Tuesday 9 August 2011

Allahlah Yang Berkuasa Memberi Pengganti...


Allah tidak pernah mengambil sesuatu dari kita kecuali Dia akan menggantikannya dengan yang lebih baik, tetapi itu pun apabila kita bersabar dan tetap reda dengan segala ketentuannya...

"Sesiapa Kuambil dua kekasihnya (matanya) tetap bersabar maka Aku akan mengganti kedua-dua (mata)nya itu dengan syurga." dan "Sesiapa yang Kuambil orang yang dicintainya di dunia tetap mengharap reda(Ku), nescaya Aku akan menggantinya dengan syurga." (Hadis Nabi)...

Dengan kata lain, sesiapa kehilangan anaknya namun dia tetap berusaha untuk bersabar maka di akhirat nanti akan dibangunkan untuknya satu Baitul Hamd (Istana Pujaan)…

Maka kita tidak perlu terlalu bersedih hati dengan musibah yang menimpa kita, kerana yang menentukan semua itu adalah Allah yang mempunyai syurga, balasan, pengganti dan ganjaran yang besar...

Para Wali Allah yang pernah ditimpa musibah, ujian dan cubaan akan mendapat penghormatan yang mulia di syurga Firdaus. Janji Allah itu termaktub dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu." 
(Surah Ar-Ra'd:24).

Bagaimanapun, kita perlu selalu melihat dan yakin bahawa di sebalik musibah terdapat ganti dan balasan dari Allah yang biasanya berkesudahan dengan kebaikan kita.

Usia dunia ini sangat singkat dan gudang nikmatnya pun sangat kecil. Sedangkan akhirat lebih baik dan kekal abadi, hingga sesiapa di dunia mendapat musibah, dia akan mendapat kesenangan di akhirat nanti, dan sesiapa hidup sengsara di dunia, dia akan hidup bahagia di akhirat...

Wahai orang-orang yang ditimpa musibah, sesungguhnya tidak ada sesuatu pun yang hilang dari kamu. Sebaliknya kamu beruntung kerana Allah sentiasa menurunkan sesuatu kepada para hamba-Nya dengan ketetapan yang di celah-celah huruf kalimatnya terdapat kelembutan, kasihb sayang, pahala, balasan dan juga pilihan…

 Justeru itu, siapa sahaja yang ditimpa musibah yang hebat, dia mesti menghadapinya dengan sabar, mata yang jernih dan cara berfikir yang matang...

Sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik, lebih kekal, lebih utama dan lebih mulia...

Wahai anakku....ummi dan walid redha dengan pemergianmu...Allah lebih menyayangimu...


Monday 8 August 2011

TAZKIRAH RAMADHAN

KALAULAH LAUT ITU NERAKA


Kalaulah neraka itu macam laut
Sudah cukup mengerikan
Kalaulah neraka itu macam laut
Sudah cukup menakutkan
Kalaulah neraka itu macam laut
Rasa tercabut sendi-sendi tulang
Kalaulah neraka itu macam laut
Sudah cukup menginsafkan
Betapa tidak
Lihatlah, renunglah!
Luasnya tidak dapat
Dicapai oleh mata
Dalamnya tidak dapat dikata
Ombaknya melambung, membumbung
Menggulung, menghempas, memulas ganas
Suaranya menggerunkan
Menggoncangkan jantung
Menelan apa sahaja
Sebanyak mana pun habis dibahamnya
Kalau neraka yang betul-betul neraka itu
Bagaimana agaknya?
Tentu lebih dahsyat dari itu
Ia paling menakutkan
Dari segala apa yang menakutkan
Ia paling menggerunkan
Dari segala apa yang menggerunkan
Dalamnya menggerunkan hati
Apa yang jatuh
70 tahun baru sampai di bawahnya
Panasnya 70 kali kepanasan api dunia
Luasnya tidak dapat dikira
Di dalamnya 19 orang malaikat zabaniah
Yang bengisnya tidak ada tara
Memukul manusia setiap waktu
Siapakah yang tahan menanggungnya?
Suaranya menggerunkan hati
Waktu ditanya pada neraka
Sudahkah kamu kenyang
Neraka menjawab…
Adakah tambahan lagi!
Aku mahu lagi!
Aku belum kenyang lagi!
Begitu jawapan api.


~Alam Barzakh & Alam Akhirat by Zuhriah Mohamad Juoi 2000~