RAKAN BLOG MASJID

06 December 2012

JANGAN MAKAN BERLEBIHAN !





Cara betul untuk mengawal berat badan adalah dengan makan secara sihat dan bersenam kerana tidak ada jalan pintas untuk kelihatan langsing serta sihat. Konsep ini mendatangkan kebaikan dan bersesuaian dengan ajaran Islam. Makan dan minum adalah keperluan hidup seharian untuk mendapat tenaga, kesihatan serta menikmati rasa makanan. Untuk kehidupan yang sihat, seseorang perlu mengambil makanan seimbang.

Bagaimanapun, kita tidak perlu makan banyak untuk mendapat tenaga yang lebih kerana makan banyak mendatangkan masalah kepada kesihatan. Nikmat dan kepuasan makan juga berkurangan apabila makan terlalu banyak.

Al-Quran menjelaskan mengenai pentingnya bersederhana dalam soal makan dan minum sebagai panduan untuk mendapat kebaikan.

Allah berfirman bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta jangan berlebih-lebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31)

Jumlah makanan yang perlu diambil mengikut keperluan untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sihat dan bertenaga. Setiap individu mempunyai pola pemakanan berbeza bergantung kepada umur, jantina, pekerjaan dan keadaan kesihatan. Tenaga dan kesihatan yang baik diperlukan untuk melakukan tugas sebagai khalifah di muka bumi.

Untuk mencapai kebaikan optimum, Islam menetapkan aturan makan bersederhana, makan apabila rasa lapar dan berhenti makan sebelum kenyang. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak ada bekas lebih keji yang diisikan oleh anak Adam daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya dan sekiranya dia terpaksa juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah dan Nasai)

Walaupun Nabi Muhammad SAW bukan pakar pemakanan dan perubatan, kebenaran fakta diucapkan Baginda dibuktikan pakar moden.

Dr Henry Bieler yang menumpukan kajian selama 50 tahun mengenai kesan pemakanan terhadap badan menjelaskan sebab utama penyakit bukannya bermula daripada bakteria, tetapi toksid dihasilkan makanan.

Makanan halal tidak semestinya baik sepenuhnya kerana ia berkaitan dengan kuantiti. Jika terlalu kerap dimakan atau dalam kuantiti yang banyak, makanan baik bertukar mendatangkan keburukan seperti pengambilan gula secara berlebihan.

Menjaga perut daripada diisi makanan mendatangkan mudarat adalah cara penjagaan kesihatan paling berkesan. Individu berdisiplin menjaga makan dan tidak gelojoh memakan apa saja diingini, sukar mendapat penyakit. Konsep berpuasa atau menahan daripada mengambil makanan tertentu dijadikan rawatan paling berkesan. Banyak rawatan penyakit bahaya adalah dengan cara mengawal pemakanan.

Amalan makan tidak mementingkan kesan kepada kesihatan menyebabkan banyak penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, barah, lemah tenaga dan masalah jantung.

Adalah lebih baik mencegah daripada merawat dan hargai nikmat sihat yang dikurniakan Allah. Allah menurunkan balasan sakit terhadap sesiapa yang tidak bersyukur dan biasanya mereka yang sakit perlu berpantang dalam soal makanan.

Allah berfirman bermaksud: “Oleh itu makanlah (wahai orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Jelas sekali Allah hanya membenarkan makan makanan yang baik, makanan yang dapat memberi manfaat. Makanan halal tidak semestinya mendatangkan kebaikan, terutama bergantung kepada keadaan dan cara pemakanan. Paling penting, kita tidak mengambil makanan yang mendatangkan kesan buruk jika sudah dikenal pasti ia mendatangkan alahan kepada diri. Kesan serta merta makan berlebihan ialah menyebabkan badan menjadi lemah. Pada masa kekenyangan, rasa malas dan mengantuk akan menguasai diri manakala fikiran pula menjadi buntu dan ingin berehat berterusan.

Justeru, individu yang mementingkan produktiviti perlu mengawal makan dan memberi perhatian jenis makanan yang diambil selain mendapatkan nasihat pakar pemakanan. Makan terlalu banyak memberi kesan tidak baik kepada sistem penghadaman kerana makanan tidak diproses dengan sempurna menyebabkan penyerapan zat dan pencernaan makanan tidak berlaku sepenuhnya. Untuk memberi keselesaan dan kesempurnaan proses penghadaman, makanan perlu dikunyah dengan sempurna sebelum ditelan. Jangan makan terlalu banyak dan gelojoh.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Antara sifat boros itu adalah makan apa yang teringin oleh selera.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Saidina Umar pernah berkata: “Jauhi makan berlebihan. Sesungguhnya ia penyebab rosak diri, mewarisi penyakit, menyebabkan malas sembahyang, dan hendaklah kamu menjaga makan, kerana ia paling baik untuk jasad, dan hindarkan daripada berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah bencikan orang alim yang gemuk.”

Sesiapa yang berkemampuan menyediakan banyak makanan, haruslah dikongsikan dengan orang lain. Sesiapa memberi makanan kepada orang dalam kelaparan, maka Allah menghindarkan dirinya daripada salah satu kesukaran di akhirat kelak.

Masih banyak orang miskin mengharapkan peluang untuk mendapatkan makanan bagi meneruskan hidup. Oleh itu, wajib Muslim membantu Muslim lain dalam keadaan kesusahan mengikut kadar kemampuan masing-masing.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila kamu memasak satu kuali, maka banyakkan airnya (kuah). Kemudian lihatlah kepada sesetengah jiran tetanggamu untuk diberikan kepada mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Makan secara beramai-ramai atau mengagih-agihkan makanan kepada jiran tetangga menambah keberkatan rezeki diperoleh selain dapat mengeratkan tali persaudaraan. Amalan itu dapat menjauhkan perasaan tamak dan mementingkan diri.

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."