Bila Saya Dipanggil Perempuan Bodoh, Otak Tak Ada.. :((

Kejadian ni baru saja berlaku tadi.

Saya dalam perjalanan ke pejabat untuk menghantar karipap yang ditempah kawan-kawan. Saya cuti ganti kerana bekerja pada hari minggu. Saya memandu kereta ke pejabat yang hanya 10 minit jarak perjalanan. Jalan yang sama saya lalui, tapi kali ni sungguh saya tak sangka..

Saya memandu di lorong kanan di Jalan Parit Mesjid. Jalan ni kecil saja. Tidak berbaloi untuk memandu laju kerana ada banyak lorong kecil di kiri dan kanan. Kenderaan sentiasa banyak, begitu juga penunggang basikal. Kiri kanan sentiasa ada lorong taman-taman perumahan. Panduan dalam 60km/j sahaja. Kemudian secara tiba-tiba sebuah lori yang panjang dan besar masuk ke jalan ini, dari simpang sebelah kiri. Lori besar itu memandu ke arah bertentangan dengan saya, dan me'makan' laluan yang saya bakal lalui di depan. Saya terkejut dan terus ke lorong kiri. Dalam hati saya marah dengan lori tu kerana masuk sesuka hati. Tak lama kemudian kereta saya berhenti di simpang lampu isyarat. Di sini saya menunggu untuk belok ke kiri.

Sebuah motosikal ditunggangi lelaki, sambil anaknya duduk di raga memintas ke depan dan berhenti, betul-betul di tepi tayar depan. Beberapa kali dia menoleh ke arah saya sambil berkata-kata kepada anaknya, yang saya rasa dalam lingkungan usia 3 tahun. Saya tak sedap hati. Saya tarik brek tangan supaya kereta saya bersebelahan dengan motornya, menurunkan tingkap dan bertanya,
"Kenapa Encik? Saya ada berbuat salah ke? Encik macam marah dengan kereta saya?"

Dengan wajah yang teramat marah, dia menjerit,
"Kau nak langgar motor aku tadi!"

"Ye ke Encik. Saya tak perasan. Yang masa lori besar masuk tadi tu ke? Saya-"

"Yelah perempuan bodoh! Otak tak ada! ..." Banyak lagi maki hamunnya, tak sempat saya minta maaf. Lampu isyarat telah bertukar hijau dan maki hamunnya berhenti di situ.
Saya terdiam. Semua orang memerhatikan saya.

Saya terus ke selekoh kiri, manakala motor tu terus ke depan. Saya tak ingat no. motornya, saya hanya perasan helmet merah yang dipakai anaknya. Rasa bersalah menyelubungi diri. Apa yang telah saya buat? Mengapa dia terlalu marah? Dan apa yang patut saya buat? Biarkan? Tidak, saya kena tanya apa yang sebenarnya berlaku. Jika saya bersalah, saya kena mohon maaf. Tadi saya tak sempat nak kata apa-apa.

Saya tekad nak cari motor tu. Saya berdoa sungguh-sungguh supaya Allah temukan semula saya dengan penunggang tu. Walaupun saya terpaksa patah balik dan buat pusingan U (memang jauhh) dengan kebarangkalian untuk jumpa semula yang entahlah.. Susah nak kata. Boleh jadi penunggang tu terus ke laluan tepi laut, atau belok kiri ke pekan Pontian Kechil atau ke kanan menuju ke Benut. Saya pasrah dan terus berdoa dalam hati.

Selepas buat pusingan U, saya memandu terus. Saya rasa mungkin dia nak bawa anaknya ke Klinik Kesihatan Pontian, atau mungkin ke Klinik Halizah. Beza jarak antara saya dan motor tadi mungkin 10 minit sekarang. Harapnya dia tak jauh. Kiri kanan mata saya melilau kalau-kalau terlihat motornya. Sampai di Klinik Kesihatan Pontian, saya terus mencari jika ada motor dengan helmet kanak-kanak berwarna merah. Ada. Mungkin bukan orang tu tapi saya tekad nak tunggu di situ. Maka saya cari tempat letak kereta, saya turun dan kembali semula ke motor tadi. Ada lelaki sedang dukung budak kecil di situ. Mungkin dia.

"Encik, encik yang bawa motor tadi? Encik ingat saya? Saya bawa kereta..-"
"Saya bukan nak marah awak, tapi masa awak mengelak lori tu, awak hampir nak langgar saya. Anak saya hampir terjatuh. Kalau saya seorang, saya tak bimbang.."

Saya rasa nak menangis saat tu juga!

"Saya minta maaf encik. Saya cuba nak elak lori tadi. Saya tak tahu ada motor kat sebelah kiri."
"Takpelah. Bukan salah awak, lori tu tiba-tiba keluar.."
"Saya bukan pemandu yang jahat encik. Saya betul-betul minta maaf. Puas saya cari motor encik, nasib baik dapat jumpa semula. Saya juga ada anak kecil. Tak mungkin saya sengaja. Maafkanlah saya"
"Saya pun minta maaf juga. Saya maki hamun awak tadi"

Saya bersalaman dengan anaknya. Laju je mulut ni menyebut 'acik minta maaf ye..'
Akhirnya kami saling tersenyum. Namun jauh dalam hati, sampai sekarang masih terkesan lagi. Harapnya lelaki tu benar-benar maafkan saya :'(

Saya memang takut sangat berbuat salah. Ampunkanlah aku Ya Allah..

Monday, May 09, 2011

Dunia Baru, Dunia Breastfeeding Saya

This is my picture of 'happy place' or 'green button'.. Tengok je guarantee hepi!

Semasa mengandungkan Akif, saya dah pun set dalam kepala untuk breastfeed Akif sepenuhnya sebaik dia dilahirkan. Mengepam dan menyimpan stok susu dah jadi lumrah sejak melahirkan abangnya, Afif, 5 tahun dulu. Bezanya saya mengepam susu untuk Afif dulu kerana Afif berada di hospital selama 2 bulan, maka setiap hari pam dan hantar ke hospital. Saya pula belum bekerja waktu tu.

Kali ni untuk Akif pula, saya pam dan simpan stok kerana saya sendiri dah mula bekerja.. Kiranya, dah biasa jugakla pam-pam ni. (Teringat masa di hospital selepas bersalinkan Afif, saya siap buat kursus kepada kakak-kakak di hospital cara-cara untuk pam..hehe..) Maka, atas keyakinan itu, saya terus upgrade pam dan beli Medela Freestyle, khas untuk kelahiran Akif. Awesome!!! (oh saya juga upgrade peti ais terus.. beli yang lebih besar)



Kegigihan untuk breastfeed Akif diteruskan, alhamdulillah dah masuk 3 bulan. Syukur padamu Ya Allah yang memberikan rezeki kepada Akif. Ramai kalangan ibu-ibu yang suka mengatakan bahawa 'semua ibu mampu menyusukan sendiri bayinya' tapi ingatlah, bahawa susu itu datangnya dari Allah juga. Dia berhak mengambilnya bila-bila masa, yang di luar kemampuan kita.

Kemampuan Medela FS sangat tidak dinafikan, saya mampu pam di mana-mana saja. Pernah suatu ketika saya ditugaskan ke Sepang untuk seminar selama sehari, dan saya hanya pulang ke Pontian dengan menaiki bas. Bas tu 4 jam setengah perjalanan, dan saya sempat mengepam 2 kali dalam bas. Ya, dalam bas! Hasilnya sama macam pam di waktu yang biasa kecuali....

Breastshield fs saya patah semasa pam dalam bas hari tu..

Tapi dah claim warranty, dan dah dapat pun breastshield yang baru.

Saya tak pernah pam lebih dari 8 minit, kerana hasil pam banyak. Sekali pam boleh dapat hingga 10 oz (maksimum). Kebiasaannya pam tak lebih 4 minit..

Tapi tulah, kena jaga makan. Sesungguhnya breastfeeding mengajar saya erti makanan dan gizi yang berkhasiat.

Target seterusnya ialah menyusukan Akif sehingga 6 bulan. Moga saya dapat teruskan lagi sehingga dia 2 tahun. :)

Tak ada salahnya untuk merasa excited akan dunia saya yang baru ini!

Thursday, December 30, 2010

Mo Cuishle Akif Hayyan

Selamat datang sayangku, darah dagingku.


Muhammad Akif Hayyan bin Mohd Amin, D.O.B. 27 September 2010 @ 8.47 am.
Kedatangan yang sangat dinanti, pengubat duka ayah & mama.
Moga jadi anak yang soleh dan insan yang beriman.

Terima kasih kepada sahabat handai yang berziarah dan bertanya khabar. Doa kalian sangat saya hargai. Moga Allah membalasnya.

Saturday, October 16, 2010

Salam Aidilfitri

Syawal datang lagi, Ramadhan hampir pergi.. di kesempatan ini, saya sekeluarga mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA, MOHON MAAF ZAHIR & BATIN atas segala jua kesalahan dan kesilapan.



Checklist Raya sudahpun disemak berkali-kali, Alhamdulillah tiada apa lagi yang nak dicari. Saya sudahpun berada di kampung halaman di Pasir Mas sejak 2 hari lalu. Dari JOHOR-KL-KELANTAN-TERENGGANU-JOHOR semula. Keseronokan sudahpun dirasa!

Moga kita mendapat keberkatan bersama keluarga masing-masing, bermaafan dan saling ziarah. Selepas ini saya bakal berehat panjang untuk menerima kehadiran orang baru pula :)

Thursday, September 09, 2010

Ramadhan Yang Semakin Jauh

Assalammualaikum..

Semakin jauh Ramadhan meninggalkan kita. Jujurnya saya terasa sedikit sayu. Sayu kerana saya terbiasa dengan rutin Ramadhan yang sangat memudahkan. Pukul 4.00-4.30 sudah bangkit dengan mudah, masak dan sahur yang akhirnya membawa kepada kerja-kerja rumah yang dibuat lebih awal dari biasa. Paling indah bila dapat belajar dengan lebih baik. Sebelah petang sebaik pulang dari kerja saja, saya terus menyediakan/masak untuk berbuka, solat dan tidur. Saya tak tengok TV langsung! (baru teringat, masih ada 6 juzuk yang harus dihabiskan.. moga dapat khatam dengan cepat)

Ramadhan kali ini juga membawa erti yang besar buat saya dan Afif. Pada usia 4 tahun, saya telah ajar Afif tentang Ramadhan dan puasa kepadanya. Alhamdulillah, tidak sukar mengejutnya bersahur bersama. Kebiasaannya Afif seorang yang suka menangis setiap kali bangun dari tidur, entah mengapa (mungkin kerana doa saya yang bersungguh2 supaya dimudahkan mengejutnya), segalanya jadi mudah. Saya hanya gerakkan tubuh Afif dan bertanya "Abang nak sahur?" dan Afif terus buka mata sambil angguk-anggukkan kepala. Alhamdulillah. Afif bersahur dengan penuh semangat, hingga menghabiskan lauk yang ada!


Afif yang makan hingga licin, pada hari ke-3 bersahur

Afif tidak berpuasa penuh hingga ke petang, cukup hingga masuk waktu Zuhur. Itupun pengasuhnya merasa kesian padanya kerana semua kawan-kawan di taska makan kecuali Afif seorang. Matlamat saya hanyalah mendidik 'mengapa' perlu berpuasa kepada Afif, dan yang penting ialah bersahur. Afif sering bertanya tentang puasa, mengapa perlu tahan lapar, mengapa tak boleh minum susu. Macam biasa, kerana ini dugaan Allah, supaya kita ingat pada mereka yang tiada duit untuk makan.

Ramadhan kali ini juga adalah peluang terbaik kepada saya (yang sedang mengandung) untuk berpuasa penuh. Saya akan cuba sedaya upaya. InsyaAllah..

Moga Ramadhan ini memberikan keberkatan melebihi Ramadhan sebelumnya. Ramadhan yang dirindui, moga berjumpa lagi.

Ya Allah, terimalah pemberianku sepanjang Ramadhan ini. Rabbana taqabbal minna 'innaka 'antassami 'ul 'aliim...

Friday, September 03, 2010

Sayang Satu, Dua, Tiga

Satu,satu, saya sayang ALLAH
Dua, dua, sayang Rasulullah
Tiga, tiga, sayang mama ayah
Satu, Dua, Tiga sayang semuanya..

Itu adalah salah satu nursery rhymes yang sering dinyanyikan Afif. Bersemangat sungguh nyanyiannya. Lirik lagu ini sebenarnya diubah sikit dari yang asal. Lirik ini adalah sangat relevan, bagi saya, untuk dididik dalam diri Afif.

Afif sering bertanya tentang ALLAH, bahkan memberitahu (mengajar mamanya sendiri) berbanding bertanya. 'Mama, ALLAH boleh ambil nyawa kita bila-bila masa..', 'Mama, ALLAH ni kuat tau..', 'Mama, jangan bawak car laju-laju, ingatlah ALLAH..'

Saya rasa insaf dan terharu dengan kata-kata Afif. Kadangkala dia memandang kereta (objek kegemarannya) dan mengatakan ia juga ciptaan Allah. Saya katakan bahawa Allah juga berikan manusia akal dan mengizinkan kita mencipta sesuatu untuk kebaikan.

Apa yang saya ajarkan pada Afif, dia akan ulang beberapa kali. Mungkin kerana itu dia mudah faham dan mudah ingat. Alhamdulillah.

Pada usianya 4 tahun ni, telah banyak perkembangan mindanya yang saya perasan. Afif hanya mula bercakap pada usia 3 tahun. Sekarang, Afif sudah pandai mengeja, mengira (tambah dan tolak), mengenal huruf orang bisu, membaca doa-doa harian, menghafal Al-Fatihah dan 4 Qul. Sering sekali bila saya sakit untuk bangun dari baring, (sejak mengandung 7 bulan, saya alami sakit tulang belakang) saya melihat Afif menadah tangannya dan berdoa 'Ya ALLAH bantulah mama saya nak bangun..Amin..'
Betul-betul membuat saya terharu. Lalu saya peluk Afif dan memujinya.

Alhamdulillah, menjadi ibu adalah pengalaman indah apatah lagi bersama dengan Afif, peneman yang setia. Tidak sabar untuk bersama adiknya pula.

Tuesday, July 13, 2010

Cerita Naluri Seorang Isteri

Abang (dalam blog ini dirujuk sebagai suami saya ya) sering mahu membuat kejutan pada saya. Ada-ada saja ideanya. Kadangkala dia sengaja mahu 'mengenakan' saya.

Jumaat ini saya perlu ke KL kerana meraikan majlis pertunangan adik hujung minggu ini. Pada ketika saya mengandung 24 minggu ni, Doktor (pakar O&G) telahpun menasihatkan saya supaya tidak memandu dalam jarak yang jauh. Saya masih mempunyai risiko untuk premature labour. Maka Abang telah menguatkuasakan 'akta dilarang memandu bila perlu travel jauh' ke atas saya.

Disebabkan perlu ke KL, maka Abang akan datang ke Pontian dahulu kemudian barulah membawa saya dan Afif ke sana. Kasihan pada Abang yang perlu berulang alik. Akhirnya Abang decide untuk ambil cuti pada hari esok. Lebih senang dan tidak terburu-buru.

Entah bagaimana, naluri hati saya kuat mengatakan bahawa Abang akan datang pada malam ini juga. Saya fikir, tentu dia akan bawa kancil sebaik saja habis kerja. Bila saya tanya, bila nak datang? Jawabnya "Abang datang pagi esoklah. Petang ni Abang penat, pagi ke ladang, petang pula kena buat wet lab".

Yeke? Hmm. Sangsi.

Pukul 6.30 petang. Seperti setiap hari, tunggu panggilan Abang tapi tiada. Saya cuba telefon, tak berangkat. Akhirnya saya tinggalkan mesej : Call b semula bila dah free.

Abang balas sms : Abang masih buat kerja lab.

Setengah jam kemudian, Abang telefon semula.

"Ha, Abang dah sampai kat mana tu?"
"Eh, mana tau-"
"Abang on the way ke sini kan?"
"Alahai dah tau ke.. dah kat Seremban ni. Penat Abang berhenti kat hentian ni semata-mata nak call semula takut b tahu Abang kat dalam kereta. Dah tak jadi dah surprisenya!"
"Tulah dah agak dah. Hahaha.."

Dan akhirnya saya tanya Abang apa yang patut dimasak malam ni, sambil menulis terus cerita ini di blog, sekarang ni!

Wednesday, June 16, 2010

 
.:: cerita hamba ::. - Wordpress Themes is proudly powered by WordPress and themed by Mukkamu Templates Novo Blogger