Thursday 8 March 2012

PEDAGOGI ISI KANDUNGAN (PCK) DALAM KONTEKS PENGAJARAN BAHASA MELAYU

Proses pembinaan PCK perlu memenuhi beberapa langkah yang  berikut (Shulman 1987) iaitu Kefahaman, Transformasi, Pengajaran, Penilaian, Refleksi dan kefahaman baru.
(a)      Kefahaman (Comprehension)

            Untuk mengajar, guru perlu memahami isi kandungan dan pelajar. Guru-guru dikehendaki menguasai dan memahami apa yang perlu diajar. Seboleh-bolehnya pemahaman tersebut melibatkan pelbagai cara. Guru juga perlu memahami bagaimana aras perkembangan pelajar mempengaruhi kebolehannya untuk belajar.
           
            Dalam pengajaran bahasa Melayu, guru perlu memahami dan menguasai isi kandungan bahasa Melayu yang terdiri daripada 4 kemahiran bahasa yang sering dijalankan dalam bilik darjah. Kemahiran-kemahiran itu ialah kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan kemahiran menulis. Selain daripada kemahiran tersebut guru bahasa Melayu perlu juga menguasai sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Guru hendaklah merancang kemahiran fokus dan kemahiran-kemahiran sampingan yang mengukuhkan kemahiran fokus. Misalnya, jika bacaan dan kefahaman menjadi kemahiran fokus maka kemahiran menulis sebagai kemahiran sampingan mengukuhkan kemahiran bacaan. Masa yang lebih banyak ditumpukan kepada kemahiran membaca dan kefahaman. Guru boleh menggabungjalinkan beberapa atau semua kemahiran itu dalam sesuatu pengajaran. Dalam membuat susunan kemahiran atau cara penggabungjalinan itu mungkin mudah berubah. Ia mungkin wujud sama ada kebetulan ataupun secara terancang. Sekiranya ia dirancangkan, maka guru hendaklah mengetahui :
            a)         Apakah objektif yang hendak dicapai?
            b)         Apakah kemahiran yang hendak digabungjalinkan?
            c)         Sebanyak mana penggabungjalinan dalam satu-satu masa hendak dilakukan?
Gabungan dan susunan kemahiran di dalam sesuatu pelajaran boleh disampaikan berdasarkan kepada objektif, kebolehan pencapaian murid, dan masa yang diperuntukkan.
           
            Guru bahasa Melayu perlu memahami aras kebolehan pelajar. Dalam pengajaran bahasa Melayu di bilik darjah, perkembangan kognitif pelajar adalah berbeza. Guru bahasa Melayu perlu mempelbagaikan gaya pembelajaran pelajar. Setiap pelajar mempunyai cara tersendiri dalam memahami dan menerima ilmu yang disampaikan dan diberikan oleh guru mereka. Sepertimana guru, pelajar juga mempunyai cara atau gaya pembelajaran mereka. Gaya pembelajaran ini bukan hanya membezakan tahap pencapaian pelajaran mereka tetapi gaya pembelajaran ini juga membezakan kebolehan dan kecenderungan setiap pelajar itu. Yang paling utama adalah pengajar dapat mengetahui tindak balas yang berbeza setiap pelajar mereka dalam setiap kaedah pengajaran. Ada segelintir pelajar yang boleh menguasai pelajaran secara berkesan melalui pembacaan tanpa gangguan luar, tetapi segelintir pelajar adalah sebaliknya. Terdapat juga pelajar lebih mudah memahami pembelajaran menerusi pengajaran secara terus tetapi sesetengah pelajar perlu lebih bersikap inkuiri untuk menguasai pembelajaran. Oleh yang sedemikian, didapati setiap pelajar mempunyai cara yang berbeza untuk menerima pembelajaran secara berkesan, tidak tertumpu kepada satu kaedah sahaja. Maka sebagai guru atau pengajar, kita harus peka ketika menyediakan gaya kaedah pengajaran kepada pelajar.

 (b)     Transformasi (Transformation)

            Idea-idea yang telah difahami mesti ditukar dalam beberapa cara agar ia boleh diajar kepada pelajar. Penalaran melalui pengajaran melibatkan pengalihan dari pemikiran tentang mata pelajaran seperti yang difahami oleh guru ke minda dan motivasi pelajar. Transformasi isi kandungan ke dalam bentuk yang boleh diajar memerlukan pemahaman tentang hasil pembelajaran dan bagaimana pelajar menunjukkan apa yang ia telah pelajari.

            Dalam pengajaran bahasa Melayu, guru boleh menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan teknik-teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan pelajar. Strategi yang dipilih itu, selain berpotensi memeransangkan pelajar belajar secara aktif, ia juga harus mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati pelajar serta dapat menghasilkan pembelajaran yang bermakna. Aktiviti-aktiviti yang dipilih hendaklah yang menarik dan mempunyai potensi yang tinggi untuk membolehkan isi pelajaran dan konsep-konsep yang diterjemahkan secara jelas. Aktiviti harus boleh mempengaruhi intelek, emosi dan minat pelajar secara berkesan.

            Dalam merancang persediaan mengajar, aktiviti-aktiviti yang dipilih perlu mempunyai urutan yang baik. Ia perlu diselaraskan dengan isi kemahiran dan objektif pengajaran. Lazimnya aktiviti yang dipilih itu adalah gerak kerja yang mampu memberi sepenuh pengaruh terhadap perhatian, berupaya meningkatkan kesan terhadap intelek, ingatan, emosi, minat dan kecenderungan serta mampu membantu guru untuk menjelaskan pengajarannya dan menunjukkan bagaimana pelajar dapat menguasai apa yang dipelajarinya.

(c)     Pengajaran (Instruction)

            Pengajaran merupakan aspek pedagogi yang terpenting: organisasi dan pengurusan bilik darjah, persembahan penerangan dan huraian yang jelas, memberi dan menyemak tugasan, berinteraksi dengan pelajar secara berkesan dengan soalan, proba, jawapan dan tindak balas, serta pujian dan kritikan.  
           
            Mewujudkan proses pengajaran yang berkesan memerlukan kepada komitmen guru bahasa Melayu sepenuhnya. Ia melibatkan perancangan dan strategi serta kemahiran guru yang padu dalam mengorganisasi proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah. Langkah awal dalam membentuk satu proses pengajaran yang berkesan adalah dengan menilai pertindanan domain kognitif, afektif dan psikomotor yang menjadi dasar objektif proses pengajaran dan pembelajaran. Guru seharusnya memerlukan segala persediaan yang rapi meliputi pengetahuan dan kemahiran penyampaian isi pelajaran agar membuka minda dan minat pelajar. Dengan itu, terbentuklah suasana pembelajaran yang melibatkan tindak balas positif dan tingkah laku aktif para pelajar.

            Perkembangan isi pelajaran perlu bermula dari yang mudah kepada yang lebih kompleks, langkah-langkah disusun dengan menggunakan kaedah-kaedah dan teknik-teknik pengajaran yang sesuai, secocok dengan kemampuan serta menarik minat pelajar untuk terus menghayati ilmu yang sedang diterokai. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan berkesan mengikut masa yang telah ditetapkan, jika tidak, pembaziran masa akan berlaku dan isi kandungan tidak dapat diselesaikan. Setiap isi pelajaran yang diperuntukkan dalam masa tersebut dapat dinyatakan, difahami, dan sebahagian pelajar pula dapat  menganalisa, membanding beza  dan dapat membuat penilaian.

            Guru menggunakan  berbagai kaedah dan teknik bagi meningkatkan penguasaan ilmu di samping menjana kemahiran berfikir, termasuk kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran berkomunikasi dan berintraksi, kemahiran menulis, kemahiran berhujah, kemahiran imiginasi dan sebagainya, bagi membentuk kemenjadian pelajar.

            Penggunaan sumber yang sedia ada menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berksan, seperti alat bantuan mengajar dan bahan bantuan mengajar dan  bahan bantuan belajar kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, bahan rujukan tambahan, bahan maklumat tambahan dan sebagainya menjadi  inspirasi guru untuk memudah dan mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajaran.

            Sumber pengajaran dan pembelajaran hendaklah yang lebih releven dengan hasil pembelajaran serta isi pembelajaran. Sumber itu dapat mempercepat dan menjimat masa pembelajaran, menarik minat murid, dan boleh disertai oleh semua murid. Maklumat dari sumber berkenaan adalah tepat, pengolahan yang mudah difahami, senang digunakan dan boleh diubah dan sesuai dengan keadaan semasa.

            Guru bahasa Melayu yang berwibawa sentiasa melihat pembelajaran sosial sebagai satu aspek penting dalam bilik darjah.  Setiap yang dipimpin perlukan penghargaan dan pengiktirafan, dan guru bahasa Melayu perlu bijak menggunakan kebijaksanaan komunikasi serta pendekatan penyayang dengan menghadiahkan senyuman, memberikan penghargaan apabila mereka mempamerkan sesuatu yang lebih baik daripada sebelum, misalnya, kelas yang lebih teratur, kemas yang bersih. Menghabiskan tugasan sebelum jangka masa yang ditentukan, markah yang semakin baik. Sekeping kertas berbentuk surat penghargaan, atau sebatang pen sebagai tanda penghargaan sudah menunjukkan keikhlasan guru bagi meningkatkan prestasi mereka.

(d)     Penilaian (Evaluation)

            Proses ini merangkumi semakan formal pemahaman pelajar tentang isi kandungan yang telah diajar berdasarkan objektif dan hasil pembelajaran yang telah ditetapkan. Guru bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan membina instrumen penilaian, melaksanakan penilaian, merekod hasil penilaian, menganalisis maklumat penilaian, melapor dan membuat tindakan susulan. Melalui aktiviti penilaian guru dapat memastikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

            Penilaian terbahagi kepada dua kategori iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif.  Penilaian formatif bertujuan untuk mengukur kemajuan pelajaran pelajar setelah sesuatu hasil pembelajaran telah selesai dilaksanakan oleh guru, guru dapat mengetahui pencapaian pelajar sama ada boleh diteruskan ke hasil pembelajaran yang berikutnya. Sekiranya mejoriti pelajar gagal dalam ujian ini, guru seharusnya melakukan pemulihan atau pengulangan dalam kaedah atau pendekatan yang lebih mudah. Jika sebilangan kecil pelajar yang gagal, maka pelajar tersebut juga perlu diipulihkan melalui bimbingan atau menyediakan tugasan tertentu dan dalam masa yang sama pengajaran dan pembelajaran pelajar yang berjaya diteruskan ke aras atau hasil pelajaran yang berikutnya.

            Penilaian sumatif ialah penilaian yang dilaksanakan di akhir semester atau tahun seperti peperiksaan akhir tahun, peperiksaan semester I, peperiksaan percubaan dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk menentukan gred-gred pencapaian atau untuk memberi penganugerahan atau sijil. Bidangnya menjadi lebih luas yang mencakupi semua perkara yang perlu dikuasai pelajar bagi setiap mata pelajaran. Guru bahasa melayu juga menggunakan keputusan tersebut sebagai menilai semula keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

(e)      Refleksi (Reflection)

            Proses ini dilakukan oleh guru apabila ia merenung kembali pengajaran dan pembelajaran yang telah berlaku lalu membina semula, melakonkan semula, dan/atau mengingatkan semula peristiwa, emosi dan pencapaiannya. Proses ini menjadi landasan bagi seseorang profesional belajar daripada pengalaman. Usaha-usaha analitik dalam proses ini digunakan untuk memperbaiki pengetahuan pedagogi isi kandungan (PCK) seseorang.  

            Refleksi merupakan proses merenung, menganalisis masalah, mencari alasan, cadangan dan tindakan untuk memperbaiki diri. Penerapan refleksi dalam amalan pengajaran berupaya mempertingkatkan keberkesanan guru bahasa Melayu untuk menilai dan memperbaiki proses pengajaran. Seseorang guru bahasa Melayu perlu mengamalkan refleksi dengan secara bijak dan saksama dalam apa jua situasi yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran. Aktif dan sentiasa berhati-hati dalam segala tindak tanduknya, tidak mudah putus asa dan bosan dengan masalah yang dihadapi, berjiwa kental dan tabah lagi cekal serta tidak pernah kenal rasa jemu untuk mengatasi semua masalah yang mendatanginya terutama permasalahan yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran.

            Seorang guru bahasa Melayu yang reflektif adalah merupakan individu yang sentiasa berusaha mencari maklumat dan pengetahuan bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul, komited dan sentiasa berasa bertanggungjawab dalam memikirkan sesuatu masalah itu dengan lebih mendalam dan terperinci. Sering memikirkan kebaikan bukan sahaja bermanfaat untuk dirinya malahan untuk orang lain terutama pelajarnya supaya mereka mendapat faedah yang terbaik. Sentiasa bersikap scepticism (satu sifat ragu-ragu terhadap teori dan amalan yang digunapakai) dan berfikir secara kritikal terhadap teori amalannya serta bersikap terbuka untuk menerima idea-idea baru dan menyesuaikannya dalam pengajaran dan pembelajaran.

(f)      Kefahaman Baru (New Comprehensions)

            Ini berupakan satu permulaan baru. Melalui langkah-langkah kefahaman, transformasi, pengajaran, penilaian dan refleksi, guru mencapai pemahaman yang lebih jelas tentang isi kandungan dan pelajar. 

oleh WAN DYARUDIN BIN WAN MUSTAPPA
       wdya70@yahoo.com

No comments:

Post a Comment