Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, May 27, 2009

Masjid Ubudiah

Masjid Ubudiah adalah sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan simbol kebanggaan serta kepercayaan Muslim di Perak. Kubah emas dan menara masjid adalah bukti dan keindahan seni bina Islam.

Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917. Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, merupakan masjid nazar.

Semasa berisitrehat dalam rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I (1887 - 1916) bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan jika kesihatan baginda pulih.

Arkitek yang ditugaskan merekabentuk masjid ini adalah Mr. Hubbeck yang menggunakan seni reka Moor dan Mr. Caulfield pula sebagai juruteranya.

Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah telah meletakkan batu asas masjid ini.

Pembinaan masjid tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul marmar di tempat simpanannya yang telah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan.

Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama, sehinggalah pada tahun 1917 barulah masjid yang terindah di negeri Perak itu dengan rasminya dibuka oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916.

Belanja pembinaan Masjid Ubudiah ketika itu dianggarkan berjumlah RM200,000.

Sumber: Sinar Harian

No comments: