Sunday 29 May 2011

selongkar surat khabar : gelora di FAM hanyalah ciptaan manusia

rizal hashim
garis tepi
kosmo 27 septembet 2008



PERGOLAKAN terbaru di Wisma FAM sekilas pandang sudah berakhir.

Harap begitulah pada minggu terakhir Ramadan al-Mubarak ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Sultan Ahmad Shah kekal menaruh kepercayaan kepada Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad yang dilempar dengan pelbagai tuduhan, termasuk salah laku dan kurang mesra media, oleh pihak tertentu.

Pihak tertentu yang dilihat cuba menjatuhkan martabat Azzuddin agar beliau disingkir, sudah tentu mahu melupakan episod ini.

Bagi mereka, kemenangan dari segi moral yang dicari-cari tidak menjadi kenyataan.

Pihak ini dianggap mempunyai agenda dan motif tertentu untuk melihat Azzuddin tercampak keluar daripada Wisma FAM.

Tidak seperti wakil media di meja am yang terkongkong dengan kekangan-kekangan akibat dasar-dasar syarikat, ruang seorang wartawan sukan untuk menulis cukup liberal.

Kebebasan ini sebenarnya satu ujian sejauh mana mereka menjalankan tugas dengan penuh hemah tanpa menyalah gunakan kuasa mata pena.

Penulis tidak dapat lari daripada tuduhan-tuduhan sebegini dahulu. Kadangkala dalam usaha menulis secara objektif, pihak yang ditegur tersinggung dan mempertikai agenda penulis.

Yang pasti, FAM tidak pernah kering story dan agenda. Penulis bertuah kerana berkesempatan membuat liputan empat Setiausaha Agung FAM bermula dengan era Datuk Paul Mony Samuel (1985-2000), Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (2000-2005), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad (2005-2007) dan Datuk Azzuddin Ahmad (2007 hingga kini).

Mony, bekas guru yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah, memiliki skil perhubungan awam yang hebat. Beliau terbuka kepada teguran biarpun daripada wartawan setahun jagung. Pengkritiknya pula menganggap Mony tidak mudah percaya anak buahnya dan memilih bulu dalam berkongsi maklumat dengan wartawan.

Dell Akbar, anak jati Kampung Baru, dianggap bersikap konfrontasi dengan wartawan. Maklumlah, beliau orang berpangkat besar dalam polis. Jika tidak cukup ilmu di dada dan tidak ada fakta untuk berhujah dengan Dell, baik berdiam diri. Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur itu tidak suka berselindung dan tabiatnya berterus-terang. Ini kadangkala sukar diterima wartawan-wartawan yang sememangnya pandai mengkritik tetapi enggan dikritik.

Kata-kata seperti 'masalah you all ni, you all tak buat homework', kerap keluar daripada mulut Dell. Di kalangan kakitangan FAM, Dell disayangi kerana menitikberatkan kebajikan serta mengamalkan dasar pintu terbuka. Dell juga beruntung kerana didokong Datuk Yap Nyim Keong selaku penolongnya.

Apabila Dell dan Yap meletak jawatan pada awal 2005 atas dasar prinsip setelah mereka melihat barisan kepimpinan FAM tidak lagi menaruh kepercayaan kepada urus setia, persatuan tersebut menawarkan kerusi panas itu kepada orang ramai.

Antara yang ditemuduga termasuk bekas pemain kebangsaan, Rosli Hussein dan Noor Keifli Sulong, bekas pegawai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun akhirnya yang mengisi kekosongan itu adalah seorang bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Selaku Naib Presiden FAM, Ibrahim menjadi anggota panel temu duga berkenaan.

Sultan Ahmad Shah melantik Ibrahim sebagai setiausaha agung, manakala Rosli dan Keifli dilantik selaku penolong.

Biarpun Ibrahim, Rosli dan Keifli berkongsi latar belakang akademik yang hampir sama kerana ketiga-tiganya bekas pensyarah, mereka tidak dapat menjalin kerjasama dan tidak sehaluan dalam banyak hal.

Sebagai ahli politik pertama menduduki kerusi itu, Ibrahim dianggap mempolitikkan kedudukannya. Beliau juga dilihat lebih percaya kepada pembantu peribadinya yang juga seorang politikus.

Akhirnya Rosli meletak jawatan manakala Keifli ditukarkan ke syarikat pemasaran FAM, MSL Sdn Bhd.

Sepanjang tempoh Ibrahim selaku Setiausaha Agung, FAM tidak sunyi daripada pelbagai isu. Sesetengahnya berbentuk peribadi. Pernah juga penulis bertanya kepada Ibrahim "kenapa Datuk Seri lantik seorang Datuk jadi pembantu peribadi?"

"Alah, bukan tinggi sangat pun gaji dia,… jawabnya ringkas.

Namun Ibrahim memiliki kelebihan PR juga. Sebagai seorang yang masak dengan politik di peringkat tertinggi, Ibrahim menelan kecaman biarpun pedih. Begitupun ada beberapa kali beliau meninggi suara dalam sidang akhbar.

Penulis mengimbas sejarah ini kerana pada hakikatnya, sesiapa sahaja yang menjadi setiausaha agung FAM harus berani dilambung ombak. Kerana kesediaan membuat rumah di tepi pantai, mereka berdepan risiko dihempas badai, dilambung ombak atau lebih parah, tenggelam dek tsunami.

Malangnya, kerap kali gelora yang datang ciptaan manusia dengan motif tertentu.






0 comments:

Post a Comment