ALOR SETAR, 31 Dis: Menjelang tahun 2015 Kedah akan menjadi negeri pengeluar nenas Morris utama negara apabila lebih daripada 4050 hektar tanah akan diterokai bagi membangunkan ladang tersebut oleh Kerajaan Negeri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi, Bioteknologi dan Pembangunan Usahawan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, beberapa buah daerah seperti Pokok Sena, Kulim, Kuala Muda dan Baling akan menjadi perintis kepada percubaan pertama projek yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

"Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan baru yang berpontensi bagi penanaman nenas jenis Morris ini. Nenas jenis ini menjadi pilihan kerana rasanya adalah lebih manis jika dibandingkan dengan nenas jenis MD2 yang kini menjadi permintaan utama di pasaran antarabangsa.



"Nenas Morris yang dikeluarkan di negeri ini kini sudah pun menerima permintaan dari Holland yang mengakui kualiti nenas ini. Copenhagen juga turut bersedia untuk menerima nenas ini dalam skala yang besar. Justeru itu persediaan awal bagi memastikan bekalan tersebut dapat memenuhi permintaan pasaran akan dilaksanakan," katanya.

Menurut Amiruddin lagi para usahawan yang terdapat di negeri ini adalah digalakkan bagi mengusahakan tanaman nenas Morris ini bagi meningkatkan pendapatan mereka disamping menceburi bidang pertanian nenas yang ternyata mempunyai permintaan yang luas di pasaran.

"Kita mahu supaya Kedah akan muncul sebagai pengeluar utama pasaran domestik dan antarabangsa produk nenas Morris yang berkualiti dan memenuhi permintaan pasaran antarabangsa tidak lama lagi,"katanya lagi.

Hit: 16 Laman Asal