Wan Ibrahim Wan Ahmad UUM

PENGENALAN
Perkataan Barat merujuk kepada kelompok negara maju, atau negara industri, yang dari segi geografinya terletak di Amerika Utara dan Eropah Barat. Termasuk juga negara yang disebut negara Barat ialah Australia dan New Zealand. Kelompok negara yang tidak termasuk dalam kelompok ini dikenali sebagai negara membangun atau Negara Dunia Ketiga, yang letaknya berselerak di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
          Negara maju ini lahirnya setelah berakhirnya Perang Dunia Ke-2, tetapi arus kemajuan negara ini bermula selepas Revolusi Industri yang berlaku pada abad ke-18. Selepas banyak kemajuan yang dicapai akibat Revolusi Industri ini, beberapa negara besar Barat yang kaya, khususnya negara Amerika Syarikat dan England menjadi semakin memerlukan negara pinggir (negara mundur dan negara membangun) sebagai pembekal bahan mentah, sekaligus sebagai pasaran bahan ekspot mereka. Selepas Revolusi Industri itu jugalah mereka melihat Negara Dunia Ketiga sebagai sumber kekayaan bagi mereka. Maka wujudlah fasa mencari dunia baru, fasa penjelajahan, fasa kolonialisme, fasa neo-kolonialisme, dan sekarang ini fasa globalisasi, yang semuanya bertujuan untuk menguasai negara membangun dalam segala bidang kehidupan.
         Satu perubahan radikal telah berlaku berikutan berakhirnya Perang Dunia Kedua. Selepas Perang Dunia Kedua Amerika Syarikat telah menjadi negara kapitalis gergasi. Amerika Syarikat sebagai negara yang kaya dianggap sebagai berjaya mendapat pengaruh sebahagian besar negara bekas koloninya melalui rancangan Marshalnya. Sekarang ini penguasaan Amerika Syarikat dan sekutunya di Negara Dunia Ketiga adalah amat luas. Lihatlah susu atau air yang kita minum, makanan-makanan segera yang kita makan yang kononnya melambangkan status, ubat gigi, sabun mandi, barang-barang elektrik, kenderaan atau sebutlah apa sahaja. Ini belum lagi disentuh pinjaman asing, baik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan lain-lain, yang sebenarnya menjalankan fungsi Amerika Syarikat dan sekutunya.
         Amerika dan negara industri Barat sekutu mereka, giat memperhebatkan bantuan bilateral, bantuan multilateral, pelaburan asing, operasi syarikat-syarikat transnasional di seberang laut, dan sekarang ini melalui globalisasi, yang merupakan kesinambungan sejarah neo-kolonialisme yang diciptakan untuk menguasai kehidupan negara membangun. Pada hari ini tidak ada negara yang terkecuali daripada tangan-tangan negara industri Barat. Semua negara ini telah terheret ke dalam sistem dunia yang menuntut semua negara berhubungan dan memerlukan negara lain. Negara maju ini adalah licik dan tidak jujur. Mereka memainkan peranan ini melalui slogan modernisasi yang mereka canangkan. Modenisasi, bagi Wilbert Moore (1963) ialah:
..a total tranformation of a tradisional or pre-modern society into the types of technology and associated social organization that characterize the “advanced”,          economically prosperous, and relatives politically stable nations of the Western World”
         Modernisasi bermula di Barat, dan kemudiannya menjalar ke negara bukan barat. Berdasarkan pengalaman Barat, proses modernisasi itu wujud dalam bentuk sekularisasi, industrialisasi, komersialisasi, meningkatnya mobiliti sosial, meningkatnya taraf hidup, peluang pendidikan, celik huruf, dan pelbagai bentuk yang lain lagi. Proses modernisasi ini terjadi dalam pelbagai bidang kehidupan; sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan. MENANGANI PENGARUH BUDAYA BARAT
Selepas Revolusi Industri, negara Barat giat memperluaskan pengaruhnya ke negara pinggir melalui proses modernisasi. Tujuan negara maju ini jelas; iaitu agar negara pinggir menjadi pembekal bahan mentah, sebagai pasaran bahan ekspot mereka, dan sekarang sebagai negara pengeluar barangan mereka melalui pelaburan asing dan operasi syarikat-syarikat transnasional mereka di negara pinggir. Untuk meluaskan pengaruh ini, mereka menggunakan pelbagai pendekatan dan alat yang ada, termasuk cara hidup negatif mereka. Salah satu alat yang ampuh ialah budaya budaya hedonism yang telah mendarahdaging dalam kehidupan mereka. Bukan semua budaya Barat itu negatif. Budaya yang negatif adalah budaya hedonism yang dikatakan telah mendarahdaging dalam kehidupan mereka. Lain-lain aspek kehidupan harian mereka, termasuk dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, sistem nilai, dan pelbagai segi kehidupan sosial yang lain, jauh lebih baik daripada budaya kita yang mengaku beragama Islam. Kita atau semua negara Islam yang lain yang mengaku Islam, sebenarnya tidak mengamalkan cara hidup Islam. Malah ada kata-kata sindiran; “jika ingin melihat cara hidup Islam, tengoklah negara Barat; dan jika ingin melihat cara hidup bukan Islam, tengoklah di negara Islam”
         Memang benar. Jika kita berpeluang melawat negara maju ini – sebutlah negara apa – Perancis, German, Belanda, Norway, Sweden, atau pelbagai negara maju lain, kita akan kagum dengan kehidupan manusia di sana. Mereka menghormati orang. Mereka boleh dipercayai . Mereka tidak menipu. Mereka jaga kebersihan, dan pelbagai aspek positif lain yang tidak diamalkan oleh orang Islam. Di negara bukan Barat, termasuk negara Islam, kita tidak menghormati orang. Kita tidak boleh dipercayai. Kita suka menipu. Kita tidak menjaga kebersihan, dan pelbagai aspek negatif lain yang kita amalkan dalam kehidupan.          Yang perlu kita atasi atau kita hindari ialah budaya hedonism, iaitu budaya yang mengamalkan cara hidup bebas yang tidak berasaskan kepada ajaran agama. Negara Barat melebarkan pengaruh budaya hedonism ini melalui pelbagai saluran, seperti melalui media TV, film, facebook, pelancong-pelancong, buku-buku, dan pelbagai saluran lain lagi. Budaya negatif ini berjaya meresap ke segenap segi kehidupan kita, dan sekarang ia berjaya melahirkan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat kita. Masalah sosial adalah satu bentuk perilaku negatif atau tingkahlaku menyimpang ialah semua bentuk perilaku atau keadaan sosial yang bertentangan dengan nilai, norma ataupun adat kebiasaan masyarakat. Masalah sosial, khususnya dalam kalangan remaja di negara kita akhir-akhir ini boleh dikatakan berada pada tahap yang rumit.
         Hampir setiap hari kita didedahkan dengan berita-berita mengenai gejala negatif remaja dalam masyarakat, bahkan sampai terlibat dengan seks bebas sehingga melahirkan anak luar nikah. Seks bebas sekarang ini tidak lagi dianggap perkara yang memalukan. Jika sebelum ini masyarakat Melayu megah dengan konsep ‘dara’ yang dapat dipertahankan sebagai simbul kesucian anak gadis sunti, akan tetapi ramai anak gadis Melayu sekarang berbangga dengan tidak ada dara. Lebih mengaibkan lagi apabila ramai di antara mereka berbangga dengan status itu dan menganggap rakan yang masih ‘menyimpan’ dara sebagai kumpulan yang ketinggalan zaman.
         Bagaimana kita boleh menangani pengaruh negatif budaya Barat ini?  Adalah agak sukar untuk menangani pengaruh negatif Barat ini. Tugas dan tanggungjawab untuk menangani budaya negatif Barat ini merupakan tugas semua orang. Setiap orang daripada kita, daripada pelbagai lapisan kedudukan, daripada pemimpin hinggalah kepada setiap individu itu sendiri, mempunyai peranan untuk sama-sama berusaha menangani masalah ini. Kita boleh mulakan untuk menangani masalah ini bermula daripada diri kita, dan kita sebagai ketua keluarga. Kita renungkan tiga hadis Rasulullah s. a. w, iaitu (1) setiap orang adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya…”, (2) setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menyahudikannya, menasranikan, atau memajusikannya, dan (3) jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka.
         Tiga hadith Nabi (saw) di atas menggambarkan tugas mengatasi masalah budaya Barat adalah tanggung jawab semua indidvidu dan keluarga. Di peringkat individu, kita bertanggung jawab menjaga diri kita sendiri. Di peringkat keluarga pula, jika kita adalah ketua keluarga, menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga dan mendidik ahli keluarga di bawah jagaan kita agar mematuhi suruhan agama. Sekiranya ketua keluarga mendidik anak-anak mereka sedari awal dengan ketaatan kepada Allah, maka anak-anak ini selalunya menjadi seorang yang patuh dan mempunyai perilaku yang selaras dengan kehendak agama dan masyarakat. Kalaupun anak-anak ini agak nakal di peringkat awal, tetapi akhirnya anak-anak ini, apabila besar mudah diajak kembali untuk mematuhi nilai atau norma masyarakat. Begitu juga jika anak-anak yang dibesar dan dididik dengan kehidup jauh daripada nilai-nilai agama maka anak tersebut mudah cenderung kepada perilaku yang menyimpang apabila mereka besar. PENUTUP
Sebagai kesimpulannya maka dapatlah dikatakan adalah menjadi tugas setiap individu dan setiap ketua keluarga untuk sama-sama berusaha menangani masalah budaya hedonism Barat. Mula-mula kita jaga diri kita sendiri daripada terpengaruh, kemudian jika kita ketua keluarga, kita jaga tanggungan kita agar tidak terjebak dengan budaya negatif Barat seperti di atas. Jika kita sama-sama berusaha insya-Allah, segala budaya negatif tidak akan dapat berleluasa dalam masyarakat.
Hit: 0 Laman Asal

Warning: count(): Parameter must be an array or an object that implements Countable in /home/waktusolat/public_html/modules/mod_out/extract_main.php on line 66