Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, July 16, 2009

Sekolah Izzuddin Shah

(imej dari izzuddinipoh.com)

Sekolah Izzuddin Shah terletak di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh (dahulu dikenali sebagai Jalan Harimau atau Tiger Lane). Sekolah ini terletak di atas sebidang tanah berkeluasan kira-kira 24 ekar dan bertentangan dengan Jabatan Veterinar Ipoh dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sebelah timur dan Jabatan Sains Mineral dan Geologi di sebelah tenggara dan Sekolah Menengah Teknik Persiaran Brash serta Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) di sebelah barat.

Sekolah Izzuddin Shah (SIS) merupakan sekolah menengah agama yang pertama ditubuhkan di Malaysia berorientasikan sekolah berasrama penuh khas untuk pelajar lelaki dan menawarkan kedua-dua aliran pengajian agama berasaskan kurikulum Institusi Pengajian Islam terkemuka dunia iaitu al-Azhar serta kurikulum kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ditubuhkan pada tahun 1959, sekolah ini merupakan antara idea cetusan Menteri Besar Perak yang pertama selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Tan Sri Haji Ghazali bin Jawi dan telah dinamakan sempena Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Yusuf Izzuddin Shah yang turut berkenan mencemar duli dan merasmikan sekolah tersebut pada tahun yang sama.

Selain daripada sekolah ini, sebuah lagi sekolah yang mempunyai orientasi yang sama tetapi khas untuk pelajar perempuan turut didirikan setahun kemudian iaitu Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah (SERATA) dan terletak kira-kira lima kilometer dari SIS dan berhampiran dengan kediaman rasmi Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.

Sumber: Sinar Harian

No comments: