Selasa, 3 November 2009

HARTA CETUS PERBALAHAN , HERET INSAN KE NERAKA

TAZKIRAH

HAJI ABDUL HADI AWANG


Dalam perkara sumpah ini kita mahu supaya mereka yang berkenaan dikenakan bala secara tiba-tiba selepas bersumpah.

Bagaimana Allah Taala tidak bersifat seperti kita kerana Dia Maha Adil dan Maha Memberi Rahmat kepada hamba-hamba-Nya.

Tidak dinafikan seringkali Allah Taala menghukum manusia di atas dunia ini lagi untuk menyedarkan mereka sebelum dia meninggal dunia, sementara ada manusia yang Allah memberi tempoh dalam masa tertentu supaya mereka berfikir dan merujuk semula kepada kebenaran.

Sebagaimana cerita yang berlaku kepada Tamimud Dari r.a yang menjadi sebab turun ayat yang lalu dan beliau memeluk Islam akhirnya setelah dia yakin bahawa ini adalah hukum Allah SWT.

Para sahabat r.anhum menjadi contoh orang yang paling bertakwa di kalangan manusia selepas Rasulullah s.a.w. Disebut dalam hadis terhadap dua orang sahabat berkelahi dalam masalah harta di hadapan Nabi s.a.w.

Masing-masing mengaku kedua-duanya mempunyai bukti. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kami menghukum apa yang zahir dan Allah yang mengendalikan apa yang tersembunyi.

"Ketahuilah barang siapa yang bijak bercakap lalu dia mengambil harta orang lain dengan sebab itu, maka harta berkenaan adalah daripada api neraka."

Bila mana Nabi s.a.w menyebut demikian, kedua-dua orang sahabat yang berbalah itu mahu menyerahkan harta kepada seteru masing-masing.

Akhirnya dilakukan 'Suluh' (perdamaian) dan didamaikan di antara kedua-duanya. Apa yang berlaku kerana salah faham di antara kedua-duanya sahaja.

Peristiwa pada zaman Nabi SUlaiman a.s pula menjelaskan bagaimana seorang budak diarahkan oleh nabi itu supaya dibelah dua tubuhnya kerana tidak ada tolak ansur berlaku di antara mereka yang menunut penjagaan anak berkenaan.

Seorang di antara mereka berdua berkata: "Serahkanlah anak ini kepadanya (seorang lagi yang menuntut)." Sementara seorang lagi berkata, "belahlah anak itu, aku tidak kisah."

Nabi Sulaiman a.s membuat keputusan menyerahkan anak itu kepada yang tidak mahu anak berkenaan dibelah dua tubuhnya kerana dia dikira mempunyai perasaan belas kasihan dan menandakan budak itu adalah anaknya.

Sementara seorang lagi bukan penjaga budak itu kerana ia tidak mempunyai sifat belas kasihan.

Nabi Sulaiman a.s menyelesaikan kes berkenaan dengan kebijaksanaannya tanpa meminta kedua-dua orang terbabit bersumpah dengan nama Allah.

Adapun bersumpah dilakukan kepada orang yang bertakwa kepada Allah untuk menegaskan ketakwaan mereka.

Firman Allah yang bermaksud: "Ingatlah hari qiamat yang padanya Allah menghimpunkan rasul-rasul-Nya, lalu bertanya: "Apakah penerimaan yang diberikan kepadamu, oleh umat-umat kamu dahulu ketika kamu menyampaikan seruan agama kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib." (Surah al-Maidah: 109)

Allah Taala menyebut tentang peristiwa pada hari kiamat iaitulah peristiwa huru-hara di padang Mahsyar apabila seluruh manusia dalam ketakutan dan kegerunan pada hari dihimpunkan semuanya termasuklah rasul-rasul.

Apakah hubungan ayat ini, dengan ayat yang terdahulu? Hubungannya mengingatkan kepada orang yang membatalkan wasiat dan orang yang mengkhianati wasiat serta menyembunyikan apa yang diketahuinya mengenai wasiat tersebut bahawa mereke hendaklah mengingati hari kiamat.

Iilah hubungan ayat ini dengan ayat yang terdahulu sebagaimana yang disebut oleh al-Qurtubi di dalam tafsirnya.

Di dalam ayat ini, Allah mengingatkan hari kiamat dengan firman-Nya yang bermaksud: "ingatlah kamu (takutlah kamu atau dengarlah kamu) pada hari Allah menghimpunkan rasul-rasul lalu Allah berfirman kepada mereka, "apakah yang diperkenankan kepada kamu." (Surah al-Maidah : 109)

Yakni apakah jawapan umat kamu apabila kamu mengajak mereka beriman kepada-Ku termasuk serta mengikut hukum syariat-Ku."

Firman Allah yang bermaksud, "mereka itu menjawab, "tidak ada pengetahuan bagi kami." (Surah al-Maidah:109).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan