Rabu, 10 April 2013

BILA KENA BATANG HIDUNG

PRU13: Mohamad Sabu di Pendang, Husam di Putrajaya

Harakahdaily, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengumumkan Timbalan Presiden parti itu Mohamad Sabu akan bertanding di Parlimen Pendang, manakala Naib Presiden Datuk Husam Musa di Putrajaya.

Selain itu, dua lagi Naib Presiden PAS iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub masing-masing akan bertanding di Parlimen Pokok Sena, Kedah dan Pulai, Johor.

Pengumuman calon-calon tersebut dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu sidang media di Pusat Media PAS di Pejabat Agung parti itu sebentar tadi.

"Saya sendiri saya tak boleh umum, biar negeri yang umum," katanya dalam nada berseloroh.

Ketika ditanya tentang kerusi yang akan ditandingi Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Tuan Guru Abdul Hadi dalam nada bergurau berkata "dia bertanding seluruh Malaysia".

Mohamad Sabu kemudian mencelah dengan mengumumkan bahawa presiden PAS itu akan mempertahankan Parlimen Marang yang diwakilinya.

Pada sidang media sama, Kerabat Diraja Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad turut diumum sebagai calon PAS bagi Parlimen Kuala Terengganu manakala bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari pula di Larut, Perak.

Selain itu, Wan Aishah Wan Arifin juga turut diumum sebagai calon bagi Parlimen Jempol Negeri Sembilan.

PRU13: PAS Perak umum tanding 22 kerusi Dun

Muhammad Faeez Azahar, 09 Apr 2013
MANJONG: PAS Perak telah mengumumkan akan bertanding 22 kerusi Dun pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien dalam satu program di Markas PAS Kg Permatang, Pasir Panjang, Manjung, dekat sini.

Katanya, satu pertambahan kerusi telah diperoleh apabila Dun Changkat Jering yang sebelum ini ditandingi PKR telah diserahkan PAS.

“PAS akan bertanding 22 kerusi pada PRU13 ini, pertambahan satu kerusi daripada pilihanraya yang lalu.

"Dun Lintang yang dulunya milik PKR diberikan kepada PAS bertukar secara sepakat dengan Dun Kenering,” katanya ketika berucap di hadapan ribuan hadirin.

Hadir sama ialah pimpinan PAS Perak dan seluruh jentera di semua kawasan.

Ustaz Abu Bakar turut mengumumkan beberapa calon yang akan bertanding pada PRU13 ini termasuklah AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad yang kembali ke parlimen Bukit Gantang.

Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin pula diamanahkan bertanding di Dun Changkat Jering dan calon Dewan Muslimat, Hajjah Rohawati Abidin menggantikan Nizar di Dun Pasir Panjang.

Sementara itu, Ustaz Nazri Din diumum bertanding di Dun Kubu Gajah.

Jelasnya, calon-calon lain akan diumumkan secara serentak bersama Pakatan Rakyat dalam satu majlis besar yang akan diberitahu kelak,” jelas beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, dalam satu program di Taman Bungai Raya, Kuala Kangsar, Naib Presiden PAS, Datiuk Mahfuz Omar telah mengumumkan Drs Khalil Idham Lim bertanding di Parlimen Kuala Kangsar.

Dalam PRU12 yang lalu, PAS berjaya memenangi 6 kerusi Dun iaitu Pasir Panjang, Changkat Jong, Gunong Semanggol, Titi Serong dan Selinsing.

DAP telah memenangi semua 18 Dun yang ditandingi manakan PKR menang 7 kerusi.

Dengan kemenangan itu,Pakatan Rakyat telah berjaya menubuhkan kerajaan baru dan Sultan Perak memperkenan Datuk Seri Nizar Jamaluddin daripada PAS sebagai Menteri Besar.

Namun kerajaan Pakatan Rakyat hanya bertahan 11 bulan setelah BN menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat itu secara zalim dan tidak bertamadun.

Berpindah kawasan perkara biasa – Mohd Sabu

Salmiyah Harun, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS bukan sahaja yakin akan terus kekal mentadbir negeri Kedah malah akan menang di beberapa buah negeri utara pada PRU13 ini, sekiranya tidak ada apa-apa masalah besar yang berlaku.

Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata, PAS telah membuktikan prestasi yang bagus walaupun baru satu penggal mentadbir.

"Kita akan tawan semua negeri utara termasuk Perlis, Pulau Pinang dan Perak. Negeri ini akan berada di bawah Pakatan Rakyat dalam PRU ini," katanya dalam sidang media di Pusat Media PAS, di sini.

Mohammad yang diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan bertanding di Parlimen Pendang, Kedah dalam pilihan raya ini.

Percalonan beliau kali ini merupakan kali kelapan, dan baginya berpindah-pindah kawasan merupakan perkara biasa.

"Ini menunjukkan bahawa ahli dan penyokong boleh terima di mana-mana sahaja kita bertanding," katanya.

Malah beliau mengakui kariernya politiknya lebih baik walaupun beliau beberapa kali kalah dalam PRU.

PRU 2008, Mohammad bertanding di Parlimen Kuala Terengganu menentang calon BN Allahyarham Datuk Razali Ismail dengan calon Bebas Maimun Yusuf.

Dalam pada itu, Datuk Mahfuz Omar pula yakin akan terus mempertahankan kerusi Pokok Sena yang disandangnya sejak 1996.

Beliau mendapat maklumat bahawa ada usaha untuk menewaskan beliau dengan memberi penajaan RM5 di Pokok Sena.

"Kami tidak ada apa-apa untuk hadapi, kami cuma ada air liur dan saya yakin sokongan rakyat untuk PAS kekal di Kedah dan sumbang kepada Putrajaya," katanya.

Mahfuz juga yakin 15 kerusi Parlimen daripada Pakatan Rakyat di Kedah akan menyumbang kepada misi menawan Putrajaya.

Beliau turut berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menerima mandat daripada pengundi-pengundi di Pokok Sena dalam PRU ini.

Dalam PRU 2008 Mahfuz menang majoriti 5,731 undi di Pokok Sena melawan calon BN Datuk Abdul Rahman Ibrahim.

Manifesto BN 'racun' untuk rakyat

Harakahdaily, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS melihat manifesto BN lebih kepada 'racun' kerana pada amalan biasa parti itu, perlaksanaan janji manifesto hanya akan meningkatkan hutang negara.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Idris Ahmad berkata, berbanding Pakatan Rakyat, perlaksanaan manifesto khususnya dalam pemberian bantuan kepada rakyat dibuat menggunakan wang lebihan hasil daripada kecekapan pengurusan.

"Pakatan Rakyat membantu rakyat hasil daripada lebihan bukan pinjaman. Sedangkan BN daripada pinjaman yang kemudiannya akan dibeban kepada rakyat.

"Kerajaan PR berjaya membuktikan dengan amalan. Walaupun satu ketika dahulu pemimpin BN mengatakan negeri PR akan bankrap. Sebaliknya wang kerajaan Selangor bertambah daripada RM400 juta kepada RM2.6 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Rakyat boleh menilai bagaimana Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat memberi 20 meter padu air percuma, bantuan RM2500 di bawah tabung kifalah serta Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan banyak lagi, namun pada masa yang sama pendapatan negeri juga meningkat.

Menurut beliau, pada tahun 2004 hutang negara sebanyak RM242 bilion meningkat kepada RM363 bilion (2009), RM456 bilion (2011), RM502 (2012)

"Peningkatan ketara 107.4 peratus hutang sejak 8 tahun. Ertinya setiap rakyat menanggung hutang hampir RM18,000 seorang.

"Jika BN terus diberi kepercayaan bererti rakyat menempah kesengsaraan melalui kenaikan perkhidmatan, kenaikan cukai, kenaikan harga barang, kualiti perkhidmatan dan tanggungjawab kerajaan semakin kurang.

Sekarang ujarnya kehidupan rakyat semakin sukar apatah lagi pengangguran di kalangan siswazah mencecah seramai 76,200 orang manakala sejumlah 10,200 pemilik Diploma Pendidikan tidak ada penempatan serta 8,000 pemegang Diploma Kejururawatan masih menganggur.

Menurutnya, Datuk Seri Najib Razak hanya pandai memberi tetapi tidak pandai untuk menambah pendapatan negara dan akhirnya rakyat menanggung beban gara-gara pemimpin BN tidak bijak mengurus ekonomi.

"Jika BN menang banyak lagi racun berbisa yang sedang menunggu rakyat seperti kenaikan harga petrol, gula, tepung, GST, cukai prepaid, tol.

"Oleh itu rakyat wajib jangan beri undi kepada BN, biarlah mereka mahu menjanjikan bulan atau matahari.

"57 tahun, bukan waktu percubaan tetapi waktu untuk hendak melaksanakan. Masa untuk BN sudah berlalu, rakyat mahu kerajaan baru," katanya.

Salahuddin optimis 12 kerusi parlimen di Johor

Hazayani Zakaria, 09 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Calon PAS di Parlimen Pulai Salahuddin Ayub optimis Pakatan Rakyat dapat menyumbang 12 kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau yang baru diisytiharkan bertanding di Parlimen Pulai oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini berkata, berdasarkan sambutan yang diterimanya sejak setahun yang lalu, Johor berpotensi menyumbang kerusi bagi mengambil alih Putrajaya.

"Saya berterima kasih kepada rakyat di Pulai yang sejak setahun lalu memberi kepercayaan dan sambutan kepada saya.

"Ini sangat menarik dan sepanjang saya legar di pejabat-pejabat kerajaan, saya melihat reaksi pegawai di Johor satu penerimaan yang sangat hangat.

"Saya akan pikul tanggungjawab ini untuk menyumbang 12 kerusi Parlimen untuk sampai ke Putrajaya," kata beliau pada sidang media di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Naib Presiden PAS itu juga menyatakan kesediaannya memikul tanggungjawab yang disifatkan sebagai mencabar itu.

"Walaupun tugas ini tugas yang besar dan dianggap BN saya penggali kubur di sini tapi saya telah anggap ia satu amanah dan suatu yang sangat saya sanjung tinggi.

"Perlu diketahui Pakatan tidak mungkin sampai ke Putrajaya sekiranya tidak memberi kerusi Parlimen untuk kita sampai ke Putrajaya," katanya lagi.

Kelantan dituduh tiada air tapi yang terseksa rakyat Kuantan

http://omakkau.blogspot.com, 09 Apr 2013

KELANTAN DITUDUH TIADA AIR TAPI YANG MENGELUH TERSEKSA RAKYAT KUANTAN!!!!

Kelantan sering dituduh melalui mendia arus perdana sebagai negeri yang gagal mengurus air bersih kepada rakyatnya sampaikan Najib Razak berjanji akan menyelesaikannya jika rakyat Kelantan menyerahkan amanah dan mandat kepada UMNO untuk memerintah Kelantan pada PRU 13 nanti..

Bila UMNO perintah Kelantan, semuanya akan menjadi beres dan tiada lagi timbul sebarang masalah.

Tapi Najib ni jenis tak tengok gajah depan mata sebab dok asyik mengintai kuman di seberang laut.

Dia lupa bahawa Kuantan sudah lebih 3 minggu dilanda gangguan air yang kritikal.

Rakyat Kuantan kini terpaksa beratur untuk dapat bekalan air bersih.

Kini sudah sampai buat demo dan hantar memo kepejabat Pengurusan Air Pahang Berhad semalam.

Kepada Najib, sebelum menuduh dan buka mulut kena tengok dulu negeri sendiri punya keadaan.

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Tiada ulasan: