Ahad, 22 Februari 2015

Program Pencerdasan Komuniti IQRA

ABIM Negeri Sabah dengan kerjasama ABIM Beluran telah mengadakan Program Iqra, iaitu program yang lebih mengkhususkan kepada Saudara Baru (Mualaf). Program Iqra ini berlangsung selama dua hari, bermula pada 21hb sehingga 22hb Februari 2015, yang bertempat di Kampung Seri Pagi, Beluran. Program ini yang berlangsung selama dua hari, diperuntukkan khas sarat dengan bermacam-macam pengisian program. Peserta yang hadir terdiri dari 23 keluarga mualaf (saudara baru) yang dianggarkan seramai 60 orang.

Matlamat dari Program Iqra’ dilaksanakan adalah agar saudara-saudara baru ini mampu melakukan ibadah serta dapat menghadam akidah Islam dengan lebih baik dalam kehidupan harian.

Peserta wanita yang hadir


Peserta lelaki yang hadir


Peserta lelaki dibahagikan (Latihan Dalam Kumpulan)


Khamis, 23 Oktober 2014

Perutusan Yang DiPertua ABIM Beluran Sempena Tahun Baru 1436 Hijriah



 

Alhamdulillah,segala puji bagi Allah Rabbul Izzati Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Sayidina Rasulullah serta ahli keluarga dan para sahabat BAGINDA radiallahuanhum ajmain.

Bersempena kita menyambut tanggal 1 Muharram 1436 hijriah, saya mewakili ABIM Beluran ingin berkongsi dengan anda semua untuk kita 'flashback' (kembali) semula ke peristiwa besar dalam Islam iaitu perjalanan Hijratul Sayidina Rasulullah daripada Kota Mekah al Mukarramah ke Kota Madinah al Munawwarah yang berlaku pada 12 Rabiulawal tahun ke 13 kerasulan Sayidina Rasulullah bersamaan 2 Julai 622 Masehi.

Untuk kali ini saya suka membawa anda melihat peristiwa tersebut dalam sudut pandang yang berbeza.

Ada dua persoalan yang perlu saya kemuka berkaitan peristiwa tersebut:

  • Apakah hikmah terbesar yang didapati daripada Hijrah tersebut ?
  • Apakah rahsia kenapa Allah perintahkan Sayidina Rasulullah dan para sahabat berhijrah?

Sekiranya Islam itu hanya sekadar ibadah ritual sahaja seperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain, maka tidak perlulah ada perintah hijrah. Cukuplah Sayidina Rasulullah dan para sahabat di Mekah sahaja sebab di sana ada Kaabah. Lagi besar pahala ibadahnya daripada di Madinah. Juga kalau ingin difikir ujian yang di lalui oleh Sayidina Rasulullah dan para sahabat lebih hebat di Mekah maka lagi banyak pahala di perolehi.

Sebenarnya tujuan Hijrah tersebut adalah untuk supaya Islam itu menjadi satu kuasa yang memerintah agar kesyumulan Islam itu dapat diterjemahkan dalam masyarakat. Sekiranya Islam itu tidak memerintah, bagaimana syiar Islam dapat dilaksanakan?

Pentingnya kuasa dalam Islam itu boleh kita lihat ketika sebelum peristiwa hijrah, ada 360 patung berhala di sekeliling Kaabah. Oleh kerana bukan Islam yang memerintah ketika itu maka Sayidina Rasulullah tidak boleh meruntuhkan patung berhala tersebut sesuka hati. Hanya benci dalam hati sahajalah yang mampu. Walaupun ketika itu iman telah kuat ditanam dan dipasak dalam hati dan jiwa para sahabat.

Sebaliknya selepas kerajaan Islam tertegak di kota Madinah dan Sayidina Rasulullah menjadi ” presidennya” dan dalam peristiwa pembukaan kota Mekah yang telah di rakamkan oleh Allah dalam surah Al Fath, baru Sayidina Rasulullah berjaya meruntuhkan kesemua patung berhala tersebut sebebersih-bersihnya.

Mungkin ada yang terkeliru antara orang Islam yang memerintah dengan Islam itu memerintah adalah dua perkara yang berbeza. Apabila orang Islam memerintah belum tentu syariat Islam itu dilaksanakannya.Seperti ungkapan yang biasa kita dengar ” ORANG ISLAM BELUM TENTU BERIMAN TAPI ORANG BERIMAN PASTI DIA ISLAM ”

Sayidina Umar dan Sayidina Uthman kedua-duanya diriwayatkan berkata dengan lafaz yang hampir sama :-

إن الله ليزع بالسلطان ما لا يزع بالقرآن

Ertinya : Sesungguhnya Allah swt akan melarang melalui kuasa sesuatu yang tidak dapat dilarang dan ditegah melalui Al-Quran (peringatan dan nasihat)
(Tarikh baghdad, 4/107 untuk hadis Umar, dan At-Tamhid, Ibn Ab Barr, 1/118 untuk hadis Uthman)

Kita ambil contoh, banyak negara Islam di dunia ini kecuali Arab Saudi yang di perintah oleh orang Islam tapi undang-undang Islam tidak terlaksana sepenuhnya seperti zaman Sayidina Rasulullah dan khulafa ar Rasyidin.

Bersempena peristiwa Hijratul Rasul 1436 hijriah ini marilah kepada mereka yang masih bersikap berkecuali dalam masalah ini berhijrah kepada sikap memihak dan yang telah pun membuat pilihan yang betul agar sentiasa beristiqamah dalam perjuangan yang suci ini.

Dalam hal ini kita hanya ada dua pilihan sahaja sama benar atau salah, dosa atau pahala, syuga atau neraka. Tidak ada istilah berkecuali atau atas pagar. Wallahua’alam.

Salam Maal Hijrah 1436

Saya,
Sharif Suhaimi Sharif Miasin

(Mewakili ABIM Beluran)

Khamis, 18 September 2014

Muktamar Sanawi ABIM Pusat di Kota Kinabalu

YDP ABIM Beluran Tuan Guru Sharif Suhaimi Sharif Miasin beserta beberapa orang Ahli Jawatankuasa turut hadir sempena Muktamar Sanawi ABIM Pusat di Kota Kinabalu.




Ahad, 13 Julai 2014

Sekampit Beras kepada Golongan Kurang Berkemampuan

Mengambil keberkatan bulan Ramadan al-Mubarak yang mulia ini satu program yang dinamakan Program Berkat Kasih Ramadan ‘’Jejak Mahabbah’’ Sempena Kempen seorang Sekampit Beras (KSSB) telah diadakan anjuran ABIM Negeri Sabah dengan kerjasama ABIM Beluran.

Seramai 7 orang peserta yang terlibat dalam aktiviti ini. Manakala seramai 40 buah keluarga meliputi daerah ini yang terdiri daripada keluarga bermasalah, fakir miskin, orang kelainan upaya dan saudara baru diziarahi.