banyak
masalah, awak tak memahami saya, saya rasa kesepian dan segala yang lain
dijadikan sebagai topik utama perbincangan.
Jadi bagaimana? Dalam keadaan tersebut, kiranya si gadis pun lentok
dan terikut-ikut dengan pembawakan si lelaki, maka berpestalah para
syaitan atas kejayaan usaha mereka.
Keenam : Prinsip diri dan jaga hati tunang, mana satu?
Saya kira, dilema ini dikongsi oleh sebilangan besar anak gadis di
luar sana terutama yang bergelar tunangan orang tetapi masih kabur
dengan pernikahan.
Si gadis mahu bertegas dengan prinsip. Iaitu sebagaimana
prinsip-prinsip yang saya senaraikan di atas. Apabila berhubung, dia
tidak berlebihan. Sekadarnya sahaja. Memberi fokus pada yang penting dan
sebagainya.
Tetapi apa yang menjadi masalah, si lelaki ‘tidak senang’ dengan
keadaan tersebut. Dia merasakan dirinya sebagai tunang perlu menerima
‘layanan’ yang lebih istimewa. Janganlah terlalu tegas. Sesekali, mahu
juga berkongsi rasa, melayan bicara, membuai jiwa. Si gadis pantang
menyerah. Tidak dilayan dan buat tak faham. Akhirnya? Si lelaki merasa
jemu dan mahu putus.
Sudah tentulah si gadis akan bersedih hati. Namun adakah perlu dikorbankan prinsipnya?
Saya jawab : tempoh pertunangan itu tempoh perkenalan. Berkenalan kat
situ, bukan maksudnya dia kena kenal saudari yang cantik, menarik,
menawan, pandai ambil hati, menyejukkan jiwa, penyayang dan sebagainya.
TIDAK SAMA SEKALI. Apa yang dia kena kenal adalah, keluarga saudari,
perancangan hidup saudari, masalah-masalah yang saudari hadapi untuk
berkahwin dan apakah watak-watak yang disukai atau tidak disukai oleh
saudari. Sebab apa? Sebab dia kenal saudari sebagai TUNANG, bukan
ISTERI. Kalau dia kenal sebagai isteri, ya, saudari boleh kenalkan diri
saudari yang penyayang, manja, menggoda dan sebagainya. Jelas?
Jadi bila saudari ‘memperkenalkan’ diri saudari sebagai seorang yang
tegas dan berprinsip, kemudian si lelaki tersebut menolak, maka saudari
tidak perlulah bersedih. Saudari tidak kehilangan dia, sebaliknya dia
yang kehilangan saudari.
Dan diri saudari yang MAHAL itu hanya layak dikenali oleh lelaki yang
jujur, amanah dan benar-benar bertanggungjawab. Pasti dan pasti, lelaki
jenis itu tidak akan berkecil hati dengan ketegasan saudari sebaliknya
dia akan bersyukur kerana tunangnya membantunya menjaga iman dalam diri.
Saya kongsikan satu status di
facebook saya pada 12 Januari yang lalu :
Sedari,
cara untuk tolong sedara yang minat sedari tu,
bukan dengan menadah riba membentang jiwa memberi muka,
caranya adalah dengan membenteng ketegasan dan jangan layan bila dia start merepek.
dia mungkin akan kata saudari syadid, tak kesian kat dia, tak memahami dia, ‘tak sayang’ kat dia,
tapi hakikatnya, itulah cara sebenar membuktikan rasa sayang.
dia mungkin akan kata saudari zalim dan kejam,
tapi hakikatnya, saudari ‘bantu’ dia untuk masuk perangkap syaitan itu lebih zalim bin kejam.
jadi jangan mudah kena tipu sangat
bertegas hari ini, kemanisan hari esok
ingat tu.
MOTIVASI
Ingatlah, apa sekalipun yang kita tempuh dalam hidup ini, termasuklah
pertunangan, semuanya berlaku atas landasan takdir Allah Ta’ala. Jangan
sesekali bimbang dengan jodoh sehingga anda membutakan hati dari
menilai mana kaca mana permata. Memilih yang haq sama sekali tidak akan
menjadikan anda rugi. Jangan bimbang ditolak, jangan takut pertunangan
itu terputus, kerana hakikatnya anda ada Allah yang tidak pernah
meninggalkan anda.
Firman Allah Ta’ala :
Maksudnya : Boleh jadi kamu membenci
sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai
sesuatu sedangkan ia buruk bagi kamu, dan Allah Maha Tahu sedangkan kamu
tidak mengetahui. [ Al-Baqarah : 216 ]
Jika sekarang anda bergelar tunangan orang, maka segerakanlah
pernikahan. Jika tidak mampu, maka janganlah berhubungan. Biarlah
sekadar
ada hubungan.
Banyak kerosakan berlaku dalam pertunangan disebabkan masalah tidak
menjaga perhubungan. Maka sebagaimana anda bertunang kerana Allah dan
mahu menuju pernikahan kerana Allah, begitu jugalah anda mesti
menggantungkan usaha-usaha dalam fatrah bertunang dengan taqwa kepada
Allah.
Sekadar itu perkongsian saya sebagai panduan anda yang sedang
bertunang. Sama-sama jaga iman dan jangan leka dari tipudaya syaitan.
Sekian.
SUMBER : http://www.myilham.com/blog/2012/01/guideline-ketika-tempoh-bertunang/