Isnin, 24 Ogos 2009

ISU KECICIRAN DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Matlamat sifar buta huruf gagal jika tiada kesungguhan

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

Kerajaan sediakan pelbagai peruntukan khas bantu kanak-kanak keluarga miskin dapat pendidikan formal

NAK dikatakan tak mampu, segala bentuk bantuan sudah disediakan. Nak dikatakan tak tegas, arahan dan undang-undang yang tersedia sudah cukup kuat menunjukkan kesungguhan kerajaan. Nak dikatakan ia isu remeh, bukan berpuluh-puluh, malah beratus atau mungkin beribu-ribu kali isu itu dimainkan di media dan menjadi perdebatan pelbagai pihak, termasuk di Parlimen.

Justeru, di mana lagi silapnya sehingga masih ada, malah ramai lagi kanak-kanak tidak bersekolah dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran baru-baru ini bahawa ada lebih 125,000 kanak-kanak yang mencapai usia persekolahan tercicir alam pendidikan di luar bandar dan pedalaman.

Kebiasaannya, apabila isu itu dibangkitkan, antara faktor paling popular dikaitkan ialah masalah kewangan di kalangan ibu bapa untuk menyekolahkan anak, terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar, apatah lagi jika kehidupan ibarat kais pagi makan pagi.

Namun, merujuk kepada fakta yang dicatatkan sejak 2000, begitu banyak bantuan dan usaha kerajaan bagi memastikan isu kemiskinan tidak menjadi penghalang utama kepada kanak-kanak menikmati hak mereka mendapat pendidikan sempurna.

Saban tahun ada saja bantuan diumumkan yang jumlahnya bukan sedikit. Tahun ini saja, Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM3.39 bilion khusus sebagai bantuan pelajaran bagi meringankan beban ibu bapa dan pelajar kurang berkemampuan, sekali gus memastikan tidak ada yang tercicir daripada menerima pendidikan berkualiti.

Daripada jumlah itu, 17 saluran bantuan yang menerima agihan peruntukan itu ialah Bantuan Makanan Asrama RM1 bilion, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (RM400 juta), Rancangan Makanan Tambahan (RM270.4 juta), Biasiswa Kecil Persekutuan (RM238 juta), Skim Bantuan Tuisyen (RM180 juta) dan Bantuan Geran Perkapita (RM740 juta).

Selain itu, RM180 juta diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Buku Teks, Bantuan Kokurikulum Ke Sekolah (RM79.8 juta), Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Beruniform (RM20.1 juta), Elaun Murid Berkeperluan Khas (RM72 juta) dan Yuran Khas Sekolah sejumlah RM42 juta.

Malah, kerajaan turut memudahkan proses kemasukan ke sekolah dengan menerima permohonan pelajar yang tidak mempunyai sijil kelahiran dan memperkenalkan konsep persekolahan percuma, termasuk mengurangkan bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Tak cukup dengan itu, bukan setakat yuran PIBG dikurangkan, tempoh bayarannya juga dilanjutkan bagi memberi peluang kepada ibu bapa mempunyai ruang selesa untuk membuat bayaran.

Bantuan pula bukan sekadar datang daripada pihak kerajaan kerana tak dinafikan ada juga pihak lain, termasuk agensi korporat dan swasta bersama menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti dilaksanakan Felda yang memperuntukkan RM20 juta sejak 2005 bagi membiayai anak peneroka tanah rancangannya menyertai skim tuisyen yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

Jika masalah kewangan bukan isu utama, adakah ketegasan kerajaan wajar dibicarakan kerana jumlah keciciran masih menunjukkan peningkatan. Adakah pihak berkuasa selama ini lepas tangan dan tidak menyelami isu ini secara serius?

Tidak juga, kerana pada 22 April 2002, kerajaan sudah mengumumkan peraturan mewajibkan semua kanak-kanak memasuki persekolahan Tahun Satu mulai 2003 selepas pindaan Akta Pendidikan 1996 diluluskan Parlimen ketika itu.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran ketika itu, Datuk Mahadzir Mohd Khir, dilaporkan berkata pindaan itu dibuat berikutan perangkaan menunjukkan kira-kira 15,000 kanak-kanak tidak bersekolah kerana kegagalan ibu bapa mendaftarkan nama mereka.

Beliau berkata, ibu bapa yang gagal mendaftar anak masing-masing memasuki sekolah rendah boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk dipenjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

Jadi, jika itu juga bukan isunya, apa lagi masalah utama ibu bapa yang gagal menghantar anak ke sekolah? Adakah sikap atau gaya hidup sedia ada menyebabkan mereka merasakan pendidikan itu bukan satu kepentingan. Mungkin bagi mereka, jika aku seorang pekebun, ke kebun jugalah anak aku nanti. Cukuplah dengan apa yang ada.

Senario itu diakui Pengerusi Jawatankuasa Bersama Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Ghani Bina yang menyatakan masih ramai ibu bapa yang kurang kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan mendesak anak mereka membantu aktiviti rutin sama ada berkebun atau menjaga kedai.

Selain itu, kata beliau, kurangnya rasa minat untuk meneruskan pelajaran di kalangan pelajar itu sendiri menyebabkan ada antara mereka berhenti belajar untuk menceburi alam pekerjaan dalam usia lebih muda.

Merujuk kepada masyarakat luar bandar pula, katanya, faktor lokasi sekolah yang jauh dari perkampungan mereka mungkin turut menyumbang kepada keciciran pelajar dalam memasuki alam persekolahan.

"Memang ada asrama disediakan di sesetengah sekolah yang jauh dari kampung. Namun, bukan semua ibu bapa yakin meninggalkan anak di asrama ketika usia muda. Pelajar Tahun Satu hingga Enam tidak sesuai dan masih terlalu muda untuk tinggal di asrama dan jauh daripada ibu bapa," katanya.

Persoalan yang cuba dibangkitkan apabila membicarakan isu ini, tidak cukupkah peraturan dan undang-undang yang diwujudkan di negara ini berkaitan kanak-kanak dan remaja? Tidakkah sudah ada undang-undang yang mewajibkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah.

Mengenai bekerja pada usia muda pula, bukankah ada undang-undang yang melarang mana-mana sektor menggaji pekerja di bawah usia 18 tahun?

Dengan nada agak terkilan, William berkata "Itulah masalahnya. Terlalu banyak dasar dan undang-undang yang diwujudkan, namun pelaksanaan dan pemantauannya tidak diperhebatkan, malah boleh dikatakan sangat lemah. Jangan buat dasar jika tak mampu nak laksana."

"Contohnya, ada peraturan yang melarang remaja di bawah usia 18 tahun membeli rokok, namun apa yang kelihatan, mereka (remaja) bukan setakat boleh beli rokok dengan bebas, malah selamba merokok di khalayak. Di mana penguatkuasaannya?"

Mungkin juga, kesedaran di kalangan warga luar bandar masih kurang disebabkan kempen dan motivasi masih tidak mencukupi. Masih banyak kawasan luar bandar yang perlu diteroka untuk memastikan maklumat mengenai kepentingan pelajaran sampai kepada semua pihak.

Justeru, langkah yang digerakkan kerajaan dalam memperkasa dan menjadikan peringkat prasekolah sebagai penting pada semua peringkat, termasuk luar bandar sangat bertepatan untuk menangani isu ini.

Mungkin juga, selepas ibu bapa dan anak mereka didedahkan dengan suasana pembelajaran pada usia lebih awal, ia akan menjadi pemangkin semangat dan penyuntik keyakinan untuk mereka terus bertapak ke alam persekolahan sebenar.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, turut menyokong langkah itu sebagai usaha paling tepat mengurangkan kadar keciciran di kalangan kanak-kanak.

"Peluang memasuki prasekolah di luar bandar sangat tipis selama ini. Dengan ada prasekolah di tempat mereka, sekali gus menanam keyakinan kepada mereka untuk memasuki alam persekolahan."

Ironinya, angka 125,000 yang diumumkan Muhyiddin meskipun nampak terlalu besar, malah mungkin tidak logik di mata sesetengah pihak, ia sewajarnya menjadi isyarat kepada kementerian untuk menekan butang kecemasan sebelum 'luka itu terus menjadi nanah'.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan