Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, July 14, 2009

Sayid Jamaluddin al-Afghani: Ilmuwan, pemikir dan pejuang

"Seandainya jumlah kamu yang beratus-ratus juta ini, ditakdirkan menjadi lalat dan nyamuk sekalipun, nescaya kamu akan dapat memekakkan telinga-telinga orang Inggeris dengan suara kamu".

"Seandainya kamu ditakdirkan menjadi labi-labi atau penyu sekalipun, lalu kamu berenang ke tanah Inggeris, bilangan kamu yang seramai ini akan dapat mengepung dan menenggelamkan tanah Inggeris. Kamu akan pulang ke India dalam keadaan selamat".

Beliau menghasilkan karya-karya untuk bacaan generasi selepasnya. Karya pertama yang dihasilkannya ialah keterangan lengkap tentang Sejarah Afghanistan.

Karya lain yang dihasilkannya ialah al-A'mal al-Kamilah, ar-Raddu 'ala ad-Dahriyyin, Tuttimah al-Bayaan fi Tarikh Afghan, al-Khatirat, at-Tukayyufat 'ala Syarh ad-Dawani lil-Uqatir al-'Adhuidiyah.

Juga pengasas kepada beberapa akhbar seperti al-'Urwah al-Wuthqa, Misr, at-Tijarah dan al-Khafiqin. Beliau berusaha untuk mencorakkan pemikiran masyarakat Islam kepada kemajuan dan bebas daripada penjajah.

Dilahirkan pada tahun 1838 dan meninggal pada 1897, di Asadabad, Wilayah Kunar, Afghanistan, bumi yang dianggap gersang, negara yang tak putus diintai oleh Amerika. Beliau merupakan seorang aktivis politik dan nasionalis Islam di Afghanistan, Iran, Mesir dan Empayar Uthmaniyyah semasa kurun ke-19. Beliau merupakan salah seorang pelopor pemodenan Islam.

Beliau banyak menaikkan semangat perjuangan revolusi menentang penjajahan yang akhirnya merebak ke Sudan, Iran, Turki dan turut membawa kepada kesedaran kebangsaan di Tanah Melayu.

Beliau juga amat petah berpidato dan antara pidatonya yang terkenal ketika beliau cuba untuk mengembalikan semula keyakinan umat Islam di India terhadap kemampuan mereka menentang penjajah.

Sayid Jamaluddin al-Afghani adalah pencetus gerakan Islah (Islah berasal dari kata kerja Aslaha di dalam bahasa Arab yang bermaksud pembaikan). Islah bermaksud pembaikan atau perubahan terancang ke arah yang lebih baik.

Cetusan gerakan Islah ini juga turut mempengaruhi kebangkitan semangat kebangsaan di Tanah Melayu terutama sekali dalam kalangan golongan pelajar yang mendapat pendidikan di Timur Tengah, khususnya di Mesir.

Apabila mereka kembali ke tanah air, mereka telah memulakan gerakan Islah dan antara pelopor gerakan Islah di Tanah Melayu ialah Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Ahmad al-Hadi, Sheikh Abu Bakar al-Asy'ari, Haji Abbas bin Muhammad Taha, Dr. Burhanuddin Helmi dan Tok Kenali.

Gerakan Islah yang dicetuskan oleh Sayid Jamaludin al-Afghani ini telah mendorong umat Islam mengkaji semula fahaman dan amalan masyarakat serta membetulkannya menurut tafsiran al-Qur'an dan Sunnah.

Ia juga telah mengembalikan semula keyakinan umat Islam terhadap kemuliaan dan kekuatan yang ada dalam diri mereka untuk mengusir penjajah dari tanah air mereka.

Idea Islah berupa usaha untuk mengembalikan semula kecemerlangan umat Islam sebagaimana zaman Khulafa al-Rasyidin, membina perpaduan tanpa mengira bangsa dan budaya melalui gagasan al-Jamiah al-Islamiah, serta menumpukan perhatian kepada usaha-usaha memerdekakan tanah air dan pemikiran mereka daripada penjajah.

Beliau juga dikatakan mempunyai pertalian darah dengan seorang periwayat hadis yang terkenal iaitu Imam at-Tarmizi dan seterusnya kepada Saidina Ali bin Abi Talib.

Bapa Sayid Jamaluddin al-Afghani, Sayid Safdar menetap di Kabul bersama keluarganya tetapi beberapa tahun kemudian beliau berpindah ke Hamedan, Iran disebabkan tekanan politik yang dikenakan ke atasnya oleh Raja Afghanistan.

Datuk Sayid Jamaluddin al-Afghani, Sayid Ali juga dikatakan pernah tinggal untuk sementara waktu di Hamedan, Iran.

Sayid Jamaluddin al-Afghani mendapat pendidikan awal daripada orang tuanya dalam bidang ilmu agama dan bahasa Arab. Beliau mempelajari asas-asas bahasa Arab seperti nahu dan sastera.

Beliau juga turut mempelajari ilmu-ilmu keagamaan seperti ilmu tauhid, fikah, usul fikah, tafsir, hadis dan lain-lain. Ketika berusia 12 tahun, beliau telah menghafaz al-Qur'an.

Sayid Jamaluddin al-Afghani merupakan seorang yang suka mengembara dan beliau telah mengembara ke beberapa tempat seperti Najaf, India, Mekah, Tehran dan Khurasan.

Ketika berada di Najaf, beliau mendalami beberapa disiplin ilmu seperti hadis, falsafah, mantik, usuluddin, perubatan, ilmu kalam dan ketika merantau ke India, beliau telah mempelajari ilmu-ilmu moden seperti sains dan matematik.

Beliau merupakan seorang yang amat mencintai ilmu pengetahuan dan mempunyai akal fikiran yang cerdas, tajam dan berpandangan jauh.

Medan Asadabadi di Tehran, Iran

Seorang pengembara ilmu

Beliau tidak pernah jemu untuk menjelajah ke merata tempat untuk mencari ilmu pengetahuan di samping berdakwah untuk membetulkan kefahaman ajaran Islam yang sebenarnya.

Pada tahun 1857, Sayid Jamaluddin al-Afghani telah menghabiskan masanya selama setahun di Delhi, India dan setelah mengerjakan haji di Mekah, beliau kembali semula ke Afghanistan pada tahun 1858.

Di Afghanistan, beliau berkhidmat sebagai kaunselor kepada Raja Dost Mohammad Khan dan selepas itu Mohammad Azam.

Pada tahun 1862, Sayid Jamaluddin al-Afghani telah meniupkan semangat perjuangan kepada rakyat supaya menentang penjajah Inggeris di Afghanistan, semangat perjuangan ini disebarkan melalui tulisan, syarahan dan perbincangan.

Segala hasil tulisannya yang bernas dan tajam ini telah membangkitkan semangat masyarakat Islam untuk menentang penjajah. Beliau juga telah menaikkan semangat perjuangan revolusi untuk menentang penjajahan yang akhirnya telah merebak ke negara-negara yang dijajah.

Pada tahun 1869, takhta di Kabul diisi oleh Sher Ali Khan dan beliau telah diarahkan supaya meninggalkan negara itu.

Pada tahun 1871, Sayid Jamaluddin al-Afghani telah berpindah ke Mesir dan mula menyebarkan ideanya mengenai pembentukan semula bidang politik, idea-idea beliau yang dikategorikan sebagai radikal telah menyebabkan beliau dibuang negeri pada tahun 1879.

Ketika berada di Mesir, beliau telah bertemu dengan ramai penuntut Universiti al-Azhar yang datang menimba ilmu dan pengalaman daripadanya. Beliau bekerjasama dengan Syeikh Muhammad Abduh melalui gerakan Islah untuk mengubah pemikiran orang Islam ke arah zaman kemajuan.

Selepas dibuang negeri, beliau merantau ke beberapa tempat di Eropah dan di luar Eropah seperti Istanbul, London, Paris, Moscow, St. Petersburg dan Munich.

Pada tahun 1884, beliau mula menerbitkan sebuah majalah berbahasa Arab yang berjudul al-Urwah al-Wuthqa, menerusi majalah ini beliau menyeru umat Islam supaya kembali kepada ajaran sebenar Islam, yang tulen, sesuai dilaksanakan sepanjang masa dan tempat serta bersatu padu.

Pada tahun 1897, ketika berusia 60 tahun beliau telah meninggal dunia dan telah dikebumikan di Istanbul, Turki dan pada tahun 1944, jenazah Sayid Jamaluddin al-Afghani telah dibawa ke Afghanistan atas permintaan kerajaan Afghanistan dan dikebumikan di Universiti Kabul, Afghanistan.

Sayid Jamaluddin Asadabadi atau Sayid Jamaluddin al-Afghani akan terus dikenang sebagai seorang ilmuwan, pemikir, aktivis politik dan pejuang serta pelopor pemodenan Islam yang begitu besar sekali jasanya kepada umat Islam.

Sayid Jamaluddin al-Afghani telah dimakamkan di Universiti Kabul, Afghanistan

Utusan Pengguna edisi Mei - Jun 2009

No comments: