15 September 2011

Faktor Penyebab Berlakunya Jenayah Zina

1. Sarang maksiat yang cukup banyak dalam negara memberikan kredit tertinggi dalam meningkatkan kadar kes zina. Tiada satu kawalan atau sekatan berkesan terhadap sarang-sarang maksiat seperti pusat disko, karaoke, rumah urut, kelab malam dan sebagainya.

2. Perkembangan teknologi yang tidak terkawal sehingga terlalu mudah untuk melayari laman-laman web lucah dan pornografi serta media yang tidak peka dengan nilai moral serta sensitiviti masyarakat dalam menyiarkan filem-filem dan iklan yang melanggar dasar etika dan akhlak.

3. Kelemahan hukuman jenayah zina yang dilihat amat ringan berbanding hukuman syariah dan ia dipandang tidak

menggerunkan para penjenayah serta tidak mampu mengajar mereka bahkan mereka berani mengulangi jenayah berulang kali tanpa rasa malu.

4. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan di mana sahaja sehingga di pusat pendidikan sendiri bermula sekolah tadika sampailah universiti lebih-lebih lagi dalam program-program hiburan seperti konsert, jom heboh, sua rasa serta sambutan-sambutan rasmi kerajaan seperti tahun baru dan lain-lain.

5. Kesukaran untuk melaksanakan perkahwinan yang mana menelan belanja puluhan ribu ringgit yang menyebabkan para pemuda-pemudi lebih suka menjalin hubungan tanpa ikatan perkahwinan dengan alasan tidak mampu berkahwin.

6. Cara hidup barat terlalu menebal sehingga merasakan perbuatan zina bukanlah satu perbuatan yang jijik bahkan salah satu bentuk menifestasi kasih sayang dan rindu antara lelaki dan wanita.

7. Kesedaran masyarakat yang lemah dalam membendung muqaddimah zina seperti membiarkan budaya couple, hubungan intim perempuan dengan lelaki bukan mahram, tidak mempedulikan lansung persoalan maksiat yang berlaku di depan mata, takut membuat aduan dan lain-lain ditambah penguatkuasaan yang lemah oleh pihak berkuasa seperti jabatan agama.

Penyelesaian

a) Terhadap Faktor

1. Menyekat pertumbuhan sarang-sarang maksiat.

2. Mengawal penyalahgunaan teknologi dan mewajibkan perisian yang menyekat pengguna daripada melayari laman-laman web lucah dan sebagainya serta kawalan media massa yang menyeluruh melalui tapisan filem dan iklan.

3. Penguatkuasaan hukuman syariah yang betul seperti yang termaktub dalam al-Quran.

4. Membuat pengasingan antara lelaki dan perempuan di pusat-pusat pendidikan dan mengawal percampuran antara lelaki dan perempuan dalam semua program.

5. Memudahkan proses perkahwinan bagi mereka yang tidak mampu dengan kerjasama jabatan agama dan pihak berwajib dengan menyediakan sumber ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh pasangan yang ingin berkahwin seperti skim pinjaman perkahwinan dan lain-lain.

6. Kempen menjauhi zina dan pergaulan bebas besar-besaran yang dilakukan sepanjang tahun serta memperbanyakkan aktiviti kesedaran seperti ceramah, forum dan dakwah tanpa mengira bangsa dan agama.

7. Menambah bilangan penguatkuasa agama di setiap negeri dan memberi galakan supaya membuat laporan terhadap setiap kes-kes dan aktiviti yang mencurigakan serta perlindungan terhadap mereka yang melaporkannya.

b) Melalui Hukuman

1. Islam telah meletakkan satu hukuman yang keras terhadap penjenayah zina di mana hukuman sebat 100 kali dilaksanakan kepada penzina yang belum berkahwin dan hukuman rejam sampai mati kepada penzina yang telah berkahwin dan pernah melakukan hubungan kelamin yang sah.

2. Oleh kerana wujudnya halangan untuk melaksanakan hukuman syariah dalam negara ini, pihak kami mencadangkan supaya setiap aktiviti zina perlu dikira sebagai jenayah tanpa mengira bangsa dan agama dan hukuman yang lebih berat daripada apa yang ada seperti sebat dan penjara perlu dikuatkuasakan samada ianya diputuskan oleh mahkamah syariah sendiri bagi orang Islam dan sivil bagi bukan Islam.

3. Kami juga mencadangkan penguatkuasaan dalam isu zina dan khalwat tidak terhad kepada orang Islam sahaja bahkan diperluaskan skopnya kepada bukan Islam kerana zina perlu dianggap sebagai musuh utama negara sama juga seperti dadah.

4. Melaksanakan hukuman denda kepada mana-mana individu yang berpakaian menjolok mata dan melakukan aktiviti tidak sopan.

Kesimpulan

Segala bentuk cadangan dan perlaksanaan hukuman yang dinyatakan dalam artikel ini adalah melihat kepada betapa kejinya aktiviti penzinaan dalam negara dan betapa membarahnya gejala membuang bayi serta rogol sedangkan tindakan menghapuskan sumber-sumber berlakunya maksiat tersebut dipandang remeh oleh pihak berwajib. Kita seharusnya sedar setiap penyakit sekiranya tidak diubati dari akarnya maka harapan untuk sembuh tidak akan berjaya.


DiCopy daripada artikel:
Khairul Anuar Bin Ismail
Felo MANHAL PMRAM

1 ulasan:

  1. assalamualaikum.saya nak tumpang bertanya.sebab ada kaitan tentang perzinaan..contoh bab lian..kenapa lian tiada sekiranya isteri menuduh suaminya berzina jika tidak cukup saksi..sedangkan jika suaminya ternampak isterinya berzina dan tidak cukup saksi dia boleh sumpah lian di mahkamah.saya keliru.tolong jelaskan..terima kasih

    BalasPadam