photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Wednesday, April 25, 2012

Halal Haram: Keju Sedap Tapi .....


Keju adalah makanan kegemaran ramai pengguna di negara ini. Ia dimakan bersama roti, juga sebagai ramuan utama membuat pizza dan kek. Keju terkenal di Negara-negara Eropah kerana kemahiran mereka dalam pembuatan keju. Ia juga mempunyai khasiat dari sudut kesihatan kepada manusia.

Walaubagaimanapun, sumber keju semasa pemprosesannya adalah menjadi satu tanda tanya yang perlu diambil perhatian oleh pengguna Muslim.

Baik. Bagaimana keju dihasilkan?

Amalan biasa dalam pembuatan keju ialah dengan menggunakan rennet iaitu sejenis enzim yang diperoleh dari perut anak lembu. Untuk mendapatkannya, anak lembu perlu disembelih terlebih dahulu. Seterusnya perut itu dipotong dalam secara kepingan seterusnya lemak dibuang dan kelembapan (peratusan air) disingkirkan. Kemudian, bahan tersebut dikisar dan dicampurkan  ke dalam air garam sehinggalah rennin diesktrak.

Lembu sememangnya binatang yang halal untuk dimakan oleh umat Islam. Persoalannya di sini ialah adakah lembu tersebut disembelih mengikut apa yang digariskan oleh Islam? Jika tidak, ianya dikategorikan sebagai bangkai. Justeru, inilah yang menjadikan keju sebagai makanan yang syubhah sekiranya ia tidak mendapat pensijilan halal.

Adakah wujud penggunaan enzim dari sumber selain lembu untuk membuat keju?

Ya, sememangnya ada. Memandangkan sumber daripada anak lembu tidak mampu menampung permintaan untuk membuat rennet dalam proses pembuatan keju di pasaran global, maka kini ianya diatasi dengan penggunaan rennet daripada sumber perut khinzir. Bahkan ia lebih mudah didapati dan lebih ekonomi.

Ada juga rennet yang bersumberkan tumbuh-tumbuhan seperti enzim yang diekstark daripada buah tin dan nanas. Selain itu, rennet mikrob. Ia mengandungi enzim yang sama seperti rennet anak lembu. Cuma ia menghasilkan perisa yang agak berlainan dan ini diatasi dengan penambah perisa ke dalamnya.

Bagaimana dengan penggunaannya hari ini?

Saya selalu perhatikan ianya sangat bermasalah kerana ramai yang tidak tahu soal ramuan kritikal dalam keju. Yang pengguna Muslim tahu hanyalah ia daripada susu. Tidak lebih dari itu. Ada yang bergantung semata-mata pada logo. Asal sahaja, tertera kalimah (Halal/حلال)   terus membelinya. Padahal banyak yang saya perhatikan ia hanyalah halal yang dibuat (syok) sendiri. Tanpa prosedur pensijilan halal yang sepatutnya. Maknanya tanpa audit dari auditor Syariah yang ahli dalam bidangnya.

Contohnya begini. Ada sebuah gerai burger diusahakan oleh pengusaha Muslim. Daging dan roti burgernya dibeli dari syarikat Muslim yang sangat sinonim dengan industri burger. Yang penting ialah ia mendapat sijil halal dari pihak JAKIM. Kesahihan halalnya terbukti.

Tapi nanti dahulu, pengusaha gerai tadi telah melakukan kesilapan yang sangat besar apabila ianya menggunakan keju yang tiada pensijilan halal sebagai ramuan tambahan pada burger tersebut? Maka, burger yang halal itu tadi telah bertukar menjadi syubhah atau haram kerana kesilapan pengusaha itu. Pencemaran silang telah berlaku. Sayang bukan?

Cadangan saya begini, setiap pengguna Muslim mulai sekarang pekalah dengan apa yang ingin dibeli. Perlu diingat setiap benda baik dan buruk, kitalah yang akan menanggungnya nanti. Kasihanlah pada tubuh badan kita. Ia sangat bergantung kepada sikap dan keperihatinan kita.

Banyakkan bertanya dan cerewetlah ketika membeli. Pilihan di tangan masing-masing. Ingatlah sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya Allah Ta’ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta’ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta’ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu) . Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”  [HR Muslim]
read more...

Wednesday, April 18, 2012

Lebih Baik Hipokrit


"Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, dan juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertaqwa kepada Allah; dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji."

[An-Nisaa' : 131]

"Buat apa nak hipokrit. Be your self!"
"Takkan nak buat benda yang kita tak suka. Itu hipokrit namanya.."

Ya, kita biasa dengar ayat ini bukan?

Hipokrit jika ikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-4 ialah 1. (orang yg) berpura-pura berperangai (berkelakuan, bersifat, dll) baik, 2. (orang yg) memperlihatkan keadaan diri yg berlainan drpd yg sebenarnya, 3. munafik.

Menyamakan hipokrit dengan munafik saya kira itu sangat berat. Tak sepatutnya kalimah munafik itu dimasukkan sekali di dalam memaknakan hipokrit.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: "Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis" [Hadis riwayat At-Tabrani]

Adakah kita ingin mengata bahawa Rasulullah s.a.w ingin mengajar kita menjadi hipokrit? Tidak. Itu sama sekali bukan hipokrit. Ia adalah asuhan untuk menjadi lebih baik. Itu namanya mujahadah.

Dulu zaman kanak-kanak, ibu bapa kita suruh mendirikan solat. Kalau tidak, rotanlah jawapannya. Didikan ini berdasarkan panduan Rasulullah s.a.w.

Sabda Rasulullah saw: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka".

Kalau kata tak mahu hipokrit, bukankah lebih elok dibiarkan saja anak itu. Mengapa dipukul takut nanti solatnya solat hipokrit.

Hancurlah agama dan tunggang langganglah sistem pendidikan dan mujahadah diri.

Mengapa orang sekarang banyak cakap dan terdidik dengan "dont be hypocrite and be yourself"? Pada saya inilah hasil didikan mereka yang menggelar diri sebagai pejuang hak asasi manusia.

"You can be what you want to be. All yours!"

Benar. Setiap insan punya hak asasinya. Islam sendiri mengiktiraf. Tapi pula lupa di sana adalah hak asasi Tuhan yang semestinya Maha Utama dan Maha Tinggi.

Sebab itu kita di dalam Al-Fatihah yang kita baca paling kurang 5 kali sehari sewaktu solat ada ikrar yang disebut; "kepada Engkau kami sembah dan kepada Engkau kami memohon pertolongan".

Kalimah na'budu asal dari ibadah. Maknanya kita menghamba, tunduk dan berserah diri sepenuhnya pada ketetapan-ketetapan Allah dalam setiap aspek kehidupan. Dari bangun tidur sampai tidur kembali.

Kalaulah dikira mendahului kehendak dan perintah Allah dan Rasul-Nya dan kehendak sebenar hati kita yang dibelakangkan itu adalah hipokrit. Maka ayuh kita memilih untuk menjadi hipokrit demi akhirat.

Asal jangan kita munafiq. Asal saja kita mujahadah.

Moga tak terdengar lagi suara-suara yang mengatakan; "Kalau nak pakai tudung, pakailah. Kalau tak nak tak payah. Buat apa nak hipokrit.


read more...

Thursday, April 12, 2012

Halal Haram: Produk Makanan dan Barang Gunaan




Cabaran kita dalam bab halal hari ini bukan sedikit. Justeru, memerlukan ketahanan dan kesabaran yang tinggi. Hakikatnya di sisi Islam, adalah lebih baik berkadar dengan yang halal daripada berkenyang-kenyang dengan yang haram.

“Habis itu tak boleh makan, ini tak boleh guna. Apa yang bolehnya, ustaz?”, tanya seorang pelajar ketika kuliah saya di UKM seakan berputus asa kerana banyak kehendaknya sama ada makanan atau barang gunaan bermasalah dari aspek kehalalannya.

“Yang halal”, saya menjawab ringkas.

“Ustaz, produk kosmetik yang berkualiti dan berkesan susah sangat nak dapat yang ada sijil halal. Yang adapun kualiti tak setanding dengan jenama-jenama yang hasilnya hebat dan berkesan”, keluh seorang gadis di dinding Facebook saya.

“Nak cantik pada pandangan manusia atau pada pandangan Allah dan Rasul-Nya?”, saya memulangkan soalan yang mungkin sahaja jawapan.

Sabda Nabi s.a.w, “Mencari yang halal adalah wajib ke atas setiap orang Islam”. [HR Al-Dailami].

Penegasan baginda jelas, tinggal lagi kita bagaimana. Tambah kompleks teknologi sains makanan dan kosmetik semakin hari semakin canggih dan pelbagai.

Saya cuba senaraikan beberapa noktah untuk perhatian anda:

1. Bulu dan kulit khinzir – Kebanyakan berus sama ada untuk mengecat rumah, lukisan dan kegunaan kosmetik dari China diperbuat daripada bulu khinzir kerana ianya murah dan mudah didapati. Kulit khinzir juga digunakan untuk membuat kasut atau pelapik kasut bahagian dalam. Juga untuk membuat jaket, beg sandang dan dompet.

2. Plasma darah – Darah diambil dari rumah-rumah sembelihan dan diemper (centrifuged). Kemudian dikeringkan dan digunakan sebagai sumber protein. Antaranya surimi, produk berasaskan ikan.

3. Tulang – Pernah berlaku kes Bone China. Menggunakan tulang-tulang haiwan untuk dibuat barangan pinggan mangkuk. Tak terkecuali penapis air.

4. Gelatin – Protein yang diambik daripada sumber haiwan (lembu dan khinzir). Digunakan secara meluas dalam pembuatan aiskrim, pencuci mulut, agar-agar, marsmellow dan seumpamanya.

5. L-cystein – Asid amino berbentuk serbuk yang bersumberkan rambut dan bulu manusia. Ada industri yang menggunakannya sebagai ramuan tambahan.

Saya hanya membawa 5 perkara di atas sebagai contoh dari sekian banyak lagi keadaan dan produk. Kadang-kadang tak terfikir dek akal kita masyarakat awam ini. Zaman kapitalis menyebabkan seboleh-bolehnya semua sisa tidak disia-siakan. Memaksimumkan keuntungan, meminimumkan modal. Implikasinya sangat besar dan menyeluruh kepada kehidupan seharian kita.

Bermula dari makanan, minuman, kosmetik, pakaian dan barang penjagaan diri, kesemuanya jika tidak berwaspada akan membawa kita ke lembah haram dan syubhah.

Pada saya, jalan selamatnya ialah memindahkan taklifan tersebut kepada pihak berkuasa dengan membeli makanan dan menggunakan produk yang mendapat pensijilan halal adalah langkah bijaksana. Selain kita mengalihkan kebergantungan kita terhadap produk keluaran pengusaha bukan Islam. Ini bukan sahaja lebih meyakinkan bahkan memperkukuh ekonomi umat Islam.

Saya utarakan 5 langkah mudah bagi memeriksa produk yang ingin dibeli sama ada makanan, minuman, kosmetik atau barang penjagaan diri.

1. Kenal pasti – Teliti dahulu logo halal pada label produk tersebut. Jika logo halal tidak dapat dikenal pasti, teruskan langkah-langkah yang berikut.

2. Teliti ramuan – Baca dan perhati ramuan yang tersenarai pada label produk. Cuba kenal pasti statusnya. Boleh rujuk pada Kolum Halal Haram Majalah Q&A Bil.2. Tanpa ilmu mengenai ramuan kritikal, anda pasti sukar menentukannya.

3. Haram – Sekiranya mendapati produk berkenaan ada ramuan haram, maka produk tersebut wajib dihindar.

4. Halal – Jika semua ramuan yang digunakan adalah halal, semestinya bukan ramuan kritikal dan haram, maka produk berkenaan tersebut boleh digunakan.

5. Syubhah – Jika terdapat perkara yang syubhah dan mengelirukan ataupun ramuan kritikal, maka produk tersebut sewajarnya dielakkan kerana itu adalah lebih baik.

Allah s.w.t berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu” [At-Tahrim : 6)].

Justeru, dengan menjaga halal haram dalam kehidupan kita, itulah tuntutan sebenar Islam bagi menjamin keselamatan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya halal adalah pilihan bijaksana!

read more...

Thursday, April 5, 2012

Halal Haram: Panduan Memilih Premis Makanan


“Sesungguhnya Allah Ta’ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta’ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta’ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu) . Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”

[HR Imam Muslim]


“Majoriti kopitiam tiada sijil halal diiktiraf”

“Restoran mamak kelirukan pengguna Muslim”
“Status halal Bufet Ramadhan hotel meragukan”

Penyataan di atas adalah 3 dari sekian banyak berita di dada akhbar mahupun kaca televisyen. Ia menceritakan hal sebenarnya yang berlaku di sekeliling kita berkaitan isu halal.

Apakah kriteria atau penanda aras yang anda gunakan ketika makan di luar? Adakah kerana pekerjanya memakai kopiah, berwajah Melayu, kebersihan premis, kecekapan servis, hiasan ayat-ayat Al-Quran atau persembahan makanan yang menarik?

Tahukah anda tiada semua yang disebut di atas, tiada satupun yang menjamin status kehalalan makanan yang dijual di premis seumpama itu.

Media pernah melakukan tinjauan mendapat 30 pengusaha restoran bukan Islam (konsep restoran mamak) di Lembah Kelang mempamerkan ayat-ayat suci Al-Quran di premis masing-masing bagi menarik masyarakat Islam mengunjunginya. Antara yang biasa dipamer termasuklah kalimah Allah dan Muhammad, ayat Kursi dan Seribu Dinar dan Surah Al-Fatihah. Turut sama digantung dalam premis berkenaan ialah gambar Kaabah, Masjid Al-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.

Berdasarkan pemerhatian saya ke atas restoran masakan Jepun (Sushi) pula, mendapati kebanyakkan pelanggannya selain daripada orang Cina adalah dari kalangan orang Melayu. Ada beberapa restoran yang mempamerkan tanda halal atau ditanggung halal bagi menarik pelanggan.

Rata-rata pelanggan Muslim merasakan hidangan Jepun seperti sushi adalah halal kerana ia diambil dari sumber laut seperti ikan, udang dan sotong. Seperkara ianya betul. Tetapi tahukah anda sushi dimasak dengan menggunakan sake (arak dari pemeraman beras) yang haram di sisi Islam. Halal bukan boleh 50-50.

Sama juga halnya dengan hotel dan resort. Perhatikan sahaja di bulan Ramadan. Penuh dan melimpah ruah hotel dikerumuni umat Islam untuk berbuka puasa. Pantang promosi Bufet Ramadan (istilah yang sangat mengelirukan dan terselit elemen pembaziran), berbondong masyarakat kita bertandang. Walhal yang diperakui kehalalannya hanyalah terlalu sedikit berbanding ribuan hotel dan resort di Malaysia ini.

Lebih membimbangkan ialah kebanyakkan program, mesyuarat dan seminar sama ada dari agensi kerajaan mahupun swasta, kebanyakkannya dibuat di hotel dan resort. Ini kerana hotel adalah simbul budaya korporat dan kelas elit.

Kenapa pilihan tertumpu kepada kategori tersebut?

Sering kita mendengar keluhan bahawa restoran Melayu Islam memberikan perkhidmatan yang mengecewakan terutamanya dari sudut kecekapan. Jauh berbeza kadar menunggu pesanan yang diminta antara restoran mamak dengan restoran Melayu. Ini fakta. Tidaklah semua, tapi kebanyakannya memang begitu.

Hari ini masyarakat tertumpu dan lebih berminat untuk menjamah makanan di restoran-restoran yang lebih moden. Berhawa dingin, premis yang kemas lagi bersih, pakaian pekerja yang seragam dan mutu servis yang cekap. Pelanggan sanggup mengeluarkan belanja yang lebih sedikit asalkan semua kriteria itu dimiliki. Atas sebab itu jugalah, kopitiam tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Sayangnya, kita terlupa atau mungkin saja tiada perasaan apa-apa terhadap aspek yang sangat asas dan penting, halal atau tidak.


Bagi mengelakkan kita menjamah hidangan yang haram mahupun syubhah ketika makan di luar, beberapa perkara perlu diberi perhatian. Ini adalah sebagai panduan umum untuk kita memilih premis makanan:

1. Periksa status halal – Periksalah dahulu status halal sesebuah premis terutamanya restoran mamak, kopitiam, restoran makanan segera, kedai kek dan roti, restoran makanan Jepun dan hotel. Di zaman langit terbuka ini, segalanya lebih mudah. Layari lawan sesawang Bahagian Hab Halal JAKIM, www.halal.gov.my. Ini bagi mengelak anda ditipu oleh pengusaha yang menyeleweng dan memalsukan sijil halal.

2. Logo Halal – Pilihlah premis yang memilik dan mempamerkan logo dan sijil halal yang diiktiraf (JAKIM, JAIN). Perhatikan logo, sijil dan tarikh sahlaku. Sekiranya sijil tidak dipamer, sila bertanya dan mintak ditunjukkan sijil halal berkenaan. Jangan ragu untuk meninggalkan premis premis sekiranya mereka gagal memenuhi permintaan anda.

3. Ringan mulut – Adalah tidak menjadi satu kesalahan untuk anda ringankan mulut bersoal jawab dengan pengusaha, pekerja dan pengendali makanan di premis berkenaan. Anda boleh bertanya sama ada mereka Muslim atau tidak. Sekiranya Muslim, anda juga ada hak meminta mereka bersyahadah atau membaca Al-Fatihah. Sekiranya mereka enggan atau gagal, adalah menjadi hak anda untuk meninggalkan premis. Ingat, masih banyak restoran yang berstatus halal.

4. Berprasangka – Keadaan hari ini memerlukan kita dua kali lebih berhati-hati. Maka berprasangka adalah salah satu tuntutan. Lihat bagaimana para ulama sangat menjaga warak dan thiqah mereka dengan tidak melazimi makan di luar. Ini adalah untuk mengelak dari menjamah perkara yang syubhah apalagi haram. Justeru, adalah lebih baik kita menyediakan sendiri juadah di rumah. Jimat dan selamat. Ataupun hanya memilih restoran yang kita yakini ia adalah pengusaha Muslim dan pekerjanya 100% Muslim. Insya-Allah, rasanya itu adalah langkah yang lebih tepat dan berkat.



read more...